Utama Blog Laman 116

Apa Itu Pixel Binning? Adakah 48MP Dari Sensor Samsung Itu ‘Palsu’?

0

Pixel Binning, Faedahnya, Dan 48MP

Mutakhir ini, syarikat telefon pintar sudah mula berada dalam bandwagon kamera beresolusi maksima 48MP. Ini dijayakan oleh sensor Sony IMX586 dan juga sensor Samsung ISOCELL GM1.

Percayalah, ’48MP’ ini tidak akan berhenti dan kebanyakan syarikat sudah pun menggunakan kedua sensor dalam peranti terbaru mereka, termasuklah Xiaomi, OnePlus, Honor, Vivo, Oppo, dan Nokia.

Cuma disebabkan terlalu ramai vlogger dan blogger yang menggunakan perkataan ‘palsu’ untuk menggambarkan resolusi yang terhasil oleh sensor Samsung itu, maka artikel ini hadir bagi menjawab persepsi ‘buta’ tersebut. Semuanya hanya kerana mereka tidak faham apa yang dimaksudkan oleh spesifikasi dari gambar ini:

Apa Itu Pixel Binning?

Kamera beresolusi besar, iaitu 48MP yang dimuatkan ke dalam telefon pintar kebiasaannya akan membawa beberapa ‘masalah’. Pertambahan resolusi sepatutnya seiring dengan pertambahan saiz sensor untuk mengekalkan prestasi tangkapan pada keadaan cahaya malap. Tetapi sensor yang besar akan menyebabkan kamera terjojol keluar dan saiz telefon juga akan menjadi lebih tebal.

Bagi mengelakkan masalah ini, saiz sensor perlu dikekalkan. Namun timbul pula masalah yang lain, iaitu apabila kita memampatkan keseluruhan pixel ke dalam satu sensor yang kecil, ini bermakna saiz pixel secara individual akan berkurangan dan menjadi semakin kecil untuk ‘memuatkan’ dirinya.

Metaforanya begini, ambil contoh bas. Ia dapat memuatkan 12 orang penumpang. Tetapi apabila hendak membawa penumpang tambahan seramai 36 orang di dalam bas yang sama, penumpang terpaksa berhimpit-himpit dan bersesak-sesak kerana ruang telah menjadi sempit. Keseluruhan penumpang sudah menjadi 48 orang, ini bererti jumlah kutipan bayaran tiket bas juga sudah bertambah.

Begitulah jua halnya dengan sensor. Kita hendak tambahkan data ke dalam sensor sama, yang menyebabkan pixel semakin mengecil. Akibat saiz pixel individual semakin kecil, ia sudah tidak mampu untuk menyerap cahaya secukupnya bagi tangkapan gambar pada waktu malam. Contoh pada penumpang bas itu tadi, apabila ruang dalam sudah semakin sempit, peluang cahaya untuk menembusi hingga ke lantai bas adalah sangat tipis.

Di sinilah hadirnya Pixel Binning, bagi membolehkan sensor menyerap lebih cahaya agar tangkapan yang dibuat pada waktu malam menjadi lebih jelas, terang, dan terperinci.

Gambar dari Mi Community.

Saiz bagi pixel individual untuk sensor 48MP dari Samsung adalah 0.8-μm. Saiz ini amatlah kecil, oleh itu sensor ISOCELL GM1 yang menyokong teknologi ‘2×2 Pixel-Binning Tetracell’ menggabungkan/mencantum/mengkombinasi empat pixel kepada satu untuk menjadikan gambar 12MP (mengikut standard industri semasa) yang lebih terang.

Pixel bersaiz 1.6-μm terhasil dari pixel binning tersebut, yang nyatanya lebih BESAR membolehkan jumlah cahaya memasuki ke dalam sensor kamera menjadi lebih BANYAK.

Itulah dia ‘kegunaan’ sebenar resolusi 48MP pada sensor ini.

Teknologi Pixel Binning Pada Sensor Samsung ISOCELL GM1.

Samsung dan Sony tidak mengeluarkan sensor 48MP untuk mereka berbangga dengan hasil tangkapan pada waktu siang. Tidak. Mungkin mereka ada menyatakan hasil gambar pada cuaca yang baik dan cahaya yang terang akan menjadi lebih cantik dan jelas, secara teorinya. Akan tetapi disebalik itu matlamat sebenar adalah menghasilkan kualiti gambar yang lebih mantap untuk mode malam.

Mereka ingin memanfaatkan teknologi pixel binning, kerana ia pernah digunakan oleh peranti seperti LG G7 dan Huawei P20 Pro, Huawei Mate 20, Redmi Note 6 Pro, Poco F1, dan beberapa lagi peranti lain. Ia bukan benda baru, bahkan telah lama diaplikasikan pada telefon Nokia 808 PureView. Cuma disebabkan rilisnya kamera 48MP yang mencetus perdebatan, ia menjadi topik hangat walaupun suatu masa dahulu tiada yang sibuk untuk ambil peduli.

Disebabkan teknologi ini menggabung 4 pixel berjiranan untuk menjadikan satu ‘super’ pixel, output kamera Huawei Mate 20 dari 40MP menjadi 10MP, manakala LG G7 pula mengecil dari 16MP kepada hanya 4MP sahaja.

4MP adalah resolusi yang teramat kecil, tidak memenuhi kehendak industri semasa meskipun hasil gambar yang dikeluarkan adalah jelas dan terang. Masih ingat HTC One?

Oleh itu, bagaimanakah caranya untuk mengatasi ‘kekurangan’ kaedah ini? Bagaimana kita masih boleh mendapat resolusi yang memuaskan, dan dalam masa yang sama kualitinya juga bertambah?

  1. YA, dengan membesarkan resolusi kamera, dan seperti yang telah diterangkan di atas, bagi membesarkan resolusi – sensor kamera perlu dinaikkan saiznya.
  2. Tetapi apabila saiz hendak dikekalkan, pixel akan menjadi kecil lantas menyebabkan kemampuannya untuk menyerap cahaya berkurangan.
  3. Untuk mengatasi ‘masalah’ pixel mengecil pula, kaedah atau teknologi Pixel Binning digunakan agar tangkapan pada cahaya yang malap menjadi lebih mantap.

Sekarang adakah anda sudah nampak ‘perjalanannya’?

48MP dibahagikan dengan 4 = 12MP = Hasilnya gambar pada mode malam yang lebih cantik dengan jumlah megapixel yang masih memenuhi standard industri.

Bagaimana pula resolusi dinaikkan saiznya, sedangkan output asli adalah pada 12MP?

Di sini sensor Samsung tersebut menyokong satu teknologi yang dipanggil sebagai Algoritma Re-mosaic (Re-mosaic Algorithm) untuk menghasilkan gambar beresolusi penuh 48MP pada keadaan bercahaya terang. Ini dapat dilaksanakan kerana masih terdapat banyak data pada sensor yang boleh digunapakai bagi melakukan pendaraban warna atau menurut istilah dari Samsung sendiri – ‘pemetaan semula pixel’ ke dalam pola RGB konvensional agar foto beresolusi tinggi dapat dihasilkan.

Beza antara sensor Samsung tersebut dengan Sony ialah pada sensor Sony, ia mempunyai 48 juta pixel efektif secara perkakasannya, iaitu sensor itu sendiri. Manakala pada sensor Samsung ia dijana dengan bantuan Algoritma Re-mosaic.

Jadi adakah imej yang dihasilkan oleh sensor Samsung itu beresolusi ‘palsu’?

Tidak, kerana sensor ini bersesaran asal memang disasar kepada 48 juta pixel, yang mana output ‘native’ atau aslinya sahaja dikeluarkan pada 12MP, dan output yang sama terhasil bagi keadaan bercahaya malap/gelap disebabkan oleh Pixel Binning.

Manakala pertambahan bagi output 48MP adalah tetap 48MP (8000×6000), kerana resolusinya masih berjumlah 48 juta pixel, tidak kiralah jika ia terhasil kerana ‘algoritma’. Soal kualiti berbanding sensor Sony IMX586 adalah dua perkara berbeza. Anda boleh tonton sendiri video-video perbandingan yang telah dibuat. Cuma disebabkan ia terhasil dek bantuan perisian dan bukan ‘asli’ dari perkakasan, maka persepsi ‘palsu’ telah tercipta, meskipun outputnya tetap sama.

Jika anda ‘tidak berpuas hati’ dengan jawapan ini, maka jawablah soalan saya,

Adakah output High Dynamic Range (HDR) oleh kamera Pixel yang dinamakan sebagai HDR+ merupakan ‘native’ atau asli mengikut kaedah tradisional fotografi HDR? Tidak bukan?

Ianya juga adalah terhasil dari algoritma – kaedah pengiraan matematik dan pengkomputeran oleh Google yang diterjemahkan ke dalam bentuk fotografi (computational photography).

Nota: Fotografi komputasi merujuk kepada teknik penangkapan imej dan pemprosesan digital yang menggunakan pengiraan digital dan bukannya melalui proses optik.

*Kaedah tradisional HDR memerlukan jurugambar untuk mengambil gambar beberapa keping yang berbeza exposure, iaitu tetapan bagi aperture, shutter speed, ISO dan tetapan-tetapan lain. Kemudian ia akan digabungkan semula ke dalam satu keping gambar menggunakan perisian seperti Photoshop.

Nampak bukan, HDR ‘tradisional’ ini sangat berbeza dengan kaedah ‘HDR+’ oleh Google?

Jadi, adakah ‘HDR’ Google ini merupakan HDR palsu kerana ia dihasilkan oleh perisian?

Tepuk dahi dan tanya minda (buang nafsu).

Gambarajah penerangan mudah antara teknologi Re-mosaic Algorithm dan Pixel Binning.

Bagi menutup artikel, saya lampirkan sekeping gambar yang saya dapat dari sebuah group di Facebook. Terima kasih Ricky kerana membenarkan saya kongsikan ia untuk tatapan semua.

Kredit: Ricky El Ghozale‎.

**Redmi Note 7 menggunakan sensor Samsung ISOCELL GM1.

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

John Wick Chapter 3: Perang Mafia Berdarah!

0
Gambar dari: Hollywood Reporter.

“Jika inginkan kedamaian, bersedialah untuk berperang”.

Inilah dia tema yang dibawa sepanjang perjalanan filem ini berlangsung.

Sebelum saya ceritakan betapa hebatnya Keanu Reeves dalam menggambarkan jalan cerita ‘meja tinggi’, saya ingin katakan bahawa tiada istilah ‘insulting the intelligence of audiences’ (menghina kebijaksanaan penonton) dalam filem ini kerana:

1. Keanu amat menghormati seni beladiri. Beliau memahiri beberapa jenis seni beladiri sebelum menyiapkan penggambaran filem trilogi John Wick ini.

2. Keanu juga amat menghormati ‘seni’ persenjataan terutamanya senjata api. Bagi mereka yang sememangnya berada dalam bidang, mereka pasti berasa bangga apabila Keanu cuba sedaya upaya dalam menggambarkan situasi sebenar penggunaan senjata api ketika pertempuran.

Bukan sekadar adegan tembak-menembak tangkap muat semata.

3. Keanu tidak menggunakan ‘shaky cam’ atau kamera bergoyang dalam aksi tempur. Beliau cuba untuk menonjolkan babak aksi perlawanan dengan jelas, kerana hanya pelakon yang tidak mahir seni beladiri sahaja memerlukan ‘shaky cam’.

Keanu tidak termasuk ‘noob’ seni beladiri.

4. Keanu tidak buat penggambaran perlawanan/tempur dalam suasana gelap. Sedikit sebanyak mesti ada cahaya di sekitarnya. Dua teknik penggambaran ini, iaitu tanpa kamera bergoyang dan babak tempur yang jelas berkemungkinan diinspirasikan dari Jackie Chan.

5. Keanu tahu apa yang beliau cuba ceritakan kepada penonton. Beliau tidak terburu-buru dalam perceritaan. Babak dapat difahami dari satu jalan cerita ke satu jalan cerita. Ia akan buat anda terasa puas menonton.

Pendek kata, Keanu adalah seorang perfectionist. Peminatnya pasti tahu beliau juga merupakan seorang peminat motosikal berkuasa besar. Oleh itu babak-babak sewaktu kejar-mengejar di atas motosikal dapat dirasakan emosinya. Beliau adalah seorang rider sebenar!

Saya di sini bukan nak mengulas tentang plot, plot twist, mutu lakonan, bla bla bla. Saya bukan pakar perfileman seperti sesetengah insan dalam group di Facebook yang galak memberikan ulasan. Tetapi saya akan cuba kupas dan nukilkan dari beberapa aspek yang saya juga sangat cintai iaitu seni beladiri dan… seni perceritaan, kerana penulisan juga adalah satu bentuk perceritaan yang jarang dikisahkan orang.

Keanu cuba menceritakan perjalanannya sebagai John Wick selepas beliau membunuh Santino D’Antonio, iaitu ahli The High Table di Hotel Continental.

Hotel Continental adalah rangkaian hotel di seluruh dunia yang bersifat sebagai kawasan atau wilayah neutral bagi kesemua anggota kongsi. Ianya ibarat tempat berkumpul bagi pembunuh-pembunuh upahan dan ‘pembunuh bebas’.

Hotel ini adalah berada di bawah kawalan The High Table.

Apa Itu The High Table?

The High Table adalah sebuah majlis peringkat tertinggi bagi organisasi jenayah bawah tanah yang mempunyai pelbagai ‘peraturan dan ‘kesannya” (sekiranya ia dilanggar).

Ia lebih besar dari mana-mana kongsi gelap di seluruh dunia, dan Hotel Continental berada dalam ‘jajahan takluknya’. Majlis ini terdiri dari 12 kerusi dan setiap kerusi kebiasaannya dimiliki oleh sebuah keluarga besar mafia, sama ada dari Rusia, Itali, dan lain-lain lagi. The High Table boleh dikatakan sebagai sebuah kuasa tertinggi dan setiap peraturan, ‘pantun’, ‘buah’, kesemuanya diikuti oleh mana-mana kongsi yang bernaung di bawah perlindungannya.

Salah satu peraturan yang dibuat ialah tiada pembunuhan boleh berlaku di Hotel Continental atau mereka gelarkannya sebagai ‘tanah Continental’. Sekiranya mana-mana anggota melanggar peraturan ini, mereka akan dilucutkan dari menjadi majlis , digugurkan perlindungan serta-merta, dan terus dijadikan sebagai sasaran kesemua pembunuh upahan. Pesalah dipanggil sebagai excommunicado.

Sebaik ‘nama’ ini dijatuhkan kepada ‘pesalah’, dia dikehendaki supaya dibunuh dan pembunuhnya akan diberikan ganjaran. Inilah yang dihadapi oleh John Wick dalam Chapter 3: Parabellum.

Disebabkan John sudah hilang status perlindungan oleh High Table, tiada sesiapa dibenarkan untuk membantunya, atau mereka juga akan dikenakan hukuman. Setiap ahli majlis sudah berjanji untuk berkhidmat dan memberikan taat setia kepada High Table, dan atas sebab itu jika John dibantu, ini bererti si pembantu juga dianggap sebagai penentang dan pengkhianat kepada majlis High Table.

The Adjudicator – Juri/Pengadil/Penilai The High Table

Ini adalah watak terbaru dari High Table yang dilakonkan oleh Asia Kate Dillon. Beliau hadir dengan tujuan menilai situasi semasa dan memberikan hukuman kepada sesiapa yang membantu John.

Akibat dari ‘penilaiannya’ itulah yang akan anda tonton dan ‘nilaikan’ pula sendiri kesusahan yang perlu dihadap oleh John disebabkan High Table mahu dirinya mati.

Apa yang saya suka tentang filem ini ialah Keanu cuba memberitahu bahawa apabila berjumpa dengan ‘orang-orang tertentu’, terutamanya dengan mereka yang kita ingin dapatkan perlindungan, maka ada ‘pantun’ yang perlu diucap, ada ‘buah’ yang perlu dibuka, dan ada tiket yang mesti dikoyak serta dilangsaikan.

Tidak lupa juga, Keanu membawa elemen baru dalam pertempuran iaitu haiwan. Ada kuda dan anjing (anda boleh lihat dalam trailer) yang akan memberikan impak berbeza kepada emosi ketika mereka juga ikut bertempur.

Halle Berry walaupun sudah berusia 52 tahun, tetapi lagak dan aksinya seakan-akan di awal usia 30an. Keanu pun apa kurangnya, usia sudah menjangkau 54 tahun, namun geraknya seperti pembunuh upahan awal 40an.

Tetapi pada saya watak paling menakutkan adalah dua pesilat Indonesia yang telah menempah nama dalam filem The Raid dan The Raid 2. Siapa mereka? Anda perlu tonton sendiri.

Watak Mark Dacascos kelihatan agak aneh kerana hendak dikatakan orang Cina, bukan orang Cina. Hendak dikatakan orang Inggeris, nampak seperti orang Asia. Memegang watak ‘Zero’, siapa sangka hero filem Only The Strong ini dapat bawa karakter penjahat pula.

Jika anda peminat filem John Wick dan John Wick Chapter 2, anda perlu pergi menonton Chapter 3: Parabellum di panggung wayang kerana percayalah, kualiti audio tembak menembak kali ini adalah sangat luar biasa. Itu belum dicampur dengan elemen-elemen baharu yang ditonjolkan oleh Keanu.

Anda pasti tidak akan menyesal membayar tiket wayang dan berkemungkinan, anda akan ulang tonton kerana terasa seakan tidak puas hanya menonton sekali.

And to Keanu Reeves,

Please make Chapter 4! We can never have enough of John Wick!

Penarafan Durian Buruk: 8.8/10

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Redmi Note 7: Ciri Dan Nilai Terbaik Untuk Wang Anda?

1

Rasanya sudah agak lama juga saya tidak membuat apa-apa ulasan sama ada dari segi produk-produk (gajet) mahupun telefon pintar. Maklum sajalah, blog ini tidak mendapat tajaan dari mana-mana syarikat bagi tujuan tersebut. Oleh itu semua ulasan memerlukan dana dari kami sendiri. Atas sebab itu jugalah beberapa bulan selepas peranti ini keluar, barulah ulasannya terbit di laman ini.

Kebetulan, saya memang meminati line-up Redmi ‘Note’, dan kebetulan juga telefon yang sedang saya gunakan tiba-tiba ‘rosak’, jadi apabila berganti, saya terfikir ada bagus juga jika saya ulas serba sedikit tentang telefon ini.

Buka Kotak

Apa yang ada dalam kotaknya?

  • Redmi Note 7.
  • Pengecas (5V-2A).
  • Kabel USB Type-C.
  • Alat pengeluar kad sim.
  • Bekas pelindung telefon (gelap-lutsinar).
  • Buku panduan dan kad waranti.

Spesifikasi

Redmi Note 7 dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 660, beserta pilihan RAM sebanyak 3 atau 4GB, storan dalaman 64 atau 128GB. Model yang saya beli ini adalah dari varian 4GB RAM dan 64GB ruang storan dalaman, berharga RM799 mengikut harga keluaran (runcit) rasminya..

Selain dari ini, apa spesifikasinya yang menarik untuk diketahui?
Baik, saya cuba ‘dissect’ sedikit demi sedikit.

Pertama, kamera hadapannya menggunakan sensor 13MP OmniVision OV13855 beserta lensa aperture f/2.0. Kamera belakang pula menggunakan 48MP Samsung S5KGM1 berserta lensa 6 elemen dan aperture f/1.8. Ia dikombinasikan dengan 5MP sensor Samsung S5K5E8.

Bagi paparan skrin, ia dilitupi oleh ‘2.5D Corning Gorilla Glass 5 lengkung dan mempunyai resolusi 1080×2340, manakala bahagian belakangnya juga menggunapakai material yang sama.

Namun pada saya apa yang paling menarik adalah apabila audionya dikuasakan oleh chip Hi-fi AK 98937 beserta Smart PA (Power Amplifier). Chip audio seperti adalah amat-amat berguna kepada mereka yang mementingkan kualiti bunyi dalam menikmati kandungan media sama ada video ataupun audio. Bagi audiophile seperti saya, ciri seperti ini adalah satu bentuk bonus tambahan.

Selain itu, ia juga punyai bateri berkapasiti 4000mAh, dan hadir dengan pengecas berkelajuan ‘biasa’. Telefon ini menyokong Quick Charge 4, oleh itu anda perlu membeli sendiri pengecas yang menyokong pengecasan pantas ini kerana pengecas yang disediakan adalah ‘cap ayam’.

Perisian (OS)

Seperti yang anda sedia maklum, seperti peranti Xiaomi yang lainnya, ia dijalankan dengan MIUI. Sewaktu saya menerima unit ini dari Mi Store (IOI Mall Putrajaya), ia masih lagi menggunakan MIUI 10.2. Apabila pulang ke rumah, tetingkap kemas kini keluar memberitahu bahawa terdapat kemas kini yang akan menaiktaraf MIUI kepada versi 10.3. Tanpa bertangguh saya terus muat turun dan naik taraf sistem operasi.

Selesai sahaja proses kemas kini, ia menjadi versi rasmi 10.3.5.0(PFGMIXM) dengan Android versi 9.

Jadi, bagaimana dengan prestasi serta fungsi MIUI 10 ini?

Pertamanya, jika anda bukan peminat susun atur iOS, anda tidak akan sukakan papar mulanya, kerana awal-awal lagi anda akan dihadapkan dengan launcher yang tiada app drawer, tidak ubah seperti susun atur bagi iOS yang meletakkan kesemua aplikasi di hadapan skrin.

Keduanya, reka bentuk bagi sistem operasi ini adalah seperti KDE bagi Linux. Ia sarat dengan kepelbagaian fungsi dan pilihan (options), dan dalam masa yang sama rupanya tidaklah sama langsung dengan stock Android.

Ia direka bentuk pada awalnya bagi menarik minat golongan yang inginkan paparan seperti iOS tetapi mempunyai bajet seperti Lenovo (ini punchline).

Namun lama kelamaan MIUI semakin ada identitinya yang tersendiri. Walaupun ia masih mengekalkan launcher yang minimal, namun itu anda boleh ubah sendiri dengan memasang launcher lain. Saya sendiri memakai Nova Launcher Prime kerana ‘rindukan’ app drawer (app drawer dalam Bahasa Melayu apa ya? Dulang aplikasi?).

Adakah ia lag? Pada saya tidak.

Jika anda mahu tahu, salah satu ciri MIUI yang saya amat sukai ialah – apabila saya buka aplikasi seperti Facebook, setiap kali menatal (scroll) ia terasa sangat lancar, seakan-akan iOS. Diulangi, seakan-akan. Jangan ada fanboy iOS yang triggered pula. Tapi serius, ini adalah pendapat jujur saya. Tiada sesiapa yang bayar atau ugut nak tembak saya untuk tulis perkara ini.

Prestasi Peranti

Anda perlu tahu saya ‘datang dari mana’?

Atau orang Kota Kuala Muda akan tanya ‘Hang mai mana?’

Saya ‘datang dari’ peranti kelas pertengahan iaitu Meizu M6 Note yang dikuasakan oleh Snapdragon 625 dan juga Redmi Note 5 yang dikuasakan oleh Snapdragon 636. Oleh itu penambahan kuasa dari Snapdragon 625 dan 636 kepada Snapdragon 660 yang berada dalam Redmi Note 7 ini teramatlah dialu-alukan, walaupun tiada apa yang luar biasa ada pada prestasinya.

Saya sudah cuba dua permainan setakat ini, iaitu Asphalt 9 dan Kingdom Rush Vengeance. Untuk Asphalt 9, saya tidak pasti sama ada saya sudah mengaktifkan paparan resolusi maksimum atau tidak, tetapi setakat ini Snapdragon 660 tidak menghampakan.

Bagi Kingdom Rush Vengeance pula, saya bermain tanpa henti selama 3 jam dan jumlah bateri yang turun pula adalah lebih kurang 10-15% sahaja. Pemproses ini benar-benar jimat dan hemat dalam hal penggunaan kuasa.

Sesuai dengan kadar prestasi yang diberi, jika anda adalah seorang ‘serious gamer’ yang mana menjadikan permainan sebagai kerjaya, saya yakin anda pun patut tahu bahawa adalah lebih sesuai anda membeli peranti dengan pemproses flagship berbanding kelas pertengahan seperti ini.

Jika anda seperti saya, bermain sekadar hendak lepaskan lelah dan menghilangkan kebosanan, Redmi Note 7 sesuai dijadikan teman.

Ketahanan Kuasa Bateri Dan Kelajuan Pengecasan

Setakat ini, rekod tertinggi yang saya pernah dapatkan dari baterinya adalah Screen On Time (SOT) sebanyak 9 jam+, manakala bagi penggunaan biasa pula ia boleh menjejak tempoh waktu selama lebih dari 24 jam.

Penggunaan bateri ‘heavy’.

Penggunaan bateri ‘minimal’.

Secara teori dan logiknya, anda akan dapat menggunakan telefon ini dari pagi hingga ke malam tanpa perlu bimbang kehabisan kuasa bateri di waktu anda memerlukannya.

Bagi kelajuan pengecasan, saya gunakan pengecas pantas (Quick Charge 3.0) dari LDNIO yang dapat mengecas peranti dari 25% ke 100% hanya dalam tempoh 1 jam 45 minit sahaja. Bagi kabel USB Type-C pula, saya mengguna pakai dari jenama Baseus.

Pengecas pantas dengan sokongan Quick Charge 3.0 dari LDNIO.

 

Kelajuan pengecasan dengan pengecas LDNIO Quick Charge 3.0.

 

Kelajuan hanya perlahan setelah kapasiti bateri mencecah 94 peratus.

Setakat ini saya belum ‘jumpa’ lagi dengan pengecas yang menyokong Quick Charge 4. Jika saya dah berjaya dapatkannya, saya akan kemas kini data ini.

Pada MIUI terdapat satu bahagian tetapan khas untuk bateri dan pengoptimumannnya. Ia memberikan lebih kawalan kepada pengguna untuk menguruskan aplikasi yang menggunakan kuasa bateri di balik tabir.

Kamera 48MP Dan Kualitinya

Saya rasa, ramai yang tertanya-tanya akan bagaimanakah kualiti imej yang dihasilkan oleh kamera telefon ini. Saya sudah cuba menanti di mana hari menjadi lebih cerah di sekitar Putrajaya ini, tetapi malangnya sepanjang bulan ini hari senantiasa mendung. Tetapi saya akan berikan juga beberapa keping gambar sebagai contoh agar anda tidak kempunan.

Dari segi spesifikasinya, Redmi Note 7 menyediakan peranti ini dengan sensor 48MP Samsung S5KGM1 ISOCELL Slim – 0.8um pixel. Ia menyokong ciri Pixel Binning 4 dalam 1, yang mana secara teori ia sepatutnya dapat menambahbaik kualiti gambar yang diambil dalam keadaan kekurangan cahaya atau pada waktu malam. Dengan kaedah yang sama, imej bersaiz/resolusi 48MP dihasilkan.

Saya akan cuba terangkan perkara ini dalam satu artikel berasingan.

Gambarajah Pixel Binning.

Jadi bagaimanakah kualiti gambar yang dihasilkan oleh kamera Redmi Note 7 ini? Mari kita cuba lihat beberapa sampel yang saya sediakan. Ambil perhatian bahawa pada kebanyakan pemandangan ini saya gunakan mode ‘AI’.

Sampel gambar waktu langit mendung.

 

Sampel gambar 48MP.

 

Sampel gambar petang, lebih kurang pukul 4:05.

 

Tasik Putrajaya. Indah.

 

Suasana petang yang damai tetapi agak sibuk kerana orang sudah mula balik kerja.

 

Tangkapan malam, GSC Alamanda.

 

Tangkapan malam, aplikasi kamera Gcam.

Pada saya, kameranya jatuh dalam kategori ‘boleh diharap’.

Tangkapan pada waktu siangnya tidak mengecewakan, apatah lagi sewaktu langit mendung pun suasana tampak masih ‘cantik’. Manakala tangkapan waktu malamnya agak ‘membanggakan’ bagi peranti kelas pertengahan. Mode malam dapat mengambil gambar dengan perincian yang sangat baik, tanpa ada kekaburan pada subjek.

‘Highlight’ ciri sebenar kameranya bukanlah pada saiz megapixel yang besar, tetapi adalah pada kualiti mode malamnya. Ini adalah kerana megapixel besar tersebut dimanfaatkan dalam teknik pixel binning bagi menyerap lebih cahaya ke dalam sensor agar tangkapan malam menjadi lebih jelas dan terperinci.

Konklusi

Jika anda bukan seorang pemain tegar (hardcore gamer), anda lebih pentingkan tempoh masa sedia bateri yang lebih lama, serta lebih gemarkan hiburan media, Redmi Note 7 adalah menurut orang Kokdiang – best bang for bucks.

Ia hadir dengan Android Pie, MIUI 10, dan pelbagai fungsi menarik yang terdapat pada kameranya menjadi ciri-ciri utama dalam menentukan pembelian serta minat anda.

Ia mungkin akan membuka aplikasi lewat satu atau dua saat dari peranti yang menggunakan flagship chipset, tetapi kelewatan itu tidak akan membunuh anda, manakala penjimatan akan membuat anda tersenyum memandang wang dalam akaun bank yang masih berbaki.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

EagleGet V2: Ulasan Bagi ‘Turbo Downloader’ Dan Klien Torrent [2019]

0

Saya sudah pernah menulis mengenai aplikasi kecil ini pada tahun 2015 dahulu. Cuma pada waktu itu, EagleGet masih belum cukup ‘matang’ seperti hari ini.

Setakat ini, alternatif IDM yang saya masih terus gunakan ialah Internet Download Accelerator (IDA). Pada saya IDA banyak menyerupai IDM sama ada dari segi paparan antaramuka pengguna mahupun ciri-cirinya.

Jadi EagleGet ini jatuh dalam kategori mana, dan sesuai digunakan oleh siapa?

Anda lihat saja pada tangkap layar di atas. Ianya tidak menyerupai langsung dari paparan antaramuka penggunanya kepada IDM. Oleh itu, buat anda yang sememangnya ‘tidak boleh hidup’ tanpa paparan antaramuka seperti itu, EagleGet tidaklah sesuai digunapakai.

Tangkap layar ini pula menunjukkan saya sudah menukar gambar latar belakangnya kepada gambar yang saya mahu. Sekarang EagleGet menjadi semakin ‘dekat’ dengan hati saya.

Jadi, kepada siapa ia disasarkan?

Mudah sahaja. Sudah tentulah kepada mereka yang sudah pun jemu dengan paparan IDM. Anda mungkin tidak, tetapi ramai lagi yang lain inginkan paparan pemuat turun dalam rupa bentuk baharu. Tidak lupa juga ia ada pelbagai tetapan yang sememangnya sesuai untuk ‘power users’.

Bagi anda yang sudah terbiasa dengan pengkategorian auto dari IDM, jangan bimbang.

EagleGet juga ada ciri ini. Anda cuma perlu tetapkan sahaja pada folder fail dengan extension tersebut perlu disimpan. Selebihnya akan diuruskan oleh EagleGet sendiri.

Anda mahu muat turun secara terus? Boleh.
Mahu muat turun secara berjadual? Pun boleh.
Kelajuan muat turun bagaimana? Lihat sahaja pada paparan tangkap layar di bawah.

Tetapi ia tidak berhenti setakat ini sahaja. EagleGet juga boleh digunakan untuk muat turun fail torrent.

Ya, ia juga dapat berfungsi sebagai klien torrent. Walaupun tetapan untuk muat turun torrent tidak begitu banyak, malah boleh dikatakan sangatlah minimal, tetapi untuk sekadar fungsinya itu, ia ‘cukup’.

Kelajuan muat turun bagi fail biasa dan fail torrent juga boleh dikatakan sepantas IDM.

Untuk pelayar Chrome, anda boleh pasang extension ini: EagleGet Free Downloader.

Manakala untuk Firefox pula, anda boleh ikut langkah dalam post ini: Steps to Properly Integrate EagleGet with Firefox.

Muat turun: EagleGet

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Cara Membuat Tetapan Ubuntu Dalam Windows 10 Menggunakan Hyper-V Manager

0

Windows 10 mungkin tidak mempunyai peminat tegar seperti Windows 7. Tetapi pada saya, Windows 10 adalah sistem operasi lengkap dengan pelbagai kemudahan sedia ada, dan sokongan kebelakang untuk perisian-perisian lama.

Antara perkara yang saya gemari tentang Windows 10 ini adalah ketersediaan sebuah ‘virtual machine’ yang dipanggil sebagai Hyper-V. Bagi peminat Linux, Hyper-V dapat menjalankan sistem operasi kegemaran seakan VirtualBox.

Tanpa melengahkan masa, mari kita lihat bagaimana cara untuk buat tetapan Hyper-V ini bagi memasang Ubuntu padanya. Anda juga boleh pasang mana-mana sistem operasi Linux yang lain, jika anda mahu.

1. Pertama sekali, lihat pada tangkap layar di atas. Anda perlu buka Control Panel dan hala ke Program and Features. Klik pada ‘Turn Windows features on or off’.

2. Seterusnya, klik pada kotak yang bertanda ‘Hyper-V’.

3. Tunggu sehingga kesemua keperluan untuk Hyper-V dimuat turun dan dipasang oleh Windows.

4. Apabila kesemua keperluan tersebut telah siap dipasang, anda perlu mulai semula komputer anda.

5. Setelah itu, anda sudah boleh mencari Hyper-V melalui menu. Untuk mudahkan kerja, cari sahaja menggunakan ‘butang carian’ yang ada di sebelah butang menu.

6. Pada tangkap layar di atas, anda dapat lihat kita sudah mula untuk membuat tetapan dengan menekan menu New – Virtual Machine.

7. Berikan nama mesin virtual anda, sesuai dengan sistem operasi yang anda ingin pasang. Anda juga boleh menukar lokasi direktori pemasangan sekiranya anda mahu.

8. Di sini, anda perlu memilih jenis generasi mesin virtual. Saya saran agar anda pilih 64-bit.

9. Kemudian, tetapkan saiz RAM yang boleh digunakan oleh mesin virtual. Anda boleh masukkan jumlah separuh dari saiz RAM anda, dan ia tidak akan memberikan apa-apa masalah pada prestasi komputer. Contohnya saya mempunyai 6GB RAM, jadi saya tetapkan 3GB untuk mesin virtual.

10. Bagi tetapan rangkaian, ianya adalah ‘straight forward’. Gunakan sahaja ‘Default Switch’.

11. Di sini anda perlu tetapkan saiz cakera keras/cakera pejal. Bagi Ubuntu, saiz minima yang boleh ditetapkan adalah sebanyak 25GB. Jika anda nak letakkan lebih pun tidak mengapa, terpulang.

12. Setelah itu, anda perlu ‘browse’ atau cari fail ISO yang telah dimuat turun. Ibaratkan ia seperti ‘mount’ ISO pada mesin virtual anda.

13. Kini tetapan telah pun siap. Anda boleh klik pada ‘Finish’ untuk menyudahkan ia.

14. Sebelum saya terlupa, pada bahagian tetapan untuk mesin virtual Ubuntu ini, anda perlu nyahtanda pada kotak ‘Secure Boot’ untuk mengelakkan dari sebarang masalah pada waktu booting.

15. Anda boleh klik pada butang ‘Connect’, dan seterusnya ‘Start’ untuk memulakan mesin virtual Ubuntu anda.

Siap! Sekarang anda sudah boleh memulakan pemasangan penuh Ubuntu. Asalkan ia berjaya boot ke desktop, anda tidak perlu bimbang tentang perkara lain.

Jadi bagaimana? Mudah atau tidak cara penetapan mesin virtual Hyper-V ini?

Sekiranya mudah dan menarik, kongsikan tutorial ini kepada rakan-rakan anda. Selamat mencuba.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Internet Download Accelerator: Alternatif IDM Percuma Yang Padu

3

Banyak sungguh alternatif kepada IDM silih berganti dipapar dan diulas dalam laman ini. Tetapi kesemuanya tidak sama dengan yang satu ini.

Ia bernama Internet Download Accelerator, atau kependekkan namanya – IDA.

Jadi, apa keistimewaan perisian ini?

Sekali imbas, selain namanya yang hampir kepada Internet Download Manager (IDM), paparan antaramuka penggunanya juga tidaklah terlalu jauh berbeza, kecuali tetingkap kecil informasi muat turun.

Cuba anda lihat pada tangkap layar di bawah, dan cuba bandingkan ia dengan tetingkap informasi IDM.

Tetingkap informasi IDA.

Bagi paparan antaramuka tetingkap kecil untuk informasi, memang ada perbezaan ketara antara keduanya.

Tetingkap informasi IDM.

Selain itu, apa lagi yang menarik tentang IDA ini?

Pada saya perkara paling menarik sudah tentulah paparan antaramuka pengguna yang seakan-akan IDM. Nampak macam sama, tapi tetap tidak serupa.

“Nampak macam dia, tapi bukan dia”.

Selain itu, ia juga mempunyai beberapa tema (skin) yang boleh diguna untuk menukar paparannya kepada skema warna yang disukai oleh pengguna.

Tema atau skin yang ada tidak banyak, tetapi kalau anda tahu caranya, anda boleh buat sendiri.

Saya? Saya tiada masa untuk sakit kepala. Guna sahaja apa yang ada. Di bawah adalah contoh setelah temanya diubah.

Lagi? Apa yang menarik?

Sudah tentulah ia mempunyai hampir kesemua ciri IDM, contohnya anda boleh muat turun video-video yang ditekap ke laman (embedded) dari YouTube (maaf, tak pasti istilah itu betul atau tidak).

Boleh juga muat turun secara terus dari laman YouTube, menggunakan bantuan extension/addon IDA.

IDA Chrome: Chrome Web Store

IDA Firefox: Extension for Firefox

Berikut adalah contoh tetingkap yang keluar apabila anda klik butang ‘Add Download’.

Dari situ anda boleh pilih resolusi video yang anda mahu, simpankan ia di dalam mana-mana direktori, tukar nama video, dan sebagainya lagi.

Lesen bagi perisian ini adalah percuma. Walau bagaimanapun, anda boleh membeli lesen ‘Pro’ untuk pelbagai ciri tambahan yang tiada pada versi percuma. Harganya hanyalah RM41.10 sahaja (PayPal) atau RM43.15 (debit/credit card).

Sejauh yang telah saya uji, setakat ini tiada keperluan untuk saya beli versi pro, melainkan saya ingin menyokong pembangunan IDA ini. Jika anda juga menggunakan versi percuma, terdapat tetingkap iklan kecil pada paparan muat turunnya.

Itu sahaja. Ciri-ciri yang lain pada saya semuanya sudah menyamai IDM dan dapat terus digunakan secara percuma.

Perbezaan dengan IDM yang paling ketara pada saya ialah sewaktu di hujung proses muat turun. Biasa bukan, apabila IDM sudah hampir habis memuat turun fail yang anda mahu, ia akan ‘menyedut’ kesemua kuasa pada CPU hingga kadang-kadang lembab komputer dibuatnya.

Tetapi IDA tidak begitu. Anda tidak akan terasa prosesnya berakhir. Itulah yang paling penting, di mana ia kurang menggunakan kuasa komputer anda, tetapi prestasinya adalah sama, atau boleh dikatakan lebih baik dari IDM.

Tetapi cakap panjang tak guna, kerana anda patut mencubanya sendiri.

Saya sudah bebas dari IDM. Anda bila lagi?

Muat turun IDA di sini: Internet Download Accelerator.

Views: 12

Iklan Newspaper Inline

Franz: Aplikasi Hub Permesejan Semua Dalam Satu

0

Dibuat dan dikodkan dari Vienna, aplikasi Franz mula bertapak perlahan-lahan sebagai aplikasi permesejan setempat atau hub.

Ianya percuma, dan menyokong pelbagai servis permesejan seperti WhatsApp, Telegram, WeChat, Android Messages, Discord, dan servis emel seperti Gmail, Protonmail, Outlook, dan sebagainya lagi.

Anda boleh lihat dahulu pada paparan tangkap layar berikut bagaimanakah rupanya.

Pada asalnya saya hendak mencuba dan mengulas serba sedikit mengenai aplikasi Shift. Akan tetapi disebabkan kebanyakan ciri yang menarik hanya terdapat pada versi berbayar (yang agak mahal bagi saya), maka pencarian alternatif dilakukan.

Atas sebab itulah Franz muncul di tengah-tengahnya.

Antara ciri Franz yang saya paling suka ialah ia menyokong pengehos emel peribadi, contohnya Roundcube. Selain itu ia juga boleh digunakan untuk log masuk ke emel berbilang tanpa perlu ‘membayar’ lebih untuk ciri tersebut (saya sedang melihat anda dengan renungan yang tajam, SHIFT). Anda boleh semak senarai servis yang disokong oleh Franz di sini: Franz – Services.

Oh ya, anda juga tidak perlu membayar lebih untuk mendapatkan ciri tema gelap. Anda hanya perlu aktifkan ia pada ruang tetapan.

Cuma kalau ada satu perkara yang saya tidak beberapa ‘berkenan’ dengan Franz ialah penggunaan memorinya. Anda boleh semak dan kira sendiri berapakah jumlah RAM yang digunakan oleh Franz pada tangkapan layar di bawah.

Oleh itu, untuk menggunakan Franz dengan selesa disamping pelayar web, anda memerlukan lebih dari 4GB memori.

Selain itu, anda perlu menunggu beberapa saat sebelum dapat menggunakan Franz apabila ia dibuka semula setelah ditutup. Jika anda mahu menghilangkan pemasa tersebut, anda bolehlah membeli ‘Franz Supporter License’.

Apa yang menariknya, anda boleh jalankan aplikasi permesejan, emel, atau mana-mana servis yang ditawarkan lebih dari satu tanpa perlu apa-apa bayaran (seperti Shift). Ini bermakna, jika anda ingin jalankan WhatsApp Web sebanyak 3 akaun atau lebih, anda boleh lakukannya.

Apa pun pada saya, bagi sebuah aplikasi percuma yang menyokong berbagai jenis servis, dan versi berbayarnya pula hanyalah untuk menyokong pembangun, Franz adalah satu medium permesejan yang perlu lebih dikenali ramai orang.

Ia menyokong platform/sistem operasi Windows, MacOS dan Linux. Ya, sokongan platform berbilang adalah sangat-sangat dialu-alukan.

Muat turun Franz di sini: Franz.

Views: 5

Iklan Newspaper Inline

Cara Melangkau Google ReCAPTCHA

1

Terkadang kita rasa ‘menyampah’ juga dengan ciri reCAPTCHA yang dikuasakan oleh Google kerana disebalik cirinya yang membantu ‘menyelamatkan’ laman sesawang dari diceroboh, ia juga adakalanya menyusahkan pengguna.

Disamping kita menyelesaikan captcha tersebut, kita juga secara tidak langsung membantu Google dalam usaha mereka ‘mengajar’ atau melatih algoritma kecerdasan buatan mereka menjadi lebih pintar.

Tetapi bukan itu yang kita mahu, kerana selain ciri keselamatan, kita juga mahu menjimatkan masa.

Kadangkala captcha tersebut meminta juga kita selesaikan masalah captcha yang lain walaupun captcha sebelumnya sudah betul. Jika hanya 2 atau 3, mungkin boleh diterima lagi. Tetapi apabila sudah sampai 5 kali, orang sabar pun boleh hilang akal. Mungkin ada yang berkata ia masih meminta kerana kita ‘tersalah’ selesaikannya.

Tetapi pada saya tak mungkin pula saya tidak kenal rupa bas, basikal, dan alat penyambung hos pemadam kebakaran.

Ya, dulu saya juga pernah pergi ke sekolah.

Oleh itu di sini saya perkenalkan satu cara mudah untuk melangkau (bypass) Google reCAPTCHA.

Caranya adalah dengan menekan butang audio. Demo berikut dibuat pada laman CIMB Clicks.

Cara ini lebih cepat lagi kerana anda tidak perlu selesaikan ‘puzzle’ gambar yang sama, sebaliknya anda perlu dengar sahaja audio yang dikeluarkan dan taipkan ia pada kotak jawapan. Sekiranya anda tidak dapat mendengar apa-apa audio, anda boleh juga muat turun audio yang disediakan dan dengar dengan baik melalui fon telinga atau kepala.

Lihat gambar di bawah sebagai rujukan anda.

Bagaimana kalau saya katakan kepada anda ada lagi cara lebih mudah.

Tak perlu selesaikan ‘puzzle’, tak perlu mendengar audio, sebaliknya captcha akan diselesaikan secara automatik oleh satu extension iaitu Buster: Captcha Solver for Humans. Extension ini terdapat untuk pengguna pelayar Chrome dan Firefox.

>>> Captcha Solver: Auto Recognition and Bypass

>>> Buster For Firefox

Apabila keluar sahaja captcha seperti tangkap layar di bawah ini, anda klik pada ikon Buster, dan ia akan ‘mendengar’ audio yang dikeluarkan, lalu secara automatik memasukkan jawapan pada kotak. Anda tidak lagi perlu berasa serabut dengan ‘masalah’ ini. Setiap kali ada captcha, maka Buster sudah tersedia untuk menyelesaikannya.

Anda boleh cuba extension ini pada laman seperti CIMB Clicks, dan lain-lain laman yang mengimplementasi Google reCAPTCHA – selagi Google tidak memadam Buster dari Google Web Store, selagi ia masih berada dalam laman Firefox Add-ons, dan selagi Google tidak mengemaskini atau mengubah reCAPTCHA tersebut kepada ‘versi’ lain.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Misteri Dilaila: ‘Dua’ Buah Filem Yang Unik Dan Menarik

0

Assalamualaikum, salam sejahtera. Nampak gayanya baru hari ini saya sempat untuk memberi ulasan tentang filem baru karya Syafiq Yusof yang bertajuk Misteri Dilaila. Saya berkesempatan menonton bersama isteri saya, namun begitu saya baru sahaja menonton versi 1.  Ini adalah sedikit coretan tentang filem arahan Syafiq Yusof yang mempunyai dua versi pengakhiran.

SINOPSIS V1

Pasangan suami isteri Jefri dan Dilaila telah pergi bercuti di sebuah banglo mewah. Bagaimanapun, percutian mereka tidak seperti yang dijangka apabila Jefri mula diganggu kejadian aneh pada malam pertama di banglo tersebut.

Pada keesokan harinya, Jefri mendapati isterinya telah hilang. Apabila seorang lelaki bernama Imam Aziz memaklumkan yang Dilaila sudah ditemui, Jefri terkejut kerana dia mendapati wanita itu bukan isterinya, tetapi wanita itu mengakui dirinya sebagai Dilaila.

ULASAN

Pertama sekali, tahniah Syafiq Yusof kerana anda kreatif menghasilkan dua versi untuk filem ini. Secara jujurnya saya masih belum menonton versi kedua. Tetapi, apa yang saya rasa, saya masih tidak berpuas hati kerana tidak dapat menonton penuh kedua versi.

Secara jujurnya versi v1 ini mempunyai kekuatan cerita tersendiri. Pusingan plot yang tidak terjangka membuatkan saya sendiri merasa tertipu apabila menonton. Setiap babak digarap dengan begitu baik dan juga disusun begitu baik.

Filem ini menimbulkan persoalan tersendiri kepada kaki wayang, penggemar filem melayu dan juga penonton biasa yang menonton. Bagi saya, Syafiq mungkin banyak mengadaptasi filem-filem kegemaran beliau dalam jalan cerita v1 ini.

Filem ini mempunyai kekuatan daripada penghayatan lakonan oleh pelakon-pelakon. Oleh itu saya harus memberi pujian kepada Zul Arifin, Elizabeth Tan dan juga Sasqia. Mereka berjaya membawakan watak mereka dengan baik. Skor muzik pada filem ini sangat menarik dan sedap didengar.

Dari segi visual, latar, warna pada filem, saya puji memang cantik. Kebanyakan babak disunting begitu baik sehinggakan anda rasa ia bukan yang digarap dalam Malaysia.

KELEMAHAN

Kelemahan ketara dalam filem ini ialah, lubang cerita (plothole) yang sebenarnya boleh mengganggu cerita. Ia memerlukan pengetahuan penonton yang menonton filem ini. Sebagai contoh, babak dimana Sasqia (Dilaila II/Farah)  membancuh kopi dan meletakkan sesuatu kedalam minuman Jeffri di mana kemudiannya Imam Aziz meminum kopi tersebut lalu pengsan.

Paling ketara pelik apabila Imam Aziz muncul dalam kekalutan Jeffri mencari isterinya yang hilang.  Saya rasa mungkin saya boleh kongsikan beberapa lagi lubang cerita, namun tidak mengapa, mungkin Syafiq Yusof mahu penonton membuat kesimpulan sendiri tentang karya beliau ini.

Paling saya tidak suka, terlalu banyak jump scares dalam Misteri Dilaila ini. Seperti dibuat-buat dan terlalu klise. Maaf Syafiq, sepatutnya anda perlu mengurangkan elemen sebegini dalam filem thriller/ horror. Pada pendapat saya anda perlu membuat hantu atau roh yang mengganggu watak utama muncul secara ‘perlahan-lahan’ dan kehadirannya membuatkan penonton sendiri berasa takut dengan suasana seram secara ‘semulajadi’.

ULASAN V2

Ulasan v2 ini adalah dari saya pula, iaitu Arya Putra.

Pada saya, terdapat kekeliruan terhadap hantu-hantu yang muncul dalam filem kerana mereka seakan-akan tiada kaitan dengan jalan cerita. Entah datang dari mana, saya tidak beberapa mengerti melainkan hantu yang berwajah serupa dengan Dilaila.

Ini adalah kerana, Dilaila sendiri ada menyatakan yang rumah tersebut telah sedia dihantui oleh entiti yang menyerupai wajahnya. Jadi, bab kekeliruan pada hantu berwajah Dilaila tidak timbul, melainkan hantu-hantu lain yang hadir dengan wajah hodoh, serta mengganggu Jefri tidak kira apa jua keadaan ketika itu.

Cuma saya boleh puji pengakhiran kepada jalan cerita v2, kerana walaupun agak tergantung, tetapi ia berjaya membuatkan saya ingin tahu apa yang berlaku selepas Jefri dan anggota polis tersebut cuba beredar dari banglo itu. Ya, ada ‘jump scare’ buat mereka yang menanti sekiranya ada lagi apa-apa babak tambahan selepas itu, namun ia tidak memberikan sebarang erti signifikan kerana rumusan dari apa yang boleh saya fikirkan ialah, rumah itu memang sudah sedia berhantu dari mula lagi.

Saya berharap agar rakyat Malaysia dapat menunjukkan sokongan dengan pergi menonton filem ini, walaupun terdapat desas-desus mengatakan Syafiq telah memplagiat beberapa filem lain yang telah ditayangkan sebelum ini.

PENARAFAN DURIAN BURUK: 6.5/10

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Rom-Comm Mixtape: Album Eksperimental Yang Dibuat Menggunakan Ubuntu Studio

0

Tahukah anda, tahun lepas terdapat satu band yang telah menghasilkan sebuah album penuh dengan hanya menggunakan alatan (tool) sumber terbuka, termasuklah sistem operasinya iaitu Ubuntu Studio, salah satu dari variasi distribusi Ubuntu yang ada.

Band tersebut adalah Lorenzo’s Music dan albumnya bertajuk Rom-Comm Mixtape, dengan genre eksperimental.

Proses rakaman, mastering, penyuntingan video, penyuntingan gambar kulit album, dan lain-lain proses dibuat menggunakan 100% perisian dan aplikasi sumber terbuka.

Album yang dikeluarkan terdapat pada platform Spotify, Apple Music, Google Play Music, Amazon, Bandcamp dan YouTube. Disebabkan ia dilesenkan di bawah creative commons license, sesiapa sahaja boleh muat turun dan gunakan lagu-lagu mereka untuk apa-apa tujuan, asalkan kredit diberi kepada band mereka.

Apa yang menarik, hanya dari percubaan melalui live boot (USB), vokalis Lorenzo’s Music, Tom Ray beralih sepenuhnya kepada Ubuntu Studio dengan menyediakan sebuah laptop khusus untuk memasang serta menggunakan sistem operasi tersebut bagi tujuan pembuatan album.

Apakah aplikasi yang ada dalam Ubuntu Studio? Antara ialah:

JACK, Ardour, Audacity, Qtractor, Hydrogen, Yoshimi, Rakarrack, Guitarix, Gladish, dan sebagainya lagi.

Memang banyak, dan kalau anda mahir Digital Audio Workstation (DAW) seperti Ardour, boleh jadi anda juga mampu menyunting dan menyiapkan mastering bagi sesebuah album band yang anda minati.

Kenapa tidak anda mulakan dari sekarang?

Ardour.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline