Utama Blog Laman 134

Percuma! Perisian Bernilai RM196 Untuk Diberikan Secara Percuma di Omg! Hackers?

0

 

Giveaway! Giveaway! Giveaway!

 

Wonderfox datang lagi dengan menawarkan perisian mereka secara percuma khas buat semua pembaca di Omg! Hackers? Kami telah membuat ulasan mengenai perisian mereka di sini sebelum ini. Perisian yang dimaksudkan adalah HD Video Converter Factory Pro. HD Video Converter Pro bukan hanya sekadar pengubah format video yang biasa, malahan turut dilengkapi dengan beberapa ciri lain yang menarik seperti :

1. Ringtone Maker

 

2. Video Downloader

 

3. Movie Editor

 

4. Auto Uploader

 

Giveaway ini akan tamat pada 10 Mac 2018.

 

Klik Di Sini untuk menuntut perisian percuma dari Wonderfox.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Senarai Peranti Rasmi Yang Akan Hadir Dengan Android GO 8.1

0

 

Dalam artikel yang lepas, kita telah bercerita mengenai Android GO yang telah diumumkan di MWC 2018. Seperti yang kita sedia maklum, sebarang sistem itu tidak akan berguna tidak kira walau sebaik mana ia dicipta jika tidak disokong dan didokong oleh para pengeluar. Ambil contoh SymbianOS, TizenOS, Windows Mobile, FirefoxOS, Ubuntu Mobile dan banyak lagi sistem operasi mudah alih yang akhirnya gagal di tengah jalan walaupun telah mengumpul ramai peminat di awal pengumumannya. Kegagalan ini adalah kerana tidak lain dan tidak bukan kerana tiada pengeluar dan juga pembangun aplikasi yang sanggup memberi dedikasi dan tumpuan terhadap sistem ini.

 

Baik, tanpa berlengah masa lagi, ini adalah antara senarai peranti yang telah diumumkan secara rasmi yang akan hadir dengan Android GO Oreo terus dari kotak :

1. Alcatel 1X

 

Peranti dengan spesifikasi yang paling tinggi berbanding dengan semua peranti yang akan hadir dengan Android GO setakat ini, Alcatel 1X hadir dengan spesifikasi yang menurut pandangan saya masih lagi tidak tergolong dalam kategori telefon berspesifikasi rendah. Dengan penawaran RAM sebanyak 2GB dan juga storan dalaman sebanyak 16GB melalui SoC MT6739 dari Mediatek, saya menjangkakan Alcatel 1X akan menjadi peranti paling popular apabila dilancarkan kelak di samping “adik-beradik” Android GO nya yang lain.

Sumber : GSMArena

 

2. Nokia 1

Walaupun telah bertukar pemilik kepada HMD Global, Nokia selaku sebuah nama besar yang tidak asing lagi bagi pengguna telefon mudah alih seluruh dunia juga tidak ketinggalan dalam menceburi peluang baru dalam pasaran Android dengan mengumumkan peranti Android GO mereka sendiri, Nokia 1. Walau dengan hanya 1GB RAM, ia sudah memadai bagi saya sekiranya Google benar-benar mampu mengotakan janji mereka bahawa Android GO mampu berfungsi secara “lancar dan pantas” walau dengan spesifikasi rendah. Rasanya sudah banyak kali saya mendengar ayat “lancar dan pantas” ini daripada Google dan ia hanya indah khabar dari rupa. Namun, janganlah kita terlalu pantas membuat sebarang spekulasi serta tunggu dan lihat dahulu.

 

Sumber : GSMArena

 

3. ZTE Tempo GO

Saya tidak akan menipu, jika saya ingin mencuba peranti Android GO apabila ia dilancarkan kelak, saya akan memilih ZTE Tempo GO berbanding Alcatel 1X dan Nokia 1. Setakat ini, cuma ZTE Tempo GO sahaja yang diumumkan akan menggunakan SoC daripada Qualcomm. Secara jujurnya juga, saya lebih menggemari peranti dengan SoC Qualcomm berbanding Mediatek. Namun, itu hanya pilihan peribadi saya sahaja. Adalah lebih baik untuk membeli peranti baru setelah sebulan atau lebih pelancarannya untuk medapat maklum balas pengguna secara lebih menyeluruh.

 

Sumber : GSMArena

 

Pengumuman lain di MWC 2018

Selain daripada 3 model di atas, pengeluar lain juga telah membuat pengumuman mereka sendiri untuk peranti dengan Android GO. Pengeluar ini juga mungkin agak asing bagi pasaran kita di Malaysia namun tetap menarik untuk diketahui. Mana tahu, mungkin ia juga akan turut menerjah pasaran Malaysia sebagaimana Xiaomi, Oppo dan Vivo yang dahulunya juga kedengaran asing bagi kita tetapi kini sudah gah dalam pasaran?

 

4. General Mobile GM8 GO

 

General Mobile merupakan pengeluar telefon daripada Turki. Di MWC 2018, mereka sebenarnya mengumumkan 2 model GM8 iaitu GM8 yang merupakan peranti dengan Android ONE dan juga GM8 GO yang merupakan peranti dengan Android GO. Secara luarannya, mereka hadir dalam rupa yang sama dan juga saiz yang sama. Apa yang membezakan GM8 dengan GM8 GO adalah spesifikasinya :

GM8 hadir dengan Snapdragon 435 dalam dua varian samada 3/32 atau 4/64. Lensa kamera utama dan hadapan sebesar 13MP dan juga dilengkapi pengimbas cap jari. Dikuasai dengan kapasiti bateri sebesar 3075 mAh. Ia hadir dengan Android versi Android ONE.

GM8 GO pula hadir dengan Mediatek MT6739 dengan hanya 1GB RAM dan 16GB ruangan storan dalaman. Ia akan dikuasai oleh bateri yang berkapasiti sebesar 3500 mAh. Hadir dengan Android versi Android GO Oreo. Menariknya, walaupun dikatakan sebagai peranti berspesifikasi rendah, ia akan hadir dengan kamera utama juga sebesar 13 MP dan 5MP untuk kamera hadapan. Ia juga akan turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari sama seperti abangnya GM8!

Dari perspektif pengguna kedekut seperti saya, GM8 GO sangat menggoda dari segi spesifikasinya. Mungkin sudah tiba masanya iklan TV dan papan iklan kita mula dipenuhi dengan gambar-gambar gadis Turki memegang telefon General Mobile? Gadis Asia sudah basi, kini sudah tiba masa untuk gadis Asia Tengah mengambil alih hati para lelaki di Malaysia.

 

 

5. LAVA Z50

LAVA merupakan pengeluar telefon daripada India. Ia dikatakan akan hadir dengan SoC daripada Mediatek iaitu MT6737M dengan hanya 1GB RAM dan juga 8GB ruangan storan dalaman. Bakal hadir dengan sokongan rangkaian 4G, ia juga turut dilengkapi dengan kamera hadapan dan belakang dengan saiz 5MP untuk kedua-duanya.

 

6. Micromax BHARAT GO

Tidak banyak maklumat yang dapat diperolehi daripada peranti ini di MWC 2018. Namun, spesifikasinya mungkin sama dengan LAVA Z50 kerana ia juga turut hadir dengan  1GB RAM dan juga 8GB ruangan storan dalaman.

 

7. Huawei

Tiada pengumuman dibuat oleh Huawei pada MWC 2018 yang lalu. Namun, Huawei telah memaklumkan akan menyokong platform terbaru ini dalam masa yang terdekat. Mungkinkah bakal hadir dengan SoC Kirin berspesifikasi rendah? Bersama-sama kita nantikan.

 

8. Transsion

Sememangnya nama yang asing bagi kita. Transsion adalah pengeluar untuk pasaran Afrika, India, dan juga China serta mengedarkan peranti mereka dengan jenama berbeza untuk pasaran setiap benua. Mereka akan mula menjual peranti Android GO mereka di Afrika dalam masa terdekat.

 

Sumber : Google Blog

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Android GO : Siri Android Terbaru Dari Google Untuk Peranti Berspesifikasi Rendah

1

MWC 2018 baru sahaja berlalu dan banyak pengumuman dunia teknologi telah diumumkan. MWC seringkali menjadi tumpuan para penggemar gajet dan pemain industri dalam menilai dan mengikuti perkembangan terkini kebolehan, rancangan, dan pencapaian para pengeluar. Namun, apa yang paling menarik perhatian pada kali ini bagi saya ialah, sebuah lagi projek terbaru daripada Google iaitu Android GO.

 

 

Apa Itu Android GO?

Android GO, ataupun seperti yang dijenamakan oleh Google sebagai Android Oreo (Go Edition) , merupakan satu cabang lain dalam versi Android sedia ada. Ia memfokuskan untuk membolehkan telefon dengan spesifikasi rendah menikmati fungsi dan versi Android terkini tanpa mengorbankan integrasi servis Google sedia ada dan terkini. Spesifikasi rendah di sini bukan bermaksud telefon pada kelas pertengahan, tetapi telefon yang benar-benar mempunyai spesifikasi rendah seperti awal 2012 dahulu. Maksudnya, peranti yang memiliki kuasa pemprosesan yang sangat rendah, ruangan storan dalaman yang terhad, dan juga saiz RAM yang kecil.

 

Ideanya ialah, Google telah mengeluarkan statistik dan juga telah membuat rumusan bahawa taburan pengguna Android di seluruh dunia semakin meningkat. Antara pasaran yang dijangkakan oleh Google yang bakal menjadi pasaran terbesar dari segi jumlah pengguna ialah negara membangun seperti India. Negara seperti India ( dan mungkin juga Malaysia? ) mempunyai ramai pengguna yang sangat mementingkan bajet dalam membeli peranti baru dan juga mempunyai sambungan internet yang sangat terhad daripada segi kebolehcapaian dan juga jumlah kuota penggunaan.

 

Apa Matlamat Google Dengan Android GO?

 

Matlamat dan prinsip dalam Android GO seperti yang telah diterangkan oleh Google ialah :

  • Memfokuskan kepada peranti dengan spesifikasi rendah iaitu dengan RAM 1GB dan ke bawah.
  • Mengecilkan saiz pemasangan keseluruhan sistem operasi Android dan juga pakej aplikasi Android GO kurang daripada 3GB.
  • Membina aplikasi khusus untuk Android GO supaya menggunakan lebih sedikit data dan ruangan simpanan berbanding aplikasi biasa.
  • Membolehkan peranti bersepesifikasi rendah menikmati versi Android terkini dengan prestasi yang lancar dan pantas.

 

Aplikasi Khas Android GO Setakat Ini?

Google GO dan Google Assistant GO

– Sama seperti perisian biasa tetapi hadir dengan saiz yang lebih kecil. Ia juga mempunyai beberapa limitasi contohnya, anda tidak boleh mengaktifkannya dengan arahan suara “Ok Google” tetapi perlu menekan butang terlebih dahulu. Namun secara asasnya, hampir kebanyakan fungsi masih ada kerana servis ini banyak menggunakan pemprosesan di perkomputeran awan dan bukan terbina dalam pada peranti.

 

 

Gboard GO, Maps GO dan Gmail GO

– Juga sama, tiada perbezaan ketara dapat dilihat daripada antaramuka dan juga fungsinya. Namun apa yang pasti, ia hadir dalam pakej pemasangan yang lebih kecil berbanding biasa.

 

 

Chrome

– Pelayar web Chrome pada Android GO akan hadir dengan pilihan penjimat data dibuka secara lalai.

 

Youtube GO

– Seperti mana yang pernah ditulis oleh kami sebelumnya di sini, Youtube GO menawarkan fungsi untuk memuat turun video kegemaran anda di Youtube dan menontonnya semula secara luar talian tanpa talian internet.

 

 

Files GO

– Merupakan aplikasi pengurus fail daripada Google. Ia akan memaklumkan anda untuk membuang fail yang tidak perlu di dalam storan anda seperti fail-fail lama, cache dan juga gambar kamera dan selfie yang tidak bagus (menakutkan). Ia juga memberi pilihan mudah untuk menghantar dan menerima fail melalui aplikasi ini.

 

 

Apa yang boleh saya rumuskan, pengumuman ini adalah sesuatu yang sangat menarik minat saya malah lebih menarik daripada pengumuman Samsung Galaxy S9 di acara yang sama. Pengeluar SoC utama dunia, Qualcomm dan Mediatek juga telah memberi kata putus untuk menyokong langkah dan visi Google menerusi Android GO mereka. Adakah ini akan kembali merancakkan pembangunan custom ROM pada peranti-peranti lama? Sama-sama kita nantikan.

 

Masihkah ada harapan buatmu?

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Tutorial Bergambar Cara Menggunakan Emel 1GovUC Di Telefon

0

Di zaman yang serba canggih ini, hampir kesemua urusan yang dijalankan adalah secara atas talian. Perkhidmatan tidak kira samada perkhidmatan swasta mahupun perkhidmatan kerajaan, hampir kesemuanya sudah menggunakan alamat emel mereka sendiri. Untuk penjawat awam pula, tidak dapat tidak, wajib menggunakan emel daripada talian kerajaan iaitu emel 1GovUC bagi urusan rasmi mereka untuk memasukkan data sensitif jabatan dan kementerian masing-masing ke dalam perisian dan pelayan hak milik kerajaan.

 

Buat masa ini, kesemua sistem kerajaan cuma dapat diakses menggunakan emel 1GovUC sahaja dan bukan emel percuma walaupun emel 1GovUC jauh lebih inferior berbanding emel percuma seperi GMail dan Outlook. Hal ini adalah bagi memastikan data sulit dan sensitif lebih selamat dan meminimakan risiko kerentanan. Mana tidaknya, bukan semua pengguna emel mahir dalam menjaga emel mereka dan reti membezakan emel palsu dan mengandungi pautan hasad berbanding emel selamat.

 

Tanpa berlengah lagi, kita mulakan tutorial kita pada hari ini.

 

Apa yang anda perlukan?

 

Anda memerlukan perisian Microsoft Outlook daripada Play Store atau App Store. Bergantung kepada sistem telefon pintar yang anda gunakan.

 

Pautan :

Android

iOS

 

Langkah 1 : Buka aplikasi Microsoft Outlook yang telah dipasang ke dalam telefon pintar anda tadi. Bagi pengguna yang telah menggunakan emel lain di dalam perisian ini, tekan pada tanda tiga garis seperti pada kotak yang ditunjukkan. Bagi yang belum pernah menggunakan aplikasi ini pada telefon pintar mereka, sila terus ke Langkah 5.

 

Langkah 2 : Tekan pada logo gear untuk menambah akaun emel baru.

 

Langkah 3 : Anda akan dibawa ke antara muka seterusnya. Pilih “ADD ACCOUNT”.

 

Langkah 4 : Seterusnya, pilih “Add an email account”.

 

Langkah 5 : Anda akan diminta memasukkan alamat emel anda. Masukkan alamat emel 1GovUC anda.

 

Langkah 6 : Masukkan alamat emel 1GovUC anda dan tekan “CONTINUE”.

 

Langkah 7 : Tunggu sebentar untuk proses log masuk oleh aplikasi dan ia akan memaparkan antaramuka lain selepas itu. Kali ini, akan ada pilihan baru di bawah alamat emel anda. Tekan “SET UP ACCOUNT MANUALLY”.

 

Langkah 8 : Pilih dan tekan pada “Exchange”

 

Langkah 9 : Anda akan diminta untuk memasukkan maklumat yang lebih lengkap. Kali ini, pilih “ADVANCED SETTING”.

 

Langkah 10 : Masukkan maklumat sebagaimana yang ditunjukkan di sini. Untuk bahagian “pengguna” dan “agensi”, sila gunakan maklumat kata nama pengguna dan nama agensi masing-masing. Bagi bahagian “Description” pula, anda bebas untuk menamakan emel tersebut dengan apa sahaja nama yang anda selesa dan mudah.

 

Contohnya, “ahmad” “pengguna” dan juga “moh” = “agensi”. Jadi, emel 1GovUC bagi “ahmad” ialah “ahmad@moh.gov.my”.

 

Langkah 11 : Log masuk berjaya! Kini anda boleh menggunakan emel 1GovUC anda di telefon pintar untuk memeriksa dan membalas emel 1GovUC anda walau di mana sahaja anda berada! Tidak perlu lagi risau untuk terlupa log masuk emel 1GovUC anda dan mengakibatkan emel anda dibuang daripada sistem oleh unit IT anda!

 

Selamat mencuba daripada kami di OmgHackers! Jumpa lagi di lain waktu untuk tutorial yang lain!

Views: 8

Iklan Newspaper Inline

Strim Dan Muat Turun Torrent Melalui uTorrent Web

0

uTorrent telah sekian lama menjadi aplikasi pemuat turun fail torrent yang diminati ramai. Meskipun dari satu versi ke satu versi, ianya terasa semakin bloated, tetapi tidak dapat dinafikan ia antara pemangkin kepada pembaharuan klien yang lain.

Terkini, uTorrent telah melancarkan ‘secara senyap’, uTorrent Web.

uTorrent Web, seperti namanya berfungsi melalui pelayar web yang anda gunakan. Mana-mana fail yang anda cuba muat turun sama ada menggunakan fail torrent atau pautan magnet, akan dibuka melalui uTorrent Web ini. Pengguna boleh memanfaatkan bar carian pada laman mereka, atau buka sahaja mana-mana laman torrent seperti YTS untuk mencari apa yang anda mahukan. Jika anda menggunakan bar carian di laman uTorrent Web, ia tetap akan menghalakan anda kepada carian Google. LOL.

Video akan mengambil sedikit masa untuk dimainkan, dan ia akan memainkan video beserta dengan sarikata sekiranya ia disertakan. Mungkin strim torrent melalui pelayar web bukan penyelesaian paling ideal, kerana dengan pemain video seperti SMPlayer, ia mampu melakukan pelbagai perkara dengan lebih lagi. Namun penstriman dengan cara ini membantu mereka yang tidak mahu memasang pelbagai perisian hanya untuk membuat satu perkara yang sama.

Tetapan bagi uTorrent Web tidak banyak, sesuai dengan peranannya sebagai pemuat turun dan pemain video secara strim.

Pada bahagian bawah pemain video, anda boleh lihat progress setiap fail yang anda muat turun.

Jika anda mahukan penstriman tanpa gangguan buffer, sebaiknya anda pause terlebih dahulu, biarkan video dimuat turun separuh, kemudian barulah mainkan ia.

Anda juga boleh muat turun mana-mana fail selain video, cuma sudah tentulah anda tidak boleh strim ia.

Cukuplah intro kami terhadap uTorrent Web dalam artikel ini. Anda boleh terus ke laman uTorrent Web melalui pautan di bawah, muat turun dan pasangkan kliennya, kemudian terus strim mana-mana video yang anda suka.

>>> uTorrent Web

Views: 9

Iklan Newspaper Inline

MediaTek Helio P60: Peningkatan Kuasa, Penjimatan Tenaga, Dan Kecerdasan Buatan

0

Walaupun secara dasarnya kami adalah peminat Snapdragon SoC, tetapi kami tetap akan cuba menulis kemas kini mengenai status MediaTek SoC, tidak kiralah macam mana sekalipun apa yang anda fikirkan mengenainya.

Pada MWC 2018 di Barcelona, MediaTek mengumumkan pengeluaran sebuah pemproses terbaru mereka iaitu Helio P60.

Helio P60 ini telah dibina pada TSMC 12nm, yang dikatakan akan mengurangkan penggunaan kuasa sebanyak 15% berbanding chip 14nm.

Ianya terdiri dari empat teras Cortex-A73 (2GHz) dan empat lagi teras Cortex-A53s (2GHz), serta GPU Mali-G72 MP3 berkelajuan 800MHz yang melonjakkan prestasi sebanyak 70%.

MediaTek Helio P60 (PRNewsfoto/MediaTek Inc.)

MediaTek juga enggan ketinggalan dari segi penambahan kecerdasan buatan, apabila kali ini mereka memasukkan ciri AI Processing Unit (APU) yang jelasnya menjadi seteru kepada Neural Processing Unit (NPU) dari Huawei.

Buat pertama kalinya memperkenalkan teknologi NeuroPilot AI, yang menurut MediaTek ianya berfungsi dengan lancar merentasi antara CPU, GPU dan APU, bergerak dalam SoC untuk memaksimumkan prestasi dan meningkatkan kecekapan penggunaan kuasa.

Padanya juga terdapat CorePilot 4.0, yang mengawal mengawal pengurusan haba, memantau pengalaman pengguna, dan ‘Penjajaran Berasaskan Tenaga’ (Energy Aware Scheduling) untuk mengoptimumkan prestasi dan pemuliharaan kuasa.

Sumber: MediaTek Helio P60

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Aplikasi Sarahah Dibuang Oleh Apple Store Dan Google Play Selepas Menerima Tuduhan Buli

0

Aplikasi mesej tanpa nama iaitu Sarahah yang sangat popular telah dibuang dari senarai aplikasi di Apple Store dan Google Play selepas mendapat pertuduhan yang serius iaitu kes buli. Sebelum ini, ia telah dinafikan oleh ketua eksekutif syarikat yang mengatakan aplikasi itu sebenarnya untuk mereka yang lebih dewasa.

Seorang ibu iaitu Katrina Collins terkejut dengan mesej tanpa nama yang diterima oleh anak perempuannya yang berusia 13 tahun. Seorang lelaki menghantar mesej yang dia berharap bahawa anak perempuannya akan membunuh dirinya sendiri. Bahasa yang digunakan oleh lelaki itu telah menyinggung perasaan anak perempuannya.

Katrina Collins.

Mesej tersebut muncul di aplikasi Sarahah, yang sebenarnya direka untuk membolehkan orang meninggalkan maklum balas yang jujur mengenai rakan-rakan yang dikenali, Collins dan anaknya memang menggunakan aplikasi tersebut dan sangat terkejut apabila dia melihat mesej menyinggung perasaan anak beliau itu.

Collins, yang tinggal di Australia, kemudian memfailkan petisyen di laman web Change.org iaitu laman petisyen dalam talian. Dia menyeru aplikasi tersebut dibuang dari dua lokasi stor mudah alih terbesar iaitu Apple Store dan Google Play. Petisyen itu mengatakan aplikasi Sarahah menyokong unsur membuli dan membahayakan diri dan dengan cepat memperoleh hampir 470,000 sokongan undi.

Aplikasi tersebut kemudiannya dibuang dari kedua-dua Apple dan Google Play Store. Tindakan Syarikat tersebut sangat pantas sebagai respon kepada petisyen itu, walaupun seorang jurucakap Google tidak mahu mengulas panjang terhadap perkara tersebut dan difahamkan juga Syarikat Apple tidak menjawab persoalan mengenainya.

CEO Sarahah iaitu Zain-Alabdin Tawfiq membantah tuduhan Collins sekeras-kerasnya. Beliau berkata keputusan oleh Apple dan Google untuk membuang aplikasi itu adalah sangat mengecewakan tetapi beliau sangat optimis untuk mencapai kesefahaman yang baik dengan pihak syarikat tidak lama lagi.

Aplikasi ini telah mengalami naik turunnya dan kini terus turun sejak dilancarkan setahun yang lalu. Ia menjadi satu kejayaan memuncak hampir di seluruh dunia, lebih daripada 300 juta pengguna telah mencipta akaun aplikasi ini. Sarahah, yang dibangun di Arab Saudi, menduduki tempat di Apple App Store di lebih daripada 30 buah negara pada sekitar bulan Julai yang lalu.

Sarahah, dinamakan sempena perkataan Arab yang bermaksud ‘jujur’, bertujuan untuk membolehkan pengguna menerima maklum balas konstruktif tanpa nama (anonymous). Tetapi Katrina Collins, wanita di belakang petisyen, mengatakan ia juga ada unsur membuli dan membahayakan diri kepada sesiapa yang menggunakan aplikasi tersebut.

“Jika ia berlaku kepada anak perempuan saya,” katanya kepada berita BBC, “Ia juga mungkin boleh berlaku kepada banyak kanak-kanak lain di luar sana juga”.

Sebelum ini terdapat kes seorang kanak-kanak berusia 14 tahun dari Grimsby di UK baru-baru ini menerima mesej ‘menjijikkan’ yang diterima di aplikasinya iaitu Snapchat.

Tawfiq mengatakan bahawa perkataan yang menyinggung perasaan dibawa didalam petisyen Collins akan diambil tindakan oleh mekanisma penapisan perkataan yang akan menghalang sebarang benda buruk sampai ke penerima. Beliau berkata sebaik sahaja mereka menerima petisyen ini, mereka telah melancarkan mekanisma penapisan mesej itu melalui Sarahah, dan ia telah pun berjaya.

Sejak petisyen dilancarkan, Tawfiq berkata syarikatnya telah menaik taraf sistem penapisan mesej untuk menggunakan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.

Jadi pada dasarnya jika sesuatu perkataan ditulis seseorang itu mendorong ke arah cubaan membunuh diri, maka ‘membunuh’ adalah kata kunci kepada perkataan tersebut. Tetapi jika perkataan tersebut sebagai contoh diubah menjadi ‘lompatlah dari tebing’, maka robot-robot dari kecerdasan buatan ini juga akan dapat mengesan perkataan seperti ini dan menyekatnya daripada diterima oleh penerima. Beliau juga menegaskan bahawa aplikasi itu hanya boleh digunakan untuk individu berumur 17 tahun ke atas sahaja.

Apa pendapat anda tentang Sarahah?

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Ulasan Meizu M6 Note: Peranti Bajet Dilengkapi Mod Potret Perdana

3

Intro

Peranti ini telah dilepaskan lebih kurang 4 bulan lalu, namun dilancarkan di Malaysia pada 14 Disember 2017. Jadi sebarang ulasan mungkin agak kurang ‘panas’, namun saya tetap terpanggil untuk menulis kerana amatlah kurang atau hampir tiada reviu berbahasa Melayu bagi telefon pintar ini.

Jarang ada yang menulis ulasan untuk Meizu (bagi blogger Malaysia), kalau ada pun dari portal berbahasa Inggeris seperti SoyaCincau.

Ianya mula hadir di Malaysia dengan harga pengenalan RM899. Sekarang ia boleh didapati di Satu Gadget pada harga RM799 (Original Malaysia Set), beserta sebuah kotak hadiah percuma. Hadiah tersebut adalah selfie stick, fon telinga, dan i-ring.

Kotak Meizu M6 Note beserta ‘Gift Box’ dari Satu Gadget.

Berikut adalah spesifikasi am bagi Meizu M6 Note ini:

  • Saiz dan berat: 154.6 x 75.2 x 8.4 mm, 173g.
  • Paparan skrin: IPS, 5.5″, Definisi Tinggi Penuh 1080 x 1920 (403 PPI).
  • SoC: Qualcomm Snapdragon 625 (8x Cortex-A53 2.0 GHz) dengan Adreno 506 GPU
  • RAM: 3/4 GB LPDDR3.
  • Memori dalaman: 16/32/64GB (boleh menggunakan kad sd mikro hingga 256GB).
  • Kamera utama: 12MP, Sony IMX 362, f/1.9 dan kamera kedua 5MP, Samsung 2L7, f/2.0, 4 LED dua tona.
  • Kamera hadapan: 16MP, f/2.0.
  • Bateri: Li-Ion 4000 mAh dengan mCharge (18W).
  • Sambungan: 4G LTE, Bluetooth 4.2, BLE, WiFi 802.11a/b/g/n Dual Band, GPS, GLONASS, A-GPS.
  • Sistem Operasi: Flyme OS 6, Android 7.1.2 Nougat.

Apa yang berbeza antara model ini dengan model Meizu yang lain ialah ia merupakan peranti pertama dari syarikat ini yang menggunakan Qualcomm SoC (Snapdragon 625, Adreno 506). Kebiasaannya meskipun untuk model flagship atau ‘perdana’, mereka menggunakan MediaTek ataupun Exynos. M6 Note menjadi titik tolak kepada bermulanya penggunaan Snapdragon yang mungkin akan membantu Meizu menjadi lebih ‘dipandang’ orang terutamanya dari pembangun di XDA.

Telefon pintar kategori pertengahan ini masih mempunyai bingkai atau ‘bezel’, namun ianya agak minima. Di bahagian bawah bingkainya terletak butang mBack, satu butang dengan pelbagai peranan. Tekan sekali, ia akan membawa terus ke home screen. Manakala ketik sekali pula, ia akan patah balik operasi ke belakang. Ketik dua kali, akan melancarkan kamera, dan seret skrin dari bahagian bawah ke atas akan melancarkan tetingkap multitasking.

Bingkai atau ‘bezel’-nya minima sahaja.

Oh ya, butang mBack ini juga adalah sebuah pengimbas cap jari, yang mana perlu ditekan untuk membuka kunci telefon tersebut. Disebabkan ia perlu ditekan, mungkin anda akan merasakan sedikit lambat atau delay, tetapi pada saya ianya sudah mencukupi.

Flyme OS 6

Ok, cukuplah rasanya pengenalan terhadap telefon ini. Sekarang saya ingin membicarakan sedikit mengenai sistem operasi yang menjadi tulang belakang kepadanya.

Flyme 6 pada Meizu M6 Note adalah berasaskan Android 7.1.2. Sekali imbas ianya tampak sama sahaja dengan ‘ROM China’ yang lain seperti MIUI dan EMUI, yang tiada app drawer, dan terus memaparkan aplikasi yang telah anda pasang di home screen.

Namun apabila diteliti, ternyata Flyme OS mempunyai keistimewaan dan kekuatannya yang tersendiri, sesuai dengan ‘400 ciri baru‘ yang diwar-warkan. Kalau saya hendak senarai dan ceritakan satu persatu, rasanya semuka untuk artikel ini pasti tidak mencukupi.

Cuba anda tonton dahulu video di bawah untuk mendapatkan gambaran mengenainya.

One Mind AI

Suka saya hendak menyentuh salah satu daripada keistimewaan Flyme OS 6 ialah ia memperkenalkan kehadiran ‘independently researched-and-developed intelligent thinking engine’, iaitu One Mind AI.

One Mind AI menurut Meizu adalah kecerdasan buatan yang ‘self-develope’, iaitu ia akan mempelajari bagaimana anda menggunakan peranti, lalu ia akan beradaptasi dan menyesuaikan prestasinya mengikut kepenggunaan semasa.

Sebagai contoh salah satu dari cirinya ialah ‘Flash Launch’, yang mana ia akan menandakan beberapa aplikasi yang paling kerap digunakan, lalu memberikan ia lebih prioriti, dan membuat pengoptimuman kepada aplikasi tersebut agar ia lebih cepat dilancarkan, dan lebih respons apabila digunakan.

Imej kredit kepada Flyme OS Official Site.

Terdapat juga fungsi ‘Process Reaper’. Ciri ini akan mengenal pasti jenis dan bagaimana sesuatu aplikasi itu berfungsi berdasarkan kepada tabiat penggunanya. Process Reaper ini kemudiannya akan mengurangkan (reap) proses yang menggunakan sumber memori yang banyak atau ‘berkelakuan’ secara tidak normal dan dalam masa yang sama mengekalkan proses yang diperlukan agar ia dapat berfungsi.

Secara tidak langsung ia mengurangkan penggunaan sumber memori dan melancarkan pergerakan aplikasi.

Selain itu, ciri One Mind AI yang menarik perhatian saya ialah ‘Auto-repair at Night’. Menurut laman rasmi Flyme 6, fungsi ini akan mengenal pasti waktu kerja dan waktu rehat anda. Apabila anda sedang tidur, sistem akan berada dalam keadaan ‘sleep mode’, dan memulakan ‘self-repair’ iaitu membuat/mengaktifkan defrag memori, memadam atau membersihkan cache sistem, mengoptimumkan penggunakan aplikasi latar belakang, mengurangkan penggunaan kuasa sedia (standby), dan mengurangkan lebih banyak sumber sistem atau memori.

One Mind juga mempunyai ‘Game mode’, yang mana ia akan mengenal pasti ketika sesuatu permainan dijalankan dan akan mengaktifkan Game Mode. Apa yang mode ini lakukan ialah ia akan memastikan permainan dapat dimainkan dengan lebih lancar, tanpa sebarang gangguan memori tidak mencukupi, notifikasi yang masuk tanpa sekatan, menyahaktif fungsi isyarat (gesture), agar anda boleh fokus ketika bermain. ‘Network Protection’ pula akan mengenali permainan atas talian lalu memastikan sambungan kepada rangkaian sentiasa stabil agar ia tidak mudah terputus.

Begitulah sedikit sebanyak tentang One Mind AI yang saya boleh ceritakan. Ia adalah kecerdasan buatan yang akan berfungsi di sebalik tabir, berbeza dengan Google Assistant yang lebih kepada ‘in your face’. Namun meskipun One Mind tidak kelihatan, jasanya kepada peranti tetap dapat dirasai.

Kamera

Salah satu kelebihan kepada M6 Note yang diberi penekanan selain pemproses Snapdragon dan kecerdasan buatan di sebalik tabir, ialah kameranya.

Didatangkan dengan tiga kamera, dua terletak di belakang dan satu di hadapan. Kamera belakang dilengkapi dengan Sony IMX362/Samsung 2L7, bergabung antara 12MP dan 5MP (f1.9/f2.0) Manakala kamera hadapannya pula adalah 16MP, dengan f/2.0.

Jika tidak salah pemahaman saya, kedua-dua kamera belakang dan hadapan mempunyai ‘Arcsoft Algorithm’, iaitu perisian yang akan mengoptimumkan hasil tangkapan. Untuk kamera hadapannya, algoritma ini akan menampakkan tekstur dan warna wajah yang lebih realistik, berbanding ‘beauty mode’ yang biasa dilihat pada telefon pintar lain. Ya, ia juga ada algoritma dari Arcsoft untuk bahagian ‘Beauty’, jadi jangan bimbang. Anda masih dapat menutup cela di wajah anda dengan mod itu. ?

Sampel Gambar

Berikut saya cuba tampilkan beberapa gambar yang sempat saya ambil semasa menggunakan M6 Note. Secara lalai (default), aplikasi kameranya akan meletakkan watermark pada setiap gambar yang diambil. Jika anda lebih suka ianya tiada, anda boleh menyahaktifkan ia melalui tetapan.

Tiada sebarang suntingan yang saya lakukan pada setiap gambar. Kesemuanya adalah ‘straight-out-of-camera’ (SOOC).

Pencahayaan: Dalam Rumah.
Pencahayaan: Senja.
Pencahayaan: Senja/Maghrib.
Pencahayaan: Lampu Kalimantang.
Pencahayaan: Lampu Kalimantang.
Pencahayaan: Lampu Kalimantang.
Demo Portrait Mode.

Rakaman Video

Sama sepertimana peranti pertengahan yang lain, kamera ini tidak mempunyai OIS, cuma saya masih lagi tidak pasti tentang kewujudan EIS pada rakaman 1080P. Anda boleh tonton sendiri video yang saya rakamkan di bawah. Mungkin ada, mungkin tiada. Apa pun bak kata ‘orang putih’, rakaman ini adalah usable.

Audio

Tahukah anda, Meizu bermula sebagai pengeluar pemain mp3 mudah alih? Jadi menurut hemah saya, sudah tentulah mereka ini merupakan pakar audio sebelum meneruskan langkah sebagai pengeluar telefon bimbit pintar pula.

Sayangnya, pada M6 Note tiada sebarang teknologi audio sokongan seperti DAC dalaman dalam model MX4Pro dan PRO 5. Kedua model tersebut menggunakan pemproses audio DAC ES9018K2M. Tidak lupa juga model Meizu Pro 6 yang mengaplikasikan codec audio Wolfson WM8998.

Disebabkan M6 Note tidak mempunyai sebarang bentuk penambahbaikan audio, maka kualiti audio yang dapat didengari melalui fon kepala adalah pada kadar ‘ok’ sahaja. Terdapat dua cara bagi menambahbaik audio, iaitu root dan pasang Viper4Android, atau gunakan DAC mudah alih luaran.

Bateri

M6 Note ini mempunyai bateri berkapasiti 4000mAh beserta ‘mCharge’ (18W). Sejauh pengujian yang saya lakukan, untuk mengecaj penuh bateri tersebut dari 10% ke 100% memakan masa lebih kurang 2 jam. Mungkin ia tidak selaju Dash Charge, tetapi pada saya ianya memadai kerana penggunaan bateri pada peranti ini adalah sangat-sangat menjimatkan.

Kelajuan pengecasan mCharge.

Kebiasaannya saya akan mendapat lebih kurang 8 jam Screen On Time (SOT), dan jika penggunaan lebih ‘berhemah’, mungkin ianya boleh menganjak kepada 9 atau 10 jam.

Jika penggunaan agak intensif seperti bermain permainan dengan grafik berat, atau menonton YouTube, sekurang-kurangnya 5 hingga 6 jam SOT boleh diperolehi.

 

Prestasi

Meskipun ia hanya menggunakan pemproses Snapdragon kelas pertengahan, namun tiada apa yang boleh saya rungutkan tentang prestasinya. Dari multitasking (Multi-tugas? Tugas berbagai?), kepada kepermainan, semuanya berjalan dengan lancar. Ditambah lagi dengan pengoptimuman automatik oleh One Mind AI/Flyme, bateri yang dapat bertahan lebih lama dan dicaj lebih laju pula, saya rasa tidak banyak yang dapat saya ‘bisingkan’.

Permainan seperti Nova 3, Asphalt 8, Kingdom Rush Origins, dapat dimainkan dengan baik. Sedikit lag pada Asphalt 8 ketika intro – itu sudah pasti. Saya pun tidak tahu kenapa.

Kingdom Rush Origins yang ohsem.

Kata Akhir/Konklusi

Jika anda sedang mencari sebuah telefon pintar dengan harga bawah RM1000, yang mempunyai kamera menawan serta kapasiti bateri yang memuaskan, maka jangan tunggu lama lagi. Dapatkan Meizu M6 Note hari ini, kerana kalau anda tunggu sampai esok, mungkin makcik sebelah rumah yang sedang membaca artikel ini sudah pun membeli stok terakhir.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Black Panther: Filem Yang Memberikan Kelainan, Dengan Beberapa Kelemahan Tersendiri

0

SINOPSIS

Ini filem MCU yang paling saya nantikan pada tahun ini. Bila teaser trailler keluar, saya punyalah seronok kerana ini adalah satu-satunya adiwira orang berkulit hitam. Saya dan isteri berkesempatan menonton malam tadi.

Filem ini mengisahkan perkara yang belaku selepas kejadian filem Captain America: Civil War. Putera T’Challa kembali ke negara Afrika daerah Wakanda yang sangat maju dan berteknologi selepas kemangkatan ayahnya akibat letupan bom di PBB.

Walau bagaimanapun, Putera T’Challa menghadapi kesukaran untuk menjadi raja kerana dia dicabar dari puak-puak yang mahukan takhta di negara dia sendiri. Apabila dua musuh bersekongkol untuk memusnahkan Wakanda, Black Panther perlu menyelesaikan isu tersebut supaya Wakanda tidak terlibat dalam Perang Dunia.

 

ULASAN

Saya peminat besar Marvel Cinematic Universe dan sebelum menonton filem ini saya mengharapkan ini tidak mengecewakan saya. Namun, ada beberapa perkara yang pasti apabila anda menonton, akan ada persoalan tersendiri.

Filem ini adalah seperti cerita filem adiwira siri Marvel yang lain. Aspek Wakanda diceritakan yang menampakan filem itu hebat. Teknologi Vibranium yang digunakan dalam filem ini diceritakan secara meluas. Tetapi terdapat banyak klise yang merosakkan filem itu.

  1. Chadwick Boseman (T’Challa/Black Panther) lakonan beliau sangat memukau. Lupita Nyong’o (Nakia), Martin Freeman (Everett K. Ross), Danai Gurira (Okoye), dan Forest Whitaker (Zuri), lakonan mereka ini hanya paras baik sahaja. Manakala, Michael B. Jordan (Erik Killmonger), melakonkan watak jahat yang sangat klise yang akhirnya hampir merosakkan filem ini sebenarnya. Terus terang saya katakan, saya tidak merasakan kekuatan wataknya.
  2. Kalau anda menonton filem ini, anda akan mendapati bahawa filem ini tidak mempunyai susunan yang tepat. Bercelaru. Banyak babak sebenarnya dipanjangkan kepada penonton dan kadangkala membosankan. Paling penting jika anda tidak menonton filem Captain America: Civil War, banyak persoalan yang boleh buatkan ia tergantung dalam fikiran.
  3. Bahagian tengah filem boleh dijangka apa yang akan berlaku. Dan, anda boleh ramalkan apa yang berlaku pada babak seterusnya.

Kesan CGI bolehlah dikatakan sangat realistik sesuai dengan bajet filem ini. Pilihan muzik juga pada saya terbaik kerana bercirikan tradisional. Saya sebenarnya berharap bahawa pertarungan antara T’Challa dengan Erik Killmonger lebih dramatik.

Namun, seperti yang dijangka ia tidak sebaik antara filem MCU yang saya tonton. Apabila saya keluar sahaja daripada pawagam, selalunya emosi dan pemikiran saya akan berubah seketika apabila selesai menonton, namun ianya tidak berlaku dalam filem adiwira Black Panther ini.

PENUTUP

Secara keseluruhan, Saya benar-benar mahukan filem ini menjadi baik, tetapi saya merasakan seperti filem ini sangat panjang, klise, dan membosankan yang tidak diperlukan dalam MCU. Paling penting sekali sebelum menonton filem ini, jangan membaca ulasan daripada RT atau IMDB. Jika anda suka menonton filem di wayang, pergilah menonton dan nilaikan sendiri.

Oleh itu OMG Hackers memberikan penarafan Durian Buruk sebanyak:

6/10

Jumpa lagi pada review filem akan datang!

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Project Stargate: Perisik Psikik Acuan CIA

0

Clairvoyance – the supposed faculty of perceiving things or events in the future or beyond normal sensory contact.

Di bawah kerajaan Amerika syarikat, CIA pernah menjalankan sebuah kajian yang diberi kod nama ‘Stargate’ atau Star Gate.

Projek ini adalah bertujuan untuk melakukan kajian ke atas kebolehan psikik yang dapat diaplikasikan kepada intipan dan tujuan ketenteraan.

Program tersebut tercetus dek kerana kebimbangan AS terhadap pesaingnya iaitu pihak Soviet yang telah melaburkan sejumlah besar wang untuk membuat kajian ke atas kemampuan psikik.

Antara sebab lain mengapa kerajaan AS mahu menghasilkan manusia psikik ala X-Men adalah kerana mereka akan dapat membuat intipan secara pasif, tidak memerlukan kos yang tinggi, dan juga tiada sistem pertahanan yang mampu menghalang kuasa psikik (setakat ini).

Projek yang bermula pada tahun 1972 di Stanford Research Institute, dikendalikan oleh Russell Targ dan Harold Puthoff, membuat kajian terhadap ‘psikoenergetik’, iaitu kemampuan memandang sesuatu objek secara jarak jauh, dan juga telekinesis, iaitu kemampuan seseorang untuk menggerakkan sesuatu objek tanpa menyentuhnya.

Harold Puthoff.

Kajian ini juga memfokuskan terhadap kebolehan individu untuk melihat sesuatu objek, manusia, atau tempat menggunakan ‘kuasa minda’ atau out-of-body experience (OOBE).

Mana-mana individu yang menunjukkan potensi telah dilatih dan diajar untuk menggunakan ‘anugerah’ yang mereka miliki bagi tujuan ‘peperangan psikik’.

Pada kemuncak projek di pertengahan 1980-an, program tersebut telah berjaya menghasilkan seramai tujuh orang psikik ‘sepenuh masa’. Tiga orang psikik dilaporkan bekerja di FT Meade untuk CIA dari tahun 1990 hingga Julai 1995. Mereka disediakan untuk berkhidmat kepada mana-mana agensi kerajaan yang memerlukan.

Adalah dipercayai beberapa kejayaan dari program ini ialah:

  • Mereka ditugaskan untuk mencari plutonium di Korea Utara pada 1994.
  • Mereka telah mencadangkan tempat persembunyian Saddam Hussein di Iraq.
  • Para psikik tersebut dikatakan telah membantu mencari peluru berpandu SCUD, serta projek-projek rahsia peperangan biologi dan kimia.
  • Mereka juga cuba memburu Gadhafi sebelum pengeboman Libya pada 1986, tetapi Gadhafi tidak cedera dalam pengeboman itu.
  • Adalah dipercayai juga mereka pernah menggunakan kebolehan seperti itu untuk mengesan tempat persembunyian Osama Bin Laden.

Pihak CIA telah menutup projek Stargate ini pada tahun 1995. Mereka juga telah melepaskan dokumen berkaitan Stargate secara umum di laman Electronic Reading Room. Sesiapa sahaja boleh mengakses dan membaca dokumen-dokumen tersebut, tiada rahsia lagi yang disembunyi.

Views: 5

Iklan Newspaper Inline