A regular tech blogger who have passions for cats.

Ilmu dan pengetahuan adalah satu bentuk kuasa, dan pengetahuan ke atas diri anda adalah bentuk kuasa ke atas diri anda.

Informasi mengenai diri anda itu akan digunakan semula untuk meramal serta membuat jangkaan awal, lalu manipulasi perbuatan dapat dibuat untuk mengubah cara anda membeli, mengundi, dan berfikir tentang sesuatu perkara.

Privasi tidak penting jika anda sendiri tidak menghargai kebebasan individual. Privasi tiada lagi di situ untuk dilindungi.

Mengumpul, menggali, dan merangkai maklumat diri anda adalah satu bentuk perniagaan dan industri berbilion dolar.

Syarikat-syarikat di Amerika sahaja telah membelajakan sebanyak 20 bilion pada tahun lepas untuk mendapatkan informasi data pengguna.

Para peruncit dan penjual barangan akan menggunakan segala kaedah yang ada untuk menyamakan sejarah pembelian dengan identiti diri anda dengan menjejak sejarah kad kredit/debit, atau membuat anda mendaftar menggunakan alamat emel atau alamat fizikal bagi membuat anda berada dalam kelompok pelanggan digital, jika anda membayar secara wang tunai di stor fizikal.

Peruncit-peruncit ini akan beralih dengan pantas kepada Facebook, Google, dan broker-broker data untuk memadankan data ID pengiklanan diri anda dengan ID sebenar melalui kad sim, informasi bank, dan pelbagai lagi perincian.

Dengan menggabungkan kesemua maklumat, sebuah pasaraya pernah suatu ketika dapat ‘meramal’ kehamilan seorang remaja jauh lebih awal sebelum ia dapat dikesan oleh ibu bapanya.

Rujuk:

How Target Figured Out A Teen Girl Was Pregnant Before Her Father Did

The Incredible Story Of How Target Exposed A Teen Girl’s Pregnancy

Remaja malang tersebut masih belum bersedia berkongsi kehamilannya dengan keluarga, tetapi pasaraya tersebut bertindak ‘bagi pihak’ dirinya dengan mula menghantar kupon-kupon diskaun bagi barangan bayi.

Cuba teka siapa yang dapat baca dahulu? Ya, bapa remaja itu telah menemui emel kupon tersebut dan meminta penjelasan secara terus dari pihak pasaraya.

Dan… terbongkarlah rahsia yang selama ini disembunyikan.

Mungkin ada sesetengah dari anda yang tidak kisah dan ‘mengizinkan’ iklan-iklan ‘relevan’ ini berlegar dengan menukarkan ia kepada privasi.

Tetapi apa yang anda korbankan adalah jauh lebih besar dari apa yang akan anda dapat.

Pengumpulan dan penggalian data pengguna bukan semata-mata untuk membuatkan iklan-iklan menjadi relevan.

Ada juga pengiklan yang akan mengeksploitasi data anda bagi mensasarkan jualan melebihi dari harga patutnya, sedangkan produk sama dijual kepada individu lain dengan harga lebih murah.

Contohnya terdapat hotel yang mensasarkan jualan melebihi harga asal kepada para pengguna MacOS, berbanding harga murah untuk pengguna Windows.

Semuanya kerana ‘data relevan’ tentang diri anda mengatakan ia begitu, dan ia ‘sesuai’.

Pernah dengar bukan lagu Joe Flizzow bertajuk Evo, yang liriknya berbunyi,

“Satu jam di balai boleh buat kamu sunyi”.

Apa yang anda fikir dibuat oleh pihak polis ketika berada di balai dan disoal siasat mereka?

Data peribadi akan digunakan semula ke atas diri anda.

Anda mula rasa tak selesa jika polis tahu pelbagai perkara mengenai diri anda, mengapa tidak jua dapat anda rasakan perkara yang sama jika data peribadi anda jatuh ke tangan mereka yang tidak boleh dipercayai?

Sekurang-kurangnya polis hanya menjalankan tugas mereka, tetapi syarikat-syarikat ini memanipulasikan data anda untuk tujuan keuntungan mereka sendiri.

Ini baru sekadar contoh pendek, dari pelbagai lagi kes untuk menjustifikasikan betapa pentingnya privasi. Hak anda boleh dinafikan, informasi anda boleh dibuat sebagai satu ‘cherry-pick’ untuk membuktikan anda melakukan sesuatu kesalahan, walaupun ia bukan ‘bukti’, serta pelbagai lagi isu-isu lain.

Anda perlu luaskan lagi skop pemikiran, dan tidak lagi hanya berfikir tentang keseronokan duniawi. Kebebasan digital secara individual perlu dititik berat agar tidak suatu hari nanti informasi diri akan diguna pakai semula bagi menyusahkan diri anda.