Jalan cerita filem ini agak menarik pada saya, kerana kebiasaannya apabila sesuatu cerita itu melibatkan dunia yang hampir musnah, pasti saja ia akan melibatkan robot atau kecerdasan buatan yang menjadi ‘jahat’ kerana manusia. Namun tidak begitu dengan Space Sweepers.
Plot penceritaan tiadalah apa yang luar biasa, atau tidak ada sesuatu yang anda belum pernah tonton, cuma saya suka beberapa perincian yang diubah supaya menampakkan perbezaan filem ini dengan yang lain.
Pada awalnya, ia mengisahkan planet bumi yang terlalu uzur, tidak betah untuk didiami lagi. Kebanyakan manusia mula mendiami kawasan satelit. Namun, orbit bumi terlalu penuh dengan sampah ruang angkasa sehingga industri baru muncul. ‘Space Sweepers’ ialah pekerja di kawasan ruang angkasa, yang akan mencari sampah peninggalan penduduk bumi untuk dijual semula.
Mereka ini hidup susah, perlu berlumba-lumba mencari barangan berharga untuk kelangsungan hidup. Kadangkala berlaku ‘pergaduhan’ dengan kru kapal angkasa lain kerana berebutkan barang.
Sewaktu mereka membuat ‘kerja’, mereka menemui bangkai kapal angkasa mengandungi sebuah barang berbahaya yang berharga iaitu bom hidrogen. Akan tetapi, ia tidak seperti bom lain, kerana ia berbentuk seorang manusia dalam rupa kanak-kanak perempuan.
Tae-ho (Song Joon-ki), mencadangkan kepada kru kapal angkasa Victory untuk menjual sahaja bom tersebut kepada pihak yang berminat. Dalam perjalanan mereka hendak menjualnya, mereka menemui pelbagai bentuk halangan hingga beberapa nyawa terkorban.
Berulang kali kita disajikan dengan filem seperti ini, tetapi berapa banyak yang membawa tajuk atau isu sampah sarap di ruang angkasa, dan para kru yang membuat kerja sebagai ‘tukang cuci’ untuk rungan tersebut.
Tidak lupa juga beberapa elemen menarik seperti alat penterjemah yang dipakai di telinga, di mana ia akan menerjemah secara automatik kepada bahasa dituturkan oleh di pemakai. Kemudian, elemen hidup abadi menggunakan nanobots, dan pelbagai lagi perkara boleh dilakukan dengan unsur itu.
Di planet Eden, iaitu satu penempatan diasaskan oleh James Sullivan, hanya menempatkan mereka yang ‘terpilih’ sahaja, tetapi tidak pula diperincikan bagaimanakah pemilihan itu berlaku, dan apakah pula kriteria manusia yang dipilih untuk mendiami ‘syurga buatan’ itu.
Ada yang tertanya-tanya sekiranya Eden mempunyai teknologi cukup canggih hingga membolehkan manusia hidup di luar bumi, mengapakah teknologi sama tidak digunakan untuk ‘memperbaiki’ bumi, ataupun mengambil seramai mungkin manusia bagi menjadi penduduk baharu di Eden?
Di sini, kita dapat lihat apabila sesuatu agenda itu dimulakan oleh para ilmuan, pengakhiran agenda pastinya untuk segenap umat. Tetapi apabila ia dimulakan oleh seorang ahli korporat berfikiran kurang siuman, pastinya tidak ada kebaikan buat manusia sejagat.
Anda boleh tonton filem ini di pautan: Space Sweepers | Netflix.