uTorrent telah sekian lama menjadi aplikasi pemuat turun fail torrent yang diminati ramai. Meskipun dari satu versi ke satu versi, ianya terasa semakin bloated, tetapi tidak dapat dinafikan ia antara pemangkin kepada pembaharuan klien yang lain.
Terkini, uTorrent telah melancarkan ‘secara senyap’, uTorrent Web.
uTorrent Web, seperti namanya berfungsi melalui pelayar web yang anda gunakan. Mana-mana fail yang anda cuba muat turun sama ada menggunakan fail torrent atau pautan magnet, akan dibuka melalui uTorrent Web ini. Pengguna boleh memanfaatkan bar carian pada laman mereka, atau buka sahaja mana-mana laman torrent seperti YTS untuk mencari apa yang anda mahukan. Jika anda menggunakan bar carian di laman uTorrent Web, ia tetap akan menghalakan anda kepada carian Google. LOL.
Video akan mengambil sedikit masa untuk dimainkan, dan ia akan memainkan video beserta dengan sarikata sekiranya ia disertakan. Mungkin strim torrent melalui pelayar web bukan penyelesaian paling ideal, kerana dengan pemain video seperti SMPlayer, ia mampu melakukan pelbagai perkara dengan lebih lagi. Namun penstriman dengan cara ini membantu mereka yang tidak mahu memasang pelbagai perisian hanya untuk membuat satu perkara yang sama.
Tetapan bagi uTorrent Web tidak banyak, sesuai dengan peranannya sebagai pemuat turun dan pemain video secara strim.
Pada bahagian bawah pemain video, anda boleh lihat progress setiap fail yang anda muat turun.
Jika anda mahukan penstriman tanpa gangguan buffer, sebaiknya anda pause terlebih dahulu, biarkan video dimuat turun separuh, kemudian barulah mainkan ia.
Anda juga boleh muat turun mana-mana fail selain video, cuma sudah tentulah anda tidak boleh strim ia.
Cukuplah intro kami terhadap uTorrent Web dalam artikel ini. Anda boleh terus ke laman uTorrent Web melalui pautan di bawah, muat turun dan pasangkan kliennya, kemudian terus strim mana-mana video yang anda suka.
Walaupun secara dasarnya kami adalah peminat Snapdragon SoC, tetapi kami tetap akan cuba menulis kemas kini mengenai status MediaTek SoC, tidak kiralah macam mana sekalipun apa yang anda fikirkan mengenainya.
Pada MWC 2018 di Barcelona, MediaTek mengumumkan pengeluaran sebuah pemproses terbaru mereka iaitu Helio P60.
Helio P60 ini telah dibina pada TSMC 12nm, yang dikatakan akan mengurangkan penggunaan kuasa sebanyak 15% berbanding chip 14nm.
Ianya terdiri dari empat teras Cortex-A73 (2GHz) dan empat lagi teras Cortex-A53s (2GHz), serta GPU Mali-G72 MP3 berkelajuan 800MHz yang melonjakkan prestasi sebanyak 70%.
MediaTek Helio P60 (PRNewsfoto/MediaTek Inc.)
MediaTek juga enggan ketinggalan dari segi penambahan kecerdasan buatan, apabila kali ini mereka memasukkan ciri AI Processing Unit (APU) yang jelasnya menjadi seteru kepada Neural Processing Unit (NPU) dari Huawei.
Buat pertama kalinya memperkenalkan teknologi NeuroPilot AI, yang menurut MediaTek ianya berfungsi dengan lancar merentasi antara CPU, GPU dan APU, bergerak dalam SoC untuk memaksimumkan prestasi dan meningkatkan kecekapan penggunaan kuasa.
Padanya juga terdapat CorePilot 4.0, yang mengawal mengawal pengurusan haba, memantau pengalaman pengguna, dan ‘Penjajaran Berasaskan Tenaga’ (Energy Aware Scheduling) untuk mengoptimumkan prestasi dan pemuliharaan kuasa.
Aplikasi mesej tanpa nama iaitu Sarahah yang sangat popular telah dibuang dari senarai aplikasi di Apple Store dan Google Play selepas mendapat pertuduhan yang serius iaitu kes buli. Sebelum ini, ia telah dinafikan oleh ketua eksekutif syarikat yang mengatakan aplikasi itu sebenarnya untuk mereka yang lebih dewasa.
Seorang ibu iaitu Katrina Collins terkejut dengan mesej tanpa nama yang diterima oleh anak perempuannya yang berusia 13 tahun. Seorang lelaki menghantar mesej yang dia berharap bahawa anak perempuannya akan membunuh dirinya sendiri. Bahasa yang digunakan oleh lelaki itu telah menyinggung perasaan anak perempuannya.
Katrina Collins.
Mesej tersebut muncul di aplikasi Sarahah, yang sebenarnya direka untuk membolehkan orang meninggalkan maklum balas yang jujur mengenai rakan-rakan yang dikenali, Collins dan anaknya memang menggunakan aplikasi tersebut dan sangat terkejut apabila dia melihat mesej menyinggung perasaan anak beliau itu.
Collins, yang tinggal di Australia, kemudian memfailkan petisyen di laman web Change.org iaitu laman petisyen dalam talian. Dia menyeru aplikasi tersebut dibuang dari dua lokasi stor mudah alih terbesar iaitu Apple Store dan Google Play. Petisyen itu mengatakan aplikasi Sarahah menyokong unsur membuli dan membahayakan diri dan dengan cepat memperoleh hampir 470,000 sokongan undi.
Aplikasi tersebut kemudiannya dibuang dari kedua-dua Apple dan Google Play Store. Tindakan Syarikat tersebut sangat pantas sebagai respon kepada petisyen itu, walaupun seorang jurucakap Google tidak mahu mengulas panjang terhadap perkara tersebut dan difahamkan juga Syarikat Apple tidak menjawab persoalan mengenainya.
CEO Sarahah iaitu Zain-Alabdin Tawfiq membantah tuduhan Collins sekeras-kerasnya. Beliau berkata keputusan oleh Apple dan Google untuk membuang aplikasi itu adalah sangat mengecewakan tetapi beliau sangat optimis untuk mencapai kesefahaman yang baik dengan pihak syarikat tidak lama lagi.
Aplikasi ini telah mengalami naik turunnya dan kini terus turun sejak dilancarkan setahun yang lalu. Ia menjadi satu kejayaan memuncak hampir di seluruh dunia, lebih daripada 300 juta pengguna telah mencipta akaun aplikasi ini. Sarahah, yang dibangun di Arab Saudi, menduduki tempat di Apple App Store di lebih daripada 30 buah negara pada sekitar bulan Julai yang lalu.
Sarahah, dinamakan sempena perkataan Arab yang bermaksud ‘jujur’, bertujuan untuk membolehkan pengguna menerima maklum balas konstruktif tanpa nama (anonymous). Tetapi Katrina Collins, wanita di belakang petisyen, mengatakan ia juga ada unsur membuli dan membahayakan diri kepada sesiapa yang menggunakan aplikasi tersebut.
“Jika ia berlaku kepada anak perempuan saya,” katanya kepada berita BBC, “Ia juga mungkin boleh berlaku kepada banyak kanak-kanak lain di luar sana juga”.
Sebelum ini terdapat kes seorang kanak-kanak berusia 14 tahun dari Grimsby di UK baru-baru ini menerima mesej ‘menjijikkan’ yang diterima di aplikasinya iaitu Snapchat.
Tawfiq mengatakan bahawa perkataan yang menyinggung perasaan dibawa didalam petisyen Collins akan diambil tindakan oleh mekanisma penapisan perkataan yang akan menghalang sebarang benda buruk sampai ke penerima. Beliau berkata sebaik sahaja mereka menerima petisyen ini, mereka telah melancarkan mekanisma penapisan mesej itu melalui Sarahah, dan ia telah pun berjaya.
Sejak petisyen dilancarkan, Tawfiq berkata syarikatnya telah menaik taraf sistem penapisan mesej untuk menggunakan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.
Jadi pada dasarnya jika sesuatu perkataan ditulis seseorang itu mendorong ke arah cubaan membunuh diri, maka ‘membunuh’ adalah kata kunci kepada perkataan tersebut. Tetapi jika perkataan tersebut sebagai contoh diubah menjadi ‘lompatlah dari tebing’, maka robot-robot dari kecerdasan buatan ini juga akan dapat mengesan perkataan seperti ini dan menyekatnya daripada diterima oleh penerima. Beliau juga menegaskan bahawa aplikasi itu hanya boleh digunakan untuk individu berumur 17 tahun ke atas sahaja.
Peranti ini telah dilepaskan lebih kurang 4 bulan lalu, namun dilancarkan di Malaysia pada 14 Disember 2017. Jadi sebarang ulasan mungkin agak kurang ‘panas’, namun saya tetap terpanggil untuk menulis kerana amatlah kurang atau hampir tiada reviu berbahasa Melayu bagi telefon pintar ini.
Jarang ada yang menulis ulasan untuk Meizu (bagi blogger Malaysia), kalau ada pun dari portal berbahasa Inggeris seperti SoyaCincau.
Ianya mula hadir di Malaysia dengan harga pengenalan RM899. Sekarang ia boleh didapati di Satu Gadget pada harga RM799 (Original Malaysia Set), beserta sebuah kotak hadiah percuma. Hadiah tersebut adalah selfie stick, fon telinga, dan i-ring.
Kotak Meizu M6 Note beserta ‘Gift Box’ dari Satu Gadget.
Berikut adalah spesifikasi am bagi Meizu M6 Note ini:
Saiz dan berat: 154.6 x 75.2 x 8.4 mm, 173g.
Paparan skrin: IPS, 5.5″, Definisi Tinggi Penuh 1080 x 1920 (403 PPI).
Apa yang berbeza antara model ini dengan model Meizu yang lain ialah ia merupakan peranti pertama dari syarikat ini yang menggunakan Qualcomm SoC (Snapdragon 625, Adreno 506). Kebiasaannya meskipun untuk model flagship atau ‘perdana’, mereka menggunakan MediaTek ataupun Exynos. M6 Note menjadi titik tolak kepada bermulanya penggunaan Snapdragon yang mungkin akan membantu Meizu menjadi lebih ‘dipandang’ orang terutamanya dari pembangun di XDA.
Telefon pintar kategori pertengahan ini masih mempunyai bingkai atau ‘bezel’, namun ianya agak minima. Di bahagian bawah bingkainya terletak butang mBack, satu butang dengan pelbagai peranan. Tekan sekali, ia akan membawa terus ke home screen. Manakala ketik sekali pula, ia akan patah balik operasi ke belakang. Ketik dua kali, akan melancarkan kamera, dan seret skrin dari bahagian bawah ke atas akan melancarkan tetingkap multitasking.
Bingkai atau ‘bezel’-nya minima sahaja.
Oh ya, butang mBack ini juga adalah sebuah pengimbas cap jari, yang mana perlu ditekan untuk membuka kunci telefon tersebut. Disebabkan ia perlu ditekan, mungkin anda akan merasakan sedikit lambat atau delay, tetapi pada saya ianya sudah mencukupi.
Flyme OS 6
Ok, cukuplah rasanya pengenalan terhadap telefon ini. Sekarang saya ingin membicarakan sedikit mengenai sistem operasi yang menjadi tulang belakang kepadanya.
Flyme 6 pada Meizu M6 Note adalah berasaskan Android 7.1.2. Sekali imbas ianya tampak sama sahaja dengan ‘ROM China’ yang lain seperti MIUI dan EMUI, yang tiada app drawer, dan terus memaparkan aplikasi yang telah anda pasang di home screen.
Namun apabila diteliti, ternyata Flyme OS mempunyai keistimewaan dan kekuatannya yang tersendiri, sesuai dengan ‘400 ciri baru‘ yang diwar-warkan. Kalau saya hendak senarai dan ceritakan satu persatu, rasanya semuka untuk artikel ini pasti tidak mencukupi.
Cuba anda tonton dahulu video di bawah untuk mendapatkan gambaran mengenainya.
One Mind AI
Suka saya hendak menyentuh salah satu daripada keistimewaan Flyme OS 6 ialah ia memperkenalkan kehadiran ‘independently researched-and-developed intelligent thinking engine’, iaitu One Mind AI.
One Mind AI menurut Meizu adalah kecerdasan buatan yang ‘self-develope’, iaitu ia akan mempelajari bagaimana anda menggunakan peranti, lalu ia akan beradaptasi dan menyesuaikan prestasinya mengikut kepenggunaan semasa.
Sebagai contoh salah satu dari cirinya ialah ‘Flash Launch’, yang mana ia akan menandakan beberapa aplikasi yang paling kerap digunakan, lalu memberikan ia lebih prioriti, dan membuat pengoptimuman kepada aplikasi tersebut agar ia lebih cepat dilancarkan, dan lebih respons apabila digunakan.
Imej kredit kepada Flyme OS Official Site.
Terdapat juga fungsi ‘Process Reaper’. Ciri ini akan mengenal pasti jenis dan bagaimana sesuatu aplikasi itu berfungsi berdasarkan kepada tabiat penggunanya. Process Reaper ini kemudiannya akan mengurangkan (reap) proses yang menggunakan sumber memori yang banyak atau ‘berkelakuan’ secara tidak normal dan dalam masa yang sama mengekalkan proses yang diperlukan agar ia dapat berfungsi.
Secara tidak langsung ia mengurangkan penggunaan sumber memori dan melancarkan pergerakan aplikasi.
Selain itu, ciri One Mind AI yang menarik perhatian saya ialah ‘Auto-repair at Night’. Menurut laman rasmi Flyme 6, fungsi ini akan mengenal pasti waktu kerja dan waktu rehat anda. Apabila anda sedang tidur, sistem akan berada dalam keadaan ‘sleep mode’, dan memulakan ‘self-repair’ iaitu membuat/mengaktifkan defrag memori, memadam atau membersihkan cache sistem, mengoptimumkan penggunakan aplikasi latar belakang, mengurangkan penggunaan kuasa sedia (standby), dan mengurangkan lebih banyak sumber sistem atau memori.
One Mind juga mempunyai ‘Game mode’, yang mana ia akan mengenal pasti ketika sesuatu permainan dijalankan dan akan mengaktifkan Game Mode. Apa yang mode ini lakukan ialah ia akan memastikan permainan dapat dimainkan dengan lebih lancar, tanpa sebarang gangguan memori tidak mencukupi, notifikasi yang masuk tanpa sekatan, menyahaktif fungsi isyarat (gesture), agar anda boleh fokus ketika bermain. ‘Network Protection’ pula akan mengenali permainan atas talian lalu memastikan sambungan kepada rangkaian sentiasa stabil agar ia tidak mudah terputus.
Begitulah sedikit sebanyak tentang One Mind AI yang saya boleh ceritakan. Ia adalah kecerdasan buatan yang akan berfungsi di sebalik tabir, berbeza dengan Google Assistant yang lebih kepada ‘in your face’. Namun meskipun One Mind tidak kelihatan, jasanya kepada peranti tetap dapat dirasai.
Kamera
Salah satu kelebihan kepada M6 Note yang diberi penekanan selain pemproses Snapdragon dan kecerdasan buatan di sebalik tabir, ialah kameranya.
Didatangkan dengan tiga kamera, dua terletak di belakang dan satu di hadapan. Kamera belakang dilengkapi dengan Sony IMX362/Samsung 2L7, bergabung antara 12MP dan 5MP (f1.9/f2.0) Manakala kamera hadapannya pula adalah 16MP, dengan f/2.0.
Jika tidak salah pemahaman saya, kedua-dua kamera belakang dan hadapan mempunyai ‘Arcsoft Algorithm’, iaitu perisian yang akan mengoptimumkan hasil tangkapan. Untuk kamera hadapannya, algoritma ini akan menampakkan tekstur dan warna wajah yang lebih realistik, berbanding ‘beauty mode’ yang biasa dilihat pada telefon pintar lain. Ya, ia juga ada algoritma dari Arcsoft untuk bahagian ‘Beauty’, jadi jangan bimbang. Anda masih dapat menutup cela di wajah anda dengan mod itu. ?
Sampel Gambar
Berikut saya cuba tampilkan beberapa gambar yang sempat saya ambil semasa menggunakan M6 Note. Secara lalai (default), aplikasi kameranya akan meletakkan watermark pada setiap gambar yang diambil. Jika anda lebih suka ianya tiada, anda boleh menyahaktifkan ia melalui tetapan.
Tiada sebarang suntingan yang saya lakukan pada setiap gambar. Kesemuanya adalah ‘straight-out-of-camera’ (SOOC).
Sama sepertimana peranti pertengahan yang lain, kamera ini tidak mempunyai OIS, cuma saya masih lagi tidak pasti tentang kewujudan EIS pada rakaman 1080P. Anda boleh tonton sendiri video yang saya rakamkan di bawah. Mungkin ada, mungkin tiada. Apa pun bak kata ‘orang putih’, rakaman ini adalah usable.
Audio
Tahukah anda, Meizu bermula sebagai pengeluar pemain mp3 mudah alih? Jadi menurut hemah saya, sudah tentulah mereka ini merupakan pakar audio sebelum meneruskan langkah sebagai pengeluar telefon bimbit pintar pula.
Sayangnya, pada M6 Note tiada sebarang teknologi audio sokongan seperti DAC dalaman dalam model MX4Pro dan PRO 5. Kedua model tersebut menggunakan pemproses audio DAC ES9018K2M. Tidak lupa juga model Meizu Pro 6 yang mengaplikasikan codec audio Wolfson WM8998.
Disebabkan M6 Note tidak mempunyai sebarang bentuk penambahbaikan audio, maka kualiti audio yang dapat didengari melalui fon kepala adalah pada kadar ‘ok’ sahaja. Terdapat dua cara bagi menambahbaik audio, iaitu root dan pasang Viper4Android, atau gunakan DAC mudah alih luaran.
Bateri
M6 Note ini mempunyai bateri berkapasiti 4000mAh beserta ‘mCharge’ (18W). Sejauh pengujian yang saya lakukan, untuk mengecaj penuh bateri tersebut dari 10% ke 100% memakan masa lebih kurang 2 jam. Mungkin ia tidak selaju Dash Charge, tetapi pada saya ianya memadai kerana penggunaan bateri pada peranti ini adalah sangat-sangat menjimatkan.
Kelajuan pengecasan mCharge.
Kebiasaannya saya akan mendapat lebih kurang 8 jam Screen On Time (SOT), dan jika penggunaan lebih ‘berhemah’, mungkin ianya boleh menganjak kepada 9 atau 10 jam.
Jika penggunaan agak intensif seperti bermain permainan dengan grafik berat, atau menonton YouTube, sekurang-kurangnya 5 hingga 6 jam SOT boleh diperolehi.
Prestasi
Meskipun ia hanya menggunakan pemproses Snapdragon kelas pertengahan, namun tiada apa yang boleh saya rungutkan tentang prestasinya. Dari multitasking (Multi-tugas? Tugas berbagai?), kepada kepermainan, semuanya berjalan dengan lancar. Ditambah lagi dengan pengoptimuman automatik oleh One Mind AI/Flyme, bateri yang dapat bertahan lebih lama dan dicaj lebih laju pula, saya rasa tidak banyak yang dapat saya ‘bisingkan’.
Permainan seperti Nova 3, Asphalt 8, Kingdom Rush Origins, dapat dimainkan dengan baik. Sedikit lag pada Asphalt 8 ketika intro – itu sudah pasti. Saya pun tidak tahu kenapa.
Kingdom Rush Origins yang ohsem.
Kata Akhir/Konklusi
Jika anda sedang mencari sebuah telefon pintar dengan harga bawah RM1000, yang mempunyai kamera menawan serta kapasiti bateri yang memuaskan, maka jangan tunggu lama lagi. Dapatkan Meizu M6 Note hari ini, kerana kalau anda tunggu sampai esok, mungkin makcik sebelah rumah yang sedang membaca artikel ini sudah pun membeli stok terakhir.
Ini filem MCU yang paling saya nantikan pada tahun ini. Bila teaser trailler keluar, saya punyalah seronok kerana ini adalah satu-satunya adiwira orang berkulit hitam. Saya dan isteri berkesempatan menonton malam tadi.
Filem ini mengisahkan perkara yang belaku selepas kejadian filem Captain America: Civil War. Putera T’Challa kembali ke negara Afrika daerah Wakanda yang sangat maju dan berteknologi selepas kemangkatan ayahnya akibat letupan bom di PBB.
Walau bagaimanapun, Putera T’Challa menghadapi kesukaran untuk menjadi raja kerana dia dicabar dari puak-puak yang mahukan takhta di negara dia sendiri. Apabila dua musuh bersekongkol untuk memusnahkan Wakanda, Black Panther perlu menyelesaikan isu tersebut supaya Wakanda tidak terlibat dalam Perang Dunia.
ULASAN
Saya peminat besar Marvel Cinematic Universe dan sebelum menonton filem ini saya mengharapkan ini tidak mengecewakan saya. Namun, ada beberapa perkara yang pasti apabila anda menonton, akan ada persoalan tersendiri.
Filem ini adalah seperti cerita filem adiwira siri Marvel yang lain. Aspek Wakanda diceritakan yang menampakan filem itu hebat. Teknologi Vibranium yang digunakan dalam filem ini diceritakan secara meluas. Tetapi terdapat banyak klise yang merosakkan filem itu.
Chadwick Boseman (T’Challa/Black Panther) lakonan beliau sangat memukau. Lupita Nyong’o (Nakia), Martin Freeman (Everett K. Ross), Danai Gurira (Okoye), dan Forest Whitaker (Zuri), lakonan mereka ini hanya paras baik sahaja. Manakala, Michael B. Jordan (Erik Killmonger), melakonkan watak jahat yang sangat klise yang akhirnya hampir merosakkan filem ini sebenarnya. Terus terang saya katakan, saya tidak merasakan kekuatan wataknya.
Kalau anda menonton filem ini, anda akan mendapati bahawa filem ini tidak mempunyai susunan yang tepat. Bercelaru. Banyak babak sebenarnya dipanjangkan kepada penonton dan kadangkala membosankan. Paling penting jika anda tidak menonton filem Captain America: Civil War, banyak persoalan yang boleh buatkan ia tergantung dalam fikiran.
Bahagian tengah filem boleh dijangka apa yang akan berlaku. Dan, anda boleh ramalkan apa yang berlaku pada babak seterusnya.
Kesan CGI bolehlah dikatakan sangat realistik sesuai dengan bajet filem ini. Pilihan muzik juga pada saya terbaik kerana bercirikan tradisional. Saya sebenarnya berharap bahawa pertarungan antara T’Challa dengan Erik Killmonger lebih dramatik.
Namun, seperti yang dijangka ia tidak sebaik antara filem MCU yang saya tonton. Apabila saya keluar sahaja daripada pawagam, selalunya emosi dan pemikiran saya akan berubah seketika apabila selesai menonton, namun ianya tidak berlaku dalam filem adiwira Black Panther ini.
PENUTUP
Secara keseluruhan, Saya benar-benar mahukan filem ini menjadi baik, tetapi saya merasakan seperti filem ini sangat panjang, klise, dan membosankan yang tidak diperlukan dalam MCU. Paling penting sekali sebelum menonton filem ini, jangan membaca ulasan daripada RT atau IMDB. Jika anda suka menonton filem di wayang, pergilah menonton dan nilaikan sendiri.
Oleh itu OMG Hackers memberikan penarafan Durian Buruk sebanyak:
Clairvoyance – the supposed faculty of perceiving things or events in the future or beyond normal sensory contact.
Di bawah kerajaan Amerika syarikat, CIA pernah menjalankan sebuah kajian yang diberi kod nama ‘Stargate’ atau Star Gate.
Projek ini adalah bertujuan untuk melakukan kajian ke atas kebolehan psikik yang dapat diaplikasikan kepada intipan dan tujuan ketenteraan.
Program tersebut tercetus dek kerana kebimbangan AS terhadap pesaingnya iaitu pihak Soviet yang telah melaburkan sejumlah besar wang untuk membuat kajian ke atas kemampuan psikik.
Antara sebab lain mengapa kerajaan AS mahu menghasilkan manusia psikik ala X-Men adalah kerana mereka akan dapat membuat intipan secara pasif, tidak memerlukan kos yang tinggi, dan juga tiada sistem pertahanan yang mampu menghalang kuasa psikik (setakat ini).
Projek yang bermula pada tahun 1972 di Stanford Research Institute, dikendalikan oleh Russell Targ dan Harold Puthoff, membuat kajian terhadap ‘psikoenergetik’, iaitu kemampuan memandang sesuatu objek secara jarak jauh, dan juga telekinesis, iaitu kemampuan seseorang untuk menggerakkan sesuatu objek tanpa menyentuhnya.
Harold Puthoff.
Kajian ini juga memfokuskan terhadap kebolehan individu untuk melihat sesuatu objek, manusia, atau tempat menggunakan ‘kuasa minda’ atau out-of-body experience (OOBE).
Mana-mana individu yang menunjukkan potensi telah dilatih dan diajar untuk menggunakan ‘anugerah’ yang mereka miliki bagi tujuan ‘peperangan psikik’.
Pada kemuncak projek di pertengahan 1980-an, program tersebut telah berjaya menghasilkan seramai tujuh orang psikik ‘sepenuh masa’. Tiga orang psikik dilaporkan bekerja di FT Meade untuk CIA dari tahun 1990 hingga Julai 1995. Mereka disediakan untuk berkhidmat kepada mana-mana agensi kerajaan yang memerlukan.
Adalah dipercayai beberapa kejayaan dari program ini ialah:
Mereka ditugaskan untuk mencari plutonium di Korea Utara pada 1994.
Mereka telah mencadangkan tempat persembunyian Saddam Hussein di Iraq.
Para psikik tersebut dikatakan telah membantu mencari peluru berpandu SCUD, serta projek-projek rahsia peperangan biologi dan kimia.
Mereka juga cuba memburu Gadhafi sebelum pengeboman Libya pada 1986, tetapi Gadhafi tidak cedera dalam pengeboman itu.
Adalah dipercayai juga mereka pernah menggunakan kebolehan seperti itu untuk mengesan tempat persembunyian Osama Bin Laden.
Pihak CIA telah menutup projek Stargate ini pada tahun 1995. Mereka juga telah melepaskan dokumen berkaitan Stargate secara umum di laman Electronic Reading Room. Sesiapa sahaja boleh mengakses dan membaca dokumen-dokumen tersebut, tiada rahsia lagi yang disembunyi.
Kalau kita buat perbandingan antara Android dan iOS, apa yang digemari oleh pengguna akan menjadi lebih subjektif. Bagi yang lebih suka kepada keringkasan, iOS akan menjadi pilihan, manakala untuk yang suka kepada ubahsuai ‘sini sana’, Android adalah jawapannya.
Tetapi apabila Android dibandingkan sesama ‘sendiri’, ia mula menjadi sensitif dan perbincangan akan lebih terarah pada penghinaan kepada syarikat-syarikat yang membuat ‘Skinned’ Android atau bahasa mudahnya versi Android yang telah diubah dari ‘Stock’.
Sejak sekian lama ‘Android Purist’ seperti saya lebih menggemari dan memilih ‘Stock’ Android kerana pada saya ianya lebih baik dari segala segi.
‘Skinned Version’ seperti Sense (HTC), TouchWiz/Samsung Experience (Samsung), Color OS (Oppo), MIUI (Xiaomi), EMUI (Huawei), Vibe (Lenovo) dan Flyme (Meizu) sering menjadi bahan ejekan, kutukan, dan makian para ‘pencinta’ stock Android dek kerana beberapa sebab yang bertahun lamanya menjadi titik noktah kepada penolakannya.
Antara hujah-hujah lapuk yang sering menjadi permainan di bibir peminat stock Android adalah:
Versi ROM yang dibuat oleh OEM adalah hodoh dan jelik di pandangan mata.
Lembab.
‘Bloated‘. Penuh dengan pelbagai aplikasi yang bertindan fungsinya.
Kemas kini perlahan.
Paparan antaramuka yang bercelaru.
Lebih banyak menggunakan kuasa bateri.
Pelbagai ralat dan pepijat (bugs) yang ada.
Namun itu semua cerita lama.
Semakin tahun bertambah, skin juga semakin berubah.
Bukan sahaja dari segi kelajuan ia bertambah, ciri-cirinya juga semakin banyak.
Benar, Android versi Google atau ‘stock’ ini sememangnya menjanjikan prestasi yang terbaik. Namun seiring dengan kemajuan pemproses dan pelbagai spesifikasi lain, Android versi skin juga terasa semakin baik dari segi kelajuan, animasi, dan ciri tambahan.
Apa yang menarik, ciri-ciri asas seperti memaparkan jumlah kuasa bateri di sebelah ikon bateri telah lama ada dalam skinned Android, namun baru sahaja diimplementasi dalam versi stock 8.0, Oreo.
Bukan itu sahaja. Ciri seperti split screen dan floating windows telah lama ada dalam TouchWiz, namun juga baru sahaja dijadikan ‘ciri baharu’ dalam stock Android.
Apabila TouchWiz digugurkan dan Samsung mula memperkenalkan ‘Samsung Experience’ yang lebih ‘ringan’ pada S8, ramai yang mengatakan bahawa mereka tidak mengalami sebarang penurunan prestasi selepas menggunakan peranti tersebut beberapa bulan.
Perkara pokok paling penting yang orang selalu lupa bukan betapa baiknya jika OEM memasang stock Android pada peranti mereka, namun sokongan padu dari pembangun yang amat diperlukan selepas sesuatu peranti itu dilepaskan.
Jangan kita lupa pula sebaik-baik Android yang kita gelarkan ‘stock’ itu, tidak lagi ideal kepada Google. ROM yang ada pada telefon Pixel meskipun tampak seperti ‘stock’, namun pelbagai ciri lain yang ‘jauh’ dari stock (ala-Nexus) telah dimasukkan ke dalamnya.
OxygenOS, dengan tampilan ala-stock Android, juga mengimplementasikan pelbagai ciri tambahan berlainan dari stock Android agar ia kekal unik dengan identiti tersendiri, selain ROM tersebut juga mendapat sokongan dari pembangun yang ramai. Custom ROM dan kemas kini tidak lagi menjadi isu, manakala tampalan sekuriti sering diberikan bagi menangani kerentanan terkini.
Oh ya, anda sanggup menggunakan aplikasi kamera dari AOSP?
Saya tidak sanggup.
Saya lebih suka dan cenderung memilih aplikasi kamera dari OEM seperti Asus, Samsung, OnePlus, Meizu, bahkan Lenovo, kerana ia mempunyai lebih banyak fungsi, lebih banyak ciri menarik, dan hasil gambar yang diambil juga lebih jitu dan ‘padu’.
Masakan tidak, aplikasi kamera pada Pixel dan Pixel 2 juga banyak berubah, bukan?
Antara ciri-ciri lain yang ada pada skin adalah kebolehan untuk mengubah font (tak pasti ia sudah diimplementasi atau belum dalam Pixel. Ada sesiapa nak sponsor?), isyarat jari untuk mengaktifkan sesuatu fungsi atau aplikasi ketika skrin terpadam, menukar tema, menggunakan mode satu tangan, dan mengaktifkan perakam skrin.
Banyak lagi sebenarnya yang saya boleh senaraikan, namun cukuplah setakat itu sahaja untuk anda berfikir dan terus berfikir, dan dengan minda yang terbuka saya rasa anda mampu menghadamnya dengan baik.
Saya masih lagi menggemari Android yang mana paparannya lebih terarah kepada stock, seperti OxygenOS. Namun saya juga tidak lagi akan keberatan untuk menggunakan mana-mana skin dari OEM kerana saya tahu, para pembangun mereka sudah melakukan sehabis baik untuk membuat skin tersebut tidak lagi menjadi suatu ‘beban’ kepada sistem, sebaliknya menawarkan pelbagai ciri unik yang menjadi identiti kepada syarikat dan peranti tersebut.
Hari ini, teknologi komputer berkembang dengan lebih maju dan pantas. Namun begitu, tahukah anda tentang jangka hayat komputer yang anda gunakan sekarang?. Di sini OMG! Hackers? akan membincangkan persoalan umum yang sering kali ditanya dengan menjawab bagaimana anda sendiri dapat memaksimumkan jangka hayat pc anda.
Apabila anda mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli komputer baru, anda mengharapkan ia akan bertahan untuk jangka masa yang lama, bukan? Jawapannya TIDAK.
Hayat purata komputer meja sekitar 3 hingga 5 tahun.
Terdapat banyak faktor yang dapat mengurangkan jangka hayat, seperti berapa banyak sesi yang anda gunakan dalam sehari, haba dan kelembapan alam sekitar, habuk, dan serangga. Ya, komputer anda benar-benar boleh mempunyai serangga di dalamnya jika tidak dijaga dengan baik.
Sepanjang saya berkerja dengan agensi kerajaan, ada komputer masih boleh digunakan selepas 10 tahun. Itu pun sangat jarang belaku, kerana kebanyakan sistem hari ini memerlukan ciri atau fizikal teknologi baru. Jika anda hanya menggunakan komputer untuk kegunaan pejabat sahaja, saya yakin ianya memang mampu bertahan dengan lebih lama.
Jika dalam tempoh terdekat ini, anda ingin membeli komputer baru dan tidak berhasrat untuk menambah keperluan lain dalam tempoh waktu terdekat, saya sarankan anda supaya membeli komputer dengan spesifikasi semaksimum mungkin yang tidak perlukan naik taraf untuk waktu yang agak lama. Hanya perlu menggantikan komponen individu yang mungkin rosak, seperti cakera keras anda.
Berikut adalah beberapa faktor penting yang perlu anda ketahui:
Ruang cakera keras – Adakah ruang penyimpanan cakera keras masa sekarang cukup untuk memenuhi keperluan anda? Bolehkah anda memasang cakera keras tambahan untuk penyimpanan tambahan kemudian? Walaupun anda tidak dapat menambahkan cakera keras tambahan, kemungkinan besar anda akan dapat menggantikan cakera keras yang ada dengan yang lebih besar.
Sistem Operasi – Jika anda membeli komputer untuk jangka panjang, anda mungkin perlu berubah dan membuat peralihan ke versi Windows terkini. Tidak semua versi Windows diterima secara meluas. Windows Vista dan Windows 7, 8, 8.1 sebagai contoh, nampaknya sering menjadi sasaran penggodam untuk penyebaran virus dan juga perisian hasad. Sistem pengendalian yang lebih baru akan memastikan bahawa perkakasan dalam sistem akan serasi dengan perisian masa hadapan dan pemacu untuk peranti anda.
Memori / RAM – Untuk prestasi terbaik dengan Windows terkini iaitu Windows 10, anda perlu pastikan terdapat sekurang-kurangnya 4GB RAM yang dipasang dalam sistem, Windows 32-bit mempunyai batasan pada berapa banyak RAM fizikal yang serasi. Manakala Windows 10 Enterprise 64-bit memaksimumkan memori sebanyak 2TB RAM.
Naik Taraf Slot – Semak untuk melihat berapa banyak slot tambahan tersedia pada papan induk (Motherboard) anda untuk peningkatan masa depan. Semakin banyak; lebih baik. Ini termasuk modul RAM, PCI, PCI express, dan USB.
KesalahanYang Biasa Dilakukan – Membeli sistem dengan Video “On-Board”, Audio, atau LAN mungkin lebih murah. Walau bagaimanapun, jika mana-mana daripadanya gagal untuk berfungsi, anda perlu kepada penggantian papan induk yang lengkap, yang lebih mahal jika tidak dilindungi oleh jaminan daripada kilang.
Tips OMG! Hackers?
Untuk memastikan komputer anda berada dalam keadaan terbaik, sentiasa pastikan anda membuka casis secara tetap, dan bersihkan apa-apa habuk habuk di dalamnya. Pastikan anda mencabut kabel kuasa terlebih dahulu sebelum membersihkan komputer anda. Cara yang paling terbaik ialah membersihkan komputer dengan angin gas yang termampat di dalamnya. Anda boleh membeli tin ini di hampir semua kedai komputer atau kedai perkakasan rumah. Anda juga mungkin mahu mengeluarkan modul RAM dan membuang debu di dalam bekas dan memastikan tiada habuk di dalam USB dan slot yang lain.
Saya pernah menjumpai lipas dan cicak di dalam casis komputer dan sememangnya tidak dijaga dengan baik. Jika ini berlaku kepada anda, tetapkan beberapa perangkap umpan serangga di dalam bilik anda, dan jauhkan segera makanan dan minuman dari meja anda. Sentiasa periksa untuk memastikan semua sambungan dalaman didalam komputer ketat sebelum meletakkan penutup belakang pada PC anda.
Untuk membantu menjaga kelembapan, pastikan komputer anda tidak berhampiran dengan tingkap. Walaupun tingkap ditutup hampir sepanjang masa, kondensasi boleh berlaku pada kaca rumah anda. Sekiranya anda mempunyai tingkap yang terbuka, anda akan membiarkan air hujan atau air lain mengenai komputer anda.
Akhir sekali, jika terdapat ribut atau ribut kilat, jangan hanya mematikan komputer anda. Sila pastikan plug komputer anda secara fizikal dicabut dari dinding. Jika anda gagal berbuat demikian ditakuti kilat pada hujan boleh merosakan sistem anda walaupun dimatikan! Petua ini saya selalu amal untuk memastikan jangka hayat maksimum dari perkakasan komputer saya sendiri.
Sementara lubang kerentanan sekuriti masih terbuka, maka selama itulah anda akan dapat strim kandungan-kandungan dari Crunchyroll melalui satu enjin carian penstriman ‘lanun’.
StreamCR, sebuah enjin carian yang dikhususkan untuk mencari pelbagai kandungan video yang boleh distrim secara percuma. Apa yang menarik, mereka berjaya mencari kerentanan pada Crunchyroll dan telah mendapatkan cara untuk strim kandungan dari laman tersebut tanpa membayar.
Menurut sumber dari TorrentFreak, StreamCR menggunakan akaun Crunchyroll yang aktif untuk mendapatkan pautan video lalu ia ditempatkan terus ke laman mereka (embed).
Namun disebabkan ini adalah sebuah kerentanan dan kemampuan StreamCR untuk membenarkan pengguna strim kandungan Crunchyroll adalah secara eksploit, berkemungkinan ‘keseronokan’ ini hanyalah sementara sahaja.
Sebaik sahaja kerentanan ditampal, maka StreamCR perlu mengindeks/memberikan pengguna pautan alternatif.
Seperti penafian saya sebelum ini, saya tidak menggalakkan langsung aktiviti lanun atau cetak rompak. Jika anda membuat keputusan untuk menggunakan laman tersebut dan menikmati isi kandungannya, saya juga tidak dapat melarang.
Apa yang menarik, selain kandungan video dari Crunchyroll, terdapat juga pelbagai video yang diindeks dari laman-laman penstriman lanun lain seperti YesMovies, 123MoviesHub, dan 9anime.
Seperti gambar tangkap layar di atas, sebaik sahaja anda memasukkan kata kunci carian, ia akan memberikan kepada anda beberapa hasil keputusan yang boleh anda pilih. Apabila klik sahaja pada salah satu darinya, laman tersebut akan terus memainkan video.
Tiada apa-apa tetapan yang perlu anda ubah. Hanya perlu cari, klik, dan strim. Jika anda berminat hendak mengetahui lebih lanjut mengenai laman ini, anda boleh ke: StreamCR
Mungkin anda tidak percaya, tetapi ya. iPhone Singapura dengan kerjasama pengarah filem iaitu Peter Chan, telah membuat satu filem pendek sempena Tahun Baru Cina tahun ini menggunakan sepenuhnya – iPhone X.
Tajuk filem There Minutes, mengisahkan kisah sebenar pertemuan menyayat hati sebuah keluarga di stesen kereta api yang hanya berlangsung selama 3 minit. Jika ada bertemu dengan keluarga anda selama tiga minit, apa yang anda akan lakukan?
Setiap keluarga mempunyai tradisi pertemuan yang unik. Jadi siapa sebenarnya yang lebih baik daripada anda untuk mengarahkan filem kisah keluarga anda? Tentulah anda sendiri bukan?
Dalam video-video berikut, Peter Chan berkongsi tips dan trik untuk merakam filem di hari Tahun Baru Cina anda dengan iPhone X.
Tiada ada alasan lagi untuk mengatakan telefon pintar itu tidak penting kerana anda boleh merekod detik-detik yang menghiburkan dan mencipta kenangan yang indah dan kekal untuk keluarga anda.