Segala perkara yang berlaku ada sebab dan ada jawapannya. Tiada sesuatu yang terjadi tanpa ‘trigger and effects’.
Beberapa minggu ini media mula dipenuhi dengan berita yang mengatakan bahawa mana-mana peranti Amazon yang mempunyai pembantu digitalnya iaitu Alexa, kini mula dihantui dengan hilai tawa Alexa.
Menurut wakil Amazon, mereka telah pun mengenalpasti punca sebenar Alexa ketawa meskipun tidak diarahkan berbuat demikian.
Amazon sedang berusaha untuk menambah baik frasa “Alexa, laugh”, dan menukarkan ia kepada “Alexa, can you laugh?”. Mereka juga menukar respons Alexa daripada terus ketawa kepada “Sure, I can laugh”, kemudian barulah diikuti dengan ketawa.
Disebabkan frasa tersebut, maka terjadinya ‘false positive’, atau bahasa mudahnya Alexa telah ‘salah faham’ mengenai apa sebenarnya yang diarahkan disebabkan mungkin perkataan tersebut mempunyai persamaan bunyi dengan perkataan lain.
Contohnya ada pengguna yang mengarahkan “Alexa, lamp off”. Malangnya Alexa mengenalpasti arahan ‘lamp off’ sebagai ‘laugh’.
Namun yang menjadi persoalan ialah Alexa ketawa tanpa ‘trigger’, tanpa sebarang arahan dan sesetengah pengguna yang mengalami situasi ini mengatakan yang ia agak menakutkan.
So Alexa decided to laugh randomly while I was in the kitchen. Freaked @SnootyJuicer and I out. I thought a kid was laughing behind me. pic.twitter.com/6dblzkiQHp
Sebagai seorang yang meminati permainan konsol dan PC, saya memang menantikan filem reboot arahan Roar Uthaug ini. Semalam penantian saya dan isteri untuk menonton berbaloi sama sekali. Kami menghadiri majlis PREMIERE tayangan Tomb Raider di GSC Mid Valley Megamall.
SINOPSIS
Lara Croft ialah anak kepada seorang pengembara yang hilang ketika misi mencari makam di sebuah pulau yang tidak diketahui di Jepun. Dan kemudian dia menjumpai pulau tersebut dimana tempat ayahnya menghilangkan diri.
ULASAN
Pertama sekali apabila anda menonton, sila jangan bandingkan antara filem yang terdahulu. Alicia Vikander ialah versi lain daripada Lara Croft sebelum ini. Kalau anda menonton filem Lara Croft lakonan Angelina Jolie, beliau digambarkan sebagai seorang yang hebat dari segi kemahiran untuk terus hidup, pandai, berkarisma dan seksi.
Alica memegang watak Lara Croft yang digambarkan lebih lemah, kurus, menangis macam budak-budak dan paling penting ialah mempunyai masalah keluarga iaitu kehilangan ayah kandungnya.
Dalam versi Alica, memang saya melihat begitu lemah sekali watak Lara Croft ini. Dan paling penting sekali, Lara Croft tidak pernah memegang sebarang pistol (anda nilaikan sendiri perasaan saya ketika itu). Bagi saya filem ini hanyalah sekadar filem yang menyuruh saya mengembara bersama Lara Croft.
Tiada sebarang unsur seram dalam babak-babaknya, walhal kalau anda sendiri bermain permainan Tomb Raider anda akan merasai sedikit elemen seram di dalam permainan tersebut. Namun, filem ini sebenarnya menghampiri keadaan terbaik walaupun ada cacat celanya.
Ia sepatutnya lebih bersifat ke arah logik kerana menerapkan elemen pengembara seperti Indiana Jones (?). Tetapi ianya tidak berlaku di dalam filem ini. Setiap babak, akan membuatkan anda tertanya apakah yang akan berlaku kepada Lara Croft tu sendiri. Dan, adakalanya anda merasakan ada babak yang sebenarnya tidak perlu diadakan kerana bagi saya sangat membosankan.
Dari segi kesan visual memang menakjubkan dan menarik bagi saya. Cuma, kelemahan dari aspek plot dan jalan cerita adalah sangat kecil dan mungkin anda boleh melupakan kelemahan tersebut.
PENUTUP
Sebuah filem yang menghampiri tahap sempurna. Boleh ditonton kerana kesan visual dan efek yang menarik. Filem ini sebenarnya mengikut jalan cerita permainan video yang sebenar, jadinya:
Oleh itu OMG Hackers memberikan penarafan Durian Buruk sebanyak:
Huawei telah memperkenalkan Huawei P9 dengan kerjasama Leica untuk memperlihatkan kepada dunia kamera telefon berkembar. Kebolehan kamera ini untuk membuat bokeh tiruan atau lebih dikenali sebagai faux-keh telah mengubah segalanya.
Mungkin sesetengah sumber akan berkata Leica hanya meminjamkan namanya kepada Huawei untuk tujuan kekuatan publisiti. Namun itu tidak benar.
Mereka sememangnya benar-benar telah melakukan kerjasama dua hala untuk mencipta sebuah kamera mudah alih yang boleh diletakkan dalam poket anda (baca: telefon pintar).
Idea asal dari Huawei ialah menggabungkan sensor warna RGB dan sensor Monochrome. Tujuannya adalah untuk mendapatkan gambar seakan yang dilihat oleh mata – warna yang tepat dan jitu.
Dari situ, Leica meminjamkan kepakaran mereka dalam menambahbaik Modulation Transfer Function (MTF) pada lensa untuk mendapatkan kecerunan lancar teduhan dan pencahayaan.
Bagi menjadikan setiap gambar yang diambil menepati standard yang telah ditetapkan oleh Leica, Huawei telah menghantar para jurutera mereka ke makmal Leica (dan juga Leica menghantar pakar mereka ke Huawei Shanghai) untuk menyiapkan reka bentuk optikal bagi kamera dan menaiktaraf kualiti pengimejan.
Kita perlu faham, mereka bukan sahaja perlu membuat penalaan terhadap satu kamera, bahkan kedua-dua belah kamera perlu mencapai dan menepati piawaian dari Leica. Jadi ia adalah satu tempoh masa yang sangat panjang sebelum memperoleh pengiktirafan rasmi Leica, yang akhirnya kamera tersebut boleh dikatakan sebagai sebuah ‘kamera Leica di dalam poket anda’.
Untuk model akan datang, Huawei bakal menempatkan tiga buah lensa dengan label ‘Leica’. Kita sudah sedia maklum dalam model Mate 10/Mate 10 Pro Huawei telah pun memperkenalkan kamera yang dilengkapi dengan kecerdasan buatan. Mungkinkah kolaborasi keduanya (Leica dan Huawei AI) akan menjadi satu penanda aras baru? Kita hanya perlu tunggu dan lihat apa yang Huawei akan perkenalkan nanti.
Rongzhong Li, seorang pembantu profesor di Wake Forest University di North Carolina, dan pencipta OpenCat: kucing robot bersumber terbuka.
Menurut Li, apa yang menariknya OpenCat bukan bermula sebagai seekor kucing. Ia dimulakan sebagai kamera pan/tilt untuk Raspberry Pi. Disebabkan ia mempunyai dua lampu inframerah di sebelah kamera, ia kelihatan seperti muka seekor kucing. Dari situ, Li perlahan-lahan menyiapkan tubuh kucing pula.
Projek Li ini bermula sejak tahun 2016 dan kucing robotik yang dibina telah pun melalui tujuh versi. Cabaran menyiapkan sebuah robot yang lengkap dengan anggota serta pergerakannya ialah kekurangan sumber dan bahan rujukan, di mana kedua perkara tersebut hanya terdapat pada syarikat-syarikat dan makmal berskala besar.
Algoritma pergerakan buat masa ini diimplementasikan pada papan Arduino 32KB, 16MHz. Li bercadang untuk menukar kepada papan 256KB, 48MHz untuk meningkatkan lagi prestasi adaptasi aktif disamping membenarkan kod-kod tambahan dari pengguna masa hadapan.
Menyokong modul pergerakan tersebut adalah sebuah Raspberry Pi. Ia bertanggungjawab untuk setiap anggota secara terperinci. Fokusnya adalah kepada persoalan yang lebih serius seperti “Siapakah aku? Dari mana aku datang? Ke mana aku hendak pergi?”. Ia menjana aktiviti pemikiran dan menghantar baris-baris perintah kepada Arduino.
Alat kawalan jauh digunakan untuk memintas kawalan robot terhadap tubuhnya. Namun ia masih mengekalkan nalurinya sendiri yang tertentu, seperti keengganan untuk melompat ke bawah tebing.
Anda boleh tonton sendiri OpenCat beraksi pada video di bawah.
Kongsikan kepada rakan anda sekiranya anda rasa artikel ini menarik!
Seorang ibu yang kecewa bertindak mencabar polis tempatan untuk menyelesaikan pembunuhan anak perempuannya apabila mereka gagal menangkap pembunuh tersebut. Filem ini membariskan pelakon seperti Frances McDormand, Woody Harrelson, Sam Rockwell, John Hawkes, dan Peter Dinklage.
ULASAN
Sekalung tahniah kepada Penulis/pengarah Martin McDonagh (Seven Psychopaths, In Bruges) kerana telah berjaya dengan filem ini. Tidak hairanlah jika pelakon mereka mendapat anugerah Oscar kerana lakonan mereka sungguh mantap dan bertenaga.
Pada dasarnya, filem ini sebenarnya sangat berkesan, daripada lakonan sehingga penulisan skrip, Martin McDonagh telah memberikan yang terbaik. Tidak kurang juga saya memberikan pujian kepada Mildred Hayes (Frances McDormand), Dixon (Sam Rockwell) dan juga Willoughby (Woody Harrelson) kerana berjaya menghayati watak masing-masing.
Pada jangka masa anda menonton filem ini, sememangnya plot dan jalan cerita berkembang dengan baik sekali. Dan paling penting, penamat cerita ini tidaklah anda akan rasa sama seperti cerita lain yang anda tonton.
Saya nampak satu kesukaran apabila membuat filem seperti ini adalah mengimbangi di antara drama dan komedi. Tetapi dalam filem ini anda akan dapat keseimbangan yang bagus. Ia penuh dengan unsur perkataan kasar dan lucah dalam lawak tetapi setiap babak komedi yang ada ialah satu perkara yang anda tidak boleh lupakan selepas menonton.
Setiap watak dalam filem ini memang ada peranan masing-masing. Setelah anda selesai menontonnya, anda akan membandingkan diri sendiri, adakah anda masih sebenarnya mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi? Tidak ada satu watak dalam filem ini seperti watak klise yang biasa kita lihat, seperti mana filem yang telah pun kita tonton sebelum ini.
Pada akhir filem, masih ada sebuah keadilan walaupun semua dendam dan amarah manusia yang dipaparkan hanyalah disebabkan papan-papan tanda.
PENUTUP
Filem jenaka gelap terbaik yang saya pernah tonton ketika ini. Filem ini akan membuatkan anda menangis, gembira dan berfikir seketika tentang diri sendiri. Berbeza dengan filem lain kerana filem ini sangat dekat dihati.
Oleh itu OMG Hackers memberikan penarafan Durian Buruk sebanyak:
“Beli rumah buat loan, lepas tu sewakan, dasar babi hartanah!”
“Buat apa nak beli rumah, bukannya nak duduk lama. 5 tahun je. Jangan jadi babi hartanah!”
Ini ayat-ayat biasa yang aku dengar bila bab membeli rumah atau hartanah. Ya, aku tahu memang ada spesis yahudi dalam bidang hartanah dan tak kurang juga ada yang lebih yahudi dalam menyewa sehingga rumah yang baru boleh bertukar jadi macam tandas pecah lepas lari tak bayar sewa. Apa yang aku nak cerita hari ini adalah kepada golongan mereka yang mampu dan sebenarnya boleh berusaha untuk membeli hartanah, tapi sibuk memaki orang di sana sini kononnya pembeli hartanah ini semuanya babi hartanah. Walhal, diri sendiri berkereta mewah.
Aku bukanlah nak mengajar cara membeli hartanah. Aku bukan broker. Cuma kira-kira tu boleh la…bayangkan, kau beli Nissan Almera baru. Loan10 tahun. RM0downpayment. Kau seronok. Lepas saja dapat kunci, terus pergi kedai aksesori, tambah itu ini. Habis pula modal dekat RM3000. Walhal, RM3000 tu kalau disimpan buat bayar muka, kuranglah sikit bayar bulanan. Ambil full loan dekat RM70,000. Bayar bulan-bulan dekat RM850 +/-. Ok, serap dulu bab ini.
Tengok pula kos menyewa. Kita ambil purata lah. Mungkin dalam RM400 untuk rumah bujang. Tuan rumah kau bayar bulan-bulan dekat RM400 juga dekat bank untuk rumah tu sebab loan20 tahun. Nampak tak? Kau yang bayar, nama rumah nama orang lain? Babi hartanah kan? Patutnya bayar sikit sudah la, dah la kau dah tolong bayar loan dia. Bijak kan kau?
TAK
Sebab kau dah beli Almera baru dan bayar bulan-bulan RM850. Kenapa kau bayar bulan-bulan 2 kali ganda daripada bayar bulanan untuk rumah? Sebab kau bodoh. Jangan triggered. Baca perenggan atas. Ini ditujukan kepada golongan yang layak, mampu, dan boleh cari jalan untuk membayar harga sebuah hartanah dengan mengorbankan nafsu mereka dan lebih bijak berbelanja. Kerana alasan kau tak duduk lama, kau tak ada duit pendahuluan, kerana ada orang dah beli, kerana lokasi rumah tak strategik, macam-macam lagi.
Aku membebel hari ini bukan nak mengajar kau cara beli rumah. Cuma aku nak tanamkan mindset kepada kau semua. Bila dah ada anak, kau tak ajar dia rasa kesusahan. Semua kau beri. Mainan mahal-mahal penuh satu rumah. Akhirnya anak kau jadi manja, jadi lembab. Bila besar, dia ulang dua kali silap kau dalam berbelanja dan mula menyumpah seranah sana sini. Hartanah ini semakin berkurang. Beli lah dan simpan lah. Walaupun kau tak suka, jika mampu lebih baik kau beli. Mungkin hari ini tanah tu di hujung dunia, tapi mana tahu 5 tahun hadapan dia dah duduk tepi jalan?
Beli hartanah ini bukan untuk kau sahaja, tapi untuk keturunan. Orang tua aku bersusah payah beli tanah 2 hektar di hulu kampung. Sekarang aku adik beradik senang. Buat pinjaman semata-mata untuk rumah sahaja sebab tanah dah ada. Bila aku dah ada duit, aku beli lagi tanah, untuk anak-anak aku senang buat rumah. Aku tak nak anak-anak aku menyewa sampai tua, duduk rumah atas langit. Duit yang ada keluar bulan-bulan tu, fikir-fikirkan lah mana yang kau nak belanjakan. Mana yang lebih penting?
“Aku bukan nak mengajar, cuma aku nak suruh kau berfikir dan tengok dunia dari sudut berbeza.”
Wonderfox datang lagi dengan menawarkan perisian mereka secara percuma khas buat semua pembaca di Omg! Hackers? Kami telah membuat ulasan mengenai perisian mereka di sinisebelum ini. Perisian yang dimaksudkan adalah HD Video Converter Factory Pro. HD Video Converter Pro bukan hanya sekadar pengubah format video yang biasa, malahan turut dilengkapi dengan beberapa ciri lain yang menarik seperti :
1. Ringtone Maker
2. Video Downloader
3. Movie Editor
4. Auto Uploader
Giveaway ini akan tamat pada 10 Mac 2018.
Klik Di Sini untuk menuntut perisian percuma dari Wonderfox.
Dalam artikel yang lepas, kita telah bercerita mengenai Android GO yang telah diumumkan di MWC 2018. Seperti yang kita sedia maklum, sebarang sistem itu tidak akan berguna tidak kira walau sebaik mana ia dicipta jika tidak disokong dan didokong oleh para pengeluar. Ambil contoh SymbianOS, TizenOS, Windows Mobile, FirefoxOS, Ubuntu Mobile dan banyak lagi sistem operasi mudah alih yang akhirnya gagal di tengah jalan walaupun telah mengumpul ramai peminat di awal pengumumannya. Kegagalan ini adalah kerana tidak lain dan tidak bukan kerana tiada pengeluar dan juga pembangun aplikasi yang sanggup memberi dedikasi dan tumpuan terhadap sistem ini.
Baik, tanpa berlengah masa lagi, ini adalah antara senarai peranti yang telah diumumkan secara rasmi yang akan hadir dengan Android GO Oreo terus dari kotak :
1. Alcatel 1X
Peranti dengan spesifikasi yang paling tinggi berbanding dengan semua peranti yang akan hadir dengan Android GO setakat ini, Alcatel 1X hadir dengan spesifikasi yang menurut pandangan saya masih lagi tidak tergolong dalam kategori telefon berspesifikasi rendah. Dengan penawaran RAM sebanyak 2GB dan juga storan dalaman sebanyak 16GB melalui SoC MT6739 dari Mediatek, saya menjangkakan Alcatel 1X akan menjadi peranti paling popular apabila dilancarkan kelak di samping “adik-beradik” Android GO nya yang lain.
Walaupun telah bertukar pemilik kepada HMD Global, Nokia selaku sebuah nama besar yang tidak asing lagi bagi pengguna telefon mudah alih seluruh dunia juga tidak ketinggalan dalam menceburi peluang baru dalam pasaran Android dengan mengumumkan peranti Android GO mereka sendiri, Nokia 1. Walau dengan hanya 1GB RAM, ia sudah memadai bagi saya sekiranya Google benar-benar mampu mengotakan janji mereka bahawa Android GO mampu berfungsi secara “lancar dan pantas” walau dengan spesifikasi rendah. Rasanya sudah banyak kali saya mendengar ayat “lancar dan pantas” ini daripada Google dan ia hanya indah khabar dari rupa. Namun, janganlah kita terlalu pantas membuat sebarang spekulasi serta tunggu dan lihat dahulu.
Saya tidak akan menipu, jika saya ingin mencuba peranti Android GO apabila ia dilancarkan kelak, saya akan memilih ZTE Tempo GO berbanding Alcatel 1X dan Nokia 1. Setakat ini, cuma ZTE Tempo GO sahaja yang diumumkan akan menggunakan SoC daripada Qualcomm. Secara jujurnya juga, saya lebih menggemari peranti dengan SoC Qualcomm berbanding Mediatek. Namun, itu hanya pilihan peribadi saya sahaja. Adalah lebih baik untuk membeli peranti baru setelah sebulan atau lebih pelancarannya untuk medapat maklum balas pengguna secara lebih menyeluruh.
Selain daripada 3 model di atas, pengeluar lain juga telah membuat pengumuman mereka sendiri untuk peranti dengan Android GO. Pengeluar ini juga mungkin agak asing bagi pasaran kita di Malaysia namun tetap menarik untuk diketahui. Mana tahu, mungkin ia juga akan turut menerjah pasaran Malaysia sebagaimana Xiaomi, Oppo dan Vivo yang dahulunya juga kedengaran asing bagi kita tetapi kini sudah gah dalam pasaran?
4. General Mobile GM8 GO
General Mobile merupakan pengeluar telefon daripada Turki. Di MWC 2018, mereka sebenarnya mengumumkan 2 model GM8 iaitu GM8 yang merupakan peranti dengan Android ONE dan juga GM8 GO yang merupakan peranti dengan Android GO. Secara luarannya, mereka hadir dalam rupa yang sama dan juga saiz yang sama. Apa yang membezakan GM8 dengan GM8 GO adalah spesifikasinya :
GM8 hadir dengan Snapdragon 435 dalam dua varian samada 3/32 atau 4/64. Lensa kamera utama dan hadapan sebesar 13MP dan juga dilengkapi pengimbas cap jari. Dikuasai dengan kapasiti bateri sebesar 3075 mAh. Ia hadir dengan Android versi Android ONE.
GM8 GO pula hadir dengan Mediatek MT6739 dengan hanya 1GB RAM dan 16GB ruangan storan dalaman. Ia akan dikuasai oleh bateri yang berkapasiti sebesar 3500 mAh. Hadir dengan Android versi Android GO Oreo. Menariknya, walaupun dikatakan sebagai peranti berspesifikasi rendah, ia akan hadir dengan kamera utama juga sebesar 13 MP dan 5MP untuk kamera hadapan. Ia juga akan turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari sama seperti abangnya GM8!
Dari perspektif pengguna kedekut seperti saya, GM8 GO sangat menggoda dari segi spesifikasinya. Mungkin sudah tiba masanya iklan TV dan papan iklan kita mula dipenuhi dengan gambar-gambar gadis Turki memegang telefon General Mobile? Gadis Asia sudah basi, kini sudah tiba masa untuk gadis Asia Tengah mengambil alih hati para lelaki di Malaysia.
5. LAVA Z50
LAVA merupakan pengeluar telefon daripada India. Ia dikatakan akan hadir dengan SoC daripada Mediatek iaitu MT6737M dengan hanya 1GB RAM dan juga 8GB ruangan storan dalaman. Bakal hadir dengan sokongan rangkaian 4G, ia juga turut dilengkapi dengan kamera hadapan dan belakang dengan saiz 5MP untuk kedua-duanya.
6. Micromax BHARAT GO
Tidak banyak maklumat yang dapat diperolehi daripada peranti ini di MWC 2018. Namun, spesifikasinya mungkin sama dengan LAVA Z50 kerana ia juga turut hadir dengan 1GB RAM dan juga 8GB ruangan storan dalaman.
7. Huawei
Tiada pengumuman dibuat oleh Huawei pada MWC 2018 yang lalu. Namun, Huawei telah memaklumkan akan menyokong platform terbaru ini dalam masa yang terdekat. Mungkinkah bakal hadir dengan SoC Kirin berspesifikasi rendah? Bersama-sama kita nantikan.
8. Transsion
Sememangnya nama yang asing bagi kita. Transsion adalah pengeluar untuk pasaran Afrika, India, dan juga China serta mengedarkan peranti mereka dengan jenama berbeza untuk pasaran setiap benua. Mereka akan mula menjual peranti Android GO mereka di Afrika dalam masa terdekat.
MWC 2018 baru sahaja berlalu dan banyak pengumuman dunia teknologi telah diumumkan. MWC seringkali menjadi tumpuan para penggemar gajet dan pemain industri dalam menilai dan mengikuti perkembangan terkini kebolehan, rancangan, dan pencapaian para pengeluar. Namun, apa yang paling menarik perhatian pada kali ini bagi saya ialah, sebuah lagi projek terbaru daripada Google iaitu Android GO.
Apa Itu Android GO?
Android GO, ataupun seperti yang dijenamakan oleh Google sebagai Android Oreo (Go Edition) , merupakan satu cabang lain dalam versi Android sedia ada. Ia memfokuskan untuk membolehkan telefon dengan spesifikasi rendah menikmati fungsi dan versi Android terkini tanpa mengorbankan integrasi servis Google sedia ada dan terkini. Spesifikasi rendah di sini bukan bermaksud telefon pada kelas pertengahan, tetapi telefon yang benar-benar mempunyai spesifikasi rendah seperti awal 2012 dahulu. Maksudnya, peranti yang memiliki kuasa pemprosesan yang sangat rendah, ruangan storan dalaman yang terhad, dan juga saiz RAM yang kecil.
Ideanya ialah, Google telah mengeluarkan statistik dan juga telah membuat rumusan bahawa taburan pengguna Android di seluruh dunia semakin meningkat. Antara pasaran yang dijangkakan oleh Google yang bakal menjadi pasaran terbesar dari segi jumlah pengguna ialah negara membangun seperti India. Negara seperti India ( dan mungkin juga Malaysia? ) mempunyai ramai pengguna yang sangat mementingkan bajet dalam membeli peranti baru dan juga mempunyai sambungan internet yang sangat terhad daripada segi kebolehcapaian dan juga jumlah kuota penggunaan.
Apa Matlamat Google Dengan Android GO?
Matlamat dan prinsip dalam Android GO seperti yang telah diterangkan oleh Google ialah :
Memfokuskan kepada peranti dengan spesifikasi rendah iaitu dengan RAM 1GB dan ke bawah.
Mengecilkan saiz pemasangan keseluruhan sistem operasi Android dan juga pakej aplikasi Android GO kurang daripada 3GB.
Membina aplikasi khusus untuk Android GO supaya menggunakan lebih sedikit data dan ruangan simpanan berbanding aplikasi biasa.
Membolehkan peranti bersepesifikasi rendah menikmati versi Android terkini dengan prestasi yang lancar dan pantas.
Aplikasi Khas Android GO Setakat Ini?
Google GO dan Google Assistant GO
– Sama seperti perisian biasa tetapi hadir dengan saiz yang lebih kecil. Ia juga mempunyai beberapa limitasi contohnya, anda tidak boleh mengaktifkannya dengan arahan suara “Ok Google” tetapi perlu menekan butang terlebih dahulu. Namun secara asasnya, hampir kebanyakan fungsi masih ada kerana servis ini banyak menggunakan pemprosesan di perkomputeran awan dan bukan terbina dalam pada peranti.
Gboard GO, Maps GO dan Gmail GO
– Juga sama, tiada perbezaan ketara dapat dilihat daripada antaramuka dan juga fungsinya. Namun apa yang pasti, ia hadir dalam pakej pemasangan yang lebih kecil berbanding biasa.
Chrome
– Pelayar web Chrome pada Android GO akan hadir dengan pilihan penjimat data dibuka secara lalai.
Youtube GO
– Seperti mana yang pernah ditulis oleh kami sebelumnya di sini, Youtube GO menawarkan fungsi untuk memuat turun video kegemaran anda di Youtube dan menontonnya semula secara luar talian tanpa talian internet.
Files GO
– Merupakan aplikasi pengurus fail daripada Google. Ia akan memaklumkan anda untuk membuang fail yang tidak perlu di dalam storan anda seperti fail-fail lama, cache dan juga gambar kamera dan selfie yang tidak bagus (menakutkan). Ia juga memberi pilihan mudah untuk menghantar dan menerima fail melalui aplikasi ini.
Apa yang boleh saya rumuskan, pengumuman ini adalah sesuatu yang sangat menarik minat saya malah lebih menarik daripada pengumuman Samsung Galaxy S9 di acara yang sama. Pengeluar SoC utama dunia, Qualcomm dan Mediatek juga telah memberi kata putus untuk menyokong langkah dan visi Google menerusi Android GO mereka. Adakah ini akan kembali merancakkan pembangunan customROM pada peranti-peranti lama? Sama-sama kita nantikan.
Di zaman yang serba canggih ini, hampir kesemua urusan yang dijalankan adalah secara atas talian. Perkhidmatan tidak kira samada perkhidmatan swasta mahupun perkhidmatan kerajaan, hampir kesemuanya sudah menggunakan alamat emel mereka sendiri. Untuk penjawat awam pula, tidak dapat tidak, wajib menggunakan emel daripada talian kerajaan iaitu emel 1GovUC bagi urusan rasmi mereka untuk memasukkan data sensitif jabatan dan kementerian masing-masing ke dalam perisian dan pelayan hak milik kerajaan.
Buat masa ini, kesemua sistem kerajaan cuma dapat diakses menggunakan emel 1GovUC sahaja dan bukan emel percuma walaupun emel 1GovUC jauh lebih inferior berbanding emel percuma seperi GMail dan Outlook. Hal ini adalah bagi memastikan data sulit dan sensitif lebih selamat dan meminimakan risiko kerentanan. Mana tidaknya, bukan semua pengguna emel mahir dalam menjaga emel mereka dan reti membezakan emel palsu dan mengandungi pautan hasad berbanding emel selamat.
Tanpa berlengah lagi, kita mulakan tutorial kita pada hari ini.
Apa yang anda perlukan?
Anda memerlukan perisian Microsoft Outlook daripada Play Store atau App Store. Bergantung kepada sistem telefon pintar yang anda gunakan.
Langkah 1 : Buka aplikasi Microsoft Outlook yang telah dipasang ke dalam telefon pintar anda tadi. Bagi pengguna yang telah menggunakan emel lain di dalam perisian ini, tekan pada tanda tiga garis seperti pada kotak yang ditunjukkan. Bagi yang belum pernah menggunakan aplikasi ini pada telefon pintar mereka, sila terus ke Langkah 5.
Langkah 2 : Tekan pada logo gear untuk menambah akaun emel baru.
Langkah 3 : Anda akan dibawa ke antara muka seterusnya. Pilih “ADD ACCOUNT”.
Langkah 4 : Seterusnya, pilih “Add an email account”.
Langkah 5 : Anda akan diminta memasukkan alamat emel anda. Masukkan alamat emel 1GovUC anda.
Langkah 6 : Masukkan alamat emel 1GovUC anda dan tekan “CONTINUE”.
Langkah 7 : Tunggu sebentar untuk proses log masuk oleh aplikasi dan ia akan memaparkan antaramuka lain selepas itu. Kali ini, akan ada pilihan baru di bawah alamat emel anda. Tekan “SET UP ACCOUNT MANUALLY”.
Langkah 8 : Pilih dan tekan pada “Exchange”
Langkah 9 : Anda akan diminta untuk memasukkan maklumat yang lebih lengkap. Kali ini, pilih “ADVANCED SETTING”.
Langkah 10 : Masukkan maklumat sebagaimana yang ditunjukkan di sini. Untuk bahagian “pengguna” dan “agensi”, sila gunakan maklumat kata nama pengguna dan nama agensi masing-masing. Bagi bahagian “Description” pula, anda bebas untuk menamakan emel tersebut dengan apa sahaja nama yang anda selesa dan mudah.
Contohnya, “ahmad” = “pengguna” dan juga “moh” = “agensi”. Jadi, emel 1GovUC bagi “ahmad” ialah “ahmad@moh.gov.my”.
Langkah 11 : Log masuk berjaya! Kini anda boleh menggunakan emel 1GovUC anda di telefon pintar untuk memeriksa dan membalas emel 1GovUC anda walau di mana sahaja anda berada! Tidak perlu lagi risau untuk terlupa log masuk emel 1GovUC anda dan mengakibatkan emel anda dibuang daripada sistem oleh unit IT anda!
Selamat mencuba daripada kami di OmgHackers! Jumpa lagi di lain waktu untuk tutorial yang lain!