Utama Blog Laman 115

Tronsmart Element T6 Plus: Penyedap Halwa Telinga Peminat Muzik Dan Filem

2

Banyak produk berasaskan Bluetooth yang menjanjikan kepuasan ketika melayani irama muzik mahupun menonton filem. Cuma berapa banyak yang benar-benar memenuhi kriteria yang telah dijanjikan itu?

Tronsmart adalah satu-satunya jenama yang jarang menghampakan. Benar, harga bagi produk-produknya agak tinggi sedikit tetapi kualiti yang dihasilkan adalah bertaraf premium.

Tronsmart Element T6 Plus adalah pembesar suara Bluetooth yang mempunyai julat bunyi yang tinggi. Sekali dengar, seakan kita memasang pembesar suara kereta yang mahal, tetapi rupanya hanyalah datang dari sebuah pembesar suara bersaiz sederhana sahaja.

Sebelum meneruskan artikel lebih lanjut, mari kita buka kotak terlebih dahulu.

Anda boleh lihat dari luar kotak, rekaannya sahaja sudah cukup untuk menggamit mata.

Apa yang ada dalam kotak?

  • 1 x Pembesar suara Bluetooth Element T6 Plus.
  • 1 x Kabel audio 3.5mm.
  • 1 x Kabel pengecas USB-C.
  • 1 x Kad waranti.
  • 1 x Manual pengguna.

Apa yang menariknya?

Model ini sebenarnya adalah model naik taraf bagi versi sebelumnya iaitu T6 Element. Rekaannya agak moden dengan menampilkan dua variant warna iaitu merah dan hitam.

Apa yang saya suka mengenainya?

Pembesar suara ini mempunyai 3 equalizer, ciri True Wireless Stereo (TWS) yang boleh menghubungkan dua pembesar suara bagi mendapatkan impak maksimum, serta ia juga adalah kalis air dengan penarafan IPX6!

Oh ya, tidak lupa juga ia ada ciri reverse charging, yang mampu menjadikan ia sebagai powerbank anda.

Element T6 Plus ada teknologi baharu yang diimplementasikan kepadanya iaitu SoundPulse™, di mana ia mampu mengeluarkan output sebanyak 40W menjadikan kualiti bunyi terutamanya bass dan vokal kedengaran lebih jelas dan ‘tajam’.

Sebelum saya menyambung ulasan, eloklah anda dengarkan dahulu kualiti bunyinya melalui video di bawah. Ianya dirakam hanya menggunakan telefon pintar saya (Redmi Note 7) dan lagu yang dimainkan adalah dari band tempatan iaitu Langsuir bertajuk Gentayangan Bajingan Malam. Diakui kualiti rakaman studio bagi lagu tersebut bukanlah yang terbaik, tetapi anda akan dapat nilaikan sendiri bagaimana bunyi yang terhasil dari pembesar suara ini.

Pastikan anda mendengar menggunakan fon kepala terbaik ya.

Bateri Element T6 Plus adalah berkapasiti sebanyak 6600mAh dan dapat dicaj dengan cepat dalam tempoh lebih kurang 3 hingga 5 jam. Jika anda menggunakan telefon yang mempunyai pengecaj dengan USB Type-C, maka anda dapatlah ‘pinjamkan’ pengecaj tersebut kepada Element T6 Plus.

Setakat ini saya masih belum berjaya menghabiskan kuasa baterinya. Ya, memang lama sungguh ketahanan bateri sedangkan saya sudah pun melayan drama di Netflix berjam-jam. Maaf, untuk ini anda kenalah cuba sendiri berapa jamkah ia akan habis. Menurut laman web Tronsmart, ia mampu bertahan sehingga 15 jam.

Dengan ciri True Wireless Stereo atau TWS, anda akan dapat menghubungkan dua pembesar suara kepada telefon atau tablet/laptop anda. Kalau satu pun sudah mampu menggegar rumah, jika anda gabungkan ia dengan sebuah lagi Element T6 Plus, anda mungkin boleh sewakan rumah sebagai pawagam mini di hujung minggu.

Ulasan ini belum habis lagi ya.

Terdapat kemudahan untuk anda berhubung dengan pembantu peribadi maya atau virtual assistant, dengan cara menekan butang volume di atasnya. Ia akan segera mengaktifkan Google Assistant untuk Android atau Siri untuk iOS.

Di dalamnya terdapat dua pemacu yang akan menghasilkan bunyi stereo. Rujuk pada gambar di bawah.

Equalizer yang saya sebutkan di atas ada 3 iaitu Vocal, 3D Deep Bass dan Extra Bass. Setakat ini pada halwa telinga saya, saya memilih Vocal kerana bunyi untuk low range yang dihasilkan tidak begitu tenggelam atau menenggelamkan bunyi mid range.

Namun high mid range kedengaran agak bingit, seperti yang anda dapat dengar dalam video di atas. Tetapi saya tidak beberapa hendak kisahkan sangat dek kerana saya lebih mendengar muzik metal berbanding genre lain. Sewaktu saya berada dalam sebuah band di Ipoh dahulu, saya adalah vokalisnya. Jadi tidak hairan jika saya lebih memilih ke arah vokal. Jika anda sukakan Hip-Hop, anda boleh beralih kepada 3D Deep Bass atau Extra Bass.

Ia menggunakan teknologi Bluetooth 5.0 dan jarak bagi pembesar suara ini dengan peranti anda yang lain adalah 20 meter. Ia juga menempatkan pembaca kad MicroSD, serta slot bagi pemacu USB.

Konklusi

Harga bagi Tronsmart Element T6 Plus ialah RM339 dan anda boleh membuat pembelian melalui Shopee atau Lazada.

Adakah harganya berbaloi? Begini. Saya tidak mahu ulasan saya menjadi justifikasi bagi pembelian anda. Wang anda yang telah susah payah dicari haruslah digunakan ke arah yang benar-benar memberikan kepuasan maksima. Oleh itu siapakah yang sesuai mendapatkan pembesar suara dari Tronsmart ini?

Bagi anda yang sangat menggemari muzik, juga suka menonton filem dengan keselesaan berada di rumah, ia adalah peneman terbaik yang boleh saya syorkan setakat ini. Saya berani jamin anda tidak akan hampa.

Kita sedia maklum produk dari Tronsmart hadir dengan waranti dan mudah untuk anda hubungi pihak mereka. Kualiti produknya usah dipersoalkan lagi, kerana contohnya powerbank Tronsmart Prestro yang saya gunakan sejak tahun 2017 masih lagi berfungsi dengan baik hingga ke hari ini.

Pendek kata, sekiranya anda sudah ada modalnya, dan tidak terasa ralat hendak membelanjakan sebanyak RM300+ bagi memperolehi alat pemberi hiburan ekstra, silakanlah lakukan pembelian yang anda tangguh itu kerana menanti ulasan ini.

Views: 8

Iklan Newspaper Inline

Meneliti Microsoft Edge Chromium: ‘Modded Chrome’?

0

Kredit gambar muka depan: Ha Minh Le (Twitter).

Setelah beberapa minggu saya menggunakan Microsoft Edge (Canary) ini, dan juga setelah begitu banyak laporan demi laporan saya buat semata-mata hendak Microsoft memperbaiki bugs pada laman Netflix, akhirnya ia telah menampakkan hasil dan saya menjadikan Edge sebagai pelayar utama.

Tetapi kenapa?

Kenapa saya memilih Edge?

Kerana saya nampak kemajuannya dari semasa ke semasa. Jika anda seperti saya, yang kerap menghantar laporan pepijat atau bugs report kepada Microsoft dan kemudian dapat melihat hasilnya, anda pasti akan dapat terasa satu bentuk kepuasan dalam hati.

Sebelum ini contohnya, Netflix tidak dapat dimainkan dengan baik. Ia hanya akan memaparkan video ‘skrin hitam’ dengan audio, sama seperti di awal pembangunan Chrome dahulu. Selepas beberapa minggu laporan dibuat, akhirnya Microsoft berjaya membaiki ralat tersebut dan Netflix dapat dinikmati seperti mana anda menontonnya di Chrome.

Cuba anda buat laporan yang sama untuk Chrome, kepada Google. Adakah anda akan dapat kemas kini tentang kemajuan pembaikan ralat atau pepijat yang sedang dijalankan seperti emel yang saya terima ini?

Ya, hanya setelah Netflix dapat dimainkan tanpa ‘skrin hitam penuh’ itu, barulah saya mula menggunakan Edge secara serius, dan terus terang saya katakan, kini saya peminat Edge.

Saya suka memberikan laporan lalu mendapat kemas kini pemajuan pembangunan semasanya.

Microsoft buat saya terasa seperti orang penting.

Disebabkan ia masih lagi dalam peringkat pembangunan yang amat laju/pesat, sudah semestinya akan ada beberapa ciri yang masih belum cukup sempurna. Contohnya adakala extension akan crash/corrupt, dan anda perlu tekan pada ‘Repair’ untuk membaikinya.

Tetapi itu hanyalah perkara biasa, kerana Chrome juga kadangkala akan buat ‘perangai’ yang sama sekiranya extension tersebut kurang serasi dengannya.

Bagaimana dengan kelajuannya?

Jika anda pernah menggunakan Edge versi enjin lamanya EdgeHTML/Chakra, anda pasti akan tahu bahawa Microsoft tidak gagal dalam menjadikan ia pelayar yang ringan dan laju. Dari segi extension/addon sememangnya ia tidak beberapa berjaya, namun dari segi prestasi Edge tidak menghampakan.

Sebaik ia beralih kepada asas Chromium, mereka perlu bermula dari awal untuk melakukan penalaan versi mereka terhadap kelajuannya. Apa yang saya boleh beritahu mengenainya, anda tidak akan terasa perbezaan ketara antara kelajuan Chrome dan Edge ini.

Cuma mungkin ada beberapa perkara kecil seperti jika anda beralih dari satu tab ke satu tab lain, kemudian anda terus buka tab yang sedang memainkan media (contohnya Netflix), ia akan terus memainkannya dengan cepat. Ok, mungkin ada sedikit lag, tetapi tidaklah terlalu teruk seperti Firefox.

New Tab Page

Tiada apa yang terlalu inovatif di sini, kerana ia tidak berbeza sangat dengan apa yang anda dapat lihat pada Edge versi lama. Saya cuma suka dengan paparan berita di bawah speed dial, kerana kadang-kadang ada ternampak sesuatu yang melucukan, dan ada waktu lainnya ternampak pula sesuatu yang menakutkan/menyayat hati.

Kerja tak jalan bila rajin melihat bahagian tersebut.

Tetapan

Secara jujurnya, saya lebih menyukai bagaimana Microsoft menyusun tetapan-tetapan dan paparannya. Ia nampak lebih kemas serta mudah dilihat tanpa perlu tercari-cari lokasi tetapan yang diinginkan.

Tidak lupa juga, anda boleh buat penyelarasan tetapan menggunakan akaun Microsoft anda, sama seperti anda selaraskan tetapan dengan menggunakan akaun Google pada Chrome.

Setakat ini penyelarasan dapat dibuat dengan baik, walaupun adakalanya ralat berlaku, dan anda perlu log keluar lalu log masuk semula untuk menghapuskan ralat tersebut.

Muat Turun

Cukuplah sedikit nukilan saya setakat ini. Anda hendak tahu lebih lanjut? Cuba sendiri.

Muat turun Edge di sini: Microsoft Edge Insider.

Kini ia terdapat untuk Windows 7 juga! Cubalah sekarang dan jangan lupa untuk komen mengenai pendapat anda sendiri.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Coocaa Memasuki Pasaran Malaysia Melalui E-Dagang, Eksklusif Bersama Lazada

0
TV Mampu Milik yang Memenuhi Gaya Hidup Anda.

●Dilancarkan di Indonesia, Thailand dan Vietnam pada tahun 2018, coocaa muncul sebagai jenama perkakasan rumah nombor 1 terlaris bagi Lazada Asia Tenggara dalam tempoh lapan bulan pelancarannya.
●Ini merupakan kemasukan coocaa di ASEAN yang kelima – mengukuhkan lagi kedudukannya selaku sebuah jenama e-dagang dan mengeratkan lagi hubungan dengan Lazada melalui Usahasama Rancangan Perniagaan dengan mereka.
●Coocaa komited dalam membawa produk TV Pintar yang inovatif dan berkualiti tinggi, dilengkapi dengan teknologi terkini yang canggih, pada harga mampu milik.

coocaa, jenama TV Pintar yang baru telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada hari Khamis, 27 Jun.  coocaa merupakan jenama TV e-dagang sepenuhnya yang hanya boleh diperolehi secara eksklusif di Lazada.  Usahasama coocaa-Lazada yang dijalin semenjak bulan Ogos 2018 telah menerajui kemasukkan coocaa ke beberapa pasaran Asia Tenggara. coocaa yang telah dilancarkan di Indonesia pada Ogos 2018, dengan serta merta menguasai pasaran dan menjadi jenama TV nombor 1 di Lazada.  Berikutan kejayaannya di pasaran Indonesia, coocaa melancarkan pembukaan kedainya secara rasmi di Lazada Thailand pada November 2018 diikuti dengan Vietnam dalam tempoh yang sama dan Filipina pada awal tahun ini.

“Kami teruja membawa coocaa ke pasaran Malaysia. Kami merupakan jenama baru yang berinovasi dan mensasarkan pelanggan dari golongan muda yang pintar digital dan menghargai serta menghayati akan keunggulan paparan berdefinisi tinggi semasa menonton mahupun bermain game serta kejituan sambungan talian yang disediakan oleh TV kami.  Melalui usahasama yang kami jalin bersama Lazada, salah satu dari platform e-dagang terunggul di Malaysia, ditambah pula dengan peningkatan jualan alatan elektronik melalui platform e-dagang, kami optimistik akan membawa impak besar kepada industri TV Pintar.  Dan hari ini, kami berbangga untuk menampilkan TV Pintar coocaa, TV Pintar Android mampu milik melalui Lazada Malaysia,” ujar Encik Daniel Huang, Pengurus Projek coocaa.

“Kami menjangkakan sambutan yang positif dan penuh keterujaan dari rakyat Malaysia. Dengan peningkatan penggunaan internet – kepada 87.4 peratus pada 2018 berbanding 76.9 peratus pada 2016 – peningkatan ketara yang diperolehi melalui kemantapan penyampaian hubung rangkaian yang lebih baik, sambungan talian yang lebih unggul serta pelan data berinovasi dan kompetitif, kami menjangkakan peluang pertumbuhan yang besar di Malaysia.  Kami berhasrat untuk memenuhi kehendak golongan alaf baru yang merangkumi sejumlah 50 peratus pengguna internet.  Kami juga mensasarkan untuk mengulangi kejayaan di Indonesia dan menduduki tempat teratas dalam kategori TV bagi pasaran e-dagang di Malaysia,” ujar beliau selanjutnya.

Dikenali dengan logo oren yang terang, coocaa dengan pantas telah meraih bilangan pengikut yang tinggi di negara ASEAN yang lain. coocaa, memahami bahawa pengalaman menonton tv adalah berbeza bagi setiap pengguna, kerana itu ia memperkenalkan tiga siri produk, iaitu siri Explore, Innovate dan Change.  Slogan, “Play in Your Style”, direka khusus untuk golongan muda serta mereka yang berjiwa muda dan mendorong pengguna untuk menerokai dunia baru, bergembira sambil mengejar impian dan tidak takut untuk menampilkan personaliti diri. Dengan rangkaian TV Pintar yang menakjubkan, setiap rakyat Malaysia akan mampu memiliki rangkaian hiburan yang terkini dalam kehidupan mereka.

Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia berkata, “Kami optimistik bahawa coocaa akan mendapat sambutan yang mantap di kalangan rakyat Malaysia selepas melihat sambutan yang memberangsangkan di pasaran kami yang lain serta teruja untuk melanjutkan lagi usahasama ini ke Malaysia.  Ketika rakyat Malaysia sedang mencari lebih banyak penyelesaian digital untuk keperluan harian, Lazada meneruskan evolusinya untuk menjadi destinasi gaya hidup sehenti yang mampu kami penuhi melalui ekosistem kami yang membawa jenama tempatan dan antarabangsa.  Kerjasama kami bersama coocaa memberi peluang kepada kami untuk menawarkan kepelbagaian kepada para pembeli dengan harga mampu milik tanpa menjejaskan kualiti serta gaya.”

Terdapat lima SKU yang ditawarkan bagi pasaran Malaysia.  Setiap satu menampilkan panel berkualiti, resolusi unggul dan menyokong aplikasi perkongsian skrin. Kesemua model ini berfungsi menggunakan Android 8.0 dan coocaa lite dan bagi memudahkan perayauan ia juga turut menyokong pelbagai format fail seperti JPG, MP3, AAC dan Movie (MP4, MKV, dsb.), membolehkan pengguna memenuhi apa jua citarasa mereka.  Tambahan pula, ia didatangkan dengan jaminan perkhidmatan selepas jualan selama 2 tahun di seluruh negara, bagi memastikan pengalaman pengguna yang tiada tandingan.

Kesemua model sasar untuk menawarkan pengalaman menonton TV Pintar yang unggul kepada semua rakyat Malaysia pada harga mampu milik.  Dan sempena pelancaran di Malaysia, coocaa dan Lazada menawarkan harga pra-jualan Pertengahan Tahun istimewa pada diskaun sehingga 46 peratus yang terbuka kepada semua pembeli bermula daripada 29 Jun sehingga 11 Julai serta Jualan Kilat pada 12 Julai.

Rangkaian TV Pintar coocaa yang hebat ini direka untuk memberikan pengalaman hiburan yang maksima kepada pengguna.  Dengan lebih 23 tahun pengalaman dalam proses pembuatan berteraskan kepada kualiti Jepun yang tinggi, coocaa menawarkan gaya hidup santai yang menyeronokkan dan melangkaui pengalaman impian untuk semua.

TV coocaa di Malaysia

Lima model TV coocaa di Malaysia adalah: 32-inci 32S3C, 40- inci 40S3C, 40- inci 40S5G, 50- inci 50Q5 dan 55- inci 55Q5 dan kelima-lima datang dibawah tiga siri yang berlainan iaitu, Explore, Innovate dan Change – dimana setiap satunya membawa pengalaman menonton yang unik untuk memenuhi cita rasa menonton yang sofistikated rakyat Malaysia yang senantiasa berubah.

Siri Explore (50/55Q5) dijana oleh Google Assistant dengan kemampuan Teknologi Alot yang mampu menghubung serta mengawal peranti pintar di rumah anda.  Pengguna akan berupaya untuk menghidupkan kipas, memasang lampu dan mengaktifkan pelembap udara hanya dengan bercakap melalui alat kawalan jauh Android TV coocaa.  Ia juga boleh digunakan sebagai pembantu peribadi kerana ia mampu mengingati kata laluan, mencatat kalendar, memaklumkan keadaan cuaca, memberi cadangan restoran, dan pelbagai fungsi hebat yang lain.

Siri coocaa Innovate (32/40S3C) memiliki fungsi dalaman video Amazon prime yang membolehkan pengguna menikmati lebih daripada 700+ buah filem dan rancangan TV.  TV Pintar ini juga mampu memaparkan kandungan Youtube dan menyokong fungsi perkongsian Mirror dari peranti lain, yang membolehkan anda menonton melalui paparan skrin besar.  Sistem pintar dan reka bentuk estetikanya disempurnakan dengan skrin infiniti menjadikan ia sebagai barangan mesti milik bagi mereka yang mengimpikan sistem hiburan yang sempurna dan menyeronokkan.

Siri Change (40S5G) merupakan satu-satunya TV Android coocaa tanpa bingkai, dengan paparan FHD dan sistem operasi Android 8.0, anda boleh menikmati kehebatan perkhidmatan Google pada skrin yang memenuhi ruang tidur anda dengan sempurna.

Jualan Pengenalan Istimewa

SiriModelRRPKempenTarikhMechanic
Innovate32-inci
32S 3C
RM1099Jualan Kilat12 JulaiTiada pra-jualan. Jualan Kilat pada 12 Julai.
Innovate40-inci
40S3C
RM1499Pra-Jualan29 Jun - 11 JulaiTempah antara 29 Jun hingga 11 Julai, bayar baki selebihnya pada 12 Julai.
Change40-inci
40S 5G
RM1699Pra-Jualan29 Jun - 11 JulaiTempah antara 29 Jun hingga 11 Julai, bayar baki selebihnya pada 12 Julai.
Explore50-inci
50Q5
RM2599Pra-Jualan29 Jun - 11 JulaiTempah antara 29 Jun hingga 11 Julai, bayar baki selebihnya pada 12 Julai.
Explore55-inci
55Q5
RM2999Pra-Jualan29 Jun - 11 JulaiTempah antara 29 Jun hingga 11 Julai, bayar baki selebihnya pada 12 Julai. Bayaran balik sepenuhnya jika tidak memenuhi citarasa pelanggan dalam masa 15 hari.
Kombinasi 2 TV50Q5 &
32S 3C
RM4098Jualan Bundle5 Julai15 set untuk dijual, hanya pada 5 Julai.

Sertai pra-jualan coocaa 29 hingga 11 Julai dan bayar hanya lima peratus deposit untuk model 55-inci 55SQ5 dan jadilah salah seorang pembeli bertuah untuk dapat menguji produk selama 15 hari. Hanya untuk bilangan unit yang terhad. Tidak suka?  Pulangkan dalam keadaan baik dan dapatkan bayaran balik penuh atau belikannya dengan harga diskaun.

Salah satu tawaran pengenalan yang paling menarik untuk TV Pintar coocaa ialah jualan Bundle, gabungan model 50Q5 dan 32S3C. Hanya unit terhad sahaja yang boleh didapati – harga istimewa untuk jualan bundle ini akan diadakan pada 11 Julai.

Untuk kemaskini terbaru produk coocaa, sila imbas kod QR di bawah:

Mengenai coocaa

coocaa merupakan jenama terkenal di seluruh dunia yang beroperasi dibawah Skyworth RGB Electronic Co., Ltd., dengan kehadiran di lebih 40 buah negara termasuk Jerman dan Jepun, dengan sembilan buah kilang, termasuk di Indonesia, yang berfungsi sebagai pusat pengeluaran coocaa bagi Asia Tenggara.  coocaa komited untuk menyampaikan pengalaman pelanggan yang terbaik melalui penawaran produk berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif. Bagi memastikan kepuasan pelanggan serta perkhidmatan pelanggan yang terbaik, coocaa menyediakan perkhidmatan pelanggan melalui talian bebas tol di seluruh Malaysia.

Hubungan Media:

coocaa (Skyworth RGB Electronic Co., Ltd.)
Daniel Huang
Pengurus Projek
Skyworth Global E-Commerce
Emel: danielhuang.skyworth@gmail.com

Jida Zainal Azman:

Telefon Bimbit: +6012 2245111
Emel: jida.zainalazman@gmail.com

TV Pintar untuk semua – coocaa telah dilancarkan di Malaysia! Dari kiri selebriti Zhiril Adzim, Rock Zhang, Pengurus Besar, Bahagian Perniagaan Skyworth Asia Tenggara; Kevin Lee, dan Daniel Huang.

 

Pemenang TV coocaa, Budiey (kiri sekali) dan Kevin Tan (dua dari kanan), dapat menikmati pengalaman memiliki TV yang sesuai dengan gaya hidup mereka bersama Rock dan Kevin.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Child’s Play: Chucky Versi Hodoh Secara Semulajadi

0
Child’s Play – 1988.

Child’s Play yang difilemkan pada tahun 1988 mempunyai jalan cerita yang sesuai dengan zamannya. Kenapa saya kata begitu? Kerana anak patung ‘berhantu’ tersebut telah dihantui oleh roh Charles Lee Ray, pembunuh bersiri yang hampir mati akibat ditembak.

Kemudian hadirnya filem remake tahun 2019 ini, ia juga difilemkan dengan jalan cerita yang sesuai dengan zamannya.

Buddi, anak patung buatan syarikat Kaslan Corporation itu asal-usulnya tidaklah ‘berhantu’ dek kerana dirasuk roh pembunuh bersiri.

Sebaliknya ia ‘hidup’ dengan kepintaran buatan yang berhubung dengan kesemua produk-produk Kaslan.

Pada asalnya ia sama sahaja dengan patung lain, iaitu tidak berbahaya dan menghiburkan. Tetapi akibat perbuatan seorang pekerja di kilang yang berdendam dengan orang atasannya, semua protokol keselamatan pada Buddi telah dibuang.

Di sinilah lahirnya Chucky, patung yang tidak lagi mengikut arahan/peraturan keselamatan untuk manusia dan akan menggunakan bahasa kesat sesuka hati.

Child’s Play – 2019.

Apa Yang Menarik?

Kalau anda tanya saya, selaku anak tahun 80an, Child’s Play remake/reboot ini adalah lebih menakutkan dan juga lebih mengerikan, berbanding filem yang asal.

Ia jadi ‘menakutkan’ bukan kerana patung tersebut punyai roh jahat, tetapi kerana ia tidak ada roh-lah yang menjadikan ia lebih tidak dapat dijangka. Kepintaran buatan hanya akan mengikut kepada apa yang telah dikodkan kepadanya.

Proses pembelajaran mesin atau machine learning pula akan berlaku dari semasa ke semasa. Anda boleh bayangkan sendiri jika protokol keselamatan dibuang, dan ia belajar pula ‘keseronokan’ dengan cara yang salah, sudah tentulah segala yang dilakukan adalah membahayakan pemilik dan orang di sekitarnya.

Cara Chucky membunuh mangsa-mangsanya juga jauh lebih ngeri. Saya tidak mahu menyatakan caranya, kerana ia akan jadi spoiler. Kasihan kepada anda yang belum menonton. Cukup sekadar saya nyatakan ia sama ngeri dengan kematian dalam filem-filem Final Destination dan Saw.

Suara Mark Hamill adalah sangat ikonik. Pada saya Mark adalah pengganti Brad Dourif yang tidak dapat disangkal lagi. Intonasi suaranya memberikan mood baru kepada filem ini, sekaligus membuatkan ia lebih dapat diingati.

Secara keseluruhannya Child’s Play 2019 telah membuatkan saya selaku ‘generasi hibrid’ berasa amat berpuas hati. Chucky dalam filem remake ini tidak akan ‘mati’ secara pasti, kerana ia tidak ada sebarang roh hidup. Apa yang ada hanyalah ‘kod-kod’ yang akan terus belajar, dan dalam kes Chucky ini semestinya belajar perkara-perkara yang buruk.

Apabila ia akan ‘dibunuh’, dengan mudah ia dapat berpindah kepada produk-produk Kaslan yang lain. Ini bererti, mana-mana patung Buddi terutamanya Buddi 2 iaitu versi baharu akan dapat ‘digunakan’ oleh Chucky.

Saya berharap sangat agar filem ini akan ada sekuelnya. Saya pasti akan jadi penonton terawal kerana setelah membesar dengan Charles Lee Ray, saya amat perlukan sesuatu yang baru sebagai penyegar minda.

Oleh itu, jika anda masih belum pergi menonton dan tertanya-tanya sama ada berbaloi atau tidak menontonnya di layar besar, saranan saya pergilah. Anda akan rasa puas dengan jalan ceritanya.

*Saya tidak mahu komen mengenai mutu lakonan, skrip, atau pemilihan pelakon. Cukup sekadar saya katakan proses ‘bonding’ antara Andy dan Chucky agak bagus, tidak terlalu tergesa-gesa dan perkenalan dengan rakan-rakan baru Andy juga terasa natural.

Penarafan Durian Buruk: 8/10.

 

The Buddi Song by Mark Hamill

Anda boleh cuba ‘layan’ lagu ‘The Buddi Song’ yang dinyanyikan dengan merdunya oleh Mark Hamill pada video di bawah.

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Cara Menonton Video 18+ (Age Restricted) Di YouTube Tanpa Menggunakan Akaun

0

Saya tak pasti kenapa kata kunci ini masih trending meskipun kita sudah hampir menjejakkan kaki ke tahun 2020. Tapi, setiap orang ada perangainya yang masing-masing. Menonton video 18+ di YouTube atau ‘age restricted videos’ tidak semestinya video-video berperihalkan ‘seks’.

Kadangkala ada video-video lucu yang sengaja diklasifikasikan sebagai ’18 tahun ke atas’ oleh pemuat naik tersebut. Ini menyukarkan sesetengah orang yang ‘entah kenapa’ tidak mahu log masuk ke akaun YouTube/Gmail ketika ingin menonton, sedangkan jika tidak mahu sejarah tontonan direkodkan, boleh saja ‘pause’ fungsi tersebut.

Biar apa pun sebabnya, ada pelbagai cara untuk mengakses kandungan seperti ini tanpa perlu log masuk dan menggunakan akaun. Cara paling mudah adalah dengan memasang extension Age Restriction Bypass for YouTube™.

Anda tidak perlu ubah URL YouTube, tidak perlu pening nak fikir dan faham URL yang patut digunakan. Cukup hanya dengan extension ini, ia akan lakukan dan selesaikan semuanya untuk anda.

Berikut adalah bagaimana caranya extension ini beraksi:

Muat turun dan pasang: Age Restriction Bypass for YouTube™.

Selain itu, anda juga boleh guna extension Hack YouTube Age Restriction. Cara kerjanya adalah lebih kurang sama dengan Age Restriction Bypass for YouTube.

Anda boleh tonton cara ia beraksi melalui video di bawah.

Muat turun dan pasang: Hack YouTube Age Restriction.

Bagaimana pula dengan Firefox?

Untuk pengguna Firefox, anda boleh pasang addon Age Limit Remover for Youtube.

Anda boleh lihat contoh yang saya cuba paparkan berikut.

YouTube memaparkan larangannya.

 

Klik pada ikon extension untuk melangkau sekatan.

 

Setelah extension di-klik, video dapat dimainkan tanpa masalah.

Views: 240

Iklan Newspaper Inline

Akaso Brave 4: Harga Marhaen, Prestasi Seumpama GoPro?

0

Salah satu kelebihan GoPro ialah senarai alat-alat gantinya yang begitu banyak sekali. Ia juga dijual secara meluas dan ini bererti sokongan selepas jualan juga adalah lebih mudah didapati.

Namun GoPro selalu mempunyai harga yang premium, dan tidak mesra rakyat dari golongan B40. Benar, boleh cari dan beli GoPro versi lama, tetapi Hero 7 adalah lebih ‘future proof’ dan ada ciri-ciri yang lebih baik lagi berbanding versi sebelumnya – terutamanya pada stabiliti rakaman.

Bagi golongan marhaen, akhirnya harga akan menjadi faktor penentu kepada pembelian peranti atau gajet.

Di sinilah hadirnya Akaso, sebuah syarikat peneraju kamera aksi berharga murah. Tetapi adakah dengan murahnya harga kamera, bermaksud kualitinya juga semurah itu?

Saya perkenalkan, Akaso Brave 4.

Akaso Brave 4 ini meskipun cuma berharga RM289, ia punyai pelbagai ciri premium yang boleh dinikmati.

Poket tak koyak, mata tak rabak.

Tetapi, selain cirinya yang memuaskan hati, anda boleh tatap puas-puas gambar di bawah. Ya, semua ini adalah aksesori wajib yang diberi beserta dengan pembelian Akaso Brave 4 ini.

Apa yang ada dalam kotak?

*Akaso Brave 4.
*Bateri dua biji berkapasiti 1050mAh.
*Pengecaj bateri berkembar.
*Penutup belakang kalis air, yang ada lubang khas bagi memasukkan band velcro.
*Alat kawalan jauh.
*Dua buku manual.
*7 mount.
*1 ‘Bicycle stand’.
*2 klip.
*1 mount untuk helmet.
*1 Bandage.
*5 ‘Tethers’.
*1 kabel USB.

**Kalau saya ada tersilap menyenaraikan aksesori-aksesorinya, maaf ya. Sebab saya hanya tulis ikut kepada senarai di laman web Amazon. Saya sendiri pun belum sempat nak belek kesemuanya kerana lebih sibukkan diri dengan kamera.

Ya, betul. Diulangi sekali lagi, bateri yang diberi adalah dua biji, berkapasiti 1050mAh dan ada pula pengecajnya.

Bagi tujuan ujian kamera, saya telah menyerahkan ia kepada sahabat baik saya, kerana pada saya beliau lebih mahir mengendalikan kamera tersebut, serta jarak perjalanan untuk tujuan ujian juga adalah lebih dari saya. Maklum saja, sekitar Putrajaya ini ke mana hendak saya rayau selama 25 minit?

Ya, sekiranya anda mematikan fungsi ‘loop recording’, durasi lalai rakaman penuh adalah selama 25 minit. Kemudian, rakaman akan dimulakan semula.

Berikut saya tunjukkan kualiti rakamannya, bermula dari 1080p 60fps, 2K 30 fps, dan 4K 24fps. Tetapan bagi EIS adalah diaktifkan, manakala gyroscope dinyahaktif (terlupa barangkali).

Apa yang menariknya mengenai kamera ini?

Seperti yang anda lihat, anda tidak lagi perlu membeli apa-apa kecuali kad microSD dan pembaca kad USB.

Selain dari itu, anda sudah ‘terjaga’ kerana aksesori yang diberikan adalah cukup lengkap. Cuma jangan lupa untuk tukar resolusinya dan hidupkan EIS serta gyroscope. Dalam rakaman-rakaman di atas, satu ‘kesilapan’ yang dibuat adalah tidak mengaktifkan gyroscope, yang mana akan dapat membantu dengan kestabilan rakaman.

Pendapat saya, jika anda inginkan hasil rakaman terbaik, gunakan sahaja tetapan atau pilihan 1080p 30fps. Ini adalah kerana EIS bekerja dengan cemerlang pada resolusi ini. 2K 30fps juga adalah bagus, tetapi resolusi ‘4K’ barangkali bukan pilihan yang terbaik meskipun pilihannya ada di situ.

Resolusi 4K yang dihasilkan adalah interpolasi dari 1080p, maka kualitinya tidak begitu memuaskan, ditambah gegaran yang terhasil akibat EIS tidak berfungsi pada resolusi ini.

Selain itu, ia juga tidak menyokong mikrofon luaran. Jadi, jika anda ingin merakam video dengan resolusi 4K secara natif, serta ingin menggunakan mikrofon luaran, saya lebih syorkan model Akaso V50 Pro yang lebih sedikit mahal, iaitu dalam lingkungan harga RM398 tetapi ia menyokong dua ciri tersebut.

Tetapi, bagi anda yang berbajet dalam lingkungan RM289 ini, maka Akaso Brave 4 tidak akan menghampakan anda. Sesuaikah ia jika ingin digunakan bagi vlogger-vlogger motosikal yang baru? Pendapat saya, berdasarkan kepada nisbah bunyi angin yang kencang kepada suara, ianya sesuai tetapi beberapa proses penyuntingan suara perlu dilakukan.

Jika anda bawa motorsikal dengan agak laju, saranan saya lebih baik diam pada waktu itu, dan hanya mula bercakap saat anda memperlahankan kenderaan anda, kerana suara dapat dirakam dengan lebih jelas lagi, dan bunyi angin juga berkurangan.

Ketahanan bateri?

Jika anda merakam menggunakan mode 4K, bateri dapat bertahan sehingga 90 minit. Manakala bagi 1080p, bateri akan dapat digunakan hingga 120 minit. Jika anda hanya sekadar menggunakan ia bagi mengambil gambar, ia akan bertahan selama 8 jam.

Padu bukan?

Akhir kalam, sebagai penutup bagi artikel ini, pada saya Akaso Brave 4 adalah medium permulaan yang baik bagi sesiapa yang hendak memulakan vlog sendiri.

Ia mungkin tidak dapat memenuhi hasrat anda bagi mendapatkan rakaman 4K seakan GoPro, tetapi 1080p yang dirakamkan adalah cukup bagus sebelum anda dapat mengumpulkan wang dan membeli kamera yang lebih baik di kemudian nanti.

Anda boleh beli model ini sama ada melalui Shopee, atau Lazada.

*Ulasan ini tidak ditaja oleh pihak Akaso.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Bagaimana Night Sight Pada Pixel/Gcam Berfungsi?

0

Night Sight adalah teknologi yang dibangunkan oleh Google bagi melengkapkan ciri pada kamera peranti perdananya, iaitu Pixel.

Pertama sekali, sebelum kita mengenali mode Night Sight, kita terlebih dahulu harus belajar bagaimana cara HDR+ berfungsi, kerana Night Sight dicipta berasaskan kepada HDR+.

Melalui fotografi mobil, antara isu-isu yang dikenalpasti setelah mengambil foto ialah gambar-gambar yang kabur, banyaknya noise, dan keadaan persekitaran pemandangan yang tidak didedahkan (exposed) dengan betul. Perkara ini berlaku terutamanya ketika cahaya sedang malap, manakala ketika cahaya sangat terang pula, sesetengah kawasan akan jadi terlalu didedahkan/terlampau cerah (over exposed).

HDR+ hadir sebagai satu teknologi fotografi pengkomputeran yang dapat memperbaiki situasi seperti di atas dengan mengambil beberapa gambar serentak, menjajarkan kesemua gambar melalui medium perisian, lalu menggabungkan ia kepada satu gambar sahaja.

Tujuan utama teknik ini dibuat adalah untuk menambah baik jarak dinamik pada gambar, iaitu keupayaan untuk memotret pemandangan yang mempamerkan pelbagai ‘jarak’ kecerahan.

Bagi menjadikan gambar tetap ‘tajam’ meskipun pengguna hanya mengambil gambar menggunakan tangan tanpa tripod, ia mengaplikasikan exposure pendek, dan juga akan membuang mana-mana bingkai gambar yang tidak selari.

Demikianlah kaedah HDR+ oleh Google dalam mendapatkan hasil fotografi terbaik untuk telefon pintar.

Rujukan: HDR+: Low Light and High Dynamic Range photography in the Google Camera App

Gambar dari Google AI Blog.

Matlamat bagi mode Night Sight adalah untuk membuatkan hasil tangkapan gambar pada keadaan gelap lebih baik bagi telefon pintar.

Hasil dari HDR+ menunjukkan bahawa dengan menggabungkan beberapa keping atau bingkai gambar dapat mengurangkan noise, dan menambahbaik SNR pada keadaan bercahaya malap/gelap. Tapi bagaimana keadaan yang dikatakan ‘gelap’ tersebut?

Cuba lihat carta berikut:

Jurugambar biasanya akan mengukur tahap cahaya menggunakan unit ‘lux’. Lux adalah jumlah cahaya yang tiba di permukaan per unit kawasan, diukur dalam lumens per meter persegi.

Kamera pada telefon pintar biasanya akan mula berada dalam keadaan sukar untuk mengambil gambar pada 30 lux. Teknik HDR+ membolehkan telefon mengambil gambar pada 3 lux, namun jika julat cahaya adalah bawah dari itu ia akan mula bergantung pula kepada cahaya dari flash.

Night Sight bermatlamat untuk memperbaiki kualiti tangkapan gambar antara 3 lux dan 0.3 lux, menggunakan telefon pintar, shutter tunggal serta tidak mengguna pakai cahaya LED dari flash.

Apa Yang Perlu Dicapai?

1. Dapat melihat dengan jelas gambar pada waktu malam, namun pemandangannya masih lagi ‘benar’, iaitu tidak terlalu terang seperti siang.

2. Dapat melihat warna pada pemandangan di waktu gelap.

Night Sight akan menyesuai secara konsisten dengan keadaan persekitaran, sama ada anda memegang peranti dengan tangan atau meletakkannya pada permukaan yang stabil.

Sebelum anda menekan butang shutter, Night Sight akan mengukur gegaran semulajadi pada tangan anda, serta berapa banyak pergerakan dalam kawasan pemandangan.

Sekiranya peranti dan pemandangan berada dalam keadaan stabil (contohnya peranti berada pada tripod), Night Sight akan akan menghabiskan lebih banyak masa menangkap cahaya untuk mengurangkan noise.

Jika terdapat pergerakan signifikan pada peranti dan pemandangan pula, Night Sight akan mengguna pakai exposure pendek, dan ia akan menangkap cahaya yang kurang untuk meminimakan kekaburan dari hasil pergerakan.

Jika subjek anda bergerak ketika gambar sedang ditangkap, Night Sight akan ‘menyesuaikan diri’ untuk mencegah pergerakan sederhana dari ‘merosakkan’ hasil akhir.

Dari hanya mengambil sekeping gambar yang terang tetapi kabur, Night Sight menangkap sejumlah cahaya yang sama banyak dengan beberapa pecahan gambar yang gelap tetapi ‘jelas dan tajam’. Dengan menggabungkan pecahan-pecahan gambar ini, ia dapat mencegah kekaburan pergerakan dan mencerahkan gambar.

Nampak bukan bagaimana asas dari HDR+ diaplikasikan kepada Night Sight?

Dengan menggunakan pembelajaran mesin, Night Sight mengimbangkan warna pada gambar, oleh itu objek atau subjek akan menunjukkan warna mereka yang natural pada waktu malam.

Sedikit tips cara terbaik menggunakan mode Night Sight:

1. Jika anda mengambil gambar seseorang, minta mereka untuk ‘duduk diam’ bagi beberapa saat sebelum dan selepas anda menekan butang shutter.

2. Pegang telefon dengan kemas. Jika boleh, letakkan ia pada permukaan yang stabil.

3. Pastikan lensa kamera tersebut bersih. Lap terlebih dahulu dengan kain pembersih cermin mata kalau boleh.

4. Cuba untuk ketik pada subjek atau di kawasan sekelilingnya bagi membantu kamera fokus ketika mengambil gambar pada keadaan bercahaya malap/gelap.

5. Hindari dari menghalakan kamera kepada sumber cahaya terang, untuk mengelakkan dari refleksi biasan pada gambar.

6. Anda masih perlu dapatkan kawasan dengan sedikit cahaya kerana kamera tidak berfungsi pada persekitaran berkeadaan gelap sepenuhnya.

7. Cahaya yang berserakan secara lembut adalah lebih baik dari cahaya ‘kasar’ (jurugambar boleh faham kot istilah ni).

8. Jika sekitar terlalu gelap hingga kamera tidak dapat fokus, ketik pada penjuru yang mempunyai kontras lebih tinggi, atau pada penjuru sumber cahaya.

Rujukan: See the light with Night Sight

Gambar dari DPReview.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Cara Buang Bloatware Dan Iklan Pada Peranti Xiaomi/Redmi Tanpa Root

1

Peranti Xiaomi sering menjadi pilihan marhaen dek kerana harganya yang mampu milik. Tetapi seperti biasa, yang murah akan hadir bersama beberapa isu yang tidak dapat dielakkan.

Untuk kes Xiaomi, perantinya ‘diselitkan’ dengan iklan-iklan dan bloatware.

Kebiasaannya pemilik akan ‘root’ peranti masing-masing untuk membuang segala bloatware yang memenuhi ruang storan. Cuma apabila ia dilakukan, serta merta waranti akan terus tidak terpakai, dan peranti berkemungkinan menghadapi risiko gagal untuk berfungsi sekiranya pemilik membuang aplikasi yang diperlukan oleh sistem.

Dengan atas kesedaran itu, seorang pembangun telah mencipta sebuah aplikasi kecil yang dijalankan dengan Java untuk membantu pemilik peranti agar dapat membuang dan menghapuskan pelbagai bloatware dengan selamat tanpa perlu untuk root.

Aplikasi tersebut bernama Xiaomi ADB/Fastboot Tools.

Bagaimana cara nak menggunakannya?

1. Anda perlu muat turun Xiaomi ADB/Fastboot Tools dan pemacu yang bersesuaian dengan peranti anda. Biasanya ia akan dimuat turun secara automatik bagi membantu aplikasi ini untuk membaca peranti. Jika ia tidak dapat muat turun, anda boleh lakukannya sendiri dengan memuat turun ia di laman GitHub yang sama.

Muat turun ADB Driver Installer di sini: ADB Driver Installer

Jangan lupa muat turun dan pasang Java: Java Download

Dan aplikasi di sini: XiaomiADBFastbootTools – Releases.

2. Pastikan pemacu ADB berjaya dipasang.

3. Aktifkan terlebih dahulu ‘Developer options’.

Untuk MIUI: Hala ke Settings > About device, dan tekan pada ‘MIUI version’ tujuh kali.
Ada sesetengah ROM yang anda perlu hala ke My device > All specs > baru boleh tekan MIUI version.

Untuk Android One: Settings > System > About device, dan tekan pada ‘Build number’ tujuh kali.

4. Kemudian, sambungkan peranti kepada komputer dengan mode ADB.

Untuk MIUI: Settings > Additional settings > Developer options, dan aktifkan USB debugging serta USB debugging (Security settings).

Untuk Android One: Settings > System > Developer options dan aktifkan USB debugging.

5. Gunakan kabel USB untuk menyambungkan peranti anda kepada komputer. Tunggu sehingga komputer mengesan dan membaca peranti, kemudian di peranti anda akan ada permintaan untuk menyambung ia kepada mode USB debugging.

Anda perlu membenarkannya untuk meneruskan langkah berikut.

6. Buka aplikasi Xiaomi ADB/Fastboot Tools. Tunggu sehingga ia dapat mengesan dan membaca peranti anda.

7. Di sini saya berikan contoh dari peranti Redmi Note 5 yang sedang saya gunakan. Anda dapat lihat senarai aplikasi. Kesemua aplikasi yang tersenarai tersebut adalah selamat untuk dibuang. Anda cuma perlu tandakan pada kotak di sebelah namanya, dan klik butang Uninstall.

8. Ucapkan hastalavista bebeh.

Jadi macam mana nak buang iklan pula?

Anda perlu hapuskan atau buang aplikasi yang bernama MSA. MSA adalah kependekan dari MIUI System Ads, yang digunakan oleh sistem untuk mengeluarkan iklan.

Sekali lagi ucapkan hastalavista dan klik uninstall dengan bangganya.

Selesai tutorial untuk buang bloatware dan iklan pada peranti Xiaomi dan Redmi.

9. Jika anda ingin pasang semula mana-mana aplikasi yang anda terasa seperti ‘rindu’ atau ‘tersilap’ nyahpasang, anda boleh lakukannya dengan klik pada tab Reinstaller. Cari aplikasi yang anda ingin pasang semula, tandakan pada kotak di sebelah namanya dan klik butang Reinstall.

10. Jika ada aplikasi yang gagal dinyahpasang/dibuang, jangan sedih. Peranti saya pun begitu. Itu kita terpaksa redha dan senyum kepada komputer.

Ia ibarat kotoran degil yang bila dicuci dengan Clorox pun tidak mahu hilang. Jika susah sangat nak mencucinya, kita beli sahaja pakaian baru. Begitu juga dengan telefon ini.

BELI sahaja yang baru. Nak pening buat apa?

11. Gurau saja. Anda boleh juga gunakan tab ‘Disabler‘ untuk menyahaktif aplikasi-aplikasi yang tidak dapat dibuang tersebut. Dengan cara ini sekurang-kurangnya ia tidak ‘timbul’ di app drawer dan mengganggu pemandangan anda.

Baiklah. Saya berharap anda dapat ‘enjoy’ dengan tutorial separuh serius, separuh bergurau ini. Jika ia bermanfaat untuk anda, kongsikanlah ia dengan rakan-rakan yang lain. Semoga bloatware dan iklan tidak lagi menghantui mimpi-mimpi anda di malam hari.

Views: 37

Iklan Newspaper Inline

Membeli Belah ‘Di Tesco’ Tanpa Perlu Pergi Ke Tesco

0

Perkara ini bermula dengan aplikasi Hargapedia, di mana saya tercari-cari lokasi pusat beli-belah manakah saya perlu pergi untuk membeli beras kegemaran saya.

Dari situ, saya terlihat senarai nama pelbagai pusat beli-belah seperti AEON BIG, Tesco Extra, dan Tesco.

Saya ada teringat beberapa hari sebelum itu, terdapat sebuah lori Tesco sedang memarkir di kawasan kejiranan rumah. Jadi saya terfikir, bolehkah andainya saya membeli barangan di Tesco, tanpa perlu pergi secara fizikal ke sana?

Jawapannya boleh.

Aplikasi Hargapedia.

Anda perlu memasang aplikasi Tesco Online Malaysia.

Jika nak mudah, buat dahulu akaunnya di pautan ini: Tesco Groceries.

Kemudian, anda bolehlah cari apa jua barangan yang anda mahu di aplikasi tersebut.
Sebagai ‘eksperimen’ (kerana saya baru pertama kali mencubanya, sudah tentu saya masih belum yakin), saya hanya membeli dua barang sahaja iaitu beras dan minyak masak.

Kedua barang ini telah saya ‘checkout’ dan saya letakkan tarikh penghantaran pada hari Sabtu lepas.

Aplikasi Tesco Online Malaysia.

Ini adalah paparan tempahan pada laman Tesco Groceries (Malaysia).

Setelah tempahan dan bayaran dibuat, maka masa untuk menunggu pun tiba. Saya meletakkan waktu pada pukul 12 tengahari hingga pukul 2 petang sebagai waktu penghantaran, tetapi seawal pukul 11 pagi panggilan telefon dibuat oleh pekerja Tesco yang menjadi penghantar barangan tersebut.

Sebaik saya pastikan saya berada di rumah, tidak sampai 20 minit selepas panggilan, beliau pun sampai dan menyerahkan resit pembelian.

Ya, barang-barang dihantar hingga depan rumah anda.
Tidak perlu turun ke tingkat bawah (sekiranya anda tinggal di rumah flat/pangsapuri/kondo).

Lega sungguh setelah melihat barang yang ditempah sampai di depan rumah. Sekiranya anda ingin mencuba, jangan ragu-ragu. Lori Tesco pasti akan sampai dengan jayanya.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Membuka ‘Kunci’ Katalog Netflix Mana-Mana Negara Dengan Surfshark VPN

0

Katalog Netflix sememangnya lebih banyak ada pada US. Perkara ini adalah benar, hinggalah pada tahun 2018 apabila Jepun mengambil alih senarai katalog filem dan drama terbesar mengatasi US.

Gambar dari: BGR.

Ini juga bererti ada filem-filem dan drama-drama yang tidak ada pada US, ada pada katalog negara lain. Kita tidak akan dapat menikmati kandungan itu melainkan peranti mengguna pakai alamat IP dari negara yang tersebut.

Setakat ini hanya satu VPN sahaja yang mampu untuk ‘membuka kunci’ katalog mana-mana negara iaitu Surfshark VPN. Sebagai contoh, jika anda menggunakan IP dari Malaysia atau US, anda tidak akan dapat menonton filem Ong Bak 3.

Anda hendak tonton Ong Bak 3? Anda perlu tahu ‘lokasi’ katalog negaranya.

Bagaimana hendak tahu pada pada negara mana ia berada?

Mudah sahaja. Gunakan laman uNoGS.com.

uNoGS.com ialah laman yang boleh memaparkan senarai filem-filem yang berada dalam Netflix, beserta negara yang menyimpannya di dalam katalog masing-masing.

Jadi dari laman ini, kita akan dapat melihat senarai negara yang ‘menyimpan’ filem tersebut iaitu Netherlands, India, dan Thailand.

Dengan Surfshark, tukarkan alamat IP kepada India (contoh), dan kemudian refresh laman Netflix. Setelah itu, carilah Ong Bak 3, pasti berjumpa. Cuba mainkan ia, harapannya agar anda akan dapat menonton filem itu sepertimana saya dapat menontonnya.

Langgan Surfshark beserta diskaun menggunakan pautan ini: .

Jika anda perlukan kepastian, baca ulasan kami di sini: Ulasan Surfshark VPN: Pakej Lengkap Dalam Satu Langganan.

Views: 5

Iklan Newspaper Inline