DO[s]A: Drama Bukan Sebarang Drama, Gabungan Mantap Tiga Negara

Drama kerjasama antara Astro, Arie Zaharie Production dan Capitol Entertainment Production (Indonesia) berjudul DO[S]A ini ternyata mempunyai suatu cara penyampaian cerita yang berbeza berbanding drama Melayu yang biasa ditayangkan.

Ianya lebih suram, muram, dan lebih ‘gelap’ temanya.

Ini bukan drama cinta pukul 7, tetapi drama pembunuhan, pengkhianatan, dan pergerakan kongsi gelap berskala mega.

Mungkin kolaborasi pengarahnya adalah dari Malaysia dan Indonesia sahaja, namun drama ini telah dibarisi pelakon-pelakon hebat gabungan tiga buah negara; Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Nama-nama yang terlibat adalah seperti Dato’ M.Nasir, Remy Ishak dan Daniella Sya dari Malaysia, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama dan Tegar Satrya dari Indonesia, serta Shenty Feliziana dan Hisyam Hamid dari Singapura.

Sinopsis

DO[s]A mengisahkan tentang empat beradik dibesarkan oleh bapa tunggal mereka, Latif (Dato’ M.Nasir), dengan nilai-nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat, dan disiplin persilatan.

Fuad (Ashraf Sinclair), Farid (Remy Ishak), Fahad (Hisham Hamid), dan Fara (Shenty Feliziana) hidup bersama bapa mereka dipelusuk paling sunyi Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Di situ, mereka menjalani kehidupan hampir tersembunyi daripada masyarakat, berlatih ilmu persilatan hari demi hari. Seolah-olah bersiap-siaga untuk menghadapi sesuatu. Rungutan mereka, terutama daripada Fara yang semakin memberontak langsung tidak diendahkan oleh bapa mereka.

Rutin harian yang memerlukan adik-beradik ini bertumbuk, bertendang dan berhayun parang sesama sendiri akhirnya turut mewujudkan ketegangan di antara mereka di luar gelanggang.

Perhubungan keluarga ini semakin bergolak apabila Fara berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia, Arian (Reuben Elishama), yang tiba dari Jakarta semata-mata untuk berjumpa dengan Latif. Dalam usaha Arian melembutkan hati Fara untuk membawanya bertemu dengan Latif, mereka menjadi semakin rapat. Menyedari akan hal ini, abang sulung Fara, Fuad yang seolah-olah mengetahui tujuan Arian mencari Latif menghalang Fara untuk terus bertemu dengan Arian. Fuad kemudian bertindak mengusir Arian pulang ke Jakarta.

Gambar dari: Sinar.my

“Dalam setiap dosa ada doa yang dituju dan dalam setiap doa itu ada dosa yang menunggu.”.

Do[s]a tidak dimulakan dengan perkenalan sesama watak dalam rentak perlahan. Sebaliknya dari mula hingga ke akhir, ia tidak menangguhkan jalan cerita semata-mata untuk bersantai memperkenalkan watak.

Permulaan dari sebuah keluarga kecil di Kuala Lumpur, pimpinan Latif yang kemudiannya dikembangkan dengan watak Arian setelah perkenalannya dengan Fara menyebabkan cerita ini terus berkembang legasinya ke Indonesia.

Kemudian dari situ, satu demi satu peristiwa membuka pula kebenaran tentang apa sebenarnya yang berlaku di sebalik ‘keluarga kecil’ Latif itu.

Disebabkan Fara diculik, ini telah memaksa ketiga-tiga adik beradik lelaki dari Fuad, Farid, dan Fahad perlu bergabung tenaga dan idea untuk membebaskan adik mereka. Arian yang terasa dirinya juga bertanggungjawab kemudian membantu abang-abang Fara dalam perancangan pembebasan tersebut.

Di sini, apa yang menyebabkan saya terus terikat dengan DO[s]A (pun intended) adalah kerana perkembangan watak dan jalan ceritanya yang begitu tersusun. Anda tidak akan pening kepala dengan satu demi satu watak yang akan muncul memeriahkan drama.

Marco selaku ahli Gerbang Utara, kongsi gelap yang mempunyai cawangan di Malaysia dan Indonesia, merancang dengan teliti sekali untuk mengambil alih tampuk pimpinan. Gerbang Utara digambarkan begitu besar dan hebat pengaruhnya apabila dipaparkan ahli-ahli yang terdiri dari orang kenamaan, ahli politik, orang ‘biasa’, dan pelbagai lagi lapisan masyarakat yang hanya berkomunikasi dengan cara mereka sendiri.

Pergerakan mereka juga walaupun nampak agak kelakar apabila berhubung melalui WhatsApp, tetapi jika difikirkan semula dengan kemudahan teknologi ringkas seperti ini, di mana satu individu sudah mempunyai 150 WhatsApp Group ‘ranting’ kongsi gelapnya, bayangkan sahaja jika sesuatu tugas diberi kepada individu tersebut. Daripada 150 group, akan terpecah dan terbahagi kepada entah berapa ratus lagi.

Juga amat memuaskan hati apabila dapat melihat Ashraf ‘bermain’ tekpi dengan cekap sekali, Remy pula bertempur dengan parang, dan Hisham bagaikan harimau dengan kerambitnya. Seakan adik beradik Teenage Mutant Ninja Turtles pula. Shenty? Oh wow, senjata pilihan adalah tonfa.

Shenty dan tonfanya. Gambar kredit kepada Sinar.my.

Pada saya, watak Fuad dan Arian sememangnya pengemudi cerita ini, akan tetapi Farid lakonan Remy Ishak yang perungus, baran, dan pendek akal lebih diingati lagi, manakala Fahad pula berjaya meyakinkan saya bahawa dia adalah adik yang akan menenangkan abang-abangnya apabila terjadi sesuatu konflik, tetapi akan segera menjadi sandaran apabila mereka memerlukannya.

Gambar kredit: Star2.com

Harapan saya, selepas ini sekiranya ada musim kedua, Do[s]a akan ditayangkan juga di Netflix ataupun iflix. Ini akan membantu drama gabungan nusantara lebih dikenali di serata dunia.

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x