Setelah Sekian Lama, Netflix Malaysia Akhirnya Akur Dengan Permintaan Ramai
Netflix adalah salah satu servis penstriman video atas talian yang mula popular di seluruh dunia dan Malaysia khasnya. Syarikat yang besar juga tidak ketinggalan untuk memiliki akaun media sosial mereka sendiri dalam usaha meningkatkan capaian di antara syarikat dan pengguna.
Lazimnya, akaun media sosial ini akan berbahasa dan berkomunikasi dalam bahasa dan lenggok bahasa yang santai dan mudah difahami masyarakat sasar setempat. Hal ini dapat dilihat pada akaun Netflix Indonesia contohnya. Ciapan di akaun berkenaan kadangkala nakal, melucukan, dan juga berinformasi dalam gaya bahasa seolah-olah ditulis oleh warga Indonesia urban itu sendiri.
Lain pula halnya pada akaun Twitter Netflix Malaysia yang hanya menulis dalam Bahasa Inggeris. Ini menjadikan setiap ciapan dari akaun berkenaan tiada jiwa. Sombong dan bernada angkuh. Tiada wajah dan perencah tempatan. Ia datang sebagai servis yang asing dan mahu kekal berwajah asing.
Bertahun juga usaha menggesa agar akaun berkenaan membuat ciapan dalam Bahasa Kebangsaan tapi gagal. Mujurlah, setelah tular semula baru-baru ini, akhirnya mereka akur. Ini adalah perkembangan yang baik. Di samping meningkatkan imej korporat di mata warga tempatan, ia juga sebagai tanda penghormatan kepada lokasi bisnes mereka.
— Netflix Malaysia (@NetflixMY) February 9, 2021
Saya secara peribadi mahukan servis dan perkhidmatan asing membawa budaya baik mereka ke sini sambil menjunjung tinggi tata dan tertib budaya tempatan. Jika anda sebagai seorang yang asing, datang berdagang ke tempat yang asing, janganlah menjadi asing di tanah orang. Sebaliknya, belajar mengikut resam tempatan. Janganlah menjadi orang asing yang sombong. Jadilah simbiosis, bukan parasit mahupun virus. Masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak.