Satu aplikasi palsu Android menyamar sebagai perkhidmatan pembersihan rumah untuk mencuri butiran log masuk perbankan dalam talian dari lapan bank dalam Malaysia.
Aplikasi ini dipromosikan dalam pelbagai laman web palsu atau klon dan laman media sosial untuk menggalakkan pengguna memuat turun fail APK hasad – ‘Cleaning Service Malaysia’.
Aplikasi ini pada awalnya dikesan oleh MalwareHunterTeam minggu lepas dan kemudiannya dianalisis oleh penyelidik di Cyble, yang memberikan maklumat terperinci tentang bagaimana ia beroperasi.
Selepas memasang aplikasinya, pengguna akan diminta untuk memberikan 24 jenis kebenaran (permissions), yang akan disalahguna untuk memantau teks SMS bagi mencuri kata laluan ‘one-time password’ dan kod MFA yang digunakan dalam perkhidmatan e-perbankan.
Kod tersebut seterusnya dihantar terus ke pelayan penggodam.
Apabila aplikasi dilancarkan, ia akan memapar borang yang meminta pengguna untuk menempah temu janji pembersihan rumah. Setelah pengguna memasukkan butiran iaitu nama, alamat dan nombor telefon pada aplikasi, mereka digesa untuk memilih kaedah pembayaran.
Di sini, pengguna ditawarkan pelbagai pilihan bank Malaysia dan pilihan perbankan internet, dan apabila mangsa mengklik salah satu pilihan, mereka akan dibawa ke halaman log masuk palsu (phishing site).
Malangnya, pengguna tidak mempunyai cara untuk menyedarinya dari dalam antara muka aplikasi palsu tersebut. Sebarang butiran log masuk perbankan yang dimasukkan dalam langkah ini akan dihantar terus ke penggodam. Maklumat ini boleh digunakan bersama kod SMS yang telah dipintas aplikasi untuk mengakses ke akaun e-perbankan mangsa.
Seperti biasa, kami sentiasa menyarankan agar pengguna untuk memuat turun aplikasi hanya melalui gedung rasmi, Google Play Store.
Tidak lupa juga usah sewenang-wenangnya memberikan kebenaran istimewa pada aplikasi, terutamanya yang tidak berkaitan dengan fungsinya. Tidak ada sebab mengapa aplikasi pembersihan rumah mahukan akses kepada teks dalam peranti anda.
Kemudian, jangan biarkan peranti anda ‘bersawang’. Pastikan ia sentiasa menggunakan kemas kini keselamatan terbaru, dan versi sistem operasi terkini yang ditawarkan oleh pembangun.
Supremacy addon, iaitu sejenis addon aplikasi Kodi yang membolehkan pengguna menonton pelbagai jenis kandungan cetak rompak secara percuma telah dinyahaktif setelah pembangunnya menjadi buruan polis United Kingdom.
Bagaimanapun, pembangun dan pengendalinya iaitu Stephen Millington telah ditangkap dan didakwa atas pelanggaran akta hak cipta dan kesalah penipuan selepas membuka akses haram kepada kandungan BT Sport dan Sky.
Millington yang berusia 42 tahun itu diberkas hasil siasatan Unit Jenayah Terancang Wilayah Barat Laut UK bersama kumpulan anti-cetak rompak, Federation Against Copyright Theft (FACT).
FAKTA mendedahkan bahawa Stephen Millington, hadir di Mahkamah Chester Crown semalam selepas mengaku bersalah atas pelbagai penipuan dan kesalahan hak cipta berkaitan perisiannya. Menurut kumpulan anti-cetak rompak itu, Millington mencipta dan membina pakej perisian yang membolehkan akses haram kepada BT Sport, Sky, Netflix dan kandungan televisyen langganan yang lain.
Millington ialah pencipta pakej perisian ‘stephen-builds’ yang memudahkan akses kepada kandungan televisyen dan filem langganan tanpa bayaran kepada para pemegang hak.
Bagi kesalahan ini, yang digambarkan oleh hakim sebagai ‘dirancang dengan jelas’, Millington dijatuhi hukuman penjara dua tahun lima bulan.
Jika anda menyangka ‘Metaverse’ telah diwujudkan apabila Mark Zuckerberg mengumumkan bahawa Meta sedang membina ‘versi Internet seterusnya’, maka perkara ini mungkin akan mengejutkan anda untuk mengetahui bahawa metaverse itu sudah menjadi ekosistem sedia ada dan sedang berkembang maju – lengkap dengan pasaran hartanah yang berkembang pesat.
Decentraland ialah platform realiti maya yang dikuasakan oleh Ethereum. Ia dilabel sebagai sebagai dunia maya terdesentralisasi sepenuhnya yang pertama.
Di Decentraland, pengguna dari dunia fizikal boleh masuk, mencipta avatar, membeli hartanah, membeli barang boleh dipakai (wearables) di pasaran dan menghadiri acara.
Di dalam dunia maya ini, anda boleh membeli ‘sebidang tanah’ yang kemudiannya dapat anda terokai, bina dan pantau untuk tujuan mencipta keuntungan sendiri (monetize).
Tiada had untuk perkara yang boleh anda lakukan dan ia adalah platform digital pertama yang dimiliki sepenuhnya oleh pengguna.
Decentraland ialah sebuah ruang alam semesta maya. Walau bagaimanapun, berbanding dengan permainan biasa dengan paparan skrin dua dimensi, anda sendiri mengambil bahagian dalam dunia tiga dimensi.
Ruangan untuk anda berinteraksi ialah ‘land’, iaitu aset digital tidak boleh digunakan (non-fungible digital assets) yang anda beli. Sebaik sahaja anda memiliki sebidang tanah, anda bebas untuk menggunakannya mengikut pilihan sendiri. Anda boleh mencipta permainan bersama rakan, membangunkan aplikasi, mengadakan pertunjukkan 3D, dan lain-lain.
Tetapi ia tidak terhad di situ sahaja.
Anda juga boleh mencipta perkhidmatan berasaskan tanah maya anda itu dalam kategori pendidikan, pembangunan profesional, pelancongan, hiburan, perniagaan, dan sebagainya lagi.
Jumlah tanah dihadkan dan setiap plot tanah bersaiz 16 kali 16 meter, namun tiada had pula untuk ketinggiannya. Selain ini, sekumpulan tanah yang serupa dipanggil sebagai ‘Daerah’ (Districts). Daerah pada asasnya adalah komuniti yang berkisar pada tema yang dikongsi.
Sebagai contoh, mungkin terdapat Daerah hanya untuk peminat kripto dengan aplikasi dan perkhidmatan mata wang kripto. Mungkin juga ada Daerah yang khusus untuk peminat muzik, konsert, dan dunia hiburan semata-mata.
Anda boleh mengundi sebarang ‘isu’ Daerah melalui aplikasi terdesentralisasi (dApp) undian Decentraland – Agora. Decentraland mencipta Agora untuk memberikan anda lebih kawalan ke atas perkara yang berlaku di Daerah dan untuk memberikan maklum balas pada platform secara amnya.
Untuk pengetahuan anda, Meta (dulunya dikenali sebagai Facebook) bukanlah syarikat tunggal yang membina Metaverse. Syarikat lain seperti Tencent, Roblox Corporation, Nikeland, Dyson, Aldin Dynamics, Epic Games, Sensorium, Microsoft, dan sebagainya lagi.
Nokia 9 adalah produk daripada HMD yang paling hampir dengan peranti mercu mereka. Setelah sekian lama ketinggalan dalam perlumbaan Android, Nokia akhirnya dihidupkan semula ke dalam dunia telefon pintar oleh HMD dengan beberapa model Nokia Android bajet.
Nokia 9 Pureview juga ada peminat mereka yang tersendiri. Terutama sekali bagi mereka yang masih lagi menanti hari kebangkitan sistem Nokia Pureview ke dalam perlumbaan kamera telefon pintar.
Terkini, eksekutif daripada HMD Global mengesahkan bahawa Nokia 9 Pureview tidak akan menerima kemaskini Android 11. Ini bermakna, Nokia 9 Pureview akan berada pada Android 10 selama-lamanya.
Namun begitu, ia bukanlah kesalahan HMD semata-mata. Nokia 9 Pureview mempunyai sistem kamera penta yang unik dan menurut HMD, kos dan masa yang diperlukan untuk menyeleraskan sistem kamera tersebut dengan Android 11 terlalu tinggi dan tidak berbaloi untuk dilakukan. Tambahan pula, syarikat yang terlibat dalam pembuatan sistem kamera tersebut tidak lagi terlibat dalam pembuatan telefon pintar.
Untuk meredakan kemarahan peminat, HMD Global menawarkan diskaun sebanyak 50% kepada pemilik Nokia 9 Pureview untuk membeli Nokia XR20 yang baru. Nokia 9 dan Nokia XR20 adalah peranti yang sangat berbeza dan tidak dapat dipastikan sama ada peminat Nokia 9 akan turut menyukai Nokia XR20 sebagai peranti naik taraf mereka.
Apa pun, apa jaminan HMD Global masalah sama tidak akan terjadi kepada kemaskini Android Nokia XR20 kelak?
Beberapa syarikat sedang bekerjasama untuk mencipta metaverse, iaitu sebuah ruang maya di mana pengguna boleh berinteraksi seperti dalam kehidupan sebenar: bersosial, menjalankan perniagaan, pergi ke acara tertentu, dan sebagainya lagi.
Di Decentraland, salah satu platform realiti maya, terdapat 90,601 ‘bungkusan’ tanah maya, salah satu daripadanya baru sahaja dijual dengan harga 618 ribu MANA, sejenis mata wang kripto yang nilainya sekitar 4 dolar. Ini bererti, sebidang tanah maya berharga sekitar USD 2 juta 428 ribu 740 sen.
Pembelinya ialah Tokens.com, dan tanah yang mereka perolehi terletak di ‘Fashion Street’ – sebuah kawasan yang akan berfungsi untuk mempersembahkan acara fesyen maya dan menjual pakaian untuk avatar. Pada bulan Jun, satu lagi bungkusan dijual dengan nilai yang lebih tinggi di mana satu pusat beli-belah maya akan dibina.
Keputusan ini adalah satu bentuk pelaburan dan pertaruhan bahawa metaverses akan menjadi sebahagian daripada kebiasaan kita, walaupun kita tidak akan menggunakannya hari ini.
Mata wang kripto, walaupun tidak menjadi nilai harta yang paling stabil, telah berkembang dengan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. MANA, yang digunakan dalam metaverse Decenterland, telah mencapai nilai tertinggi sejak ia dicipta apabila Meta mengumumkan Metaversenya.
Decentraland ialah satu-satunya metaverse di mana ruangnya akan 100% dimiliki oleh pengguna. Mereka boleh membelinya, mengubahnya dan menyewakannya. Tiada had untuk apa yang anda boleh lakukan dengan tanah yang anda perolehi.
Di sini saya juga berharap agar para agawamawan dan mufti di negara kita, sudah boleh mula berbincang mengenai hartanah maya ini. Apakah ia boleh difaraidkan, diwariskan, atau didagangkan kepada pengguna lain – ini adalah sesuatu yang menarik untuk kita ketahui.
Kejuruteraan sosial ialah satu bentuk komunikasi yang bertujuan untuk mendapatkan kepercayaan orang pada mulanya, dan kemudian mendorong mereka untuk berkongsi maklumat sensitif atau melakukan sesuatu yang akan diambil kesempatan oleh penggodam, seperti membuka fail yang dijangkiti atau mengklik pautan berniat jahat.
Apabila menyebut tentang kejuruteraan sosial, matlamatnya adalah untuk ‘menggodam manusia’, dan bukannya komputer. Selalunya kejuruteraan sosial boleh menyebabkan langkah pencegahan teknologi terbaik menjadi tidak berguna, dan ‘brute force’ juga tidak diperlukan.
Tetapi kita harus ingat, bahawasanya itu DULU. Kini pelaku ancaman sudah semakin bijak – walaupun pengguna pula belum beranjak, masih di takuk lama.
Sejak itu, kejuruteraan sosial telah berkembang, melengkapkan kaedah dengan alat kecerdasan buatan (AI) futuristik untuk mengeksploitasi lagi psikologi manusia dan mendapatkan akses kepada sistem dan data.
Pada masa kini disebabkan oleh teknologi seperti kecerdasan buatan, pembelajaran mesin (ML) dan Internet of Things (IoT), terdapat alat yang boleh dicipta untuk mengumpulkan maklumat awam tentang pengguna bagi tujuan kempen spear phishing, atau memalsukan suara mereka untuk menyamar sebagai diri mereka sendiri – semuanya dilakukan secara automatik, pada skala yang besar.
Sebenarnya, hakikat bahawa keseluruhan proses boleh diautomasikan dan sangat disasar sepertimana peluru berpandu pintar, pada masa yang sama mungkin merupakan aspek yang paling menakutkan bagi jenis kejuruteraan sosial yang dipertingkatkan oleh AI/ML.
Terdapat beberapa jenis AI yang digunakan dalam kaedah baru ini. Antaranya ialah seperti Deepfakes, Voice Transfer AI, dan Advanced Natural Languages Processing (NLP).
Deepfakes dapat digunakan untuk mencipta video palsu yang tampak meyakinkan, Voice Transfer AI dibuat untuk meniru suara sasaran, manakala teknologi NLP pula diguna pakai untuk menjalankan kempen phishing secara automatik seperti mengepos tweet yang menarik dan memperdaya pengguna untuk mengklik kepada pautan berbahaya.
Sekali lagi diingatkan, orang jahat semakin bijak. Anda pula bagaimana?
Walaupun serangan siber semakin meningkat yang melibatkan perkara seperti pancingan data (phishing), DDoS, dan juga perisian hasad, pengguna sering kali masih mencipta kata laluan yang mudah dipecahkan (susunan angka mudah contohnya, atau maklumat peribadi yang mungkin boleh diakses secara umum, seperti hari lahir atau nombor jalan).
Mereka menggunakan log masuk yang sama untuk semua akaun peribadi dan rasmi. Melakukan perkara seperti ini bermakna apabila penggodam menemui jalan masuk, mereka akan memperoleh kunci ke seluruh akaun dalam talian anda.
Satu penjelasan tentang mengapa pengguna sering menggunakan kata laluan mudah ialah pergantungan yang besar pada pelbagai perkhidmatan dalam web. Walaupun kerap kali juga diingatkan mengenai aplikasi atau perkhidmatan pengurus kata laluan, masih ramai yang tidak cakna terhadap pemudah cara ini.
Disebabkan sukar untuk mengingati sendiri kata laluan yang kompleks dan selamat, pengguna kembali kepada cara ‘penggodaman memori’, iaitu hanya menggunakan urutan atau turutan susunan kata laluan yang mudah diingati.
Bagi menentukan kata laluan paling biasa digunakan rakyat Amerika Syarikat pada tahun ini dan berapa lama masa yang diperlukan untuk memecahkannya, 24/7 Tempo menyemak data dari laporan ‘200 kata laluan biasa’ yang diterbitkan oleh NordPass. NordPass ialah pengurus kata laluan bagi firma privasi dan keselamatan digital, Nord Security.
Hasil kajian mungkin boleh membuat anda berfikir dua kali tentang menggunakan kata laluan yang mudah melainkan anda mahu akaun anda diakses oleh penjenayah siber. Mereka ini sering memburu akses kepada sistem atau data yang mereka boleh manfaatkan untuk melakukan kecurian identiti dan penipuan kewangan.
Kami di OMG Hackers mengesyorkan pengurus kata laluan yang baik, seperti Bitwarden, 1Password, atau Dashlane.
Insta360 hari ini mengeluarkan kemas kini yang mempercepatkan keseluruhan aliran kerja kamera aksi mereka, daripada penstabilan video, kepada memindahkan fail dan pembingkaian semula.
Kemas kini terbaru ini adalah kemas kini besar keempat untuk Insta360 pada 2021, dengan kemas kini sebelumnya yang membawa ciri baharu seperti rakaman gelung dan kunci ufuk 360 kepada ONE R dan antara muka perisian serba baharu untuk aplikasi dan Studio Insta360.
“Insta360 kekal komited untuk menambah baik kamera kami lama selepas anda menyahkotaknya buat kali pertama. Kami berharap kemas kini ini membantu pengguna kami mendapatkan rakaman yang lebih baik daripada kamera mereka dan membuat suntingan yang lebih kreatif, lebih mudah,” kata JK Liu, pengasas Insta360.
Snap Wizard: Merevolusikan cara anda membingkai semula video 360
Salah satu perkara yang paling ajaib tentang kamera 360 ialah keupayaan untuk “rakam dahulu, sunting kemudian”. Dengan rakaman dari setiap arah, pengguna tidak perlu memutuskan ke mana hendak menghalakan kamera semasa merakam. Kemudian, pengguna boleh mengedit video 360 untuk mencari sudut yang sempurna dan kemudian mengeksportnya ke dalam video rata. Tetapi secara tradisinya, proses pembingkaian semula ini boleh mengambil sedikit masa dan latihan.
Snap Wizard ialah alat baharu dalam aplikasi Insta360 yang menyelaraskan proses pembingkaian semula dengan merakam suntingan pengguna secara automatik. Apa yang pengguna perlu lakukan ialah membuka video 360, ketik butang rekod dan kemudian biarkan aplikasi merakam suntingan mereka. Pengguna boleh menukar sudut dalam salah satu daripada tiga cara:
Gerakkan telefon mereka secara fizikal untuk menghalakan video ke arah yang mereka mahu.
Leret skrin untuk menyorot sekeliling atau zum masuk dan keluar
Gunakan “Deep Track 2.0” terbina dalam aplikasi untuk memilih subjek. AI akan menjejakinya dan membingkai semula rakaman secara automatik untuk mengekalkan subjek dalam bingkai tengah
Pengguna juga boleh merakam beberapa suntingan pembingkaian semula bersebelahan menggunakan klip yang sama. Video yang dibingkai semula boleh dieksport serta-merta daripada antara muka Snap Wizard dengan hanya menekan butang.
Walaupun tetapan resolusi ditetapkan, aliran kerja yang pantas sesuai untuk mengedit dan berkongsi semasa dalam perjalanan. Ingin meluangkan masa anda mengedit dengan bingkai utama? Semua kawalan ini masih tersedia di bawah antara muka penyuntingan sedia ada.
Quick FlowState: Rakaman seperti gimbal tanpa suntingan diperlukan
Merakam video seperti gimbal yang distabilkan dengan ONE R 4K dan Mod Sudut Lebar 1-Inci kini juga lebih mudah dan pantas dengan “Quick FlowState”, mod penstabilan dalam kamera yang baharu.
Quick FlowState ialah peningkatan kepada algoritma penstabilan dalam kamera “Asas” sebelumnya, dengan penstabilan yang dipertingkatkan terus daripada kamera. Tahap penstabilan dalam kamera kini setanding dengan algoritma penstabilan Insta360 yang digunakan dalam proses suntingan akhir.
Video yang dirakam dalam mod Quick FlowState tidak perlu diproses dalam aplikasi Insta360 atau perisian Studio desktop dan sedia untuk dikongsi serta-merta. Kurangnya langkah pengeditan tambahan ini juga menghapuskan satu langkah pemampatan, menghasilkan video yang lebih jelas. Mod ini juga kini tersedia untuk mod rakaman video ulangan dan standard 4K 50fps, serta mod 4K 30fps, 25fps dan 24fps yang sebelum ini disokong di bawah penstabilan Asas.
Untuk mengaktifkan Horizon Lock dan melaraskan nisbah ratio, pengguna boleh merakam dalam mod Pro dan sebaliknya menggunakan FlowState Stabilization dalam aplikasi Insta360 atau Studio.
Quick Reader : Cara yang lebih pantas dan lebih baik untuk mengedit pada telefon anda
Memindahkan fail ke peranti mudah alih kini lebih pantas terima kasih kepada aksesori baharu, Quick Reader. Quick Reader ialah modul storan boleh tanggal yang boleh dipalamkan ke dalam kedua-dua kamera dan peranti mudah alih.
Apabila Quick Reader dipasangkan ke dalam kamera, fail boleh disimpan terus pada kad SD yang dipasang dalam Quick Reader. Quick Reader kemudiannya boleh dipasangkan terus ke telefon mudah alih atau tablet untuk memindahkan dan mengedit fail. Ia disertakan dengan kedua-dua jenis penyambung : Lightning untuk peranti iOS dan penyambung Jenis-C untuk peranti Android.
Kelajuan pemindahan lebih pantas berbanding melalui Wi-Fi, menjanjikan aliran kerja yang lebih pantas apabila mengedit pada peranti mudah alih. Menggunakan Quick Reader juga menjimatkan bateri kamera, kerana tidak perlu mengekalkan sambungan Wi-Fi antara kamera dan telefon.
Dua versi aksesori tersedia, Versi Mendatar untuk ONE R dan Versi Menegak untuk ONE X2, untuk memastikan Pembaca Pantas kekal “tidak kelihatan” semasa merakam rakaman 360.
Boleh didapati sekarang
Kemas kini juga membawa beberapa peningkatan pengalaman yang diminta oleh pengguna. Dalam aplikasi, pengguna iPad kini boleh menggunakan mod landskap untuk pengeditan yang lebih mudah. Pada ONE R, antara muka skrin sentuh juga telah dipertingkatkan dan lebih responsif.
Pengguna boleh memuat turun kemas kini perisian tegar dan kemas kini aplikasi daripada web Insta360. Quick Reader kini tersedia untuk dibeli di web Insta360 dan dijual pada harga USD59.99.
Tawaran Black Friday bermula pada 24 November di web Insta360, dengan ONE R diskaun 15% dan ONE X2 diskaun 10%. Sebelum itu, anda juga boleh mendaftar di laman Insta360 untuk menerima Invinsible Selfie Stick percuma dengan pembelian anda.
Pada tahun 2016, telco T-Mobile pernah disaman sebanyak USD48 juta disebabkan pelan yang mengelirukan pengguna, dan gagal memaklumkan pengguna mereka bahawa terdapat pengehadan dalam pelan data tanpa hadnya.
Dari jumlah itu, pembahagiannya ialah T-Mobile mesti membayar denda oleh (kerajaan) persekutuan sebanyak $7.5 juta, memberikan perkhidmatan dan peralatan kepada sekolah sebanyak $5juta dan memberikan diskaun serta kredit data $35.5 juta kepada pelanggan yang terjejas.
Penyedia perkhidmatan mudah alih itu menawarkan pelan ‘tanpa had’ tetapi kemudian memperlahankan kelajuan selepas pelanggan menggunakan data melebihi 17GB dalam tempoh sebulan – demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (Federal Communications Commission – FCC).
T-Mobile disaman selepas beratus orang pelanggan mengadu kes ini dan membawa kepada penyiasatan dari pihak FCC.
“Pengguna tidak perlu meneka sama ada pelan data yang dipanggil ‘tidak terhad’ mengandungi sekatan, seperti kekangan kelajuan, had data dan had material lain,” kata Travis LeBlanc, ketua Biro Penguatkuasaan FCC dalam satu kenyataan.
Dengan keputusan perintah (mahkamah), T-Mobile telah meningkatkan tahap untuk memastikan pelanggannya mempunyai maklumat penuh yang mereka perlukan dalam memutuskan sama ada pelan data ‘tanpa had’ sesuai untuk mereka.
Penyelesaian itu merupakan tindakan kedua oleh FCC ke atas ‘pengehadan yang tidak didedahkan’ untuk pelan ‘data tanpa had’. Pada tahun 2015, agensi tersebut mencadangkan denda terhadap AT&T sebanyak $100 juta. Hanya selepas itu barulah syarikat tersebut menjadi lebih telus dalam mendedahkan informasi sebenar berkaitan pelan tanpa had mereka.
Perbandingan Dengan Pelan Di AS
Orang kita memang gemar membandingkan sesuatu dengan negara luar, maka jika untuk pelan ‘data tanpa had’ ini, negara mana lagi yang paling layak untuk dibuat perbandingan kalau buat Amerika Syarikat (AS).
Saya mengambil terus kesemua yang telah disenaraikan oleh TechRadar. Di sini saya hanya menyenaraikan pelan-pelan beserta faedah/kelebihan masing-masing sahaja. Jika anda ingin mengetahui penerangan mengenai pelan-pelan tersebut secara terperinci, anda bolehlah baca sendiri di laman TechRadar.
Kesemua pelan di bawah adalah dalam USD. Sekiranya ditukar ke mata wang Ringgit Malaysia, sememangnya akan nampak mahal, tetapi kita harus melihatnya dari perspektif rakyat AS itu sendiri. Tanpa membuang masa, mari kita lihat satu persatu pelannya:
1. Verizon Play More Unlimited
Komitmen langganan: $80 sebulan.
Data: Tiada had.
Panggilan suara/SMS: Tiada had.
Faedah-faedah: 5G, Hulu, ESPN+, Disney+.
Hotspot: 15GB (5G), tiada had (3G – 600kbps/0.6Mbps).
Rangkaian: Verizon.
– Pelan yang bolehlah kita samakan dengan Maxis – mahal dan premium.
Dalam pelan ini pelanggan akan diberikan langganan beberapa laman penstriman terkenal seperti Hulu, Disney+ dan ESPN+. Pengguna juga kan dapat memanfaatkan akses tanpa had kepada rangkaian premium WideBand 5G Verizon.
Kekurangannya mungkin terletak pada data hotspot 5G iaitu 15GB dan dihadkan kelajuan kepada 600kbps selepas itu.
2. Visible
Komitmen langganan: $40 sebulan.
Data: Tiada had.
Panggilan suara/SMS: Tiada had.
Faedah-faedah: 5G, panggilan percuma kepada Can & Mex.
Hotspot: Tiada had @ 5Mbps.
Rangkaian: Verizon.
– Antara pelan terbaik. Data tanpa had di bawah rangkaian 5G Verizon, tiada had data untuk hotspot, tiada pengehadan kelajuan tersembunyi (hidden data caps), dan tiada cas tersembunyi juga.
Walaupun hotspot hanya diberikan kelajuan 5Mbps, saya berpendapat ini masih lebih baik asalkan bukan berkelajuan ‘3G’ iaitu 600bps ke bawah.
3. Mint Mobile
Komitmen langganan: $30 sebulan.
Data: Tiada had (FUP @ 35GB – selepas itu dihadkan kepada 128kbps).
Panggilan suara/SMS: Tiada had.
Faedah-faedah: 5G, panggilan percuma kepada Can & Mex.
Hotspot: 5GB (5G).
Rangkaian: T-Mobile.
– Pelan ini seakan pelan Hotlink ‘Unlimited’ yang mempunyai ‘FUP’ 35GB sahaja (Hotlink meletakkan FUP sebanyak 50GB).
Ini ialah pelan paling tidak menarik antara kesemua pelan data tanpa had di AS. Hanya mereka yang terdesak sahaja yang akan menggunakannya. Pengehadan kelajuan kepada 128kbps selepas pengguna 35GB data adalah sesuatu yang tidak patut lagi berlaku di era 5G ini.
4. AT&T Unlimited Elite
Komitmen langganan: $85 sebulan.
Data: Tiada had.
Panggilan suara/SMS: Tiada had.
Faedah-faedah: 5G, panggilan percuma kepada Can & Mex.
Hotspot: 30GB (5G), tiada had (kelajuan ‘3G’).
Rangkaian: T-Mobile.
– Mempunyai prioriti data pada rangkaian 5G sebanyak 100GB. Turut disertakan langganan terhadap laman penstriman HBO Max. Kuota hotspot pula diberikan sebanyak 30GB pada rangkaian 5G, namun tidak dapat dipastikan kelajuannya dihadkan setakat mana selepas mencecah penggunaan data itu.
5. T-Mobile Magenta
Komitmen langganan: $140 sebulan.
Data: Tiada had.
Panggilan suara/SMS: Tiada had.
Faedah-faedah: 5G, panggilan percuma kepada Can & Mex.
Hotspot: 5GB (5G), tiada had ( kelajuan ‘3G’).
Rangkaian: T-Mobile.
– Juga mempunyai data yang diprioritikan pada rangkaian 5G sebanyak 100GB. Tidak lupa juga turut disertakan Netflix Basic (definisi standard, 1 skrin).
Ini pula antara pelan yang paling sedikit kuota hotspotnya, iaitu hanya sebanyak 5GB sahaja. Selepas itu, kelajuan hotspot akan diperlahankan kepada kelajuan ‘3G’ – yang boleh saya simpulkan sebagai 600kbps ke bawah.
Lenovo jenama teknologi inovatif terkemuka dunia telah mengumumkan tawaran November terbaiknya. Mulai sekarang hingga 21 November 2021, pelanggan boleh menjangkakan penjimatan sehingga 44% untuk semua produk di Kedai Eksklusif Lenovo manakala pelanggan yang membeli dari Shopee dan Lazada akan menikmati baucar eksklusif dan tawaran istimewa harian.
Lenovo juga membantu pelanggan memilih peranti yang betul yang akan melengkapkan gaya hidup mereka. Pelanggan yang menghadapi kesukaran memilih peranti yang hendak dibeli boleh mengikuti kuiz ‘Meet Your Smart Match’daripada Lenovo, dengan kerjasama RinggitPlus. Dapatkan dipadankan dengan peranti Lenovo yang memenuhi keperluan anda. Hanya pergi ke tapak RinggitPlus di siniuntuk mengambil kuiz tersebut.
Nikmati tawaran istimewa harian, diskaun dan baucar yang boleh direbut dari kedai rasmi Lenovo. Pelanggan boleh mendapat potongan sehingga 10% tambahan untuk model terpilih sebagai tambahan kepada promosi sedia ada apabila mendaftar keluar dengan kod 1111DEAL dari sekarang hingga 21 November 2021. Pembeli dengan jumlah pembelian terbanyak boleh memenangi penginapan 2 Hari 1 Malam di Trader’s Hotel (Di bawah Kumpulan Shangri-la). Lawati Kedai Eksklusif Lenovo di www.lenovo.com/my/en/d/deals/intel-special-offer untuk membeli. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tawaran ini dan promosi lain yang tersedia, anda boleh melawati pautan yang sama.
Pembeli yang membeli dari Shopee dan Lazada juga akan dapat menikmati tawaran eksklusif. Nikmati hadiah percuma bernilai sehingga RM1,100 termasuk True Wireless Droplet Earbud bernilai RM149 apabila anda membeli peranti Yoga dan IdeaPad terpilih di Kedai Rasmi Shopee dan Lazada Lenovo dari sekarang hingga 13 November 2021. Anda boleh berjimat sehingga RM100 dari sekarang hingga 27 November 2021 apabila anda membeli sebarang tablet. Pelanggan yang membeli minimum RM3,000 pada mana-mana peranti Lenovo juga boleh mendapat baucar bernilai sehingga RM300. Selain itu, dapatkan penghantaran percuma apabila anda membeli sebarang peranti. Jangan lepaskan tawaran ini daripada Lenovo pada November ini. Untuk menikmati tawaran ini dan banyak lagi, lawati Shopee Rasmi Lenovo dan Kedai Lazada hari ini.
“Masa depan adalah hibrid – Ia mengubah cara kita hidup, bekerja dan bermain, membentuk semula jangkaan dan pengalaman. Di Lenovo, kami berusaha untuk memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia dengan produktiviti yang lebih bijak, hiburan yang lebih bijak dan kehidupan yang lebih bijak untuk semua. Oleh itu, kami telah memperkenalkan tawaran terbaik November kami, menjadikan teknologi dan produk kami yang lebih pintar lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia. Kami berharap semua orang mengambil kesempatan daripada tawaran hebat kami untuk memperkayakan kehidupan mereka dan kehidupan orang tersayang mereka,” kata Varinderjit Singh, Pengurus Besar, Lenovo Malaysia.
Jualan ini sesuai untuk rakyat Malaysia yang ingin menaik taraf pejabat kerja dari rumah mereka, mendapatkan alat yang lebih berkuasa untuk perniagaan di rumah mereka atau semata-mata ingin meningkatkan pengalaman e-pembelajaran mereka. Sekiranya anda terlepas, pelanggan masih layak mendapat pelepasan cukai khas RM2,500 yang telah dilanjutkan hingga Disember 2021, seperti yang diumumkan oleh Kerajaan baru-baru ini.
Produk Lenovo dijual pada bulan November ini
Untuk membantu pelanggannya kekal mendahului dan mengakhiri tahun dengan kukuh, peranti jualan unggul Lenovo hadir untuk memberikan prestasi dan kuasa yang tiada tandingan, semuanya dalam badan yang fleksibel dan mudah alih. Peranti ini dikuasakan oleh Windows 10 Home. Dapatkan peningkatan PERCUMA ke Windows 11(apabila tersedia).