Utama Blog Laman 49

Drama Dunia Chi-Fi: KZ Dikecam Kerana Komponen Palsu Pada IEM Mereka

0

Seorang pengguna dalam komuniti Chi-Fi yang bernama Delta Fyre membuat hantaran tentang IEM miliknya daripada KZ;- KZ Zex Pro CRN.

Menurutnya, IEM KZ Zex Pro yang didakwa KZ hadir dengan 1 Dynamic Driver (DD), 1 Balanced Armature (BA) dan 1 Electrostatic Driver (EST) adalah palsu. Delta Fyre telah membuka IEM miliknya dan membuat beberapa siri ujian antaranya adalah dengan mencabut BA dan EST daripada IEM miliknya dan mendapati bunyi yang terhasil tidak berubah!

Delta Fyre kemudiannya memasang semula EST dan BA lalu mencabut DD dan mendapati langsung tiada bunyi yang dihasilkan melainkan hanya bunyi berdesir. Ini membuktikan bahawa KZ Zex Pro sebenarnya hanyalah IEM dengan 1 DD, dan bukannya IEM tribid dengan 3 pemacu bunyi berbeza!

KZ baru-baru ini giat melancarkan IEM model baharu dengan kerjasama reviewer IEM di YouTube. KZ Zex Pro contohnya, adalah model kerjasama dengan saluran YouTube Crinacle di mana Crinacle bertanggungjawab membuat penilaian dan talaan model tersebut sebelum dijual sebagai produk KZ.

Namun, tidak berakhir di situ sahaja! Delta Fyre juga giat membuat pendedahan lain mengenai IEM KZ dengan “membedah” model kolaborasi YouTuber yang lain seperti KZ DQ6S dengan kerjasama YouTuber HBB.

KZ DQ6S yang didakwa mempunyai 3 DD sebenarnya hanya menggunakan 1 DD sahaja untuk menghasilkan bunyi manakala 2 lagi DD tambahan tidak bersambung pun pada tiub audionya.

Delta Fyre nampaknya sudah mula membuat pendedahan sejak Januari lalu lagi tapi isu ini mula hangat sejak 2 hari lepas dengan pendedahan KZ Zex Pro x CRN. Tanda pagar #ExposeKZ juga semakin popular di kalangan ahli komuniti.

Setakat ini masih tiada sebarang kenyataan rasmi daripada KZ walaupun di dalam kumpulan Facebook rasmi mereka. Walau bagaimanapun, bagi YouTuber yang terlibat dalam model kolaborasi KZ tersebut, mereka telah menyatakan tidak mahu terlibat dan dikaitkan lagi dengan KZ dan pembohongan ini.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Masalah Buku Cetak Rompak Meruncing Di Platform Jual Beli Atas Talian

0

Isu ini pernah diketengahkan sejak tahun 2015 di mana beberapa pengeluar buku mula menyuarakan kebimbangan mereka tentang perbuatan individu memuat naik buku cetakan dalam bentuk salinan digital.

Tambah buruk, sesetengah buku bercetak juga memang hadir dalam bentuk e-buku digital. Individu yang membeli salinan asli ini kemudiannya memuat naik salinan mereka ke dalam platform perkongsian fail.

Pada awalnya, masalah ini dilihat lebih tertumpu kepada bahan bacaan ilmiah dan buku teks akademik yang kebiasaannya berharga sangat mahal. Namun, sindiket dan kegiatan ini mula meruncing semenjak tahun 2019 dengan menyasarkan buku-buku laku keras seperti novel.

Laman beli belah atas talian seperti Amazon dipenuhi dengan penjual buku cetak rompak ini. Kebiasaannya, buku cetak rompak ini dapat dikenalpasti melalui kualiti yang berbeza dan lebih rendah berbanding buku cetakan asli.

Di Malaysia juga, para peminat buku juga mendapati kegiatan ini mula berleluasa di pasaran tempatan. Novel-novel laku keras didapati hadir dengan kualiti dan kertas cetakan yang tidak memuaskan.

Pembeli mendapati ada ejaan yang salah, dakwat yang lusuh, kertas yang nipis dan jarang dan juga gam helaian yang mudah terurai. Ini adalah antara tanda-tanda buku yang telah dicetak secara cetak rompak.

Tidak pasti sampai bila baru isu ini akan mula dipandang serius. Dengan kecanggihan teknologi cetakan dan imbasan imej serta kemajuan perisian untuk menyalin teks dari gambar, apa yang pasti sindiket buku cetak rompak akan lebih berkembang.

Pada era buku fizikal sudah mula dilupakan, sindiket sebegini seumpama racun kepada syarikat buku dan percetakan.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Rows: Alternatif Kepada Microsoft Excel Dan Google Sheets

0

Kami sudah menulis berbagai artikel tentang perisian/aplikasi alternatif. Ada antaranya di platform Windows, manakala lain adalah untuk Linux. Baru-baru ini, syarikat perisian ‘Rows’ telah melancarkan aplikasi desktop baharu dalam versi beta.

Ia dicipta sebagai alternatif kepada Microsoft Excel dan Google Sheets.

Rows sebelum ini tersedia sebagai aplikasi web, dan versi itu nampaknya ada pengehadan prestasi. Syarikat berkata versi desktop akan menyokong ‘sheets’ yang kompleks dan berskala besar, serta menyediakan asas untuk fungsi yang hanya terdapat pada Rows.

Duopoli Microsoft dan Google telah membawa kepada kekurangan inovasi. Maka, orang penting syarikat itu percaya sudah tiba masanya pasaran perisian Spreadsheets dimasuki oleh pesaing terbaru.

Rows telah memberi tumpuan pada keupayaan untuk menggunakan integrasi API pihak ketiga ke dalam spreadsheets, dengan sedikit atau tiada kepakaran pengekodan diperlukan.

Ini bererti pengguna dengan mudah boleh menarik data daripada pelbagai perkhidmatan seperti Google Analytics, Twitter, dan Stripe ke dalam spreadsheets mereka, dengan cara yang memerlukan kepada penguasaan Excel.

Spreadsheets Rows juga boleh dikonfigurasikan untuk mengemas kini sendiri pada selang masa yang ditetapkan. Sebagai contoh jika spreadsheet tersebut dikemas kini setiap 60 saat dengan maklumat harga baharu daripada pasaran Amazon, ia dapat membenarkan perbandingan harga masa nyata dengan berkesan.

Rows boleh digunakan secara percuma di pautan: Rows

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Penggodam Membocorkan Kod Sumber Nvidia DLSS

0

Penggodam yang mendakwa telah berjaya menggodam syarikat dan sistem keselamatan Nvidia;- syarikat gergasi pengeluar GPU, telah membuat siaran di Telegram mereka. Dalam mesej mereka, satu pautan telah diberikan yang didakwa mengandungi kod sumber bagi Nvidia DLSS.

Kumpulan penggodam yang menggunakan nama LAPSUS$ itu turut terlibat dalam beberapa siri penggodaman lain seperti serangan terhadap Impresa, Localiza, Claro, dan Embratel pada awal tahun ini.

Serangan terhadap Nvidia disedari pada 23 Februari baru-baru ini. Nvidia dalam notis keselamatannya mengatakan mereka tidak menemui sebarang bukti ransomware di dalam sistem mereka dan mereka juga tidak mempunyai sebarang bukti sama ada serangan ini berkait dengan konflik Ukrain-Rusia. Walaubagaimanapun, pihak Nvidia mengakui data-data penting termasuk kata laluan staf telah dicuri dan mula disebar atas talian.

Laman web Have I Been Pwned juga telah menerima maklumat mengenai 71,335 emel dan kata laluan staf yang dienkripsi daripada data Nvidia yang digodam.

Terdahulu, kumpulan penggodam telah meminta “yuran” daripada Nvidia dengan ugutan untuk menyebarkan semua data yang dicuri. Namun, pihak Nvidia dikatakan telah berjaya menggodam semula data yang dicuri.

Kumpulan penggodam berkenaan seterusnya dilihat “menukar” permintaan mereka daripada Nvidia. Mereka kini cuma menuntut Nvidia akur kepada sistem sumber terbuka menggunakan lesen FOSS lalu menghentikan had LHR (Low Hash Rate) pada GPU.

LHR adalah sekatan perisian Nvidia pada GPU mereka yang menghadkan kemampuan GPU Nvidia untuk digunakan dalam perlombongan matawang kripto. LHR adalay usaha Nvidia dalam mengawal pembelian pukal dan kawalan stok GPU di pasaran yang terjejas teruk dengan aktiviti perlombongan matawang kripto.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Peperangan Alaf Baru Kini Dalam Bentuk Digital

0

Umum mengetahui mengenai konflik yang sedang berlaku di Ukrain sekarang ini. Amerika dan Eropah juga telah melakukan serangan balas kepada Rusia ketika awal konflik walaupun tidak secara fizikal.

Sekatan ekonomi telah dilakukan dan transaksi tanpa sentuh Apple Pay dan Google Pay yang digunakan secara meluas di Rusia telah disekat penggunaannya. Bank Rusia juga telah disekat yang melihat penurunan matawang Rusia. Ini telah memaksa bank di Rusia menutup transaksi pengeluaran wang tunai.

Keadaan yang jarang berlaku ini juga telah membuka mata banyak pihak tentang risiko dan masalah yang “boleh timbul” dengan sistem pembayaran tanpa sentuh ini. Google dan Apple nampaknya mempunyai kuasa yang cukup untuk melumpuhkan ekonomi rakyat sesebuah negara. Tak boleh bayar, tak adalah urusan jual beli.

Dalam peperangan, jelaslah bahawa tiada pemenang mutlak. Hanyalah kesengsaraan rakyat bawahan. Tiada kebebasan, tiada kegembiraan.

Di Malaysia, kita beruntung kerana telah mengamalkan dasar neutral dan berkecuali dari segi ekonomi. Terfikir juga saya, jika Apple dan Google berkeras ingin mendesak kita untuk menyokong mereka dalam konflik ini, kita mungkin tidak akan begitu terkesan kerana negara kita juga turut menyokong WeChat Pay.

Mungkinkah suatu hari nanti kita akan meninggalkan terus media dan servis yang berpusat di Amerika dan mula menggunakan servis sosial lain yang lebih bebas unsur politik?

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Kerentanan Linux Membolehkan Penggodam Mendapat Akses Root

0

Semua Distro Utama Terjejas, Android Juga Mungkin Terkesan

Satu kerentanan baru pada Linux yang dinamakan sebagai Dirty Pipe dikesan oleh seorang penyelidik, Max Kellermann ketika mengkaji pepijat pada pelayan web. Kerentanan baru yang terdapat pada Linux Kernel 5.8 itu membolehkan pengguna biasa menjalankan arahan Linux yang memberikan akses root.

Satu demonstrasi telah dijalankan melalui beberapa proses bagi membuktikan bagaimana serangan mungkin berlaku. Kerentanan ini telah diambil maklum dan ditanda dengan kod CVE-2022-0847.

Namun begitu, seorang lagi penyelidik lain; BLASTY juga telah menunjukkan demonstrasi lain untuk menggunakan kerentanan ini sebagai serangan dengan lebih mudah. Sebaik sahaja pengguna menjalankan tampalan hasad pada sistem, pengguna tersebut terus mendapat akses root dengan mudah.

Tampalan keselamatan Linux bagi mengatasi masalah ini telah dilepaskan. Namun begitu, banyak lagi pelayan dan penyedia perkhidmatan yang menggunakan Linux Kernel yang lama dan tidak dikemaskini.

Android pula, seperti yang kita sedia maklum menggunakan Kernel Linux. Beberapa pakar keselamatan juga telah mengeluarkan amaran kepada pengguna Android supaya berhati-hati dengan eksploit ini.

Tambah buruk, kebanyakan peranti Android juga sangat jarang mendapat tampalan keselamatan terkini. Dengan itu, risiko keselamatan peranti Android juga akan berlipat kali ganda.

Adakah pengguna Android perlu mempertimbangkan penggunaan Antivirus pada peranti mereka?

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Rusia “Menghalalkan” Cetak Rompak, Guna Cip Komputer Sendiri

0

Rusia mula dihimpit setelah pelbagai sekatan ekonomi dikenakan kepada negara tersebut daripada dunia barat dan Eropah. Dalam sekatan terbaru, Rusia dihalang daripada menggunakan perkhidmatan dan perlesenan perisian.

Syarikat-syarikat besar seperti Microsoft, Cisco, IBM, Oracle, Nvidia dan AMD mula menyekat dan menutup operasi mereka di Rusia. Ini menjadikan banyak perisian dan perkakasan yang sedang digunakan di negara tersebut tidak lagi sah.

Dalam mengatasi masalah ini, Rusia telah meluluskan rang undang-undang bagi membolehkan mereka menggunakan perisian tidak berlesen kerana proses urusniaga dengan syarikat terlibat tidak dapat berlaku.

Rusia juga sedang mengalami masalah perkakasan perkomputeran yang usang. Disebabkan sekatan ekonomi, Rusia gagal mendapatkan perolehan baru daripada pengeluar cip. Ini mendorong Rusia untuk menghasilkan cip mereka sendiri.

Walau bagaimanapun, cip buatan sendiri mereka tersebut didapati tidak memenuhi keperluan dan mempunyai isu kepanasan. Antaranya, Elbrus-8C yang dibuat oleh MCST.
Lebih banyak peruntukan telah diluluskan serta merta bagi melonjakkan pengeluaran cip baru yang lebih baik. Rusia telah meluluskan 92 juta USD dalam usaha ini.

Selain dari itu, Rusia juga mendakwa telah bersedia untuk berpisah daripada internet dunia dan menggunakan rangkaian sendiri. Rangkaian tersebut yang digelar sebagai RuNet oleh banyak pihak telah berjaya dalam ujian awal dan telah dibina sejak bertahun lalu.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Kaspersky, Syarikat Antivirus Rusia Tidak Terjejas Dengan Sekatan Ekonomi

0

Kaspersky, sebuah firma antivirus yang berpusat di Moscow, Rusia menjadi tumpuan dalam konflik semasa Rusia. Kaspersky antivirus adalah antara antivirus paling popular di dunia buat masa ini dan digunakan meluas di seluruh dunia.

Menurut jurucakap Kaspersky, Kaspersky buat masa ini tidak terjejas dengan sebarang sekatan ekonomi dan segala urusniaga masih berjalan seperti biasa. Tambahnya lagi, mereka baru sahaja membayar gaji kesemua pekerja mereka di Amerika Utara, Eropah dan Rusia.

Kaspersky dalam kenyataannya juga tetap komited untuk menyampaikan perkhidmatan mereka untuk semua dan akan sentiasa memastikan kemaskini dari semasa ke semasa.
Kaspersky yang sebelum ini sering dikaitkan dengan kerajaan Rusia nampaknya cuba untuk kekal neutral dalam konflik semasa. Pengasas dan pengarah urusannya, Eugene Kaspersky melalui ciapan Tweeternya berharap agar segala keganasan akan berakhir dan penyelesaian secara damai dapat dicapai.

Sumber: CRN

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Lebah Sebenarnya “Pandai Tengok Jam”

0

Saintis telah berjaya membuktikan lebah sebenarnya memahami konsep masa dengan beberapa siri eksperimen dan kajian. Walau ditentang hebat dan eksperimen demi eksperimen dikritik, majoriti saintis akhirnya menerima hakikat akan kehebatan lebah ini.

Eksperimen pertama telah dijalankan dengan meletakkan air gula di luar sarang lebah pada setiap pukul 4 petang. Setelah beberapa hari, koloni lebah tersebut mula belajar untuk keluar pada setiap jam 4 petang untuk mengambil air gula.

Saintis mendapati koloni lebah ini tetap keluar sarangnya tepat jam 4 petang. Eksperimen ini dibantah kerana saintis lain membuat hipotesis lebah sebenarnya melihat arah sudut matahari, bukannya masa.

Eksperimen kedua pula dijalankan. Kali ini, eksperimen dibuat di dalam bilik gelap menggunakan lebah yang sama. Kali ini, hasilnya tetap sama. Koloni lebah berkenaan tetap keluar tepat jam 4 petang. Walaupun di dalam gelap, dan tanpa sebarang cahaya matahari sebagai panduan.

Sekali lagi, eksperimen ini dibantah dengan dakwaan lebah menggunakan haba matahari sebagai ukuran untuk keluar dari sarang.

Oleh kerana terlalu banyak bantahan lebah boleh memahami konsep masa, eksperimen serba baru telah dilakukan.

Kali ini, mereka menjalankan eksperimen ini di bawah tanah, dalam sebuah gua garam. Kali ini pula, eksperimen ini bebas daripada sebarang gangguan cahaya matahari mahupun haba.

Namun, sekali lagi eksperimen di dalam gua garam ini turut dibantah. Kali ini, hipotesis lain telah dibawa. Bagaimana jika lebah sebenarnya mengukur putaran bumi, atau mengesan gelombang elektromagnetik bumi dan bukannya sedang mengukur masa?

Sehinggalah seorang saintis lain melakukan eksperimen yang sama dengan lebah. Lebah ini kemudiannya telah dibawa terbang daripada Paris ke New York.

Di New York, saintis mendapati lebah telah keluar daripada sarang mereka pada jam 10 pagi. Lebah yang sudah biasa keluar pada jam 4 petang di Paris telah keluar pada jam 10 pagi di New York. 10 pagi di New York bersamaan dengan jam 4 petang di zon waktu Paris. Ini kerana lebah tersebut telah mengalami jet lag kerana perbezaan zon waktu!

Dengan ini, saintis akhirnya bersetuju lebah sebenarnya memahami konsep masa dan boleh mengikut jadual.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Siri Moon Knight Digarap Sebagai Drama Yang Brutal – Kevin Feige

0

Moon Knight, siri Disney Plus akan datang yang dibintangi oleh Oscar Isaac, memberi peminat gambaran tentang apa yang bakal ditayangkan. Dalam beberapa ‘teaser’ dan trailer ada menunjukkan superhero terbaru itu memukul ‘sesuatu’, dan terdapat darah di atas buku limanya. Perkara ini mencadangkan bahawa siri TV Moon Knight mungkin lebih ‘gelap’ sedikit daripada yang biasa disajikan oleh Marvel.

Ini ialah sesuatu yang telah dirancang oleh Kevin Feige, ketua Marvel Studios. Isaac turut menambah bahawa arah tuju siri tersebut dikatakan lebih ‘ganas’ berbanding siri Marvel yang lain.

Moon Knight mengisahkan mengenai Marc Spector, seorang bekas marin AS yang mengalami Dissociative Identity Disorder (DID). Ia sebelumnya dikenali sebagai ‘gangguan personaliti berbilang’ (Multiple Personality Disorder), di mana keadaan ini menyebabkan dua atau lebih identiti berbeza ‘menghuni’ dalam satu tubuh badan.

Salah satu identiti ini boleh mempunyai tahap ‘kesedaran’ individu, yang dapat mengawal tubuh badan pada bila-bila masa serta silih berganti. Hal ini akan menyebabkan individu yang terpalit dengan gangguan kadangkala ‘tersedar’ dan berada di tempat yang lain.

Dalam kes Spector, apa yang menariknya, apabila dia ‘bertukar’ identiti, ia bukanlah identiti yang dicipta sendiri oleh Spector. Sebaliknya, dia bertukar menjadi ‘Konshu’, iaitu salah satu tuhan orang Mesir, yang memberikannya beberapa kebolehan supernatural.

Moon Knight bakal ditayangkan dalam siri pendek enam episod di Disney+ pada 30 Mac 2022.

Anda boleh tonton trailer Moon Knight di: YouTube

Views: 3

Iklan Newspaper Inline