3 Alif Lam Mim : Gambaran Sebuah Negara Liberal

SPOILER ALERT : Untuk anda yang masih belum menonton filem ini, saya sarankan anda tontonlah terlebih dahulu, kerana dalam review ini akan mendedahkan kesemua plot-plot cerita dalam filem 3 Alif Lam Mim ini. Terima kasih.Sebelum ini, saya tidak pernah menonton walaupun satu hasil karya saudara Anggy Umbara. Inilah filem pertama garapan beliau yang saya tonton dengan penuh semangat meskipun ideanya agak sedikit ‘berat’. Anda boleh tonton dahulu trailer filem ini di bawah.

Filem 3 berlatar belakangkan sebuah negara (Indonesia) tahun 2036, yang mana ianya telah menjadi sebuah negara liberal sepenuhnya. Hak asasi manusia diperjuangkan melebihi apa jua pun. Golongan agamawan telah dianggap sebagai virus dan dilayan bagaikan suatu keberadaan yang menjijikkan pandangan mata, bagaikan parasit pada tubuh badan.

Mereka tidak boleh langsung berada di restoran-restoran sambil membincangkan perkara-perkara yang berkaitan agama, malah apa jua pakaian yang melambangkan ‘agama’ sekalipun tidak boleh dipakai. Hak asasi manusia yang dilaungkan menyebabkan pihak berkuasa iaitu polis tidak sama sekali dibenar untuk menggunakan ‘peluru tajam’ yang mematikan.

Sebuah kejadian pengeboman di restoran telah mempertemukan kembali 3 orang sahabat yang lama terpisah iaitu Alif (Cornelio Sunny) yang memegang watak sebagai seorang anggota polis, Lam (Abimana Aryasatya) yang menjadi jurnalis, dan Mim (Agus Kuncoro) yang kekal di pondok dengan harapan dapat mengembangkan ajaran agama serta mati dalam husnul khatimah.

Akibat dari hal itu pondok pesantren yang diuruskan oleh Mim menjadi sasaran utama untuk siasatan dek kerana sebelum pengeboman itu berlaku, beberapa orang dari pondok tersebut kelihatan berada di restoran namun diarahkan untuk keluar oleh Alif. Agamawan digambarkan sebagai terrorist.

Lam yang berkerjaya sebagai jurnalis/wartawan memilih untuk menyiasat kejadian tersebut. Namun akibat dari itulah Alif telah diarahkan oleh Kolonel Mason untuk ke pondok Mim dek kerana tulisan beliau mengenai kejadian itu yang ‘ter-spam’ keluar menjadikan pondok Mim sebagai sasaran.

Namun tanpa disedari 3 sahabat ini, mereka sebenarnya hanyalah ‘catur’ di sebalik suatu perancangan organisasi yang lebih ‘besar’.

Hmmm, hanya dapat tonton ‘TVRip’ sahaja buat masa ni.

Dari segi koreografi pertarungan, Cecep Arif Rahman nampaknya telah berjaya memperlihatkan ‘permainan’ Silat Panglipur yang dipimpin olehnya. Cuma saya tidak beberapa gemarkan pergerakan-pergerakan slow-motion yang terlalu kerap digunakan. Saya rasa ianya tidak perlu dan sedikit telah mencacatkan koreografi yang cantik.

Saya hendak menonton filem ‘laga’ atau ‘tarung’ yang ‘berbisa’ seperti The Raid dan The Raid 2 di mana setiap babak-babak pertarungannya adalah pantas dan tiada ruang ‘berhenti’. Bukan slow-motion itu tidak bagus, tetapi apabila terlalu kerap digunakan untuk babak-babak tertentu ianya sedikit mematikan ‘feel’ dalam pertarungan tersebut.

Berkenaan dengan plot cerita, awalnya ia agak perlahan meskipun dimulai dengan babak pertarungan antara Alif dan penjenayah. Mungkin akan ada penonton yang tertanya-tanya apakah filem ini cuba untuk mendapatkan ‘boost’ tontonan yang tinggi melalui genre aksi (pertarungan) seakan The Raid? Pada saya, tidak, kerana filem ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri, khususnya dari segi jalan cerita serta pelakon-pelakonnya.

Dari segi jalan ceritanya itu, nyatanya garapan Anggy Umbara telah berjaya. Skrip yang ditulis adalah padat dengan drama-drama saspens yang memaksa penonton untuk berfikir apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Idea beliau segar dan saya amat-amat berharap semoga filem ini akan ada sekuel nanti!

‘Rating’ saya untuk filem ini adalah seperti berikut:

Jalan Cerita : 8.5/10
Koreografi : 8.5/10
Cinematography : 7/10
CGI : 7/10
Keseluruhan : 8/10

Ini cuma pendapat peribadi saya, dan tidak ada kena mengena dengan tahap ‘profesionalism’ saya. Apapun tahniah buat Anggy Umbara dan semua barisan pelakon 3 Alif Lam Mim. Semoga sukses di masa hadapan!

 

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

spot_imgspot_img