Mari Mengenal Fountain Pen : Lebih Sekadar Hobi, Ini Pen Yang Serius!

Pen mata bulat, pen dakwat cair, pen gel dan pen mata jarum adalah pen yang biasa berada di pasaran. Pen-pen jenis ini adalah pen jenis pakai buang dan banyak digunakan oleh para pekerja pejabat dan juga pelajar sekolah. Ia boleh diharap, mudah digunakan dan tidak banyak kerenah. Kalau pun ada masalah dengannya, selalunya ia akan dibuang sahaja dan kemudiannya akan dibeli baru.

Sebagai seorang individu yang banyak menulis, sedikit sebanyak penggunaan pen pakai buang ini menganggu saya. Pertama, ia menghasilkan sampah apabila dakwatnya habis. Kedua, apabila tidak digunakan, ia hanya duduk di dalam bekas pen dan tiada nilai estetika padanya. Ketiga, ia satu benda yang terlalu biasa. Tiada apa yang berbeza padanya berbanding dengan pen-pen yang digunakan oleh orang lain sama ada oleh kanak-kanak yang baru mula belajar menulis dan juga seorang penulis sepenuh masa.

Pelik bukan? Jika anda pekerja binaan, ada peralatan gred profesional untuk anda. Jika anda seorang tukang gunting, ada juga peralatan tukang gunting profesional untuk anda. Akan tetapi, bagaimana pula dengan penulis? Adakah tiada perkakasan profesional untuk seorang penulis ataupun untuk anda yang melihat aktiviti penulisan sebagai sesuatu yang lebih daripada sekadar hobi? Oleh itu, saya mula mencari maklumat dan menemui minat dan cinta saya terhadap fountain pen.

Peralatan gred profesional adalah peralatan yang mampu memberikan anda lebih kawalan dan hasil yang lebih baik daripada peralatan gred biasa. Lazimnya, ia lebih mahal daripada peralatan gred biasa dan lebih sukar digunakan berbanding peralatan gred biasa. Begitu jugalah dengan pen. Berbanding dengan pen mata bulat, fountain memerlukan sedikit kemahiran untuk digunakan dan ia hadir dengan karakter dan perangai mereka tersendiri. Setiap pen perlu dikenali untuk digunakan dengan baik dan untuk dijaga. Bagi saya, itu adalah satu aspek yang sangat menarik dalam hobi ini.

Iklan Google

Fountain pen juga boleh bertahan lama. Dakwatnya boleh ditukar dan komponennya juga boleh dibaiki jika rosak. Ia lebih bagus untuk alam sekitar kerana anda tidak akan membuangnya sekiranya dakwatnya habis. Cuma isi semula dakwat dan ia boleh digunakan kembali. Ingin beralih kepada dakwat lain? Senang saja. Kosongkan dakwat, dan isi dakwat yang dikehendaki. Tak perlu membeli pen lain.

Perbezaan Menulis Di Antara Fountain Pen dan Pen Mata Bulat

Dengan pen mata bulat, anda hanya perlu menekan pen di kertas dan dakwat akan keluar tanpa banyak masalah. Mungkin untuk pen dengan dakwat gel atau dakwat basah, anda perlu menulis dengan lebih pantas atau berhanti-hati kerana dakwat mungkin lambat kering atau akan bertompok pada kertas tulisan anda. Tapi untuk kebanyakan masa, proses dan kaedah sama sahaja seperti pen-pen yang lain.

Berbeza dengan fountain pen, ada beberapa perkara perlu diambil kira sebelum anda mula menulis. Pertamanya, anda harus pastikan mata pen anda dalam kedudukan yang betul. Sekiranya mata pen dalam keadaan senget atau terbalik, dakwat tidak akan keluar. Seterusnya, tekanan pada mata pen akan sangat mempengaruhi tulisan anda. Sekiranya ditekan dengan kuat, garisan akan jadi melebar. Ditekan dengan terlalu lemah, garisan tulisan akan terputus-putus. Sebaliknya, jika menulis dengan posisi mata pen diubah-ubah, maka ketebalan tulisan juga boleh berubah-ubah. Menarik bukan?

Iklan Google
Mata Pilot sederhana
Mata Pilot nipis
Mata Wingsun leper

Penjagaan Berkala Fountain Pen

Seperti mana peralatan professional lain, fountain pen juga tidak terkecuali dan memerlukan penjagaan berkala berbanding pen pakai buang yang lain. Sekiranya anda ingin berhenti menulis untuk satu jangka masa yang lama (lebih dari seminggu), adalah lebih baik anda kosongkan dakwat di dalam fountain pen anda. Ini bagi mengelakkan dakwat mengeras dan tersumbat pada pen anda.

Walau bagaimanapun, katakanlah anda terlupa dan pen ada tersumbat. Jangan risau kerana cara-cara untuk membaiki dan menyelesaikan masalah anda juga ada dan boleh dilakukan sendiri. Anda boleh membasuh pen anda dan ia akan berfungsi kembali seperti sediakala. Ya, anda boleh membasuh fountain pen adan untuk mencuci segala kekotoran dan dakwat yang tersumbat. Senang bukan?

Jika dibiarkan lama tanpa menulis, dakwat akan mengering, mengeras dan tersumbat.

Lebih Pilihan, Lebih Gaya, Lebih Variasi

Fountain pen, selain daripada sekadar alat menulis, boleh juga digunakan sebagai alat untuk menyatakan karakter, gaya dan citarasa penggunanya. Ada banyak pilihan bentuk dan bahan binaan fountain pen di pasaran. Baik daripada semurah plastik, hinggalah kepada emas mahupun titanium. Semuanya ada, cuma perlu tepuk poket tanya bajet sahaja.

Buluh
Edisi Khas Jet Lee
Gabungan emas
Edisi emas
Percaya atau tidak, pen secantik ini, harganya di bawah RM20 sahaja!

Mekanisme pengisian dakwat juga ada pelbagai. Ada katrij pakai buang, ada jenis sedutan, ada jenis suntikan, ada menggunakan injap tekanan dan banyak lagi. Begitu juga dengan corak pada fountain pen. Anda boleh menempah khas corak pada fountain pen sekiranya anda mahu. Sangat sesuai untuk dijadikan sebagai hadiah. Jangan terkejut, fountain pen yang berkualiti juga boleh dijadikan harta pusaka dan diturunkan dari generasi ke generasi!

Dakwat kartrij pakai buang
Dakwat isian sedutan
Dakwat isian piston badan

Akhir kata, tidak salah untuk anda mencuba fountain pen ini walaupun hanya sekadar suka-suka. Ia menarik walau tidak berapa popular. Komuniti yang kecil juga bermakna anda mudah untuk membuat rakan sesama peminat. Jika dahulunya hobi ini mahal, kini tidak lagi. Sudah ada banyak fountain pen di pasaran yang berharga murah serendah RM2 tetapi berkualiti bagus. Fountain pen dari China juga tidak terkecuali. Ada banyak jenama fountain pen murah seperti Jinhao, Baoer dan Wingsun. Malahan, jenama terkenal juga ada mengeluarkan fountain pen dalam harga bajet seperti Lamy, Pilot, Faber-Castell dan Parker.

Iklan Google

Jadi, apa tunggu lagi? Mulaknanlah hobi baru anda ini sekarang!

Gambar artikel ihsan daripada : Petar Milošević / CC BY-SA, Wikipedia, petarmslo@gmail.com 

Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img