Misteri Dilaila: ‘Dua’ Buah Filem Yang Unik Dan Menarik

Assalamualaikum, salam sejahtera. Nampak gayanya baru hari ini saya sempat untuk memberi ulasan tentang filem baru karya Syafiq Yusof yang bertajuk Misteri Dilaila. Saya berkesempatan menonton bersama isteri saya, namun begitu saya baru sahaja menonton versi 1.  Ini adalah sedikit coretan tentang filem arahan Syafiq Yusof yang mempunyai dua versi pengakhiran.

SINOPSIS V1

Pasangan suami isteri Jefri dan Dilaila telah pergi bercuti di sebuah banglo mewah. Bagaimanapun, percutian mereka tidak seperti yang dijangka apabila Jefri mula diganggu kejadian aneh pada malam pertama di banglo tersebut.

Pada keesokan harinya, Jefri mendapati isterinya telah hilang. Apabila seorang lelaki bernama Imam Aziz memaklumkan yang Dilaila sudah ditemui, Jefri terkejut kerana dia mendapati wanita itu bukan isterinya, tetapi wanita itu mengakui dirinya sebagai Dilaila.

ULASAN

Pertama sekali, tahniah Syafiq Yusof kerana anda kreatif menghasilkan dua versi untuk filem ini. Secara jujurnya saya masih belum menonton versi kedua. Tetapi, apa yang saya rasa, saya masih tidak berpuas hati kerana tidak dapat menonton penuh kedua versi.

Secara jujurnya versi v1 ini mempunyai kekuatan cerita tersendiri. Pusingan plot yang tidak terjangka membuatkan saya sendiri merasa tertipu apabila menonton. Setiap babak digarap dengan begitu baik dan juga disusun begitu baik.

Filem ini menimbulkan persoalan tersendiri kepada kaki wayang, penggemar filem melayu dan juga penonton biasa yang menonton. Bagi saya, Syafiq mungkin banyak mengadaptasi filem-filem kegemaran beliau dalam jalan cerita v1 ini.

Filem ini mempunyai kekuatan daripada penghayatan lakonan oleh pelakon-pelakon. Oleh itu saya harus memberi pujian kepada Zul Arifin, Elizabeth Tan dan juga Sasqia. Mereka berjaya membawakan watak mereka dengan baik. Skor muzik pada filem ini sangat menarik dan sedap didengar.

Dari segi visual, latar, warna pada filem, saya puji memang cantik. Kebanyakan babak disunting begitu baik sehinggakan anda rasa ia bukan yang digarap dalam Malaysia.

KELEMAHAN

Kelemahan ketara dalam filem ini ialah, lubang cerita (plothole) yang sebenarnya boleh mengganggu cerita. Ia memerlukan pengetahuan penonton yang menonton filem ini. Sebagai contoh, babak dimana Sasqia (Dilaila II/Farah)  membancuh kopi dan meletakkan sesuatu kedalam minuman Jeffri di mana kemudiannya Imam Aziz meminum kopi tersebut lalu pengsan.

Paling ketara pelik apabila Imam Aziz muncul dalam kekalutan Jeffri mencari isterinya yang hilang.  Saya rasa mungkin saya boleh kongsikan beberapa lagi lubang cerita, namun tidak mengapa, mungkin Syafiq Yusof mahu penonton membuat kesimpulan sendiri tentang karya beliau ini.

Paling saya tidak suka, terlalu banyak jump scares dalam Misteri Dilaila ini. Seperti dibuat-buat dan terlalu klise. Maaf Syafiq, sepatutnya anda perlu mengurangkan elemen sebegini dalam filem thriller/ horror. Pada pendapat saya anda perlu membuat hantu atau roh yang mengganggu watak utama muncul secara ‘perlahan-lahan’ dan kehadirannya membuatkan penonton sendiri berasa takut dengan suasana seram secara ‘semulajadi’.

ULASAN V2

Ulasan v2 ini adalah dari saya pula, iaitu Arya Putra.

Pada saya, terdapat kekeliruan terhadap hantu-hantu yang muncul dalam filem kerana mereka seakan-akan tiada kaitan dengan jalan cerita. Entah datang dari mana, saya tidak beberapa mengerti melainkan hantu yang berwajah serupa dengan Dilaila.

Ini adalah kerana, Dilaila sendiri ada menyatakan yang rumah tersebut telah sedia dihantui oleh entiti yang menyerupai wajahnya. Jadi, bab kekeliruan pada hantu berwajah Dilaila tidak timbul, melainkan hantu-hantu lain yang hadir dengan wajah hodoh, serta mengganggu Jefri tidak kira apa jua keadaan ketika itu.

Cuma saya boleh puji pengakhiran kepada jalan cerita v2, kerana walaupun agak tergantung, tetapi ia berjaya membuatkan saya ingin tahu apa yang berlaku selepas Jefri dan anggota polis tersebut cuba beredar dari banglo itu. Ya, ada ‘jump scare’ buat mereka yang menanti sekiranya ada lagi apa-apa babak tambahan selepas itu, namun ia tidak memberikan sebarang erti signifikan kerana rumusan dari apa yang boleh saya fikirkan ialah, rumah itu memang sudah sedia berhantu dari mula lagi.

Saya berharap agar rakyat Malaysia dapat menunjukkan sokongan dengan pergi menonton filem ini, walaupun terdapat desas-desus mengatakan Syafiq telah memplagiat beberapa filem lain yang telah ditayangkan sebelum ini.

PENARAFAN DURIAN BURUK: 6.5/10

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x