Dalam artikel yang lepas, kita telah bercerita mengenai Android GO yang telah diumumkan di MWC 2018. Seperti yang kita sedia maklum, sebarang sistem itu tidak akan berguna tidak kira walau sebaik mana ia dicipta jika tidak disokong dan didokong oleh para pengeluar. Ambil contoh SymbianOS, TizenOS, Windows Mobile, FirefoxOS, Ubuntu Mobile dan banyak lagi sistem operasi mudah alih yang akhirnya gagal di tengah jalan walaupun telah mengumpul ramai peminat di awal pengumumannya. Kegagalan ini adalah kerana tidak lain dan tidak bukan kerana tiada pengeluar dan juga pembangun aplikasi yang sanggup memberi dedikasi dan tumpuan terhadap sistem ini.
Baik, tanpa berlengah masa lagi, ini adalah antara senarai peranti yang telah diumumkan secara rasmi yang akan hadir dengan Android GO Oreo terus dari kotak :
1. Alcatel 1X
Peranti dengan spesifikasi yang paling tinggi berbanding dengan semua peranti yang akan hadir dengan Android GO setakat ini, Alcatel 1X hadir dengan spesifikasi yang menurut pandangan saya masih lagi tidak tergolong dalam kategori telefon berspesifikasi rendah. Dengan penawaran RAM sebanyak 2GB dan juga storan dalaman sebanyak 16GB melalui SoC MT6739 dari Mediatek, saya menjangkakan Alcatel 1X akan menjadi peranti paling popular apabila dilancarkan kelak di samping “adik-beradik” Android GO nya yang lain.
Sumber : GSMArena
2. Nokia 1
Walaupun telah bertukar pemilik kepada HMD Global, Nokia selaku sebuah nama besar yang tidak asing lagi bagi pengguna telefon mudah alih seluruh dunia juga tidak ketinggalan dalam menceburi peluang baru dalam pasaran Android dengan mengumumkan peranti Android GO mereka sendiri, Nokia 1. Walau dengan hanya 1GB RAM, ia sudah memadai bagi saya sekiranya Google benar-benar mampu mengotakan janji mereka bahawa Android GO mampu berfungsi secara “lancar dan pantas” walau dengan spesifikasi rendah. Rasanya sudah banyak kali saya mendengar ayat “lancar dan pantas” ini daripada Google dan ia hanya indah khabar dari rupa. Namun, janganlah kita terlalu pantas membuat sebarang spekulasi serta tunggu dan lihat dahulu.
Sumber : GSMArena
3. ZTE Tempo GO
Saya tidak akan menipu, jika saya ingin mencuba peranti Android GO apabila ia dilancarkan kelak, saya akan memilih ZTE Tempo GO berbanding Alcatel 1X dan Nokia 1. Setakat ini, cuma ZTE Tempo GO sahaja yang diumumkan akan menggunakan SoC daripada Qualcomm. Secara jujurnya juga, saya lebih menggemari peranti dengan SoC Qualcomm berbanding Mediatek. Namun, itu hanya pilihan peribadi saya sahaja. Adalah lebih baik untuk membeli peranti baru setelah sebulan atau lebih pelancarannya untuk medapat maklum balas pengguna secara lebih menyeluruh.
Sumber : GSMArena
Pengumuman lain di MWC 2018
Selain daripada 3 model di atas, pengeluar lain juga telah membuat pengumuman mereka sendiri untuk peranti dengan Android GO. Pengeluar ini juga mungkin agak asing bagi pasaran kita di Malaysia namun tetap menarik untuk diketahui. Mana tahu, mungkin ia juga akan turut menerjah pasaran Malaysia sebagaimana Xiaomi, Oppo dan Vivo yang dahulunya juga kedengaran asing bagi kita tetapi kini sudah gah dalam pasaran?
4. General Mobile GM8 GO
General Mobile merupakan pengeluar telefon daripada Turki. Di MWC 2018, mereka sebenarnya mengumumkan 2 model GM8 iaitu GM8 yang merupakan peranti dengan Android ONE dan juga GM8 GO yang merupakan peranti dengan Android GO. Secara luarannya, mereka hadir dalam rupa yang sama dan juga saiz yang sama. Apa yang membezakan GM8 dengan GM8 GO adalah spesifikasinya :
GM8 hadir dengan Snapdragon 435 dalam dua varian samada 3/32 atau 4/64. Lensa kamera utama dan hadapan sebesar 13MP dan juga dilengkapi pengimbas cap jari. Dikuasai dengan kapasiti bateri sebesar 3075 mAh. Ia hadir dengan Android versi Android ONE.
GM8 GO pula hadir dengan Mediatek MT6739 dengan hanya 1GB RAM dan 16GB ruangan storan dalaman. Ia akan dikuasai oleh bateri yang berkapasiti sebesar 3500 mAh. Hadir dengan Android versi Android GO Oreo. Menariknya, walaupun dikatakan sebagai peranti berspesifikasi rendah, ia akan hadir dengan kamera utama juga sebesar 13 MP dan 5MP untuk kamera hadapan. Ia juga akan turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari sama seperti abangnya GM8!
Dari perspektif pengguna kedekut seperti saya, GM8 GO sangat menggoda dari segi spesifikasinya. Mungkin sudah tiba masanya iklan TV dan papan iklan kita mula dipenuhi dengan gambar-gambar gadis Turki memegang telefon General Mobile? Gadis Asia sudah basi, kini sudah tiba masa untuk gadis Asia Tengah mengambil alih hati para lelaki di Malaysia.
5. LAVA Z50
LAVA merupakan pengeluar telefon daripada India. Ia dikatakan akan hadir dengan SoC daripada Mediatek iaitu MT6737M dengan hanya 1GB RAM dan juga 8GB ruangan storan dalaman. Bakal hadir dengan sokongan rangkaian 4G, ia juga turut dilengkapi dengan kamera hadapan dan belakang dengan saiz 5MP untuk kedua-duanya.
6. Micromax BHARAT GO
Tidak banyak maklumat yang dapat diperolehi daripada peranti ini di MWC 2018. Namun, spesifikasinya mungkin sama dengan LAVA Z50 kerana ia juga turut hadir dengan 1GB RAM dan juga 8GB ruangan storan dalaman.
7. Huawei
Tiada pengumuman dibuat oleh Huawei pada MWC 2018 yang lalu. Namun, Huawei telah memaklumkan akan menyokong platform terbaru ini dalam masa yang terdekat. Mungkinkah bakal hadir dengan SoC Kirin berspesifikasi rendah? Bersama-sama kita nantikan.
8. Transsion
Sememangnya nama yang asing bagi kita. Transsion adalah pengeluar untuk pasaran Afrika, India, dan juga China serta mengedarkan peranti mereka dengan jenama berbeza untuk pasaran setiap benua. Mereka akan mula menjual peranti Android GO mereka di Afrika dalam masa terdekat.
Sumber : Google Blog