Growth Behind The Sun: Jauh Lebih Baik Daripada Drama Maghrib

 

Ingat kah lagi artikel saya yang lepas tentang 5 Tahap Menghadapi Kesedihan dan Kehilangan ? Di dalam artikel tersebut juga saya ada menyatakan hasrat untuk melihat pengarah tempatan menghasilkan karya dengan bermain elemen ini untuk penyampaian yang lebih berkesan dan melekat pada jiwa penonton.

Baru-baru ini juga, saya tertarik dengan sebuah drama Mandarin di 8TV yang berjudul Growth Behind The Sun. Maaf, saya tak boleh baca mandarin, tajuk bahasa ingeris sajalah saya boleh baca. ?. Saya memang agak menggemari drama mandarin kerana bagi saya, banyak drama mandarin lebih bercorakkan kekeluargaan dan realiti hidup. Bukan nak kutuk drama melayu, tapi kalau hari-hari menghadap drama rumah banglo, drama anak korporat, cinta buta dan kahwin lari, mana tak sakit otak? Saya balik kerja, ingin menenangkan fikiran. Bukannya menambah stress.

Berbalik pada drama Growth Behind The Sun ini, agak sukar saya ingin mencari maklumat seperti nama pelakon, nama pengarah, dan sebagainya kerana saya memang tak boleh membaca bahasa mandarin. Maaf sekali lagi. Saya baru nak belajar secara perlahan-lahan. Tapi apa yang saya boleh katakan, drama ini memang sangat bagus.

Kalau nak saya ceritakan daripada awal pun, agak sukar juga kerana saya menontonnya pun, sudah pada episod pertengahan. Terima kasih kepada MyTV, rancangan ulangan boleh ditonton di saluran Drama Sangat. Untuk saluran 8TV pula, episod baru boleh ditonton pada setiap hari Jumaat, jam 8.30 malam. Ironi bukan? Drama mandarin pada saluran mandarin ditayang pada jam SELEPAS waktu Isyak. Saluran berbahasa melayu? Hahaha…

Iklan Google
Iklan Google

Setakat yang saya tonton, secara ringkasnya, drama ini mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama XiaoZhao yang telah tinggal bersama neneknya, Nenek Ikan Masin setelah kematian kedua orang tuanya. Oleh kerana kekurangan kasih sayang ibu dan ayah, dia telah menjadi samseng dari kecil di samping untuk mengelakkan dirinya dibuli. XiaoZhao telah mengandung dan melahirkan seorang anak pada usia muda. XiaoZhao kemudiannya telah meninggalkan anaknya, Ah Bi bersama neneknya dan kemudiannya telah melarikan diri ke luar negara.

XiaoZhao kemudiannya telah balik semula ke kampung tetapi gagal ke luar negara semula setelah duitnya hilang. Maka XiaoZhao terpaksa tinggal semula bersama neneknya dan melayan anaknya Ah Bi yang kini sudah berusia 7 tahun. Drama ini semakin menarik apabila kita sebagai penonton mula perasan tindak-tanduk Ah Bi sebenarnya tidak normal dan di luar kebiasaan kanak-kanak normal yang lain. Ah Bi sebenarnya menghidapi autisme.

Apa kaitannya drama ini dengan artikel 5 Tahap Menghadapi Kesedihan dan Kehilangan saya? Baik. Sekiranya anda turut sama menonton filem ini, anda dapat lihat proses pendedahan pada kesemua karakter di dalam drama ini. Sebenarnya, pendedahan juga mempunyai tahap dan jenisnya juga. Ini akan saya kupas dalam artikel lain. Namun, untuk drama ini, pendedahan yang berlaku adalah jenis Pendedahan Terus atau Pendedahan Langsung. Pendedahan jenis ini bersifat jelas dan menjurus. Untuk pengurusan konflik, pendedahan ini perlu dielakkan kerana akan menghasilkan tindak balas penentangan yang paling tinggi. Dalam drama Growth Behind The Sun ini pula, babak-babak ini digarap dengan sangat baik. Watak-watak saling menyalahkan satu sama lain dan melepaskan perasaan tidak puas hati yang terbuku setelah 7 tahun tidak bertemu.

Menerusi artikel saya, boleh dikatakan drama ini telah melalui tahap pertama iaitu tahap penafian dan juga tahap kedua iaitu tahap marah. Nenek Ikan Masin sudah banyak kali dipanggil ke sekolah kerana Ah Bi telah banyak melakukan banyak kelakuan tidak berdisiplin seperti menjerit, tidak suka beratur, dan menganggu rakan sekelas yang lain. Tapi Nenek Ikan Masin tetap menyalahkan cikgu sekolahnya yang tidak pandai mengajar dan tetap membela Ah Bi dengan mengatakan dia cuma disampuk hantu.

Setelah sering ditegur guru dan dikutuk jirannya yang mengatakan Ah Bi tidak normal, Nenek Ikan Masin telah menjadi marah dengan memukul kanak-kanak lain yang membuli Ah Bi sehingga mengakibatkan pergaduhan sesama jiran. Keadaan bertambah buruk apabila ibu Ah Bi sendiri, XiaoZhao mengatakan Ah Bi juga tidak normal.

Saya tertarik untuk melihat sejauh mana plot drama ini akan berkembang. Lagipun ini drama tempatan, sangat dekat dan sesuai ditonton semua. Latar masa dan latar tempatnya juga sangat segar. Penggambaran dibuat di kampung nelayan, bukan dalam banglo, kemudian bilik wad hospital, masuk mall, duduk restoran, dan masuk banglo semula seperti drama maghrib yang tipikal.

Tak sabar tunggu episod minggu depan pula!

Pelakon utama, XiaoZhao. Comel ke cantik? ?

 

Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

3 KOMEN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img