Utama Blog Laman 75

Filem-Filem Sony Yang Akan Memasuki Netflix

0

Selain HBO Max, Netflix juga akan menjadi platform pelbagai filem yang ditayangkan di pawagam untuk mendapat tayangan hibrid secara strim melalui perkhidmatan penstriman itu. Bulan lepas, Netflix menandatangani perjanjian bersama Sony untuk strim filem-filem Sony secara eksklusif selepas tayangannya selesai di panggung wayang mulai tahun 2022.

Perjanjian tersebut dimeterai selama lima tahun, dan hanya terpakai untuk semua filem yang dilepaskan selepas 2022. Ini bererti filem Venom: Let There Be Carnage dan Spider-Man: No Way Home tidak termasuk ke dalam perjanjian ini melainkan sekuelnya.

Tayangan hibrid menjadi lebih penting terhadap syarikat penerbitan filem terutamanya selepas pandemik melanda dunia dan panggung wayang mula ditutup. Apabila dibuka sekalipun ia tidak dapat menempatkan tempat duduk penuh seperti dulu. Disebabkan itu, tayangan secara strim di rumah (panggung wayang rumah sendiri) mula menjadi kebiasaan dalam norma baharu.

Bezanya dengan tayangan hibrid secara serentak di HBO Max seperti yang telah kita lihat sebelum ini (contoh: Godzilla vs Kong), tayangan di Netflix akan dilepaskan jauh lebih lewat berbanding kombinasi serentak bersama pawagam.

Antara filem Sony yang akan ditayangkan di Netflix ialah:

Escape Room 2

Dijadual untuk tayangan pada 7 Januari 2022, dan akan memasuki Netflix pada musim luruh tahun yang sama.

Morbius

Filem lakonan Jard Leto ini dijadual untuk tayangan pada 21 Januari 2022, dan akan memasuki Netflix pada musim luruh tahun yang sama.

Uncharted

Filem lakonan Tom Holland, adaptasi dari permainan popular Uncharted, akan menjengah pawagam pada 18 Februari 2022. Manakala untuk tayangan di Netflix pula adalah menjelang akhir 2022.

Spider-Man: Into The Spider-Verse 2

Ini merupakan filem animasi Spider-Man kegemaran saya. Sebuah multiverse komik yang berjaya mendapatkan sekuelnya dan akan ditayangkan di pawagam pada 7 Oktober 2022, dan di Netflix pada musim panas tahun 2023.

Bullet Train

Mengisahkan mengenai lima orang pembunuh upahan yang menaiki sebuah ‘bullet train’ bersama dan menyedari bahawa mereka sedang menjalankan tugas yang sama. Bakal ditayangkan dalam tahun 2022, dan menyusul di Netflix sembilan bulan berikutnya.

Where The Crawdads Sing

Filem ini masih belum ada tarikh untuk tayangan.

Masters of the Universe

Seperti tajuknya, filem ini adalah mengenai superhero He-Man. Filem ini mengalami pelbagai masalah produksi, dan sekiranya tiada aral, tayangan di pawagam akan dilepaskan sekitar tahun 2022, dan masuk ke Netflix pada 2023.

Venom 3

Venom: Let There Be Carnage akan dilepaskan untuk tayangan pada 24 September 2021, dan jika ia mendapat kejayaan sama seperti filem asal, ia akan menempah satu lagi sambungan iaitu Venom 3 dan semestinya ia termasuk ke dalam perjanjian antara Sony dan Netflix ini.

Bad Boys 4

Filem Bad Boys 4 masih belum ada tarikh untuk tayangan kerana skripnya baru dibangunkan. Sabar, andai ia mendapat tayangan dalam panggung, ke Netflix jua ia akan berakhir.

Jumanji 4

Jika kita ambil filem Jumanji yang asal masuk ke dalam kesinambungan, maka filem Jumanji yang seterusnya akan menjadi Jumanji 4. Tetapi pengarahnya iaitu Jake Kasdan sendiri merujuk sekuel sebagai Jumanji 3.

Apa pun, Welcome to the Jungle dan The Next Level kedua-duanya menerima pelepasan pada bulan Disember (masing-masing 20 Disember 2017 dan 13 Disember 2019).

Tidaklah lari dari logik akal untuk menganggap bahawa Jumanji keempat ini akan mendapat pelepas pada bulan Disember 2021.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

BQEYZ Summer: IEM Yang Merangkul Jiwa!

0

Hanya sehari selepas model Summer dibawa keluar dari kilang, BQEZY berbesar hati menghubungi saya secara peribadi di profil Facebook saya, mengatakan bahawa mereka mempunyai model baharu yang sesuai untuk diulas di omghackers.com. Selaku penulis, saya tidak menolak kerana saya belum pernah lagi mencuba sebarang produk dari jenama ini.

Selang beberapa hari, Summer sampai di depan pintu rumah. Tanggapan awal saya, kotaknya agak kompak, dengan reka bentuk ringkas. Di belakangnya terdapat cetakan spesifikasi beserta gambar Summer.

Belum buka kotak, saya sudah pun jatuh cinta dengannya. Pun begitu, ia tetap tidak akan mengubah pendapat peribadi saya mengenainya, kerana saya tetap akan menulis fakta dan bukan sesuatu sekadar untuk menyedapkan hati syarikat. Apa pun, mari kita lihat video buka kotaknya dahulu.

Spesifikasi BQEYZ Summer

1. Model: Summer
2. Pemacu Dinamik: 13mm
3. Impedansi: 32 Ω
4. Kepekaan: 107dB
5. Frekuensi: 7-40KHz
6. Panjang Kabel: 1.2m
7. Jenis Pin: Pin 0.78mm-2
8. Jenis Palam: 3.5mm
9. Unit pemacu: unit piezo elektrik 5 lapisan, pemacu dinamik Coaxial 13mm dengan diafragma PU+LCP, dan unit disesuaikan armatur seimbang versi baru.
10. Kandungan dalam kotak: Fon telinga Summer, kabel, sarung pembawa, sikat/berus kecil, eartips silikon (S/M/L) dari 2 jenis eartips dalam pelbagai saiz.

Reka Bentuk

Pertama sekali saya ingin bicarakan mengenai reka bentuk luaran BQEYZ Summer yang menggunakan bekas lutsinar sebagai tampilan IEM. Dari senarai spesifikasi, material digunakan ialah PU+LCP, dan ia tidak terasa seperti plastik tipikal. Bekasnya terasa mantap, mempunyai berat yang dapat dirasai.

Kabelnya pula lembut, tebal, dan berkualiti. Summer secara keseluruhan punyai pakej lengkap sebagai produk unggul – apabila dilihat dari luaran.

Apabila kotak dibuka, di dalamnya menempatkan pelbagai aksesori berguna seperti satu berus kecil yang boleh digunakan untuk membersihkan bekas/cengkerang IEM, satu sarung/bekas pembawa yang memudahkan anda menyimpan serta membawa IEM anda ke mana-mana sahaja.

Tidak lupa juga dengan pelbagai saiz eartips yang boleh dipilih dari dua jenis/warna. Saya tidak dapat memastikan apakah beza antara keduanya, tetapi eartips berwarna putih lebih selesa disarungkan ke dalam telinga saya.

Dari pakej diberikan, inilah antara isi kandungan dalam kotak yang amat memuaskan hati saya. Tetapi, itu kita baru bicarakan imbasan luaran dan reka bentuk Summer. Bagaimana pula dengan kualiti audio?

Kualiti Audio

Seperti kebiasaan, saya enggan meleret panjang dan ingin terus membawa anda kepada agenda utama ulasan gajet audio – iaitu kualiti audionya.

Summer ditala dengan agak.. aneh sedikit, jika itu perkataan yang dapat saya ungkapkan untuknya. Kebiasaannya untuk produk audio dalam kategori pertengahan dan menuju ke mercu (high end), ia akan ditala dengan talaan seimbang. Tetapi untuk Summer, audionya kedengaran agak ‘terang’ (bright), tetapi bukan nyaring seperti v-shaped.

Apabila mendengar pelbagai lagu pop dari tahun 90an, vokal dapat didengari dengan begitu jelas sekali. Bahasa mudahnya, frekuensi pertengahan (mids) adalah amat jelas, terang, tajam, tepat, dan jitu, tanpa menjadikan bunyi terlalu menyakitkan telinga.

Treble/high ditala dengan baik sekali. Ia tidak nyaring, dan tidak melelahkan telinga. Bunyi Cymbal diketuk tidak ‘pecah’, walaupun saya tidaklah mengatakan kualitinya seakan bunyi studio.

Panggung suara agak baik, dan kadar kejelasan berada di tahap memuaskan. Berikut ialah antara senarai main yang saya dengarkan menerusi Summer.

Bass

Bass bagi Summer adalah mencukupi. Tidak terlalu berdentum, tidak pula hilang di celah frekuensi lain. Untuk golongan audiophile, Talaan bunyi seimbang seperti ini amat menyenangkan halwa telinga.

Saya mendengarkan lagu Michael Jackson – Billie Jean, dan bassnya (gitar bass) dapat didengarkan melalui sebelah kiri dengan lebih jelas seolah-olah saya sedang berdiri di dalam studio jamming, apabila mata dipejam dengan rapat.

Membawa ke lagu seterusnya iaitu Beat It, talaan ‘aneh’ Summer semakin dapat dirasai apabila suara Michael agak kuat sekali, namun tidak mengaburi alat muzik dan pada saya bunyi solo gitar adalah sangat memuaskan.

Mid

Frekuensi ini ialah antara yang begitu menonjol tetapi tanpa menenggelamkan frekuensi lain. Audio berbunyi dengan harmoni bersama vokal, gitar, dan pelbagai unsur lain. Lagu Jason Derulo – Take You Dancing berjaya menunjukkan kekuatan Summer. Bass menyelinap ke dalam lagu diiringi nyanyian Derulo, semuanya seperti berada di atas panggung yang setara.

Mendengarkan Michael Jackson kembali pada lagu Thriller, mengingatkan saya akan mengapa saya begitu sukakan lagu ini yang dipenuhi dengan vokal iringan dan instrumen muzikal yang meriah seperti saxophone.

Suara Michael yang diterapkan di belakang di hujung lagu, dan suara naratif berselingan lancar bagi melengkapi intipati penyampaian akhir bahawa Michael sedang cuba menakutkan teman wanitanya dalam panggung wayang (motif sebenar lagu Thriller).

High

Frekuensi ini agak ‘mencabar’ terutamanya bagi pendengar lagu metal seperti saya. Memainkan lagu Cannibal Corpse – Murderous Rampage, terus mengejutkan gegendang telinga dek bunyi gitar yang nyaring. Peminat Brutal Death perlu rendahkan sedikit frekuensi treble dalam equalizer bagi mendapatkan bunyi gitar yang lebih tepat.

Tetapi tidak semua lagu metal jadi begitu. Antara lain contohnya lagu Cromok – I Do, bunyi gitar dimainkan Hillary Ang terasa ‘kena’ dengan talaannya. Pendapat saya ini lebih bergantung kepada jenis atau genre lagu dimainkan.

Selain itu, lagu Slipknot – Orphan, menunjukkan bahawa Summer ialah IEM yang versatil dan mampu memperdengarkan kualiti dalam setiap lagu serta genrenya. Bunyi cymbal terdengar bersih, sepertimana yang sepatutnya. Jeritan Corey Taylor ialah elemen muzik yang berjaya diketengahkan dalam kebisingan.

Konklusi

BQEYZ Summer memerlukan penalaan equalizer yang baik bagi mengurangkan kadar bunyi frekuensi treble sekiranya anda pendengar tegar Cannibal Corpse. Selain itu, tidak banyak yang perlu dilakukan untuk terus menikmati audio dari IEM ini. Kalau anda hendak menambah ‘perisa’, boleh saja gunakan DAC luaran untuk menambah dentuman.

Saya mengesyorkan untuk anda mencuba IEM ini supaya dapat merasakan pengalaman berbeza apabila anda mendengar lagu menggunakan BQEYZ Summer.

Sebarang urusan pembelian, bolehlah anda lakukan pada pautan:

Shopee / Lazada / AliExpress

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

ControlD: Servis DNS Terbaru Dari Windscribe, Khusus Untuk Para Streamers!

0

Kalau anda sudah membaca ulasan saya mengenai Windscribe VPN, anda pasti tahu bahawa saya kurang selesa mengesyorkan servis itu kerana ia berada dalam negara berbidang kuasa di bawah seliaan Five Eyes.

Pun begitu, untuk anda yang hanya sekadar ingin menikmati servis penstriman seperti Netflix, Hulu, atau lain-lain perkhidmatan yang memerlukan VPN, saya rasa saya ada cadangan lain yang lebih bernas.

Anda yang tidak begitu memikirkan tentang privasi, adalah lebih sesuai melanggan ControlD – servis DNS pintar yang mampu melangkau sekatan geolokasi. Ia bertindak sebagai proksi atau perantara antara anda dan laman yang ingin distrim.

ControlD terdapat dalam dua plan iaitu percuma dan berbayar. Untuk versi percuma, semestinya anda hanya akan dapat menggunakan DNS tersebut tanpa sebarang pengubahsuaian. Manakala untuk DNS berbayar, anda akan dapat membuat penalaan mengikut citarasa dan keinginan diri sendiri.

Apa yang menarik, DNS itu juga diberikan dalam bentuk DNS-over-HTTPS dan DNS-over-TLS.

DNS percuma yang boleh digunakan oleh anda tanpa perlu mendaftar akaun ialah seperti di bawah:

Jenis DNS Nombor Legacy DNS DNS-over-HTTPS DNS-over-TLS
Langkau Tapisan 76.76.2.0 https://freedns.controld.com/p0 p0.freedns.controld.com
Sekat Malware 76.76.2.1 https://freedns.controld.com/p1 p1.freedns.controld.com
Sekat Malware, Iklan 76.76.2.2 https://freedns.controld.com/p2 p2.freedns.controld.com
Sekat Malware, Iklan and Sosial 76.76.2.3 https://freedns.controld.com/p3 p3.freedns.controld.com

Tetapi apa faedahnya sekiranya anda melanggan DNS premium ControlD?

Pertama sekali, anda akan dapat kawalan penuh terhadap domain yang anda ingin sekat atau langkau.

Anda boleh lihat pada paparan tangkap layar di bawah, bagaimana ControlD memperincikan pelbagai servis untuk digunakan oleh anda, bahkan memberi kepada anda peluang untuk melihat sendiri log apabila DNS mula berfungsi.

Untuk filters, anda boleh tentukan apakah jenis pelbagai ‘annoyance’ dalam dunia internet yang ingin anda sekat seperti iklan, perjudian, dadah, porno, clickbait, dan sebagainya lagi.

Oh, tetapi ini masih belum cukup seronok. Cuba anda lihat paparan tangkap layar seterusnya.

ControlD juga mampu melangkau sekatan geolokasi seakan VPN, dengan memanfaatkan pelayan proksi mereka. Di bahagian tab Services,  anda boleh ‘unlock’ pelbagai servis penstriman seperti Hulu, HBO Max, Disney+, dan sebagainya lagi.

Percubaan strim pada laman Hulu. Tiada masalah.
Percubaan strim pada laman HBO Max. Juga tiada masalah.

Setakat yang saya sudah cuba, tiada sebarang masalah untuk melayari laman web lain setelah mengimplimentasikan DNS ControlD dalam sistem. Semuanya berfungsi seperti biasa, cuma jika hendak dapatkan lebih privasi, semestinya saya akan kembali gunakan VPN.

Jika anda ingin mencuba, bolehlah terus ke laman web di sini: ControlD.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

FeiyuTech Vimble One: Selfie Stick Gimbal Satu Paksi

0

Alhamdulillah, setelah selesainya saya menguji dan mencuba produk dari FeiyuTech iaitu Vlog Pocket 2, kini tibalah masa saya cuba pula varian kepada senarai gimbal mobil yang mereka ada, iaitu Vimble One.

Seperti namanya, gimbal ini mempunyai satu paksi sahaja.

Disebabkan itu, kebolehannya untuk menstabilkan rakaman dan aksi dalam rakaman itu tidaklah sebaik gimbal standard yang lain. Apa pun, bukanlah bermaksud ia tidak berguna langsung. Sebelum kita teruskan, mari kita lihat apa ada dalam kotak!

Selesai menonton? Ya, tak banyak pun aksesori dalam kotak. Oleh itu, mari kita lihat pula spesifikasinya.

Spesifikasi FeiyuTech Vimble One

NAMA CIRI PENERANGAN
Ciri Utama Gimbal boleh lipat terkecil (lebih kecil dari iPhone SE2).

 

Beratnya ialah 186g (sama seakan iPhone 11), berat muata pula 250g.

 

Dengan bar yang boleh dipanjangkan (18cm terbina dalaman), Vimble ONE dapat memasukkan lebih banyak pemandangan untuk penstriman langsung atau mengambil gambar diri sendiri.

 

Ciri kawalan isyarat baru menjadikannya cepat mengawal foto dan video dengan isyarat ‘V’ atau ‘telapak tangan’ tanpa bantuan orang lain.

 

Satu butang untuk menukar mod landskap dan potret dalam 1 saat, yang sesuai untuk Tiktok/Panorama.

 

Kawal secara langsung aplikasi kamera asli dan aplikasi kecantikan yang popular untuk memenuhi penggunaan berbeza.

 

Reka bentuk baru untuk aplikasi.

 

Hayat bateri sehingga 6 jam untuk seharian bekerja.

Dua warna (hitam tengah malam dan merah jambu indah) sesuai dengan pilihan pengguna yang berbeza.

Telefon Yang Serasi Julat lebar untuk telefon pintar adalah dari 41mm hingga 89mm. Saiz maksimum telefon sehingga 6.6 inci. Muatan maksimum adalah 250g.

 

Ia serasi dengan semua siri iPhone, dan pelbagai telefon Android bawak 6.6 inci.

Saiz Buka: 241*68.2*51.9mm

Lipat: 130.4*63.1*58mm

Bateri 3.7V,800mAh,2.96Wh, bateri terbina dalaman, dan tidak boleh dikeluarkan.
Jangka Hayat Bateri 6 jam (secara teori)
Pengecasan Pengecasan dari port USB mikro pada pemegang, dan menyokong penggunaan semasa mengecas.
Tempoh Mengecas 2 jam, adalah disyorkan untuk menggunakan penyesuai 5V/2A untuk mengecas (penggunaan pengecasan pantas adalah dilarang).

Penunjuk/indikasi akan berwarna merah semasa mengecas. Apabila bateri terisi penuh, ia bertukar menjadi hijau.

Aplikasi Feiyu ON
Material Plastik ABS/PC
Berat 186g (termasuk bateri terbina dalaman, tidak termasuk aksesori dan telefon)
Kalis Air Tidak
Bluetooth 5.0
Julat Putaran ﹢ 68° hingga -255° (landskap)

﹢ 148° hingga -165° (Potret)

Port Boleh Dipanjangkan Lubang skru 1/4 inci di bahagian bawah
Aksesori Standard Kabel pengecas *1, Tripod Kecil *1
Aksesori Pilihan Batang pemanjangan boleh laras (dengan skru 1/4 inci), tripod universal (lubang skru 1/4 inci).

Andai terdapat satu kekurangan pada gimbal murah ini, tidak lain dan tidak bukan ialah port USB mikronya yang digunakan untuk tujuan pengecasan.

Seriuslah FeiyuTech, ini tahun 2021. Port USB mikro sudah tidak sepatutnya digunakan lagi dalam apa jua jenis produk, tidak kiralah dalam kategori bajet atau tidak. Ia sudah seharusnya lupus, pupus, dan terhapus.

Di bahagian hadapan/tepi pula terdapat butang penghidup, butang rakam, dan juga tombol zoom.

Berikut ialah perbezaan saiz antara Vlog Pocket 2 dan Vimble One.

Gambar berikut pula ialah perbandingan saiz antara ketiga-tiga gimbal mobil yang saya ada iaitu Hohem iSteady X (paling kiri), FeiyuTech Vlog Pocket 2, dan juga Vimble One.

Dan ini ialah bagaimana Vimble One kelihatan secara solo. Jika anda lihat pada bahagian bawahnya, terdapat ‘kaki’ tripod kecil yang membolehkan anda untuk mendirikan gimbal ini supaya anda dapat jadikan ia sebagai pemegang telefon sewaktu membuat rakaman vlog di depan meja kerja (contoh).

Untuk pengetahuan anda, aplikasi yang digunakan untuk Vimble One adalah sama dengan Vlog Pocket 2 iaitu Feiyu ON. Jika anda ingin melihat bagaimana rupa dan fungsinya, anda bolehlah ke artikel Vlog Pocket 2.

Kita boleh teruskan berbicara mengenai reka bentuknya, atau berbual mengenai spesifikasi – kerana saya sememangnya dilahirkan untuk berborak panjang tentang teknologi. Tetapi untuk model Vimble One, words are cheap.

Saya terus letakkan video hasil rakaman menggunakan gimbal tersebut, supaya anda boleh dapatkan gambaran sejauh mana paksi tunggal itu dapat membantu dalam menstabilkan rakaman video harian anda.

Konklusi

Pada saya, Vimble One tidak lebih dari sekadar ‘glorified’ atau ‘upgraded’ – selfie stick. Lihat saja pada gambar ini, dan cuba fikir adalah ia dicipta untuk rakaman video yang serius?

Ya, anda masih boleh menggunakan Vimble One untuk tujuan merakam video, tetapi bukan rakaman sepertimana yang dapat anda lakukan bersama Vlog Pocket 2. Vimble One (pada pendapat saya) disasarkan kepada golongan influencers yang ingin merakam video pendek TikTok, IG Stories, dan sebagainya lagi – yang tidak memerlukan fungsi gimbal penuh dengan 3 paksi.

Sebab itu saya katakan awal lagi, gimbal seperti ini bukannya tidak berguna! Ia mungkin tiada kegunaan kepada anda, tetapi kepada orang lain, ia merupakan satu bentuk naik taraf dari selfie stick biasa.

Untuk sebarang urusan pembelian, anda bolehlah gunakan pautan ini:

FeiyuTech Vimble One

Kod diskaun: omghackers10 (diskaun sebanyak 10%!)

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

FeiyuTech Vlog Pocket 2: Pakej Kecil Untuk Anda Yang Berminat Merakam Video

0

FeiyuTech Vlog Pocket 2 – satu produk yang sekian lama ingin saya tampilkan dalam laman ini. Asalnya, saya merupakan pengguna Moza Mini S, tetapi agak malang apabila ia ‘bricked’ selepas saya mengemaskini gimbal itu dengan firmware update. Maaf, disebabkan hal itu juga, tiada ulasan ditulis untuknya.

Kemudian, saya beralih kepada Hohem iSteady X, suatu percubaan untuk merasai gimbal mobil yang lebih baik. Tetapi pencarian belum berakhir. Pemburuan menemukan saya kepada FeiyuTech, dan Vlog Pocket 2 seterusnya diselit pada poket saya (pun intended).

Kenapa mesti model ini?

Kerana setelah saya menggunakan Moza Mini S yang tidaklah beberapa ‘mini’, isu saiz menjadi perkara utama yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Asal saja namanya gimbal mobil, ia tidak boleh terlalu besar. Moza Mini S adalah contoh gimbal telefon pintar yang bersaiz agak besar.

Mujurlah Vlog Pocket 2 ini menepati ciri diperlukan, iaitu ‘mini dengan erti kata yang sebenar’. Cuma, adakah ia sesuai dimasukkan ke dalam poket? Mari kita tonton dulu video buka kotak sebelum kita teruskan.

Sudah tonton? Bagus. Kita lihat pula spesifikasinya.

Spesifikasi FeiyuTech Vlog Pocket 2

NAMA CIRI PENERANGAN
Ciri Utama Gimbal dengan reka bentuk lipat inovatif, senang dimasukkan ke dalam poket.

 

Pengguna boleh mengeluarkannya untuk membuat rakaman pada bila-bila masa.

 

Beratnya hanya 272g. Muatan maksimum hingga 250g, dengan mudah membawa telefon berskrin besar yang popular.

 

Kekunci motor tiga paksi sesuai untuk penyimpanan dan lipatan.

 

Menambah fungsi Gesture Control untuk swafoto atau foto berkumpulan.

 

Pandangan bebas untuk lensa sudut lebar dengan reka bentuk lengan miring.

 

Ia dapat digunakan setelah menyeimbangkan dengan mudah tanpa langkah-langkah yang rumit.

 

All Follow Mode sangat sesuai untuk merakam dengan pantas.

 

Sudut tanpa had 360 ° & Mod POV.

 

Menambah Mod Inception. Kemampuan main semula diperbaiki.

 

Satu butang untuk menukar mod landskap dan potret. Memainkan Tiktok atau penstriman langsung sangat mudah.

 

Joystick ditambahkan untuk memenuhi keperluan pengambilan gambar pada sudut yang berbeza.

 

Ia boleh mengendalikan kamera asli telefon pintar dan aplikasi Beautycam yang popular melalui sambungan Bluetooth.

 

Dilengkapi dengan peringatan overloading, overheating protection dan locking.

 

Reka bentuk UI baru Feiyu ON APP. Sambungan automatik, Motion Time-lapse, Overlapping Image dan ciri penjejakan cahaya boleh didapati di aplikasi.

 

Warna ‘hitam tengah malam’ dan ‘merah jambu yang mengelamun’ dapat dipilih untuk memenuhi citarasa pengguna yang berbeza.

 

Hayat bateri yang panjang hingga 9 jam.

 

Dilengkapi dengan tripod mini dan beg mudah alih.

 

Keserasian Julat lebar untuk telefon pintar adalah dari 41 mm hingga 89 mm. Muatan maksimum adalah sehingga 250g.

 

Apabila digunakan dalam mod lanskap, ia serasi dengan semua telefon pintar di bawah 7 inci, termasuk semua siri iPhone, semua siri Android, dan telefon pintar sistem lain, seperti HUAWEI P30 pro, MI 9, VIVO NEX, OPPO find X, Samsung Note9, dan lain-lain.

 

Apabila digunakan dalam mod potret atau mod inception, ia serasi dengan semua telefon pintar di bawah 6.6 inci, termasuk semua siri iPhone, semua siri Android, dan telefon pintar bersistem operasi lain.

Saiz Lipat: 111 * 57.9 * 146.6mm (sama tinggi dengan iPhone 11)

Buka: 63.7 * 93.9 * 247.5mm

Bateri 7.4 V, 1300MAH, 9.62 Wh, Bateri boleh dicas semula terbina dalam. Gimbal boleh dicas oleh port Type-C pada pemegang semasa menggunakannya.
Jangka Hayat Bateri 9 jam (jika berat muatan 150g)
Tempoh Pengecasan ≥ 1.5h , kami menasihatkan supaya anda gunakan penyesuai 5V/2A. (Dilarang menggunakan penyesuai pengecasan pantas)

 

Lampu penunjuk berwarna merah semasa dicas, dan hijau apabila dicas sepenuhnya.

Kawalan Telefon Gimbal secara langsung dapat mengawal foto/video pada kamera asli telefon pintar, dan pada masa yang sama, zoom, AI Tracking dan fungsi lain adalah pada aplikasi Feiyu ON melalui sambungan Bluetooth.
Material PC, PA6 dan bahan berketahanan tinggi serta tahan suhu panas.
Warna ‘Hitam Tengah Malam’, dan ‘Merah Jambu Yang Mengelamun’.
Bluetooth 5.0
Julat Putaran Julat kemiringan: 165°

Julat Gulung: 323°

Rentang Pan: 330°

Berat 272g (tidak termasuk telefon)
Port Boleh Dipanjangkan Lubang skru 1/4 inci di bahagian bawah
Aksesori Standard Kabel Type-C * 1(untuk pengecasan), Mini Tripod * 1 , Beg mudah alih * 1
Aksesori Pilihan Batang pemanjangan boleh laras (dengan skru 1/4 inci), tripod universal (lubang skru 1/4 inci).

Pening nak baca? Mari saya ceritakan serba sedikit tentang gimbal ini supaya anda tidaklah terlalu berserabut. Kita teliti satu demi satu gambar yang telah saya sediakan.

Pada bahagian hadapan gimbal, terdapat joystick, butang kawalan kedudukan/posisi telefon (sama ada anda mahu ia menegak atau melintang), dan juga butang kawalan kamera.

Ini pula ialah kawalan untuk zoom.

Anda perlu longgarkan terlebih dahulu tombol ini sebelum dapat menegakkan bahagian pemegang telefon.

Ini ialah butang ‘reset’, iaitu anda boleh kembalikan posisi gimbal pada kedudukan asal.

Ini pula semestinya butang penghidup, dan juga port USB-C untuk tujuan pengecasan.

Berikut saya kongsikan gambar penuh Vlog Pocket 2.

Jadi, bagaimanakah rupanya kalau dimasukkan ke dalam poket? Anda boleh lihat gambar ini pula.

Secara umumnya, walaupun namanya ‘Vlog Pocket 2’, dan ia muat dimasukkan ke dalam poket, tetapi saya mencadangkan supaya anda simpan dalam beg silang. Itu lebih selesa jika hendak dibandingkan dengan membawanya ke mana-mana di dalam poket.

Saya cuba letakkan ia bersebelahan dengan Hohem iSteady X, supaya anda dapat membandingkan saiz antara keduanya.

Aplikasi Feiyu ON

Antara aplikasi Feiyu ON dan aplikasi Hohem Pro, saya mungkin lebih menggemari paparan antara muka Hohem Pro yang nampak lebih kemas dan teratur. Pun begitu, untuk warna dalam video, saya lebih suka pada apa yang dihasilkan oleh Feiyu ON.

Agak menyedihkan apabila tidak terdapat pilihan 4K 60FPS. Resolusi maksimum yang ada hanyalah 4K 30FPS. Jika hendak gunakan resolusi itu, terpaksalah gunakan aplikasi kamera asal.

Mod yang ada tidak sebanyak apa yang ditawarkan oleh Hohem Pro, malah untuk mengakses mod Inception juga tidak semudah Hohem, yang menyediakan akses terus dari aplikasi. Ada sesetengah orang lebih sukakan tetapan pada gimbal, dan inilah yang cuba dilakukan oleh FeiyuTech. Cuma, saya yakin tak semua orang tahu keperluan ini, tambahan pula ia tidak dinyatakan dalam manual panduan bahawa anda perlu menetapkan butang ‘M’ menjadi pemicu kepada mod Inception.

Saya sukakan fungsi ‘HDR’ untuk tangkapan gambar. Sesuatu yang jarang dapat dilihat pada aplikasi gimbal.

Naik taraf versi firmware dengan mudah melalui pilihan dalam tetapan. Pun begitu, aplikasi Hohem Pro akan memberikan notifikasi terdapatnya versi baharu dan mengeluarkan pilihan untuk kemas kini. Setakat ini, disebabkan firmware digunakan masih lagi yang paling baru, saya belum pernah menerima apa-apa notifikasi. Harapannya ia adalah semudah Hohem Pro.

Ini pula ialah mod yang ada untuk tangkapan gambar. Menarik sekali apabila adanya ‘Light rail mode’ untuk gambar dan video.

Inilah satu-satunya perkara yang saya paling tidak suka dengan aplikasi Feiyu ON – penentukuran yang rumit! Adalah lebih bagus lagi sekiranya penentukuran dibuat secara automatik tanpa perlu melibatkan pengguna membuat tentukuran sendiri. Susah semestinya kiraan mesin lebih tepat berbanding agak-agakan manusia!

Apa pun, daripada kita bual panjang tentang gimbal dan aplikasinya, apa kata saya bawakan kepada anda, vlog pertama di saluran YouTube OMGHackers, yang dirakam menggunakan Vlog Pocket 2.

Diharap anda mendapat informasi yang dimahukan ketika menonton hasil dan kualiti sebenar rakaman dari aplikasi Feiyu ON dan gimbal Vlog Pocket 2 ini.

Konklusi

Secara keseluruhan, Vlog Pocket 2 tidak menghampakan. Sepertimana yang diharap, seperti itulah ia beraksi. Cuma, saya inginkan aplikasi yang lebih tersusun dan kemas, serta proses penentukuran yang lebih mudah lagi. Buat pengguna biasa, tak mungkin mereka akan ‘mengusik’ tetapan seakan pakar. Permudahkan aplikasi, nescaya orang akan menjadi lebih sayang kepada produk dijual – tambahan pula jika firmware selalu dikemaskini (tanpa masalah brick seperti Moza Mini S).

Untuk urusan pembelian, anda bolehlah ke pautan ini:

FeiyuTech Vlog Pocket 2

Kod diskaun: omghackers10 (diskaun sebanyak 10%!)

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Tukar Pautan Magnet Torrent Kepada Pautan Muat Turun Langsung

0

Ada banyak ‘online torrent downloader’ yang boleh digunakan untuk menukar pautan magnet torrent atau fail torrent kepada pautan muat turun langsung. Ini bukan benda baru. Antara yang paling popular semestinya Zbigz.com.

Tetapi saya tidak mahukan Zbigz.com. Walaupun ada versi percuma, tetapi ia adalah versi percuma yang ‘tidak ikhlas’. Kalau betul kita nak beri kepada seseorang itu barang percuma, berilah dengan seikhlas hati.

Kelajuan muat turun kalau tak dapat diberikan banyak, dapat cukup laju untuk menyelesaikan muat turun fail sebesar 2-3GB dalam tempoh beberapa minit, sudah lebih dari memadai.

Seperti ditegaskan di atas, ada banyak pemuat turun fail torrent atas talian. Kalau hendak dicari yang percuma tetapi memuaskan hati, agak sukar juga kerana ‘percuma’ biasanya hadir sekali dengan beberapa kelemahan ketara seperti kelajuan muat turun yang menghampakan.

Pada kali ini saya ingin kongsikan satu pemuat turun torrent atas talian versi percuma yang berbaloi sekali digunakan. Tidak perlu daftar sebarang akaun, cukup jika anda ada pautan magnet torrent, anda sudah boleh gunakannya tanpa syak dan was-was.

Apa yang anda perlu lakukan ialah:

1. Dapatkan dulu pautan atau fail torrent kepada fail yang anda ingin muat turun. Ini tidak semestinya hanya terhad kepada fail video semata. Ia menyokong semua format fail, dan saiznya juga tidak terhad (buat masa ini, belum terdapat tanda-tanda saiz akan dihadkan).

2. Kemudian, buka laman Webtor. Tampal pautan magnet, atau muat naik fail torrent menggunakan ruangan disediakan.

3. Kemudian, tunggu sehingga proses penukaran selesai.

4. Apabila penukaran selesai, anda akan dapat lihat paparan seperti di bawah, sekiranya ia merupakan fail video. Untuk terus memuat turun, anda klik pada ikon yang ditunjukkan oleh anak panah.

5. Bagi fail video, anda boleh juga memilih untuk terus strim. Kelancaran strim tidak dijamin, kerana faham-faham sajalah ia bergantung kepada jumlah peers juga.

6. Anda boleh lihat sendiri kelajuan muat turun yang diberikan pada beberapa tangkap layar berikut. Tidak terlalu laju, tetapi tidak pula menghampakan.

Baiklah, selesai perkongsian saya.

Barang percuma jangan diharap terlalu tinggi kepadanya.
Asalkan ada sudah lebih dari mencukupi. Harapnya Webtor kekal tersedia untuk beberapa tahun lagi. Tidak perlu berharap kepada Zbigz.com atau Seedr.cc, kerana di sini ada ‘versi percuma yang ikhlas’.

Heh.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Facebook Membuli Pembangun Aplikasi ‘Facebook Wrapper’

1

Ada banyak sebab mengapa ramai pengguna beralih kepada aplikasi dari pembangun pihak ketiga untuk menggunakan Facebook. Kebiasaannya variasi ‘Facebook wrapper‘ menjadi pilihan kerana ia penuh dengan pelbagai ciri menarik seperti kebolehan untuk menyahaktifkan iklan, telemetri, dan sebagainya lagi.

Tetapi seperti biasa, kebahagiaan pengguna selalunya tidak lama apabila Facebook mula menunjukkan kuasanya. Dua aplikasi Facebook wrapper popular iaitu Swipe dan Simple Social sudah pun ‘ghaib’ dari Google Play Store.

Kedua-dua pembangun aplikasi tersebut rupanya ada menerima surat amaran dari pihak peguam Facebook Inc. Surat itu dihantar kepada beberapa pembangun aplikasi yang menawarkan cara alternatif untuk mengakses rangkaian Facebook, melangkaui aplikasi rasmi dan laman mobilnya.

Pembangun aplikasi Swipe mengepos di subreddit r/swipeforfacebook dengan tajuknya ‘Saying goodbye to Swipe for Facebook‘. Apa yang agak menyakitkan hati lagi menyedihkan ialah kedua-dua akaun Facebook dan Instagram bagi pembangun itu telah dinyahaktif.

Berikut sedikit petikan dari pos beliau:

“Today, I have received a cease and desist letter from some attorneys representing Facebook Inc. My social media accounts on Facebook and Instagram have also been permanently disabled (unfortunately locking me out of tons of memories over the years and contact with many distant relatives). I believe this has happened to numerous other devs as well meaning the day of Facebook wrapper apps have finally come to an end.”

Manakala buat pembangun aplikasi Simple Social pula, mendapat mesej yang lebih menakutkan melalui pengguna aplikasinya. Berikut ialah pesanan diterima menerusi notifikasi pop-naik pada aplikasi itu:

“Important Message
Due to changes created by Facebook, Simple Social is no longer supported. You can continue to use Simple Social, however YOU DO SO AT YOUR OWN ACCORD. Your Facebook account may possibly be disabled temporarily or permanently, which is not under the control of Creative Trends. Sorry for any inconveniences this may cause. Thank you for all your support over the last 5 years. Have a great day.”

Dengan mesej seperti ini menandakan bahawa, inilah dia pengakhiran kepada zaman aplikasi ‘Facebook Wrapper‘ untuk dapat digunakan oleh peminatnya.

Ucapkan selamat tinggal, kerana dari amaran diberi itu Facebook mengatakan mereka akan menyahaktif akaun anda sama ada secara sementara mahupun selama-lamanya – jika anda masih tegar ingin menggunakan aplikasi dari pihak ketiga.

Wow Facebook, wow. Tergamaknya kau. (That rhymes bruh)

Sumber: Android Police

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Microsoft Mencadangkan PARAKEET, Alternatif Kepada Cookies Dan FLoC

0

Google baru-baru ini mencadangkan FLoC, atau Federated Learning of Cohorts. Ia kononnya merupakan ‘jawapan’ oleh Google sebagai pengganti kepada cookies tradisional untuk meningkatkan lagi kualiti privasi.

Tetapi syarikat lain yang membangunkan pelayar web seperti Brave, Vivaldi, dan Firefox nampaknya menolak idea ini kerana mereka mengatakan idea ini sebagai satu langkah berbahaya yang dapat menjejaskan privasi pengguna.

Lantaran itu, Microsoft juga mengeluarkan cadangan pengganti kepada cookies yang dinamakan sebagai PARAKEET (Private and Anonymized Requests for Ads that Keep Efficacy and Enhance Transparency).

PARAKEET menggunakan pelayan proksi yang berada di antara pengguna dan syarikat iklan. Pengguna akan mempunyai ID unik yang hanya diketahui oleh pelayan proksi.

Apabila laman web meminta iklan, permintaan tersebut disalurkan melalui pelayan proksi yang dipercayai. Terdapat sejumlah kecil kebisingan statistik (statistical noise) yang ditambah pada setiap hasil untuk menutupi data peribadi pengguna yang sebenar.

Makna ‘privasi’ di dalam PARAKEET merujuk kepada menambahkan ‘kebisingan’ (noise) atau penggabungan (aggregations) pada maklumat yang diproksi olehnya, sehingga menjejaskan ketepatan identiti.

Anda boleh rujuk apakah antara perkara yang dianonimasikan oleh PARAKEET pada pautan: https://wiki.prebid.org/wiki/Parakeet

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

HackBoss: Malware Mencuri Wang Kripto Di Telegram

0

Hati-Hati Muat Turun Perisian ‘Hacking’ Di Telegram

Pencipta malware yang mencuri wang kripto telah mengagihkan perisian ciptaannya di Telegram. Para pengkaji telah menamakan perisian hasad ini sebagai HackBoss. Setakat ini, para penyelidik menjangkakan HackBoss telah pun mencuri wang kripto berjumlah lebih daripada $500,000 USD (RM2.065 juta Ringgit Malaysia).

Penggodam Digodam

Perisian tersebut tidak mempunyai sebarang ciri istimewa pada fungsi dan rekaan antaramukanya. Diiklankan sebagai perisian yang boleh membantu mana-mana individu untuk menggodam maklumat perbankan dan memecahkan kata laluan. Mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang ingin berjinak-jinak sebagai ‘penggodam’ seterusnya memuat turun perisian tersebut di Telegram dan membukanya di peranti masing-masing.

Setelah dipasang, HackBoss seterusnya mula berjalan di latar belakang sistem dan mencuri maklumat wang kripto mangsa daripada dompet kripto mangsa sendiri. Ironi, mereka memuat turun HackBoss dengan harapan untuk mencuri wang kripto. Sebaliknya, wang kripto mereka sendiri pula yang dicuri daripada pencipta HackBoss.

Sumber: Bleeping Computer

Dunia Tipu-Tipu

HackBoss dimuat naik ke Telegram dalam pakej fail .ZIP. Apabila mangsa menjalankan perisian yang terdapat di dalam pakej .ZIP tersebut, mangsa akan melihat perisian dengan antaramuka yang ringkas. Tidak kira anda memilih untuk menekan butang yang mana, pengkaji mendapati skrip yang sama akan dijalankan pada komputer mangsa dan berjalan dengan automatik di latar belakang sistem.

Dengan menggunakan perisian hasad tersebut juga, mangsa dengan tidak sengaja telah memberikan kebenaran untuk perisian tersebut berjalan tanpa sekatan pada sistem dan mendapat akses kebenaran penuh. Walaupun anda mematikan proses perisian ini dengan Task Manager, kelebihan akses kebenaran yang telah diberikan mangsa kepada perisian berkenaan membolehkan ia berjalan semula secara automatik seminit kemudian.

Sumber: Bleeping Computer

HackBoss berfungsi dengan cara memintas alamat dompet kripto mangsa dan menggantikannya dengan alamat dompet kripto milik pencipta HackBoss. Dengan cara ini, sebarang transaksi kripto yang disangkakan masuk ke dalam dompet kripto mangsa sebenarnya telah dilencongkan ke dalam dompet kripto pencipta HackBoss.

Pengkaji keselamatan daripada Avast pula berkata, sejak penciptaannya pada November 2018, HackBoss telah berjaya mencuri sebanyak lebih daripada $560,000 USD (RM2.32 juta Ringgit Malaysia). Jumlah ini diambil daripada lebih 100 dompet kripto yang dikaitkan dengan operasi HackBoss. HackBoss juga dilaporkan mempromosi perisian mereka di saluran selain daripada Telegram.

Sumber: Bleeping Computer

Sumber: Bleeping Computer

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Legasi Zack Snyder Dalam “Zack Snyder’s Army of the Dead”

0

Justice League mungkin akan berakhir, tetapi Zack Snyder belum mati. Selagi hayatnya ada, selagi itulah dia bergelar pengarah filem.

Army of the Dead” ialah projek terbaru beliau yang akan ditayangkan secara strim di Netflix. Tarikh pelepasan filem adalah pada 21 Mei 2021 (rilisan Amerika Syarikat).

Kisah berkisar mengenai wabak zombie. Ohhh, tetapi kita mengenali Snyder sebagai pengarah ‘lain dari yang lain’.

Zombie yang ditonjolkan dalam filem ini bukan zombie ‘bodoh piang’ seperti kebiasaan, sebaliknya zombie ini nampak seperti ada wawasan (bak kata Husin) dan ada ‘pentadbiran’ yang teratur, serta pandai pula berlawan.

Sedikit petikan sinopsis, berikutan wabak zombie di Las Vegas, sekumpulan tentera upahan menjelajah ke zon kuarantin untuk melakukan pencurian ‘terhebat’ yang pernah mereka terfikir hendak buat.

Tonton trailer Army of the Dead: YouTube

 

Views: 1

Iklan Newspaper Inline