Utama Blog Laman 111

Pelancaran Tronsmart Spunky Beat True Wireless Headphones

0

Baru-baru ini, fon telinga TWS (True Wireless Stereo) telah menjadi trend yang paling hangat dalam kalangan orang muda. Terdapat beribu-ribu reka bentuk, jenama dan gaya yang boleh dipilih dalam pasaran seperti Apple Airpods dan Xiaomi Airdots.

Anda juga boleh beli satu dengan harga murah $10, tetapi bagaimana kualitinya? Selain dari reka bentuk, apa lagi yang boleh anda harapkan dari fon telinga TWS yang berharga $10 sahaja?

Kualiti yang baik? Deep Bass? Kalau anda labur sedikit lebih lagi dari $10, anda boleh dapat model terbaru Tronsmart iaitu Tronsmart Spunky Beat. Anda pasti akan dapat spesifikasi hebat yang diharapkan.

Cip Qualcomm® – Pendengaran Muzik yang Paling Lancar

Percaya tak Tronsmart menggunakan Cip Bluetooth Qualcomm untuk Spunky Beat walaupun harganya begitu murah sahaja? Disebabkan cip ini, Spunky Beat mempunyai sambungan yang lebih stabil, transmisi yang lebih cepat, dan kependaman yang lebih rendah. Anda dapat menikmati kualiti bunyi dan pendengaran yang lebih lancar.

codec aptX ™ – Bunyi Kualiti seperti CD

Aspek fon telinga yang paling penting tentulah bunyi. Tronsmart sentiasa menjalankan penyelidikan supaya menghasilkan fon telinga yang mampu memenuhi standard tinggi para peminat muzik. Oleh itu, Spunky menggunakan codec Qualcomm aptX ™ kerana codec ini boleh menyampaikan bunyi berkualiti seperti CD. Di samping itu, codec ini juga boleh menghasilkan bunyi yang lebih jelas dan bass lebih padu.

Pembatalan Kebisingan – Muzik yang Lebih Jelas

Dengan teknologi Qualcomm® DSP & cVc ™ 8.0, Spunky Beat mempunyai fungsi pembatalan bunyi untuk menghasilkan kualiti audio yang lebih tinggi. Anda tidak akan diganggu oleh persekitaran yang bising apabila membuat panggilan telefon atau mendengar muzik.

Bateri Bertahan Selama 24 Jam – Mendengar Muzik Sepanjang Hari

Kuasa bateri Spunky Beat memang mengejutkan bagi fon telinga yang begitu kecil dan ringan sahaja. Anda boleh menikmati muzik selama 7 jam dengan Spunky Beat dan 24 jam dengan bekas pengecas. Selain itu, Spunky Beat juga boleh mainkan muzik selama 1 jam selepas 5 minit pengecasan pantas.

Kabel Bersepadu – Pengecasan yang Lebih Mudah

Terdapat dua jenis sistem pengecasan yang anda boleh memilih. Anda boleh mengecas Spunky Beat anda menggunakan kabel USB-A atau kabel USB-C yang termasuk dalam pakej fon telinga Tronsmart.

Misi Tronsmart adalah untuk menghasilkan produk yang dapat senangkan kehidupan anda, dan Tronsmart Spunky Beat adalah salah satu dari produk tersebut. Jika anda tengah mencari wireless earbuds yang berkualiti tinggi dengan harga berpatutan, Tronsmart Spunky Beat merupakan pilihan terbaik dalam pasaran!

 

Ia dijangka akan memasuki pasaran Malaysia pada bulan November ini, namun harganya masih belum diumumkan. Tidak perlu bimbang, kerana TWS ini akan ditawarkan pada harga yang berpatutan.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Geran: Pertembungan Antara Hak Dan Batil

0

Sudah lama rasanya saya menanti filem seperti ini lahir dari tangan pengarah Malaysia.

Ternyata saya tidak hampa.

Filem bertajuk ‘Geran‘ yang diarahkan oleh Areel Abu Bakar ini mengisahkan tentang dua orang sahabat baik, Pak Nayan dan Haji Daud yang juga rakan seguru dalam ilmu persilatan.

Namun disebabkan ada sejarah di antara mereka berdua, mereka saling berdendam dan persengketaan terus berlarutan.

Peluang bagi Haji Daud membalas dendamnya terbuka apabila Mat Arip (Fad Anuar) bertaruh dalam satu judi dan kalah. Akibat kekalahan itu, geran pusaka dipertaruhkan.

Begitulah serba sedikit sinopsisnya.

Percayalah, jalan cerita filem ini agak ringan sahaja, bahkan tiada pula ‘plot twist’ di akhirnya. Penyampaiannya lurus, dan pada saya itu bukan satu bentuk kekurangan.

Selling Point

Terus terang saya katakan, semangat saya hendak ke panggung hanyalah kerana saya seorang anak silat. Kalau nak dikatakan barisan pelakonnya yang menjadi daya tarikan, saya hanya kenal dan ‘cam’ beberapa nama sahaja seperti Namron, Fad Anuar, Taiyuddin Bakar, Aeril Zafrel, dan Azlan Komeng.

Nama-nama lain agak asing bagi saya kerana mereka masih baru, atau saya yang sudah lama tidak mengikuti dunia perfileman Melayu.

Tetapi kerana semangat hendak menonton aksi persilatan itulah yang mendorong kaki saya melangkah ke pawagam, dan apabila sesampainya diri saya di sana, agak terperanjat juga apabila melihat suasananya bagaikan ‘hari raya’ untuk bangsa Melayu.

Semuanya pakat bertanjak dan berbusana.

Sebut tentang Fad Anuar, saya agak tertarik dengan lakonan beliau yang membawakan watak ‘budak nakal kampung’, iaitu Mat Arip.

Ada antara dialog dilontarkan begitu senang diingati dan ia sungguh berkesan lagi melucukan.

Watak beliau menggambarkan sifat tipikal remaja kampung yang juga sudah biasa saya temui pada rakan-rakan saya sendiri.

Dari kegemarannya bermain snooker, bertaruh judi, hinggalah kepada berlumba kereta, itu semua perkara ‘normal’ bagi remaja yang terlalu dimanjakan, dan ia satu gambaran tepat.

Akibat dari ‘hobi’ berjudi inilah menjadi permulaan kepada semua masalah yang timbul kemudian.

Dekat Dengan Realiti

Saya kerap kali bosan menonton filem ‘aksi’ pengarah Melayu sebelum ini, kerana mereka suka menampilkan hero berbadan kekar berwajah kacak sebagai daya penarik penonton hadir ke panggung.

Tidak perlulah saya sebutkan tajuk filemnya, kerana filem aksi tempur tidak begitu banyak dan anda boleh agak sendiri yang mana satu.

Tetapi itu tidak berlaku dalam filem ini.

Bukan saya nak kata heronya tidak kacak, atau heroinnya tidak cantik, kerana sebaliknya juga yang berlaku (mereka tetap ‘elok paras rupa’).

Cuma apa yang hendak saya katakan, sekali imbas pengarahnya tidak begitu mementingkan daya penarik hanya bersandar kepada paras rupa apatah lagi populariti pelakon.

Pendekatan ini membuat filem terasa seakan lebih dekat dengan realiti apabila suasana kampungnya dapat dirasai, begitu ‘asli’ sekali.

Mereka memang asalnya dari kampung, serta loghat Utara juga sangat pekat lagi likat. Buat yang kurang faham, jangan bimbang kerana sarikata ada disediakan.

Penampilan Barisan Pelakon Baru

Kalau nak diulas tentang pelakon-pelakonnya, ternyata tidak cukup satu entri dan sangat panjang jadinya nanti. Tambahan kita ada Namron, yang membawa watak Pak Nayan dengan begitu menusuk hati sekali. Itulah dia bagaimana watak seorang ayah (dari Utara semestinya) yang lembut sekali mendidik anak-anak, dan berkata-kata dengan penuh berhemah.

Saya cuma teringatkan pelakon-pelakon baru seperti Khoharullah Majid dan Feiyna Tajudin.

Kalau nak diikutkan, hubungan yang terasa ‘asli’ seperti adik beradik hanyalah antara Fatimah (kakak) dengan adiknya Mat Arip. Antara Mat Arip dan abangnya Ali (Khoharullah) pula tidak begitu terasa dekat di hari.

Tetapi bila dikenang semula, sememangnya wujud keluarga yang begitu. Dari luar nampak hambar, tetapi abang mana yang tak sayang adiknya?

Tidak lupa juga lakonan dan aksi dari saudari Feiyna Tajudin. Saya berasa teramatlah bangga melihatnya. Dari lontaran suara, kepada lontaran penumbuk, keduanya sama ‘pergi’, sama padu.

Kemudian kita ada juga watak pak lawak seperti Mi Piang (Taiyuddin Bakar). Rasanya tak perlu lagi saya perkenal kepada semua. Taiyuddin, berlakon sebagai Taiyuddin. Dengan hanya menjadi dirinya sendiri pun memang sudah sedia lucu, apatah lagi perlu bertutur dalam loghat Utara, bertambah lucunya.

‘Piang’ ini kalau di tempat saya (Ipoh) bermaksud ‘curi’. Bila digelar ‘Mi Piang’, kita boleh fahamlah ciri individu tersebut bagaimana. Boleh jadi kaki curi barang motosikal, kereta, atau barang-barang kawan (heheh).

Koreografi Dan Sinematografi

Saya tiada masalah dengan koreografi tempurnya. Pada saya aksi pertempuran antara watak baik dan jahat sudah seimbang dan mantap.

Mudah kata, agak realisitik, sebagai contoh, ketika Ali berlawan dengan dua orang penjahat. Pada waktu itu dapat dilihat kedua-dua penjahat menyerang Ali serentak dan adakalanya mereka dapat mengambil kesempatan untuk dapat membuat pukulan atas kelebihan nombor yang ada (dua lawan satu).

Saya cuma kurang gemar kepada pergerakan kameranya.

Pada saya, majoriti watak sudah mahir seni tempur Melayu ini. Maka sudah tidak perlu kepada pergerakan kamera melampau, apatah lagi bergegar.

Saya sangkakan mata bermasalah, rupanya pergerakan kamera yang terlalu mengikut aksi, contoh jelas di akhir pertempuran, menyebabkan saya terpaksa menggosok mata beberapa kali.

Tetapi dalam banyak perkara, jujur saya katakan hanya itu sahaja yang saya rasa boleh diperbaiki. Selain itu, tiada apa lagi yang ingin saya lihat ditambah baik.

Jika filem Geran 2 dibuat, saya harap barisan pelakonnya dikekalkan.

Akhir Kata

Filem Geran pada saya banyak mengambil ‘vibe’ atau inspirasi dari filem-filem tempur lain seperti Merantau (Merantau Warrior) dan Ong Bak. Ada beberapa babak dalam filem yang sangat serupa dengan babak dari Merantau, yang mana pada sesetengah orang akan gelar ia sebagai plagiat idea, tetapi saya pula rasa ia lebih kepada ‘paying homage’ atau memberi penghormatan kepada filem sebelumnya.

Apa yang pasti, filem ini telah membuka lembaran baru dalam industri perfileman tanahair, yang mana sebelum ini ia hanya dipelopori dan dimonopoli oleh kalangan yang sudah sedia popular dan berwajah boleh laris.

Kali ini Geran membawa nafas baru dengan menampilkan wajah-wajah segar dan terbaik dari ladang… atau lebih sesuai lagi terbaik dari gelanggang.

Gambar-gambar sumber dari: Geran The Movie.

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu Deep Fusion?

0

 

Gambar dari: VentureBeat.

Istilah computational photography atau fotografi pengkomputeran tidak asing lagi buat pengguna Android.

Ia dimulakan oleh Google dengan mengaplikasikannya pada siri telefon Pixel yang pertama.

Apple ingin membawa pendekatan yang sama dengan hadirnya Deep Fusion, kaedah fotografi pengkomputeran yang memanfaatkan kuasa pemproses A13 Bionic.

Dengan hadirnya kemas kini iOS 13.2, Deep Fusion telah dinyahdaya pada siri iPhone 11. Cuma apa yang menyedihkan, Deep Fusion hanya dapat berfungsi pada A13 Bionic sahaja, yang bererti siri iPhone yang menggunakan pemproses sebelumnya tidak akan dapat memanfaatkan ciri ini.

Jadi bagaimana kaedah Deep Fusion mengambil gambar?

Deep Fusion membuat penimbalan berterusan (constant buffer) sebanyak 9 imej berasingan dan berbeza exposure dan kemudiannya menggabungkan kesemua imej tersebut kepada satu gambar.

Sebelum anda mengetik butang shutter lagi, kamera sudah sedia mengambil empat keping gambar dengan exposure standard, serta empat keping lagi dengan exposure pendek. Apabila anda menekan butang shutter, kamera akan mengambil pula sekeping gambar dengan exposure panjang, lalu Neural Engine pada A13 Bionic mengambil alih kerjanya.

Ia menganalisa kesemua kombinasi imej tersebut dan memilih satu yang terbaik. Deep Fusion kemudiannya membuat pengoptimuman terhadap setiap satu imej kepada tahap perincian dan tahap noise, semuanya dalam satu saat.

Gambar dari: Computerworld.

Sebelum ini, gambar diambil oleh kamera iPhone 11 melalui ‘Smart HDR’, yang mana ia akan mengambil beberapa siri imej lalu digabungkan kesemuanya ke dalam satu imej bagi mendapatkan jarak dinamik terbaik.

Cuma beza antara Deep Fusion dan Smart HDR, ia (Deep Fusion) tidak hanya menggabungkan kesemua imej, malah akan memilih imej dengan perincian terbaik, pixel demi pixel lalu membuat kombinasi kesemua imej dengan exposure berbeza bagi menghasilkan imej dengan tahap perincian paling baik.

Jadi, secara rumusannya, Deep Fusion berfungsi dengan cara:

1. Ia akan mengambil 9 keping imej.

2. Sebelum anda mengetik butang shutter, ia sudah sedia mengambil 4 keping gambar exposure standard dan exposure pendek.

3. Apabila anda mengetik butang shutter, ia akan mengambil satu gambar exposure panjang.

4. Setelah itu, Neural Engine dalam A13 Bionic akan membuat analisa gabungan kesemua imej tersebut, memilih satu yang terbaik antara kesemuanya, memilih setiap pixel dari 24 juta pixel kesemuanya dan mengoptimumkan perincian serta mengurangkan noise – semuanya dalam tempoh satu saat.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

EasyDoH: Pengaktifan Mudah DNS-Over-HTTPS Pada Firefox

0

Pada ketika ini Mozilla mengimplimentasi DNS-over-HTTPS pada Firefox dengan menempatkan Cloudflare sebagai DNS resolver lalai (default).

Ya, Firefox membenarkan pengguna untuk menukar konfigurasi DoH menggunakan parameter yang mana tidak mudah difahami oleh pengguna harian. EasyDoH memudahkan konfigurasi ini dan menunjukkan lebih banyak alternatif untuk menggunakan DoH yang berbeza bergantung pada keperluan anda.

Dengan addon EasyDoh, ia dapat memberi pilihan kepada pengguna untuk menggunakan resolver berbeza selain Cloudflare dengan cara yang lebih mudah.

Semudah menukar pilihan yang ada dengan mengklik ikon addon tersebut.

Buat masa ini, EasyDoh hanya terdapat untuk Firefox sahaja. Tiada sebarang ‘hint’ dari pembangun tentang keberadaan addon ini bagi pelayar lain khususnya Chrome.

Addon EasyDoH boleh dipasang melalui pautan ini: EasyDoH.

Kemudian, anda boleh hala ke pautan ini pula untuk periksa sama ada DoH telah diaktifkan atau tidak: 1.1.1.1 Connection Information.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Joker: Naskhah Melankolia Disulam Sadis, Gelap Dan Berat

0

Filem Joker adalah filem tahun 2019 yang dinanti-nantikan oleh para peminat komik, dan juga peminat Joaquin Phoenix. Saya hanya mengenali Joaquin dari filem ‘Her’, dan dari situ filem-filem lakonan beliau yang lain mula saya ikuti.

Joker ialah satu watak yang ‘merbahaya’ kepada pelakonnya. Jika bagus, pembawa watak akan dipuja bertahun lamanya. Jika tidak, mereka akan dilupakan, malah namanya menjadi bahan kutukan di mana-mana. Tidak perlulah saya sebutkan nama, anda pasti tahu siapa.

Seingat saya, inilah kali pertama satu filem berinspirasikan komik dibawa dalam gaya yang sebegini rupa.

Gaya yang bagaimana? Ia seakan ingin menjadi filem provokatif ke arah meromantika keganasan dan pembunuhan melalui promo beberapa bulan sebelumnya, tetapi setelah ditonton, matlamat sebenar tidak lebih dari sekadar sebuah kajian karakter.

Filem arahan Todd Phillips ini, mendapat satu bentuk ‘tekanan’ dalam bentuk kebimbangan penonton dan pihak berkuasa apabila tayangannya dijaga oleh polis, contoh seperti yang berlaku di Los Angeles dan New York. Kebimbangan ini berasas, kerana pernah terjadi kes tembakan rambang pada waktu tayangan ‘The Dark Knight Rises’.

Setelah selesai menonton, pada saya filem tersebut ialah sebuah hasil seni yang berjaya menonjolkan isu dalam masyarakat, tidak kiralah di mana jua sekalipun. Isunya difokuskan kepada pengidap masalah mental kronik yang ditindas masyarakat sekeliling sehingga memaksa jiwanya untuk memberontak secara melepaskan keganasan.

Naratif Joker berkisarkan hidup Arthur Fleck, seorang pelawak gagal di bandar Gotham yang tinggal bersama ibunya.

Set penggambaran kelihatan seperti tahun 80an, dan ia dibuat dengan begitu teliti sekali. Ini tidak menghairankan, kerana ia diinpirasi dari novel grafik Batman: The Killing Joke (1988).

Tema filem tidak lari dari bagaimana cara masyarakat melayan individu yang mempunyai masalah mental dan jiwa. Mereka ini sentiasa berasakan keseorangan di balik ramainya manusia sekitar.

Begitu jualah yang Arthur rasai ketika percubaan untuk menjadi seorang pelawak komedi berdiri (stand up comedian) gagal apabila dia ditertawa bukan kerana komedi (punchline) tetapi kerana dirinya sendiri menjadi bahan ejekan. Bukan sekadar penduduk sekitar, bahkan diketawakan di siaran televisyen perdana.

Terlahirnya watak ‘Joker’, hanya setelah kemuncak tekanan menimpa diri Arthur. Bermula dari situ, satu demi satu fasa peralihan watak dapat dirasai dan ditontoni. Saya puji lakonan Joaquin yang amatlah berkesan sekali. Tidak menghairankan jika beliau sentiasa disebut sebagai calon Oscar.

Joaquin dikenali sebagai pelakon yang menggunakan method acting, sama seperti mendiang Heath Ledger. Joaquin dikatakan mengambil inspirasi ketawanya dari pesakit pathological laughter, sejenis penyakit yang menyebabkan individu tersebut ketawa tanpa dapat dikawal, dan tidak mengikut kepada emosi semasa.

Filem diserikan lagi dengan adanya Robert De Niro. Watak beliau mungkin nampak kecil dan hanya muncul beberapa minit sahaja, tetapi masih memberikan impak kepada jalan cerita secara keseluruhan. Watak Thomas Wayne yang dipegang oleh Brett Cullen pula hampir sahaja boleh dilupakan (forgettable), kerana emosi terhasil apabila Thomas bertembung dengan Arthur belum cukup untuk menjustifikasi segala perbuatan Arthur selepas menjadi ‘Joker’. Cuma yang boleh dikatakan, Brett Cullen tidak menghampakan penonton dalam cubaannya menggambarkan sifat-sifat golongan elit Gotham.

Zazie Beetz sebagai Sophie Dumond, juga pada saya sekadar ‘tempelan’. Watak sampingan ini bagaimanapun tetap menjadi penyeri kepada ‘plot twist’ di akhir cerita. Pada saya Joaquin menanggung filem ini di atas bahunya, kerana setiap nuansa wajah, juga postur tubuh, memberikan penonton sesuatu untuk dirasai, yang mana watak-watak lain menyokong dari sudut jalan cerita.

Di akhirnya, kegilaan yang timbul apabila filem hampir menutup tirai merupakan satu isu pokok patut difikir bersama. Mungkin Todd Phillips berkata tiada apa-apa yang hendak beliau sampaikan melalui filem ini, tetapi saya rasakan isu masalah mental di kalangan rakyat kita patut diketengahkan. Mereka ini mesti dibantu, bukan dipinggir atau dipulau.

 

Penarafan Durian Buruk OMGH: 9/10.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

SalamWeb: Pelayar Web Patuh Syariah Dan Mesra Muslim

0

Dah banyak pelayar web berasaskan Chromium di luar sana. Kenapa nak wujudkan satu lagi ‘fork’ di atas lambakan yang sudah sedia ada?

Itulah dia persoalan yang cuba dijawab oleh SalamWeb.

Pelayar ini, sama juga seperti Brave, Opera, dan Edge, adalah pelayar berasaskan Chromium yang dimasukkan ciri-ciri tersendiri. Antara ciri tersebut ialah SalamProtect, SalamNews, SalamChat, SalamWidgets, SalamSadaqah, dan SalamToday.

Ia cuba memisah dari senarai pelayar sedia ada dengan membawa ‘niche’ mereka sendiri iaitu ‘pelayar patuh syariah dan mesra Muslim’.

Ketika saya mula-mula memuat turun fail pemasang, antivirus Symantec telah mengkuarantin fail tersebut. Apabila ia diimbas pada laman VirusTotal, nampaknya seperti tiada apa-apa isu pula.

Anda boleh lihat hasil ‘tangkapan’ oleh antivirus Symantec pada gambar di bawah.

Ini pula tangkap layar bagi imbasan di VirusTotal.

Berikut ialah tangkap layar penuh bagi pelayar web SalamWeb.

Apa yang saya suka mengenai halaman tab barunya ialah terdapat satu bahagian yang memaparkan waktu solat semasa. Ada juga kemudahan untuk mencari lokasi masjid berhampiran. Ciri ini amatlah dihargai kerana saya memang memerlukan satu widget bagi memeriksa waktu solat dalam pelayar web apabila setiap hari saya perlu buka laman lain bagi mengetahui bilakah waktunya untuk bersolat.

Salam ID/Sync

Ini merupakan satu-satunya ciri pada SalamWeb yang saya tidak suka dan tidak akan gunakan.

Kenapa?

Kerana untuk membuat ID, pengguna perlu masukkan nombor telefon dan bukan alamat email seperti kebiasaannya.

Pada saya ini cara paling mudah mengutip dan menuai data pengguna yang paling berharga iaitu nombor telefon peribadi mereka. Sehingga ciri ini ditambah dengan pilihan penggunaan alamat email, saya tidak mengesyorkan anda gunakan ia melainkan anda pakai nombor telefon dari Bangladesh atau mana-mana negara selain Malaysia.

SalamWeb Content

Ciri ini antara perkara yang boleh dibanggakan pada SalamWeb.

Ia menyertakan kaedah pengiraan waktu solat sama ada automatik (JAKIM) atau lain-lain kaedah yang anda boleh tukar di menunya. Anda boleh teroka sendiri untuk mengetahui apakah pilihan lain yang diberi.

Selain itu, ia juga mempunyai Sidebar, yang menempatkan pintasan Product Menu, SalamProtect, Search, History, dan User Settings.

SalamProtect

SalamProtect ialah ciri sekatan ke atas laman-laman sesawang yang ‘tidak patuh Syariah’ atau tidak sesuai dilayari oleh para pengguna Muslim. Selain itu, ia juga boleh menyekat iklan-iklan, sama seperti extension penyekat iklan luaran.

SalamChat

Disebabkan ia perlu menggunakan Salam ID seperti yang saya ulas di atas, maka saya tidak dapat ceritakan apa-apa mengenainya. Tunggu sehingga pihak SalamWeb menambah ciri penggunaan email, barulah saya akan gunakan SalamChat, Salam ID, dan ‘Sync’.

Penutup/Konklusi

Secara keseluruhannya, pelayar ini bagus untuk para muslimin dan muslimat yang memang sudah lama menanti adanya sebuah pelayar web yang akan melindungi mereka dari unsur-unsur kurang baik. Maklum saja, di kawasan internet sana penuh dengan pelbagai perkara yang tidak perlu saya perkenalkan lagi, yang mana ia membahayakan privasi, data peribadi, dan keselamatan fail di komputer.

Anda boleh muat turun di sini: SalamWeb.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu HTTP/3? (HTTP-Over-QUIC)

0

Laman-laman sesawang akan menjadi lebih pantas dan responsif apabila Cloudflare, Firefox dan Chrome mula menggunakan HTTP/3. Dengan kadar penggunaannya yang akan meningkat saban hari setelah tiga organisasi ini merasmikan ia, seluruh dasar akan turut serta mengikuti perubahan ini.

Jadi apa sebenarnya HTTPS/3?

HTTP/3 ialah versi terbaru bagi HTTP, iaitu protokol yang digunakan untuk menghantar data dari pelayan di mana sesebuah laman sesawang itu dihoskan, kepada klien seperti pelayar web.

HTTP/3 mengguna pakai protokol berbeza berbanding versi terdahulu. Versi awal menggunakan Transmission Control Protocol atau TCP, manakala HTTP/3 pula menggunakan protokol QUIC (Quick UDP Internet Connections) yang lebih pantas dengan bersandarkan kepada UDP. Atas sebab itu pada asalnya ia dikenali sebagai HTTP-over-QUIC.

QUIC dibangunkan oleh Google, dan merupakan protokol generasi baru yang mampu mempercepat aktiviti internet seperti pencarian, penstriman, dan sebagainya lagi dengan mengurangkan round-trip time (RTT) yang diperlukan untuk berhubung ke sesebuah pelayan.

Dengan menggantikan protokol TCP kepada UDP dan membuat enkripsi kepada muatan, QUIC mampu mengurangkan waktu pemindahan data dan dalam masa yang sama mengekalkan keselamatan data pengguna.

Secara ringkas, dengan perubahan-perubahan yang dibuat pada HTTP versi awal, HTTP/3 mempunyai lebih ketahanan dari sebarang ralat. Ia juga mempunyai enkripsi terbina dalaman iaitu TLS 1.3, oleh itu tidak perlu lagi HTTPS berasingan yang memasukkan ciri sekuriti ke dalam protokol pemindahan data seperti mana sedang digunakan sekarang.

Dengan jasa dari QUIC, protokol terbaru ini akan menghasilkan latensi rendah berbanding TCP. Ia juga menjadikan pemindahan data lebih cepat, dan isu-isu seperti kehilangan data sewaktu proses penghantaran data tersebut tidak akan menyebabkan sambungan menjadi terputus, sebaliknya QUIC akan membantu data dipindah dan integritinya dikekal sementara isu-isu rangkaian sedang diselesaikan.

Buat masa ini anda dapat menguji HTTP/3 pada Google Chrome Canary.
Dengan melancarkan ia bersama perintah:

–enable-quic –quic-version=h3-23

: Protokol HTTP/3 akan diaktifkan.

Bagi pengguna Firefox, Mozilla berkata mereka akan memasukkan sokongan terhadap HTTP/3 di masa akan datang ke dalam Firefox Nightly.

Sementara itu, Cloudflare telah pun menambah ciri sokongan terhadap HTTP/3 kepada pelanggan mereka (yang telah mendaftar sebagai senarai menunggu untuk ciri tersebut). Jika anda melanggan servis dari Cloudflare, anda boleh masuk ke pemuka (dashboard) dan aktifkan ‘HTTP/3 (with QUIC)’.

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kita bakal melihat protokol ini mulai matang sedikit demi sedikit apabila organisasi dan syarikat besar seperti Google, Mozilla dan Cloudflare bekerjasama dalam membentuk hasil akhir.

HTTP/3 adalah era baharu dalam proses evolusi internet kerana ia merupakan perubahan besar ketiga kepada ‘bahasa’ yang digunakan setiap laman web untuk berkomunikasi sejak jaringan internet dilahirkan tiga puluh tahun yang lalu.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

QCY T2C: TWS Bajet Untuk Penggemar Muzik

2

Teknologi Bluetooth semakin berkembang maju. Masih saya teringat suatu waktu dahulu, saya menggunakan Beyerdynamic Byron BT Wireless, dengan aptX codec. Meskipun ia satu produk premium, saya masih agak keberatan hendak mengesyorkannya kerana kualiti bunyi yang dikeluarkan belum ‘sampai’ ke tahap yang saya sendiri ingini.

Begitu cepat masa berlalu, hingga kini kita berada dalam lambakan produk-produk True Wireless Stereo atau TWS. Dari yang mahal hinggalah ke lingkungan murah atau bajet, pengguna dapat memilih mana-mana yang mereka rasa sesuai dengan diri.

QCY merupakan satu jenama yang bermula sejak dari tahun 2009 lagi. Produk-produk mereka sudah banyak, dan ia meliputi dari TWS, Mono, Portable Sports, dan beberapa aksesori bagi peminat.

Kalau dilihat dari profil, mereka sememangnya mengkhusus kepada gajet Bluetooth berkualiti bagi mendengar muzik dan lain-lain aktiviti. Teknologi audio tanpa wayar menjadi teraju dalam setiap produk yang dihasilkan.

Dalam artikel ini, kita akan cuba meneliti salah satu dari rangkaian produk mereka iaitu QCY T2C.

Saya tertarik untuk mendapatkannya selepas salah seorang dari admin kami mengesyor kepada saya kerana beliau tahu saya amat meminati muzik dan mendengar lagu. Saya membelinya tanpa meletakkan sebarang harapan tinggi kerana yang pertama harganya murah (RM64.90), dan keduanya ini merupakan produk pertama dari QCY yang saya miliki.

*Gambar muka depan kredit: WikiVersus.

Beginilah rupa kotaknya, sebaik ia sampai di meja saya.

Buka Kotak

Apa yang ada dalam kotaknya?

1x Bekas tempat penyimpanan yang juga berfungsi sebagai pengecas/power bank QCY T2C.
1x QCY T2C.
1x Manual pengguna.
1x Wayar microUSB 2.0.
1x Set penutup telinga silikon (dua saiz berbeza dari yang tersedia).

Rasa puas juga apabila buka kotak dan lihat set seperti ini.

 

Wayar pengecas microUSB 2.0 dan set penutup telinga.

Kepenggunaan

Setiap satunya boleh berfungsi seperti berikut:

Main/jeda: Tekan sekali.
Hidupkan QCY T2C: Tekan dan tahan selama 1 saat.
Matikan QCY T2C: Tekan dan tahan selama 3 saat.
Aktifkan pembantu maya: Tekan dan tahan selama 1 saat semasa tidak mendengar lagu atau membuat panggilan.

Manakala untuk fungsi lain,

Dengar lagu sebelumnya: Tekan dua kali pada butang di sebelah kiri.
Langkau lagu: Tekan dua kali pada butang di sebelah kanan.

Ia juga boleh digunakan untuk penggunaan panggilan telefon, contohnya:

Jawab panggilan: Tekan sekali.
Buat panggilan semula: Tekan dua kali pada butang tengah.
Senyapkan panggilan: Tekan dua kali.
Semasa panggilan masuk, tolak panggilan: Tekan dan tahan selama 1 saat.

Seperti yang anda boleh lihat pada gambar di atas, itu adalah bekas pengecasnya. Terdapat dua lampu LED yang akan menyala apabila dicas.

Pada unit QCY T2C juga ada lampu LED yang akan bernyala untuk status berbeza contohnya mode berpasangan, status dihidupkan, status pematian, dan sebagainya lagi.

Jangka Hayat Bateri

Spesifikasi kapasiti bateri bagi setiap unit ialah 43mAh. Manakala untuk bekas pengecasnya pula ialah 800mAh.

Jika dirujuk kepada anggaran masa main, QCY T2C dikatakan dapat bertahan sehingga 4 jam untuk setiap satu, manakala waktu bersedia pula adalah sehingga 120 jam.

Saya sendiri masih belum sempat hendak cuba berapa lama ia mampu bertahan untuk masa mainnya. Setiap kali penggunaan, lebih kurang sejam, bateri masih berbaki lebih dari separuh.

Kemudian, saya akan tempatkan ia semula ke dalam bekasnya. Ia akan mengecaj sekiranya perlu, oleh itu sebaik dimasukkan, sudah semestinya unit-unit tersebut akan dicaj hingga penuh.

Bekas pengecas tersebut boleh dicas menggunakan port USB mikro di belakangnya. Tempoh pengecasan lebih kurang 2 jam.

Kualiti Bunyi

Tujuan utama saya membelinya tidak lain tidak bukan, adalah kerana hendak mendengar lagu. Tidak munasabah pula dan tidak lengkap sekiranya saya tidak menulis tentang kualiti audio.

QCY T2C mengguna pakai codec audio AAC yang popular pagi para pengguna Apple. Codec ini lebih dikenali sebagai ‘power hungry codec’ bagi peranti Android. Bagaimanapun, dari saya membiarkan sistem operasi memilih codec SBC, saya sendiri mengaktifkan AAC bagi mendapatkan kualiti bunyi lebih baik.

Set lagu ujian saya adalah seperti berikut:

Slipknot – Album penuh We Are Not Your Kind.
Cannibal Corpse – Album penuh The Wretched Spawn.
Floor 88 – Hutang.
Yuna – Forevermore.
Lio – I Wonder.
Michael Jackson – Top Tracks.
I Prevail – This Is I Prevail (Senarai Main).
Machine Gun Kelly – Album penuh Hotel Diablo.
Eminem – Album penuh Recovery.
GAWNE (Luke Gawne) – Album penuh Wings.
Cromok – Album penuh Forever In Time dan Image Of Purity.

Berikut pula adalah apa yang saya dapat simpulkan melalui kedua telinga saya:

Frekuensi Rendah

Ini merupakan frekuensi di mana bunyi yang ‘dalam’ kedengaran. Pada frekuensi ini, bunyi bass agak bagus. Contohnya lagu Eminem – Talkin’ 2 Myself, ada pukulan bass yang terasa di telinga.

Pada saya bunyi bassnya tidak terlalu berdentum, tetapi ianya ‘cukup’ dan memuaskan. Apa yang dikeluarkan oleh QCY T2C bagi frekuensi rendah ini tidak mengaburi talaan yang lain.

Bass terasa lebih ‘punchy’ pada lagu Luke Gawne – 708. Asyik sungguh dibuatnya.

Frekuensi Pertengahan

Di frekuensi ini, yang dapat dijelaskan secara ringkas ialah bunyi yang merujuk kepada asas pembentukan lagu seperti instrumen, vokal (lelaki) dan lain sebagainya.

Secara mudah faham, di sinilah segala yang membentuk muzik atau lagu ada padanya. Anda tidak akan mendengar lagu jika yang keluar semata-mata bunyi bass atau suara perempuan ‘menjerit’ bukan?.

Pada sesetengah keadaan, QCY T2C dapat menonjolkan bunyi yang saya ingin dengar, sepertimana saya dengari dari zaman Walkman dahulu.

Tetapi adakalanya ia ‘tidak mampu’ mengeluarkan bunyi gitar seperti sepatutnya. Saya beri contoh lagu Floor 88 – Hutang, pada intronya terdapat bunyi gitar yang mana tidak kedengaran ‘garang’.

Apabila saya beralih ke (antara) lagu Cromok kegemaran saya iaitu Misty dan Journey, saya cuba mencari bunyi ‘tersembunyi’ yang hanya dapat didengari jika anda betul-betul mencuba.

Agak terperanjat juga kerana ada beberapa ‘notes’ dapat saya dengar dengan jelas. Ada juga yang masih ‘tersembunyi’, dan pada saya ini bukan kesalahan QCY T2C, sebaliknya lebih kepada kejuruteraan semula lagu-lagu tersebut yang diolah dan disunting mengikut zaman.

Frekuensi Tinggi

Di sini bunyi-bunyian treble mewarnai lagu agar ia kedengaran lebih berkarakter dan tidak terlalu kosong.

Bunyinya bagus secara keseluruhan. Agak seimbang, dan berkualiti ‘bersih’ dengan jasa noise reduction.

Lagu Cromok – Memories dapat menjelaskan hal ini secara terperinci. Bagi sesiapa yang sudah biasa mendengar melalui Walkman/pemain kaset, pasti tahu apa yang saya cuba sampaikan. Manakala bagi anda yang tidak faham, cukup sekadar anda tahu bunyian di frekuensi ini tidak menyakitkan hati apabila terlalu nyaring dan ‘kotor’.

Untuk pengetahuan anda, saya tidak menggunakan sebarang equalizer, DAC luaran, dan lain-lain alat. Saya hanya menggunakan Mi 9T, dan QCY T2C, sama seperti mana zaman saya mendengar lagu menggunakan pemain kaset dahulu.

Hanya ada kaset – dan pemainnya. Itu pun sudah cukup membuatkan saya tidak keluar dari bilik kerana ‘ralit’ dengan lagu.

Perkara yang saya harap dapat dibuat pada TWS ini ialah alangkah bagus kiranya kelantangan bunyi dapat dinaikkan lagi. Terasa seakan belum cukup tinggi lagi kelantangan yang diperlukan oleh kedua telinga saya. Pada kebanyakan orang mungkin sudah mencukupi, kerana apa yang perlahan pada saya, barangkali sudah kuat pada orang lain.

Konklusi

Adakah QCY T2C sesuai buat golongan audiophile?

Jawapan saya mungkin tidak, jika anda mahukan tahap kelantangan yang lebih sedikit dari apa yang akan anda dengar pada TWS ini. Anda boleh panggil saya pekak badak (dan comel), tapi saya juga boleh gelar anda bukan pendengar muzik sejati.

Pun begitu, ia tidak bererti QCY T2C ini lemah. Pada beberapa genre, ia punyai kekuatan tersendiri. Metalhead seperti saya barangkali perlukan audio lantang untuk headbanging, tetapi dengan bantuan penalaan dari equalizer, kekurangan ini mungkin dapat diatasi.

Kalau anda gemar mendengar lagu, saya boleh syorkan TWS bajet ini kepada anda.

QCY T2C boleh dibeli pada platform Shopee atau Lazada. Belilah dari mana-mana platform yang anda biasa gunakan. Julat harga lebih kurang RM65-70 sahaja.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

PsiXBot: Malware Dikuasakan Dengan DNS-Over-HTTPS Google

0

Malware PsiXBot, sejenis malware yang dicipta untuk mencuri maklumat sulit/peribadi dan mata wang crypto, telah berevolusi kepada sesuatu yang baru.

Menurut kajian dari Proofpoint US, mereka mendapati terdapat perubahan pada kaedah PsiXBot melakukan resolusi DNS, dengan mengaplikasikan DNS-over-HTTPS oleh Google.

Malware ini dihantar melalui kempen spam dan sebagai muatan kit exploit Spleen dan RIG-v, yang mana menyasarkan mana-mana pengguna selagi mereka bukan penutur bahasa Rusia.

Sekiranya sesebuah mesin tersebut dianggap sesuai untuk jangkitan, modul malware akan dilancarkan, yang mana meliputi modul seperti pencuri kata laluan, pencuri cookies, keylogger, dan proses pemantau clipboard untuk mendapatkan nama pengguna serta kata laluan bagi ‘beg dompet mata wang crypto’ seperti Bitcoin, Etherium, dan sebagainya lagi.

Menurut Proofpoint, PsiXBot dalam versi 1.0.3 memasukkan ciri baru iaitu perlaksanaan servis DNS-over-HTTPS (DoH) oleh Google dalam melengkapkan serangan beserta enkripsi.

Dengan menggunakan perkhidmatan DoH Google, ia membolehkan penyerang untuk menyembunyikan permintaan DNS ke pelayan C&C di sebalik engkripsi HTTPS.

Anda boleh semak hasil penemuan dari kajian mereka di sini: Proofpoint US.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Cara Mengaktifkan Perlindungan Dari Ransomware Pada Windows 10

0

Windows 10 punyai ciri perlindungan tersendiri iaitu Windows Defender.

Dalam versi terbarunya, ia menempatkan satu lagi perlindungan dari ancaman luar iaitu ‘Ransomware Protection’.

Tak pasti kenapa, tetapi ciri ini dinyahaktifkan dalam Windows 10. Tetapi untuk mengaktifkannya adalah semudah ABC.

Cara Aktifkan Perlindungan Ransomware Pada Windows 10:

1. Pertama sekali, buka aplikasi Windows Security. Biasanya akan ada ikon pada taskbar. Klik sahaja pada ikon tersebut untuk membukanya.

2. Setelah itu, klik pada pilihan ‘Virus & threat protection’.

3. Seterusnya, skrol ke bawah dan cari ‘Ransomware protection’.

4. Kemudian, aktifkan ‘Controlled folder access’.

5. Anda juga boleh buat sandaran dengan cara log masuk pada akaun OneDrive. Di bahagian bawahnya terdapat pilihan ‘Set up OneDrive for the file recovery options in case of ransomware attack’. Klik pada ‘Set up OneDrive’.

Demikianlah cara untuk mengaktifkan perlindungan dari ransomware pada Windows 10. Ia nampak ‘biasa’ saja, dan mudah pula untuk dibuat. Tetapi jika tidak diendah, boleh jadi apabila terkena jangkitan ransomware, anda akan menyesal kerana ‘buat tak tahu’ tentang ciri ini.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline