Brave melancarkan Brave Wallet – sejenis dompet crypto yang dibina secara terus pada pelayar tanpa memerlukan extension. Ia membolehkan pengguna Brave menyimpan, mengurus, mengembangkan dan menukar portfolio crypto mereka daripada satu dompet sahaja.
Tidak seperti kebanyakan dompet crypto, Brave Wallet tidak memerlukan sebarang extension apabila dibina terus dari dalam pelayar web, lalu dapat mengurangkan risiko keselamatan dan kebergantungan pada CPU dan memori tambahan. Dompet terbina dalaman Brave akan bersaing dengan dompet crypto Web3 yang popular, termasuk MetaMask, Trust Wallet dan Wallet Connect.
Brave berkata dompet crypto terbina dalaman akan berguna dalam mengatasi isu keselamatan dan prestasi yang biasanya dikaitkan dengan extension. Brave mendakwa bahawa dompet Web3 yang digunakan terutamanya sebagai extension pelayar web mungkin lebih terdedah kepada kecurian dan serangan lain.
Pada masa lalu, pengguna telah melaporkan kehilangan wang kepada penggodam melalui extension palsu. Dengan menyamar sebagai dompet popular seperti MetaMask, penggodam boleh menipu pengguna untuk memasukkan kunci peribadi (private keys) mereka.
*Abam dah guna Brave Wallet ni selama beberapa minggu sebenarnya.
Setakat ini, memang puas hati.
Selain daripada internet yang datang dari pelan fiber, data mobil menawarkan alternatif untuk pengguna kebanyakan. Tetapi sama juga, seperti selain daripada internet fiber, tiada yang benar-benar ‘unlimited’ pada pelan data mobil walaupun dipromosikan dengan nama sedemikian.
𝐁𝐚𝐠𝐚𝐢𝐦𝐚𝐧𝐚 ‘𝐔𝐧𝐥𝐢𝐦𝐢𝐭𝐞𝐝’ 𝐏𝐚𝐝𝐚 𝐃𝐚𝐭𝐚 𝐌𝐨𝐛𝐢𝐥 𝐁𝐞𝐫𝐟𝐮𝐧𝐠𝐬𝐢?
Kita semua sudah sedia maklum, secara teknikalnya pelan data tanpa had sememangnya memberikan kita data tanpa had. Adalah penting untuk memahami bahawa terdapat garis panduan penggunaan data tertentu yang perlu diberi perhatian di bawah 𝐅𝐚𝐢𝐫 𝐔𝐬𝐚𝐠𝐞 𝐏𝐨𝐥𝐢𝐜𝐲 (𝐅𝐔𝐏).
FUP ialah 𝐬𝐚𝐭𝐮 𝐬𝐞𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐚𝐭𝐮𝐫𝐚𝐧 yang digunakan oleh penyedia perkhidmatan internet (ISP) atau bahasa lainnya telco untuk mengehadkan cara rangkaian boleh digunakan dan menetapkan garis panduan bagaimana cara ia harus diguna pakai.
Dengan erti kata lain, perkhidmatan rangkaian akan diagihkan ‘secara adil’ kepada semua pelanggan tanpa membebankan infra telco.
FUP digunakan pada perkhidmatan yang membenarkan penggunaan tanpa had nominal dengan bayaran tetap, hanya menetapkan had pada apa yang boleh digunakan, bertujuan untuk membenarkan penggunaan biasa tetapi menghalang perkara yang dianggap berlebihan.
Sebagai contoh, pengguna perkhidmatan internet pelan ‘tanpa had’ mungkin tertakluk kepada penggantungan, penamatan atau pengehadan kelajuan untuk penggunaan yang “berterusan berlebihan, tidak adil, menjejaskan keseronokan pengguna lain terhadap perkhidmatan jalur lebar, atau tidak konsisten dengan penggunaan yang biasanya dijangka pada pakej akses tertentu.”
Pasti anda pernah perasa kelajuan muat turun anda secara tiba-tiba perlahan apabila sedang strim atau memuat turun kandungan. Inilah yang dipanggil sebagai ‘bandwidth throttling’.
Bandwidth throttling berlaku apabila ISP/telco dengan sengaja mengehadkan kelajuan internet pengguna, sama ada muat turun atau muat naik. Dengan pelan data tanpa had, sebaik sahaja anda mencapai had data kelajuan penuh bulanan anda, maka sambungan internet anda akan menjadi perlahan.
Kelajuan perlahan ini mungkin tidak dirasai untuk aktiviti seperti melayari internet pada pelayar web, tetapi sebaik sahaja anda cuba strim YouTube, Netflix, atau cuba memuat turun fail bersaiz besar, kandungan penstriman akan mula menimbal (buffering), dan tempoh muat turun akan menjadi sangat lama.
Data masih lagi – secara teknikalnya – tanpa had. Tetapi kelajuan internet tidak begitu.
Kita ambil contoh Digi.
‘Tanpa had’ yang diaplikasikan pada pelan dalam rangkaian ialah 𝟏𝐓𝐁. Apabila mencecah had ini, ada pengguna yang memaklumkan perlu membuat panggilan kepada pihak Digi untuk ‘reset’.
Maxis pula meletakkan had sebanyak 𝟑𝟎𝟎𝐆𝐁. Inilah dia definisi ‘tanpa had’ dan ‘adil’ pada Maxis. Apabila had ini dicecah oleh pengguna, kelajuan penstriman YouTube akan dihadkan kepada resolusi 480p sahaja. Dikhabarkan, aktiviti lain juga menjadi perlahan. Tiada peluang untuk ‘reset’ seperti pengguna Digi.
Untuk unifi Mobile pula, telco ini meletakkan pendikit jalur lebar sejak dari mula lagi. Aktiviti penstriman untuk sesetengah laman 𝐝𝐢𝐡𝐚𝐝𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐥𝐚𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐚𝐭𝐚𝐮 𝐫𝐞𝐬𝐨𝐥𝐮𝐬𝐢𝐧𝐲𝐚. Anda boleh rujuk post ini untuk ketahui dengan lebih lanjut tentang pengehadan kelajuan pelan unifi Mobile:
Apa lagi telco lain dan pelan data tanpa had yang ada untuk 𝑚𝑜𝑏𝑖𝑙𝑒? Jom sembang-sembang sikit. Tuliskan komen anda pelan apa yang anda sudah pernah cuba sebelum ini.
Baru sahaja saya ulas Tranya T10B, TWS paling unggul untuk kategori bawah RM100, kini saya berpeluang untuk mencuba satu lagi TWS daripada jenama popular ini. Kini Tranya hadir dengan model T20, satu model kemaskini daripada T10B. Kemaskini baru ini dibina dengan mengambil kira maklum balas daripada para pengguna siri T10.
PANDANG PERTAMA
Mula-mula sekali memegang kotak Tranya T20 ini, sudah pun nyata perbezaan daripada kotak abangnya, T10B. Ia kini lebih lebar dan lebih nipis, memberi gambaran bahawasanya T20 ini adalah produk dan model yang sememangnya berbeza dengan T10B. Ia adalah reka semula secara menyeluruh, bukan hanya sekadar solekan kecil.
Pakej di dalam kotak masih lagi seperti biasa. Sekeping pelekat berlogo Tranya, buku manual, kabel USB-C, getah telinga tambahan dan sudah tentu, sebuah TWS Tranya T20. Sekali imbas, rekaannya kini lebih nipis dengan berat yang lebih ringan.
KUALITI BINAAN
Binaan baru adalah fokus utama pada Tranya T20 baru ini. Ia kini lebih nipis dan mudah dibawa di dalam poket. Kedua-dua belah earbudsjuga telah direka semula menjadi lebih kecil dan ringan berbanding dengan model terdahulu. Masih lagi mengekalkan warna hitam sebagai binaan utama.
Pengecasan menggunakan USB-C. Earbuds juga telah direka agar lebih ergonomik untuk mereka dengan telinga yang lebih kecil terutama sekali wanita dan individu bertelinga kecil. Bahagian dalam telinga direka dengan lebih tirus dan halus, memberikan lebih keselesaan pemakaian.
Tranya T20 masih lagi mengekalkan penarafan IPX7. Secara teori, IPX7 bermakna anda boleh bawa ia pergi berenang. Saya belum cuba. Jika ada yang sudah cuba, tolong kongsi dengan saya, haha.
BATERI
Tranya T20 menjanjikan 8 jam ketahanan bateri dengan sekali cas pada kedua belah earbuds. 8 jam adalah satu masa yang lama. Saya tak pasti siapa yang mampu tahan dengar lagu sehingga 8 jam, tapi jika ada sesiapa yang mahukan pendengaran yang lama, T20 boleh jadi pilihan anda.
Bekas pengecas menggunakan port USB-C dan menyokong teknologi pengecasan pantas. Ia boleh mengecas sepasang earbuds sehingga 5 kali kitaran cas penuh. Setiap earbuds berkapasiti 50mAh dan bekas pengecas mempunyai kapasiti sebesar 500mAh.
KUALITI BUNYI
Tranya T20 menggunakan pemacu audio magnetik 6mm salutan grafene. Satu penurunan daripada model T10B yang menggunakan pemacu grafene 12mm. Ini bermakna Tranya T20 menghasilkan bass yang lebih jinak dan kurang menggegar kerana saiz pemacu yang lebih kecil.
Masih lagi mengekalkan 3 mod bunyi, Bass Mode, Normal Mode dan juga Gaming Mode. Untuk Gaming Mode, bunyi dan latency sangat cemerlang. Hampir tiada kelewatan bunyi semasa bermain permainan pada telefon pintar.
Normal Mode sangat berbeza dengan T10B. Bunyinya kini lebih seimbang dan julat bass terasa lebih kecil dan sempit. Karakter bass kini lebih kepada thump berbanding punch. Bass seolah-olah terhasil dari sebuah gendang kecil yang bekerja keras. Mid dan High terkawal elok dengan kejelasan dan tidak menikam telinga.
Bass Mode berupaya mengubah karakter bunyi pada Tranya T20. Dengan Bass Mode, soundstage dilebarkan dan bunyi bass lebih ke hadapan. Bass kedengaran lebih jelas dan tumbukan terasa lebih kuat. Ketara juga perbezaan gegaran bass antara Normal Mode dan Bass Mode dan bentuk bunyi menjadi V dengan mid agak tenggelam. Namun begitu, secara peribadinya saya rasakan bass pada Tranya T20 ini masih kurang memuaskan berbanding T10B jika kita ingin bercakap dalam konteks bass semata-mata.
Karakter pada Tranya T20 ini lebih kepada keseimbangan. Jika anda memang basshead, mungkin T20 tidak sesuai untuk anda. Tapi tidaklah saya kata langsung tiada bass pada T20 ini. Cuma, berbanding T10B, bass pada T20 ini lebih jinak dengan sifat yang berbeza. Bagi saya, ia sudah mencukupi kerana kekurangan bass ditampung dengan kekuatan pada mid dan high yang lebih tepat dan tidak hingar.
KUALITI SAMBUNGAN
Tranya T20 menggunakan sambungan Bluetooth 5.1. Ia menyokong codec SBC dan codec kualiti tinggi AAC menjadikan ia sesuai untuk Android mahupun iOS. Sambungan juga automatik dengan telefon sekiranya anda telah menyambungkan TWS anda dengan telefon anda.
Ia juga akan terpadam sendiri selepas anda memasukkan semula ia ke dalam bekas pengecas. Sambungan juga stabil sepanjang saya menggunakan TWS ini selama seminggu. Gaming Mode sangat cemerlang dan hampir tiada langsung kelewatan bunyi semasa bermain permainan video di telefon saya.
KAWALAN
Kawalan pada Tranya T20 kini dikemaskini berbanding T10B. Kini anda boleh mengawal kelantangan dengan menggunakan 2 kali sentuhan. Tahan selama 2 saat jika anda ingin main/jeda lagu. Tekan 3 kali untuk main lagu seterusnya/sebelumnya. Tekan 4 kali untuk memanggil perisian pembantu anda. Tekan 5 kali di sebelah kiri untuk menukar mod kepada Bass Mode/Normal Mode. Tekan 5 kali di sebelah kanan untuk mengaktifkan Gaming Mode.
Sentuhan juga sensitif dan bertindak balas dengan baik. Ia dapat mengesan sentuhan walaupun tangan berpeluh dan sejuk. Fungsi tekan 1 kali masih lagi tidak tersedia seperti pada model T10B.
KELEBIHAN
Kekuatan pada T20 ini adalah rekabentuknya yang lebih kecil dan mudah dibawa. Earbuds juga telah direka semula, memberikan pemaikaian yang lebih ergonomik dan selesa. Ia lebih ringan dan muat untuk telinga yang kecil. Anda juga mendapat 6 set getah telinga dengan saiz dan ketebalan berbeza untuk lebih keselesaan pemakaian.
Bunyi pada T20 juga lebih seimbang dengan mid dan high yang cantik. Bass mungkin jadi kelebihan atau kekurangan bergantung kepada selera individu. Bass pada T20 ini lebih sempit berbanding T10B yang lebih luas dan kuat.
Gaming Mode sangat cemerlang dan hampir tiada delay dan Bass Mode juga ada kesan yang signifikan dalam pendengaran.
KEKURANGAN
Tranya T20 datang dengan tanda harga yang agak tinggi, pada RM149 di Shopee. Untuk julat harga ini, ia tiada aptX, tiada ANC dan tiada fungsi pengesanan telinga. Agak banyak permintaan saya untuk TWS berharga RM149, tapi kini di pasaran sudah ada TWS dengan fungsi tersebut pada julat harga yang lebih kurang sama.
KESIMPULAN
Tranya T20 adalah satu kemaskini yang bagus daripada model lama siri T10. Ia memperbaiki antara isu utama pada T10 seperti rekabentuk, keselesaan dan juga kawalan. Sayangnya, ia berharga hampir dua kali ganda lebih mahal berbanding model lama. Ia sesuai untuk mereka yang sukakan bunyi TWS yang lebih neutral dengan bass yang jelas. Jika tanya pada saya, harga yang sesuai buat T20 ini adalah bawah RM120 sahaja.
Hyperloop ialah sistem pengangkutan aras tanah berkelajuan tinggi di mana orang ramai boleh mengembara dalam pod terapung di dalam tiub vakum pada kelajuan setinggi 760mph (1220kmj).
Terdapat dua perbezaan besar antara Hyperloop dan kereta api tradisional. Pertama, pod yang membawa penumpang bergerak melalui tiub atau terowong yang mana kebanyakan udara telah dikeluarkan untuk mengurangkan geseran. Ini sepatutnya membolehkan pod bergerak sehingga 750 batu sejam.
Kedua, daripada menggunakan roda seperti kereta api atau kereta, pod direka bentuk untuk terapung di atas ski udara, menggunakan idea asas yang sama seperti meja hoki udara, atau menggunakan levitasi magnetik untuk mengurangkan geseran.
Pada tahun 2013, Elon Musk pernah menerbitkan kertas teknikal 58 halaman yang menggariskan reka bentuk Hyperloop, iaitu sistem pengangkutan berkuasa solar, yang disifatkannya sebagai “persilangan antara Concorde, ‘railgun’ dan meja hoki udara.”
Musk mendakwa bahawa kenderaan itu boleh membuat perjalanan sejauh 350 batu (560 kilometer) antara Los Angeles dan San Francisco dalam masa 35 minit sahaja dengan harga $20 satu tiket, manakala kos infrastruktur itu dianggarkan pada nilai $6 bilion. Beliau juga berkata bahawa sistem transit baharu itu seharusnya lebih selamat daripada mana-mana mod pengangkutan semasa, kebal terhadap cuaca dan tahan gempa bumi.
Penyokong idea ini berpendapat bahawa Hyperloop boleh menjadi lebih murah dan lebih pantas daripada perjalanan kereta api atau kereta, serta kurang mencemarkan daripada perjalanan udara. Mereka mendakwa bahawa ia juga lebih cepat dan lebih murah untuk dibina daripada kereta api berkelajuan tinggi tradisional.
Oleh itu, Hyperloop boleh digunakan untuk mengurangkan tekanan daripada jalan yang sesak, menjadikan perjalanan antara bandar lebih mudah, dan berpotensi membuka manfaat ekonomi yang besar sebagai hasilnya.
Pada 2014, Virgin Hyperloop diasaskan atas premis untuk menjadikan visi Musk tentang sistem pengangkutan futuristik menjadi kenyataan. Syarikat itu telah membuat perubahan teknikal yang substantif kepada cadangan awal Musk dan memilih untuk tidak meneruskan laluan Los Angeles–ke–San Francisco yang dibayangkan oleh bilionair itu. Tetapi Virgin mahu memastikan kenderaan futuristik itu mesra alam, dengan memasang tempat duduk kulit vegan dan beberapa bahan pod yang diperbuat daripada kandungan kitar semula.
Redmi juga nampaknya ingin meluaskan lagi ekosistem produknya dengan melancarkan beberapa siri ‘Buds’. Redmi Buds 3 ialah salah satu daripada produk dalam siri tersebut, dan ia menggunakan reka bentuk ‘semi-in-ear’ yang menyerupai produk dari Apple.
Saya bukanlah peminat kepada reka bentuk ini, kerana seringkali ia tidak memenuhi kehendak saya yang lebih ke arah audio berbanding rupa luaran.
Sebelum kita meneliti lebih lanjut lagi, mari tonton dahulu segmen buka kota untuk Redmi Buds 3 ini.
Spesifikasi Ringkas
Earbuds ini menggunakan diafragma komposit gegelung bergerak bersaiz 12mm, SoC audio Bluetooth Qualcomm QCC3040, menyokong Bluetooth 5.2, menyokong penyahkodan aptX™ Adaptive HD, dan teknologi pengurangan bunyi bising ketika membuat panggilan suara (cVc).
Malangnya, saya tidak pasti model yang saya peroleh ini menggunakan SoC audio apa, kerana ia tidak mempunyai pilihan aptX – maka yang pastinya tiada chipset Qualcomm pada model di tangan saya.
Buktinya anda boleh lihat pada tangkap layar di bawah.
Apa yang anda dapat dalam kotak adalah ringkas sahaja. Seperti yang anda boleh tonton dalam video buka kotak itu, ada earbuds dan bekas pengecasnya, wayar pengecasan USB-C, buku/manual panduan pengguna.
Jika anda lihat kepada bekas pengecasannya, ia berbentuk petak yang dipenuhi bucu bulat/melengkung. Terdapat satu butang kecil yang boleh digunakan untuk reset.
Operasi
Dari segi pengalaman interaktif, Redmi Buds 3 menggunakan operasi sentuh, menyokong tiga mod: klik dua kali, klik tiga kali dan tekan lama.
Fungsi jeda/main ditetapkan kepada tekan lama, dan tekan lama juga menyokong membangunkan fungsi pembantu suara. Klik dua kali digunakan untuk penukaran lagu, akan tetapi saya tidak berjaya menggunakan fungsi klik tiga kali untuk menukar kadar kelantangan bunyi.
Tidak pasti apa ‘masalahnya’ dengan earbuds ini, mungkin saya mendapat yang kurang elok dan terlepas dari proses QC. Ya, ia turut menyokong ciri ekosistem interkoneksi MIUI, tetapi hanya setakat ‘itu’ sahaja – iaitu kemampuan untuk berhubung dengan telefon. Selain itu, tiada ciri tambahan melainkan pilihan untuk menyahaktif AAC atau tidak.
Panggilan Suara
Dari segi panggilan suara, Redmi Buds 3 mempunyai dua mikrofon kepekaan tinggi terbina dalaman beserta teknologi pengurangan hingar/bunyi bising panggilan suara Qualcomm (pembatalan gema dan bunyi bising). Ciri ini boleh mengurangkan bunyi persekitaran secara dinamik mengikut persekitaran sekeliling dan mengurangkan bunyi bising persekitaran ketika membuat panggilan suara dengan berkesan.
Bateri
Dari segi ketahanan kuasa bateri, tiada apa yang luar biasa kerana dijangka ia dapat digunakan sehingga 5 jam, manakala apabila digabungkan bersama bekas pengecasnya yang dapat diguna sebanyak 4 kali, maka jumlah keseluruhan ketahanan kuasa bateri ialah 20 jam.
Ini ialah ‘tawaran’ biasa yang boleh didapati pada kebanyakan TWS ketika ini.
Spesifikasi/kapasiti bateri: 35mAh.
Kapasiti bekas pengecas: 310mAh.
Kualiti Audio
Seperti yang telah saya nyatakan di atas, Redmi Buds 3 menggunakan reka bentuk ‘semi-in-ear’. Pada sesetengah orang, reka bentuk ini selesa untuk dipakai. Terdapat pengesan inframerah dalaman yang boleh mengaktifkan fungsi pengesanan pemakaian. Ia akan menjeda lagu apabila earbuds ditanggalkan dari telinga, dan memainkan semula lagu secara automatik apabila ia dipakai semula.
Untuk diri saya sendiri, ini ialah reka bentuk yang saya paling kurang gemari. Kebiasaannya, audio dihasilkan oleh earbuds dengan reka bentuk ini agak menghampakan, dan Redmi Buds 3 tidak terkecuali.
Jadi, bagaimana kualiti audionya?
Benar, harganya tidaklah terlalu mahal, tetapi untuk julat harga bawah RM200, ada banyak lagi TWS lain yang mampu memberi kepuasan dari segi kualiti audio.
Pun begitu, sekiranya anda hanya sekadar inginkan sebuah TWS yang mampu memberikan anda ‘bunyi’, maka Redmi Buds 3 tidak akan menghampakan anda. Penalaan Redmi Buds 3 dibuat seakan berhati-hati, kerana bassnya tidak begitu ketara, dan dalam masa yang sama frekuensi lain dinaikkan sekadarnya.
Saya mendengar lagu Eminem – Venom (Remix), dan lagu ini kedengaran sama seperti yang saya jangkakan – ia didengari agak ‘kosong’, dan kurang ‘kedalaman’ (depth). Jelasnya, TWS ini tidak mampu mengendalikan lagu yang jauh lebih kompleks lagi.
Ini belum lagi menyentuh mengenai kadar kekuatan kelantangan. Ia mencukupi untuk tetapan perkakasan dan kemampuan Redmi Buds 3, tetapi disebabkan ia mengadaptasi reka bentuk semi-in-ear, sebaik sahaja ia semakin menggelungsur keluar dari telinga, bunyinya akan semakin kurang dan mendap.
Konklusi
Jadi, untuk siapa sebenarnya Redmi Buds 3 ini?
TWS ini sesuai jika anda peminat reka bentuk AirPods. Itulah hakikatnya.
Tidak lupa juga jika anda inginkan TWS berserta bekas pengecas yang apabila digunakan bersama, ia masih lagi berdimensi kecil – sesuai untuk dibawa tanpa terasa beban yang berat.
Manakala sekiranya anda mahu earbuds yang mampu melekap dalam telinga dengan baik, memberikan kualiti audio lebih memuaskan, dan menawarkan penyahkodan aptX, ada TWS yang lebih elok untuk dibeli di luar sana.
Berada dalam kawalan memerlukan usaha (yang lebih). Ia juga memerlukan anda kadangkala membayar wang sebenar. Tetapi adakah anda benar-benar mahu perhatian anda dijual dan dimanipulasi oleh syarikat besar seperti Google dan Facebook?
Terdapat dua orientasi model bisnes iaitu ‘tolak’ dan ‘tarik’.
Sebagai contoh untuk bisnes bersandarkan model ‘tolak’, anda buka televisyen yang bersiaran langsung, dan anda akan menonton apa sahaja yang diputuskan oleh stesen televisyen.
Pada zaman awal internet, kebanyakan orang menulis di laman web dan blog. Untuk memudahkan kemas kini artikel baharu, pengguna melanggan agregator RSS yang mengumpul maklumat dari pelbagai blog dan tapak berita. Agregator RSS hanya mengambil semua item berita dari pelbagai laman, dan ia meletakkannya secara berurutan.
Anda tidak suka sumber berita yang dilanggan? Anda berhenti melanggan. Mudah dan ringkas. Senarai mel berfungsi dengan cara yang sama – anda menerima e-mel apabila seseorang mempunyai kandungan baharu.
Inilah dia model berorientasikan ‘tarik’. Andalah yang memilih sendiri sumber yang anda ingin lihat atau baca.
Kemudian, munculnya Facebook, Twitter, dan media sosial lain. Pada awalnya, ia berfungsi seakan laman web dan blog yang lain. Anda buka Twitter, anda akan lihat siaran tweet dari orang yang anda ikuti. Anda tidak berminat lagi hendak mengikuti mereka? Tiada masalah. Hanya perlu ‘unfollow’ sahaja.
Walau bagaimanapun, industri kemudiannya bergerak ke arah yang berbeza. Syarikat besar ini cuba mengawal apa yang anda lihat dan baca. Kebanyakan jurutera dan pengaturcara bekerja keras di sebalik tabir bagi memastikan anda kekal terpaku pada skrin.
Cara paling mudah, mereka kembali semula kepada model ‘tolak’, tetapi mereka mencari kandungan yang anda mungkin suka, lalu ‘menolaknya’ kepada anda. Syarikat besar ini berasa seperti mereka boleh memutuskan perkara yang perlu dilihat oleh semua orang.
Sebagai pengguna, anda tidak lagi berada dalam keadaan ‘mengawal’. Para ‘tokoh korporat’ kembali bergelut untuk mengawal sepenuhnya apa jua yang anda dapat tonton dan baca.
Bisnes ini menjadi semakin besar, dan semakin ‘berharga’ kerana ia adalah cara yang terbaik untuk menjana wang bagi syarikat-syarikat besar itu. Tetapi ia juga menjadi kuasa yang bernilai politik. Maka tidak dapat dielakkan lagi apabila beberapa negara di dunia akan mengawal selia media-media ini untuk memastikan anda melihat ‘perkara yang betul’ menurut kaca mata mereka.
Namun begitu, masih ada beberapa medium yang memberikan anda kawalan, contohnya:
1. Laman web dan blog masih wujud di dunia internet ini. Anda masih boleh menggunakan agregator RSS untuk melanggan. Anda bleh langgan artikel terbaru omghackers.com menggunakan e-mel. Tak suka? Boleh serta-merta berhenti melanggan. Percuma sahaja.
2. Telegram juga boleh digunakan sebagai agregator berita yang baik. Anda pilih sendiri apa yang anda ingin ikuti. Tak minat? ‘Leave’.
3. Twitter mempunyai satu ciri yang bagus iaitu ‘Twitter Lists’ yang membenarkan anda mengikuti individu/akaun tertentu dan hanya melihat kandungan daripada mereka. Anda boleh rujuk: Twitter Lists
4. Enjin carian yang lebih privasi seperti Brave Search dan DuckDuckGo harus diberi lebih peluang untuk digunakan. Enjin carian seperti ini akan memberi anda apa yang patut anda ‘jumpa’ dan lihat, dan bukannya apa yang ‘difikirkan sendiri’ oleh enjin carian itu untuk anda jumpai.
5. Bacalah buku. Majalah berkaitan PC contohnya, bagus untuk ditelaah di rumah.
Terdapat banyak lagi contoh lain. Podcast di Spotify juga boleh diberikan perhatian. Nak dengar cerita hantu? Nak belajar bahasa baru? Semua ada.
Post ini bukan hendak mengajak anda meninggalkan Facebook, Twitter, Snap, TikTok, atau apa jua media sosial lain – tetapi kita seharusnya dapat mempelbagaikan lagi sumber maklumat dan menjadi penentu, pengawal, dan ‘pemilik’ maklumat yang kita ingin lihat/baca.
Manipulasi perhatian manusia berkemungkinan tidak akan berhenti buat masa ini. Persoalannya, apa yang anda lakukan dengan maklumat ini, itulah yang menjadi penentuan kepada persepsi anda mengenai diri sendiri dan dunia pada masa akan datang.
Awal tahun ini, Netflix mengumumkan pengembangan kategori hiburan untuk para pelanggannya apabila ia menguji penambahan permainan dalam perkhidmatan penstrimannya. Pelanggan tidak memerlukan sebarang langganan tambahan, kerana yang sedia ada sudah mencukupi.
Hari ini, inisiatif permainan untuk Android dilancarkan secara global, menjadikan ‘Netflix Gaming’ rasmi untuk warga dunia.
Bermula hari ini, aplikasi Netflix (pada telefon dan tablet Android) akan menawarkan permainan berbayar kepada pelanggan secara percuma. Senarai penuh permainan yang disertakan semasa pelancaran adalah seperti berikut:
Kesemua permainan ini tanpa iklan, tanpa bayaran tambahan, dan tiada bayaran belian-dalam aplikasi (in-app purchases).
Kaedah memuat turunnya tidaklah pelik. Hanya perlu log masuk ke aplikasi Netflix, hala ke ‘Netflix Games’, pilih permainan yang anda ingin mainkan, muat turun melalui Google Play Store, dan mainkan ia melalui aplikasi Netflix.
Selepas mencapai paras tertinggi baharu sepanjang masa pada bulan Oktober, penganalisis mempertaruh Ethereum dan Bitcoin untuk menggandakan nilai sebelum akhir tahun.
Penganalisis Plan B, percaya bahawa Bitcoin akan mencapai nilai $98,000 bulan ini dan terus mencecah $135,000 pada bulan Disember. Ini adalah selaras dengan ramalan harga dari agensi perbankan lain untuk Bitcoin. Standard Chartered, sebagai contoh, menambat bahawa Bitcoin akan mencecah $100,000 pada 2021 atau awal 2022.
Sementara itu, bank pelaburan global, Goldman Sachs, menganggarkan bahawa harga Ethereum ditetapkan untuk mencecah $8,000 menjelang akhir tahun — lebih tinggi daripada apa yang diramalkan oleh panel 50 pakar mata wang kripto baru² ini.
Selepas dana dagangan bursa (ETF) berasaskan Bitcoin yang pertama mencecah Bursa Saham New York (NYSE), wang daripada pelabur institusi telah membanjiri masuk dengan banyak sekali. Menurut laporan mingguan CoinShare, produk pelaburan krypto menyaksikan aliran masuk $288 juta untuk minggu ini dengan tarikh akhir pada 31 Oktober, dan Bitcoin menyumbang 93% daripadanya pada jumlah nilai $269 juta.
Mata wang kripto yang berusia 13 tahun pada 31 Oktober, meningkat sebanyak 112% tahun ini dan mencecah paras tertinggi sepanjang masa $67,000 pada bulan Oktober. Penganalisis menjangkakan mata wang kripto akan meningkat lebih jauh dengan lebih banyak ETF masuk, lalu memberikan rangsangan kepada legitimasi Bitcoin sekurang-kurangnya sebagai aset pelaburan, dan bukan sekadar medium pertukaran.
Buat pengguna tegar ataupun power-user Android, pastinya tidak asing lagi dengan aplikasi Magisk. Magisk yang berfungsi dengan menampal boot image Android, berupaya memberikan akses Root kepada pengguna.
Walaubagaimanapun, kerana ia berfungsi di luar sistem, ataupun systemlessly, ini membuatkan Magisk perlu sentiasa dikemaskini setiap kali ada kemaskini kepada Android.
Kini, setelah Android 12 memasuki fasa stabil, TopJohnWu, pencipta Magisk telah melepaskan versi Canary baru Magisk yang berfungsi pada Android 12. Tapi ada kejutan, MagiskHide tidak lagi tersedia dalam Magisk baru ini.
MagiskHide sememangnya menjadi topik perbincangan sejak beberapa bulan lalu dan John Wu sentiasa terbuka dalam Tweet beliau dengan mengatakan MagiskHide sudah tidak relevan lagi dengan Android.
Namun, ada lagi sinar baru buat pencinta Root. TopJohnWu kini sudah memulakan projek baru versi baru Magisk yang diberi nama Zygisk, Magisk dalam bentuk Zigot. Yang mencadangkan Zygisk akan “ditanam” terus ke dalam sistem.
Buat yang berminat, ataupun yang mahu membuat modul bagi Zygisk, boleh menyemak API dan maklumat Zygisk di GitHub rasmi Magisk.
NFT, metaverse, blockchain dan kripto. Empat perkataan dan perkara yang paling hangat di dunia moden masa kini. Banyak kontroversi dan banyak juga ulasan kiri dan kanan yang mengatakan perkara ini akan terkubur dalam masa terdekat. Tapi lihatlah, ia terus berkembang dan hampir tidak dapat dihentikan.
NFT, sebuah aset yang digital yang boleh dibeli dengan matawang kripto dan menggunakan teknologi blockchain. Walau keras dikritik, tetap menarik semakin ramai pelabur.
Berbalik kepada hartanah digital. Anda kini boleh membeli hartanah anda sendiri di dunia digital. Jika hartanah di dunia realiti dimiliki dengan sekeping dokumen, hartanah di dunia digital dimiliki melalui NFT.
Anda akan menyimpan NFT dengan kod anda sendiri di dalam blockchain yang membuktikan anda sebagai “pemilik” sesebuah hartanah digital. Ia seperti geran tanah, tapi ia digital. Sesuai dengan taraf hartanah anda yang juga digital.
Ada banyak projek hartanah digital dan antara yang popular adalah Decentraland, Cryptovoxels, SomniumSpace dan The Sandbox di mana harga-harga hartanah digital ini semakin melonjak naik. Decentraland contohnya, telah mengaut sehingga 50juta USD dalam penjualan hartanah digital, aset dan juga avatar.
Jadi, apa pendapat anda? Hartanah digital, ya atau tidak? Adakah anda akan turut serta?