The Raid: Redemption (tajuk asal – Serbuan Maut – The Deadly Raid) ialah sebuah filem yang penuh dengan babak aksi pertarungan brutal. Ia telah diulas beratus portal filem, dan juga oleh banyak saluran YouTube.
Menelan belanja sebanyak USD $1.1 juta, filem ini dirakam penuh dengan adegan tembak-menembak, tumbuk-menumbuk, dan pembunuhan di sana sini.
Pelakon utama, Iko Uwais, memegang watak sebagai anggota polis yang membuat serbuan ke sarang penjenayah bernama Tama. Flat usang siap berpagar, digambarkan satu pusat aktiviti jenayah, dan pasukan elit diarah untuk menumpaskan rangkaian kumpulan Tama.
Tetapi tugas ini tidak mudah.
Tama bukan penjenayah baru. Hanya dengan satu pengumuman, semua penjenayah lain yang ada di kawasan flat itu mula keluar untuk menghapuskan skuad polis.
Antara adegan berparang, hinggalah kepada letupan, The Raid tidak akan membuat anda senang duduk dari mula sampai ke akhirnya. Itu belum lagi diceritakan babak pertempuran antara Rama, abangnya, dan Mad Dog, yang amat mendebarkan.
Mungkin ramai yang menggunakan hasil kerja daripada Xatab, tapi tidak tahu pun siapa sebenarnya sosok sebenar di sebalik namanya. Pemain permainan video pastinya pernah mendengar namanya terutama sekali mereka yang gemar melanun dan bermain permainan video cetak rompak.
Tinggalkan isu cetak rompak atau beli dahulu dan bersimpati dengan berita yang menyedihkan ini. Repackerataupun pemampat permainan video mempunyai kaitan dan hubungan yang kompleks dengan pengeluar permainan video. Walau disinonimkan dengan cetak rompak, ironunya mereka juga menjadi antara penyumbang utama kepada penjualan permainan video.
Repacker akan mengecilkan saiz fail muat turun permainan video dengan membuang beberapa komponen tidak penting seperti fail audio bahasa asing ataupun merendahkan kualiti grafik permainan itu sendiri.
Lazimnya, repack ini akan lebih digemari oleh mereka yang mempunyai sambungan internet yang lemah. Ini kerana, untuk memuat turun permainan secara sah dan halal, fail muat turun selalunya terlalu besar. Untuk itu, mereka lebih memilih repack kerana ia sesuai dengan kemampuan sambungan internet mereka. Acap kali juga, meraka akhirnya membeli permainan yang telah dimuat turun daripada repack kerana ingin bermain di atas talian.
Berita kematian Xatab juga telah dikongsi di laman rasmi mendiang dan kemudiannya telah dikongsi juga di laman repack yang lain dan juga Reddit. Xatab atau nama sebenarnya Radik telah meninggal dunia pada usia 60 tahun kerana kanser. Namun begitu, mendiang masih lagi aktif memuat naik hasil kerjanya sehingga 27 Februari 2021 yang lalu. Satu dedikasi yang keras.
Laman rasmi Xatab juga membuat kenyataan bahawa nama dan jenama Xatab tidak akan ada pewarisnya dan tidak akan ada lagi repack daripada Xatab selepas ini. Mereka juga memberi peringatan supaya tidak tertipu dengan mana-mana pihak yang mengaku sebagai penyambung legasi kepada nama Xatab.
OPPO baru sahaja melancarkan telefon pintar kelas perdana mereka, OPPO Find X3 Pro. Sekali lagi, OPPO membawakan tema baru dengan peranti siri Find X mereka. Berbeza dengan Find X2 Pro yang membawakan kebolehan Zoom yang mengagumkan, ciri ini tidak ada pada Find X3 Pro.
OPPO Find X3 Pro hadir dengan 3 lensa kamera. 50MP kamera utama dengan OIS, 50MP kamera ultra lebar, 13MP kamera telefoto dan bintang utama kita, 3MP kamera ‘mikro’. Dengan 2 lensa 50MP, OPPO Find X3 Pro seolah-oleh mempunyai 2 kamera utama.
Banyak perkara yang ingin dibawa OPPO menerusi peranti perdana baru mereka ini seperti keupayaan tinggi kamera dan skrin mereka menghasilkan 1 bilion warna, kebolehan kamera yang boleh merakamkan gambar dalam 10-bit, rakaman gambar dan video dalam format RawPlus, dan banyak lagi kemampuan AI dalam perisian kamera yang ditambah dan dipertingkatkan.
Dalam banyak ciri-ciri kamera yang didatangkan bersama OPPO Find X3 Pro ini, ini kali pertama kita melihat kamera mikro, satu naik taraf dan pelaksanaan yang tepat untuk sebuah kamera yang dikhususkan untuk mengambil objek kecil dan dekat. Walau bersaiz 3MP, bukan yang terbesar di pasaran, tetapi hasilnya setakat ini di ulasan video YouTube sangat mengagumkan!
Lebih baik lagi, kamera mikro ini dilengkapi dengan cincin lampu LED nya sendiri di sekeliling kaca lensa kameranya. Sangat tepat dan masuk akal untuk membina ciri ini untuk lensa mikro ini kerana ketika mengambil gambar dengan sangat dekat, selalunya LED untuk lampu flash akan tertutup. Dengan cincin lampu LED di sekeliling kaca Lensa mikro, gambar yang diambil dengan dekat akan kelihatan lebih jelas, sama seperti mekanisme pada mikroskop.
Setelah bertahun kita dimomokkan dengan kamera makro pada telefon pintar, OPPO akhirnya berjaya menghasilkan satu produk yang benar-benar menepati apa yang diiklankan. Masih tidak dapat dipastikan sama ada kamera mikro ini benar ataupun hanya sekadar gimik, tapi setakat ini, semua ulasan produk menunjukkan hasil positif yang konsisten. Saya masih menunggu masa ciptaan ini akan jadi standard industri setiap kali pengeluar telefon meletakkan “kamera makro” pada katalog telefon mereka.
Sudah menjadi tabiat ramai dari kita untuk mendapatkan barang secara percuma atau secara murah. Begitu juga dengan langganan Netflix. Kenapa perlu beli sendiri kalau boleh mintak free dari kawan kan?
Beberapa pengguna Netflix melaporkan mula menerima notifikasi amaran daripada Netflix untuk memasukkan kod pengesahan kerana mengesan akaun yang sedang digunakan mereka sedang diakses daripada dua alamat berbeza.
Namun begitu, bilangan pengguna yang terjejas dilaporkan hanya sebilangan kecil sahaja setakat ini. Pengguna yang terjejas juga melaporkan mereka memilih untuk membuat pengesahan kemudian tetapi Netlfix tetap juga menghantar notifikasi amaran untuk memasukkan kod pengesahan pada kali kedua.
Jika ini berlaku kepada anda, anda perlulah meminta kod pengesahan daripada pemilik akaun sebenar untuk memberikan kod pengesahan kepada anda. Bayangkan, setelah sekian lama anda menggunakan akaun Netflix bekas kekasih anda. Adakah anda sanggup menghubunginya semula semata-mata untuk meminta kod pengesahan Netflix sekaligus anda ‘kantoi‘ mencuri akaun Netflix si dia? Adakah mungkin juga cinta lama akan bertaut kembali?
Bagi saya, notifikasi ini walau nampak remeh, ada juga kebaikannya terutama sekali bagi mereka yang akaun mereka dicuri atau dijual oleh pihak yang mencuri maklumat log masuk anda. Bayangkan, anda membayar akaun Netflix peribadi, tetapi tidak semena-mena rancangan yang dicadangkan pada menu utama kepada anda langsung tidak kena dengan selera anda kerana orang lain telah curi-curi menonton rancangan kegemaran mereka dengan menggunakan akaun Netflix anda tanpa kebenaran.
Tidak pasti sama ada ciri ini akan dilaksanakan secara menyeluruh kepada semua pengguna Netflix ataupun tidak. Tidak dapat dipastikan juga sama ada Netflix akan menghantar notifikasi amaran setiap kali akaun anda dilog masuk di lokasi yang tidak dikenali sepertimana yang dilakukan oleh Facebook.
Apa yang pasti, jika ciri ini diperluaskan secara menyeluruh sebagai ciri keselamatan akaun Netflix, maka ramailah penjual akaun ‘premium‘ Netflix murah akan susah cari makan. Pelik juga, kerana Netflix sendiri mengakui pengguna yang berkongsi akaun adalah penyumbang utama jualan mereka kerana mengikut kajian mereka sendiri, mereka yang berkongsi akaun pada akhirnya akan membeli akaun Netflix peribadi mereka sendiri.
Walaupun aktiviti perkongsian akaun Netflix adalah menyalahi terma dan syarat perkhidmatan Netflix, mereka dilihat agak santai dengan perbuatan tersebut atas faktor mereka yang berkongsi akaun pada akhirnya akan membeli akaun mereka sendiri.
Lou Ottens, pencipta pita kaset audio meninggal dunia pada usia 94 tahun di kediamannya di kampung halaman beliau di Duizel, Belanda. Punca kematiannya, walau bagaimanapun, tidak didedahkan.
Pita kaset audio adalah antara revolusi terbesar dalam dunia muzik dan audio. Beralih daripada piring hitam dan pita gulungan besar, pita kaset adalah medium penyimpanan muzik yang lebih mudah alih, kemas, dan selamat. Secara anggaran, lebih daripada 100 billion pita kaset telah dijual di seluruh dunia.
Memetik kenyataan beliau dalam satu temubual, beliau telah mencipta pita kaset 2 tahun selepas mencipta perakam pita gulung mudah alih. Menurutnya lagi, kerana penggunaan pita gulung yang susah dan rumit dan memerlukan penggunaan secara manual, beliau akhirnya mencipta pita kaset yang lebih kecil.
Pita gulung.Pita kaset.
Semua ciptaannya dicipta dan dibangunkan ketika masih bekerja bersama Philips. Ironinya, bukan Philips yang mempopularkan pita kaset ciptaannya, tetapi sebuah syarikat daripada Jepun, Sony. Sony telah menunjukkan minat terhadap rekaannya dan telah mencipta format pita kaset mereka sendiri yang akhirnya melahirkan Sony Walkman, sebuah pemain kaset mudah alih yang pernah menjadi satu kegilaan suatu ketika dahulu.
Menariknya, LouOttens juga bertanggungjawab dalam menyelia pembangunan CD pertama menerusi kerjasama Sony-Philips pada tahun 1972. Penjualan CD di seluruh dunia dianggarkan mencecah angka sehingga 200 billion! Sekaligus menghentikan populariti pita kaset di era 1960-1980.
Lou Ottens bersara daripada perjawatannya di Philips pada tahun 1986.
Kerajaan melalui inisiatif JENDELA sudah memulakan langkah ke arah peningkatan capaian kemudahan internet kepada penduduk Malaysia tidak kira sama ada di kawasan bandar ataupun luar bandar. JENDELA juga sedang dalam usaha untuk membawa rangkaian 5G ke Malaysia seiring dengan matlamat mereka untuk memansuhkan rangkaian 3G di Malaysia pada tahun 2021. Ini kerana kekangan spektrum telekomunikasi di Malaysia.
Salah satu langkah dalam melaksanakan keseluruhan inisiatif JENDELA adalah menjadikan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga. Kedengaran mudah, tetapi siapa sangka ia memakan masa dan proses birokrasi yang lama. Mungkin resmi urusan di Malaysia, segalanya memakan masa yang lama sekiranya ia melibatkan kepentingan awam tambah-tambah lagi jika ia tidak membawa sebarang kepentingan politik.
Menerusi laporan suku pertama JENDELA bagi tahun 2021, inisiatif untuk menjadikan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga ini sudah pun dimaklumkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia kepada setiap kerajaan negeri. Menurut laporan tersebut, cuma negeri Sarawak sahaja yang sudah mengiktiraf telekomunikasi sebagai utiliti ketiga. Untuk negeri yang lain pula, masih lagi tiada persetujuan untuk mengiktiraf telekomunikasi sebagai utiliti ketiga.
Sangat menyedihkan, untuk sesuatu yang dirangka selesai pada akhir tahun 2021, masih lagi tidak melepasi tahap persetujuan walaupun sudah masuk suku pertama 2021. Dengan pandemik Covid-19, keperluan telekomunikasi dan sambungan internet pantas sudah sampai ke tahap membarah. Ia sudah cukup kritikal, ditambah pula dengan pandemik kali ini, saya masih lagi tidak nampak sinar capaian internet di Malaysia.
Sampai bilakah lagi kita perlu dibebani dengan masalah capaian internet yang lemah ini? Di kawasan luar bandar pula, jangankan kata capaian internet, pangggilan suara juga masih lagi menjadi masalah di tahun pembangunan 2021 ini.
Kita enak berbicara tentang revolusi industri, lebuhraya capaian internet, pembayaran tanpa sentuh, Internet Benda (IOT), e-Industri, e-IKS dan e-Dagang tapi perkara asas yang menjadi tunjang kepada kesemua aspirasi dan angan-angan ini masih lagi kabur dan samar-samar. Bagaimana makcik di kampung ingin memasarkan kraf tangannya di platform e-dagang jika hendak buka platform e-dagang di telefon pun tak boleh?
Saya berharap agar proses ini dapat segera ditanggani dan diselesaikan mengikut langkah kreativiti dan pengurusan mapan kerajaan. Adakah akhirnya kita akan mampu menikmati internet yang selayaknya kita perolehi? Ataupun angan-angan akan kekal sebagai angan-angan? Apa guna mendabik dada sebagai negara membangun kalau infrastruktur dan utiliti masih lagi di tahap mundur?
Kerajaan Malaysia mengumumkan Rancangan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk meningkatkan infrastruktur digital negara, dalam fasa dari 2020 hingga 2025, dengan sasaran 100% liputan 4G dan kelajuan 5G melebihi 100Mbps.
Masalah yang paling ketara dalam proses ini sudah tentulah capaian bagi panggilan suara. Jika 3G dimansuhkan, maka panggilan dari rangkaian 3G tidak ada alternatif lain yang lebih baik. Melainkan, semua rangkaian di Malaysia mula menyokong panggilan suara di rangkaian 4G melalui VoLTE. Kita ada rangkaian 2G GSM, tapi seriuslah? Adakah kita perlu ‘downgrade‘ ke tahap serendah itu demi melaksanakan 5G yang tak pasti sama ada dapat dinikmati semua?
Masalah kedua adalah capaian. Umum mengetahui, capaian 3G adalah satu-satunya capaian yang ada untuk menggunakan internet terutama sekali di kawasan luar bandar. Bagaimana pula dengan nasib pelajar sekolah, IKS dan juga pengguna luar bandar sekirannya capaian ini dimansuhkan? Sudahlah tidak disediakan akses 4G, fiber pula masih berdolak-dalih. Jika 3G dimansuhkan untuk mereka, apa lagi sumber yang mereka ada untuk mendapatkan capaian internet?
Untuk info, VoLTE membenarkan pengguna membuat panggilan suara berkualiti tinggi menerusi rangkaian 4G LTE pada peranti yang menyokong rangkaian 4G. Ini tiada masalah kerana boleh dikatakan hampir kesemua telefon pintar moden masa kini sudahpun sedia menyokong 4G dan LTE. Yang menjadi masalah adalah telco sahaja yang masih tidak memberikan sokongan VoLTE kepada semua pengguna.
Melihat kepada perkembangan semasa inisiatif JENDELA, masih lagi samar-samar siapa yang akan mengambil tanggungjawab dalam memasang infrastruktur 5G di seluruh Malaysia. Diharapkan akan proses ini akan dijalankan dengan lebih telus tanpa campur tangan ahli politik yang ingin mendapatkan keuntungan atas angin mahupun pihak swasta yang inginkan monopoli. Kita sudah cukup terseksa dengan monopoli fiber, jangan ditambah lagi monopoli telekomunikasi yang lain.
Ini agak merisaukan dan menimbulkan persoalan sama ada matlamat ini dapat dicapai ataupun akan ada penurunan standard visi dan misi JENDELA di masa akan datang sekiranya tempoh masa masih gagal dicapai kelak. Walau apa jua perubahan politik yang berlaku, saya berharap agar setiap usaha baik untuk kepentingan rakyat akan terus berjalan tanpa perubahan setiap kali kementerian bertukar.
Ingat matlamat utama JENDELA, jadikan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga. Oleh itu, kami berharap agar kerajaan kekal menjadikan utiliti ini sebagai satu hak yang layak dinikmati semua tanpa mengira lokasi, bukannya sebagai satu alat korupsi dan ketamakan korporat.
Banyak mesej kami terima, melibatkan skim penghantaran mesej berantai WhatsApp untuk mendapatkan pakej ‘KFC’. Jelas ianya palsu, tetapi masih tetap berlegar, dan ada mesej dihantar bukan dengan ‘kebenaran’ dari pihak penghantar.
Kami pernah menjelaskan mengenai ‘SIM Swap Attack’ dahulu di sini: SIM Swap Attack
Sim Swap Attack atau Serangan Pertukaran SIM, ialah keadaan apabila seseorang individu iaitu penjenayah siber memasukkan nombor telefon disasar ke SIM lain, dan secara senyap mengalihkan nombor itu ke peranti baru.
Serangan ini seringkali berlaku melalui kaedah kejuruteraan sosial, dengan ‘bantuan’ ejen atau staf telco melakukan pertukaran dengan kepercayaan bahawa mereka membuat operasi tersebut di atas permintaan pemegang akaun sebenar.
Dikombinasi bersama beberapa maklumat lain seperti log masuk yang diperolehi menerusi phishing atau data bocor dari aktiviti penggodaman sebelumnya, seseorang yang berniat jahat boleh mendapatkan akses ke akaun pihak ketiga walaupun dilindungi oleh ‘pengesahan dua faktor’ (2FA) berasaskan SMS.
Langkah pertama dan mudah sekiranya anda dapat mengesan nombor anda digunakan tanpa kebenaran, tetapi masih mempunyai akses terhadap WhatsApp ialah dengan melakukan log masuk baru. Ini dapat ‘mengeluarkan’ individu terbabit dari sesi WhatsApp yang dicuri.
Namun, sekiranya anda sudah tiada akses lagi, apa yang boleh dibuat ialah:
1. Buat laporan polis dan laporan kepada pihak berkaitan (Telco, MCMC).
2. Bekukan akaun bank atau kad kredit.
3. Lapor kepada bank akan kecurian identiti.
4. Tukar kesemua kata laluan untuk sebarang akaun yang ada berhubung dengan nombor telefon tersebut.
5. Jika ada akaun lain yang sudah tidak lagi digunakan, sila tutup. Dibimbangi akaun seperti ini masih dapat dimanipulasi oleh penjenayah siber.
2FA berasaskan SMS tidak akan berkesan apabila berlakunya kecurian identiti. Nombor telefon digunakan dalam pelbagai aktiviti seharian melibatkan kehidupan digital kita.
Cuba ubah:
1. Gunakan aplikasi 2FA seperti Authy, Google Autheticator, dan sebagainya bagi menggantikan SMS.
2. Gunakan pengurus kata laluan. Jika hendak cari versi sumber terbuka dan percuma, Bitwarden adalah contoh terbaik.
3. Gunakan log masuk emel dan kata laluan berbanding bergantung kepada akaun Facebook, Twitter, atau Google. Jika salah satunya dipecah masuk, anda masih boleh mengawal keadaan dan cuba mengembalikan akses.
4. Buat tetapan akaun sandaran, contohnya untuk Gmail, dan jangan sesekali lupa kata laluannya pula (pakai pengurus kata laluan, di tips nombor 2 kalau dah tahu anda tu jenis pelupa).
5. Simpan senarai kenalan dalam akaun Google atau lain-lain akaun awan yang boleh diselaraskan (sync). Tidak timbul isu ‘hilang contacts’ jika ia sudah siap selaras ke akaun anda.
ASUS ROG Phone 5 baru sahaja dilancarkan. ASUS kembali lagi dengan barisan telefon pintar perdana mereka yang memfokuskan kepada permainan mudah alih, siri ROG Phone. Merupakan siri terbaru selepas ASUS ROG Phone 3 mereka. Sama seperti OnePlus, tiada siri bernombor 4 dikeluarkan.
Saluran ulasan gajet dan telefon pintar utama di YouTube juga dilihat sudah menyiarkan video ulasan mereka masing-masing. Banyak ciri-ciri menarik dan baru pada ROG Phone 5 ini berbanding dengan ROG Phone 3 mereka yang lalu seperti penggunaan Gorilla Glass Invictus, Snapdragon 888, kepulangan semula bicu audio 3.5mm (dengan Quad DAC!) dan banyak lagi.
Tetapi, apa yang lebih menarik perhatian saya ialah kualiti kamera yang terdapat pada ROG Phone 5 ini. Linus dalam video YouTubenya berkata kamera ROG Phone 5 ini memberikan hasil yang lebih baik daripada Pixel 5 dari segi white balance dan kemahiran bokeh. MKBHD juga dalam videonya di YouTube berkata pemprosesan imej pada kamera ROG Phone 5 ini hampir menyamai pemprosesan pada telefon siri Pixel.
Seperti keluaran siri ROG Phone yang terdahulu, kamera bukanlah fokus utama pada pembangunan telefon ini. Boleh dikatakan kamera pada ROG Phone adalah kamera stok tanpa ciri-ciri tambahan diletakkan oleh ASUS.
Seperti yang pernah kami ulas dalam artikel Snapdragon 888 kami yang lalu, kami ada bercerita tentang naik taraf kuasa pemprosesan imej pada SoC baru daripada Qualcomm ini. Teknologi baru Qualcomm Spectra™ 580 ISP membolehkan imej ditangkap daripada 3 lensa serentak lalu digabungkan menggunakan kuasa AI pada Snapdragon 888 untuk dijadikan sebagai 1 imej yang terbaik.
Mungkinkah tindakan ASUS yang tidak memberikan banyak fokus pada pembangunan kamera ASUS ROG Phone 5 ini akhirnya memberikan ruang untuk cip Snapdragon 888 benar-benar mempamerkan kuasanya yang sebenar tanpa sebarang modifikasi daripada pengeluar telefon?
Adakah Pixel yang masih berdegil dengan lensa 12MP dan mengharapkan ‘keajaiban’ perisian Google Camera akan kalah dengan penyaing mereka yang semakin maju hari demi hari dalam teknologi penggambaran perkomputeran ini? Google harus buat sesuatu dengan Pixel 6 mereka yang akan datang atau mereka akan ketinggalan dan pupus dari pasaran. Sama seperti siri Nexus mereka suatu ketika dahulu bedegil dengan saiz RAM yang kecil dan mengharapkan ‘keajaiban’ perisian mereka boleh mengatasi had keupayaan perkakasan fizikal telefon.