Kapal Selam Titan Yang Karam Hanya Dikawal Menggunakan Logitech F710

Kapal selam Titan yang karam pada 18 Jun lalu telah diisytiharkan musnah melalui implosi dan semua kru dianggap telah meninggal dunia. Implosi adalah keadaan di mana badan kapal mengalami “letupan” secara terbalik kerana tekanan yang kuat dari luar. Dinding kapal akhirnya bergerak dengan pantas ke arah dalam seperti ditekan oleh penekan hidraulik. Titan adalah sebuah kapal selam penerokaan laut dalam milik syarikat korporat besar OceanGate. Sebelum tragedi ini, Titan sudahpun berjaya dalam 3 kali penyelaman pada tahun 2021, 2022 dan 2023. Tragedi ini adalah penyelamannya yang ke-4.

Di awal pelancarannya lagi, OceanGate telah dikritik kerana enggan membuat penilaian dan penarafan keselamatan kapal selamnya. CEO OceanGate berkata, segala proses penarafan dan penilaian keselamatan hanya menghalang inovasi. OceanGate juga telah bertindak memecat ketua pembinaan kapal selamnya kerana tidak bersetuju dengan tahap keselamatan Titan untuk membawa penumpang.

Oleh kerana Titan membuat penyelaman di kawasan laut antarabangsa, Titan tidak terikat dengan mana-mana undang-undang mahupun sekatan berhubung penarafan dan permit kapal selamnya. Kelompongan undang-undang ini telah memberi ruang kepada Titan untuk terus menyelam. CEO OceanGate berkata, membuat penerokaan dan mengambil gambar kapal karam adalah cara mudah untuk mendapatkan perhatian serta liputan media dan kerana itulah idea membina Titan tercetus.

Dalam satu wawancara dan pengalaman ekslusif di dalam Titan, wartawan CBS David Pogue berkata sebelum menaiki Titan, semua penumpang perlu menandatangani satu akujanji. Antara kandungan akujanji tersebut adalah mengakui dan menerima fakta Titan adalah sebuah kapal selam eksperimen yang tidak pernah diiktiraf selamat oleh mana-mana badan keselamatan dan penyelidikan. Menaiki Titan boleh membawa kepada kecederaan fizikal, kecacatan kekal, tekanan mental malah maut.

Penyelaman Titan secara asasnya adalah sebuah pelancongan yang membawa seorang pemandu, seorang jurumudi, dan 3 orang penumpang berbayar. Titan akan membawa penumpang melawat tapak karam kapal mewah Titanic di Lautan Atlantik. Penumpang akan membayar harga yang mahal dalam kapal selam yang dilengkapi dengan tandas di bahagian hadapan ruangan kapsul kapal.

Ironinya, kedua-dua kapal karam ini mempunyai nama yang hampir sama iaitu “Titan” dan “Titanic” yang mengambil inspirasi dari mitos Greek. Titan dalam mitos Greek adalah makhluk berkuasa yang menguasai bumi. Titan dalam mitos Greek juga telah melahirkan dewa-dewa Greek yang lain seperti Zeus dan Hades. Nama “Titan” dan “Titanic” menggambarkan kedua-dua kapal ini sangat kuat dan tidak akan tenggelam kononnya.

Sejarah juga telah membuktikan kedua Titan dan Titanic adalah kapal yang dibina oleh syarikat besar. Kedua-dua Titan dan Titanic tidak mengendahkan pandangan pakar keselamatan dan sombong dengan ciptaan mereka sendiri. Akhirnya, kedua-dua Titan dan Titanic telah karam berdekatan satu sama lain di Lautan Atlantik. Lihatlah bagaimana manusia yang mencabar hukum alam dan sombong dihukum dan menerima akibat dari kesombongannya sendiri.

Malahan, pengarah filem Titanic, James Cameron juga berkata, beliau amat terkejut dengan betapa samanya tragedi yang menimpa Titan dengan tragedi Titanic di mana kapten kapal telah berkali-kali diberi amaran bahaya ais di hadapan namun kapten tetap maju ke hadapan dengan kelajuan penuh.

Titanic akhirnya karam setelah melanggar bongkah ais di hadapan mereka. Satu tragedi yang berkemungkinan besar dapat dielakkan sekiranya kapten kapal Titanic tidak sombong dan mendengar amaran yang telah diberikan berkali-kali sebelum kemalangan malang tersebut.

Sama seperti amaran yang diberikan kepada OceanGate dengan kapal selam Titan mereka. Mereka yang tidak mahu belajar dari sejarah, akhirnya mengulangi semula sejarah.

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x