Kuala Lumpur, 25 November 2024 – realme, jenama telefon pintar yang paling cepat berkembang di dunia, terus mencuri tumpuan dalam pasaran telefon pintar peringkat permulaan dengan pelancaran yang akan datang bagi realme Note 60, tambahan inovatif dalam Siri Note. Direka untuk menawarkan nilai jangka panjang, Note 60 dijadualkan untuk mengisi kekosongan dalam segmen telefon pintar peringkat permulaan, membawa teknologi berkualiti tinggi kepada audiens yang lebih luas.
realme Note 60 direka untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pengguna yang peka terhadap bajet, menyediakan gabungan sempurna antara ketahanan dan prestasi. realme Note 60 adalah yang paling nipis dan ringan dalam kelasnya, menawarkan rasa premium dan keselesaan untuk penggunaan jangka panjang. Ia telah melalui 20 ujian ketahanan yang ketat, menjadikannya salah satu telefon pintar paling tahan lama dalam segmennya. Gabungan ciri perlindungan ini menjadikan peranti ini pilihan yang sangat boleh dipercayai dan kukuh bagi pengguna yang mencari ketahanan tanpa mengorbankan prestasi.
realme Note 60 dijangka menjadi pengubah permainan dalam pasaran peringkat permulaan, menawarkan ciri-ciri tinggi pada harga yang berpatutan. Telefon pintar ini akan tersedia mulai 29 November 2024, memberikan pengguna pilihan yang menawarkan nilai dan ketahanan yang luar biasa tanpa membebankan bajet mereka.
Untuk maklumat lanjut, ikuti laman web rasmi realme.
Menerusi kerjasama dengan Warner Bros, pelanggan Astro berpeluang untuk nikmati hiburan berkualiti. Teroka Discovery menerusi HBO, Cinemax, Cartoon Network, CNN International, HGTV, Food Network, Discovery dan banyak lagi.
WBD akan melancarkan servis penstriman Max bermula pada 19 November dan kerjasama ini akan membawakan kepada pelanggan Astro barisan kandungan terbaik Max seperti Harry Potter, DC Universe, The Last of Us, Game of Thrones dan House of the Dragon.
Kami teruja untuk berkongsi bermula 19 November, pelanggan Astro boleh akses Max di Astro GO, dan On Demand. Di hari pelancaran Max, anda juga turut menikmati Dune: Prophecy, Friends, Oppenheimer, dan Twisters.
Jangan ketinggalan! Saksikan rancangan kegemaran anda di Max menerusi Astro GO dan On Demand bermula 19 November.
Kuala Lumpur, 18 November 2024 – realme Malaysia melancarkan dua peranti menarik yang direka untuk meningkatkan produktiviti, hiburan dan keseluruhan pengalaman mudah alih anda. realme Pad 2 Lite dan realme Buds T310 yang menawarkan prestasi tiada tandingan, bunyi yang mengasyikkan dan kefungsian sepanjang hari untuk memenuhi permintaan pengguna moden. Sama ada anda bekerja, belajar atau menikmati hiburan semasa dalam perjalanan, peranti ini menggabungkan reka bentuk yang anggun dengan teknologi termaju.
realme Pad 2 Lite: Kuasa, Produktiviti dan Mudah Alih
realme Pad 2 Lite menawarkan paparan premium dan prestasi berkuasa untuk pengguna yang mencari pengalaman multimedia yang mengasyikkan. Dilengkapi dengan Paparan Keselesaan Mata 90Hz 2K 10.95-inci, memberikan visual yang jelas dan tajam untuk kerja dan hiburan. Peranti ini juga menampilkan Mod Keselesaan Mata, Peredupan DC dan Mod Membaca untuk penggunaan berpanjangan tanpa ketegangan mata, manakala Mod Cahaya Matahari dan Mod Malam melaraskan kecerahan untuk tontonan optimum dalam pelbagai persekitaran.
Dikuasakan oleh cipset Helio G99, ia memberikan prestasi yang lancar untuk berbilang tugas, permainan dan penggunaan media. Peranti ini dilengkapi dengan bateri mega 8300mAh, menyediakan sehingga 17 jam membaca atau 184 jam muzik, dengan ciri pengecasan pintar yang direka untuk memanjangkan hayat bateri.
realme Pad 2 Lite menggabungkan bunyi yang menakjubkan dengan reka bentuk yang anggun. Pembesar Suara Empat Stereo dan Audio OReality menyampaikan audio yang mengasyikkan untuk filem, muzik dan permainan, manakala profil ultra-nipis 8.32mm menjadikannya mudah alih dan bergaya. Tersedia dalam Nebula Purple dan Serene Grey, dibalut dengan kulit vegan, ia sesuai untuk bekerja, bermain atau bersantai yang menawarkan pengalaman yang lancar dan menyeronokkan ke mana sahaja anda pergi.
Bersama-sama, realme Pad 2 Lite dan realme Buds T310 menawarkan gabungan prestasi, hiburan dan kefungsian yang tiada tandingan. Daripada pemprosesan berkelajuan tinggi dan visual yang menakjubkan kepada audio yang mengasyikkan dan hayat bateri yang tahan lama, realme terus menyediakan pengguna dengan ekosistem yang direka bentuk untuk dunia yang serba pantas dan terhubung hari ini.
Psila rujuk di bawah untuk ketersediaan pembelian realme Pad 2 Lite dan realme Buds T310:
Microsoft Kini Mengimbas Segala Apa Yang Anda Taip di Microsoft Word
Bagi pengguna Microsoft Word, Microsoft Word kini menambahkan fungsi AI dalam perisian mereka. AI ini akan mengimbas dan menyemak semua kandungan dan aktiviti anda dalam Word untuk memberikan anda “pengalaman dan cadangan” yang bertepatan dengan anda.
Dalam bahasa mudah, Microsoft kini boleh melihat dan menyalin segala apa yang anda tulis di Microsoft Word dan kemudiannya menghantarnya ke server Microsoft sendiri untuk melatih AI mereka. Berkemungkinan besar, data ini akan digunakan untuk melatih AI LLM (Large Language Model) mereka sendiri. Microsoft mula membangunkan LLM mereka dengan lebih agresif bermula Mei 2024 setelah beberapa perselisihan faham dengan rakan kongsi dan pesaing mereka.
Untuk pengguna Office 365 dan Office 2021, anda boleh mematikan fungsi dan memilih untuk tidak terlibat dalam melatih AI Microsoft. Untuk pengguna Office versi lain, anda boleh mencuba sendiri dan lihat jika tetapan sama boleh digunakan. Sungguh ironi apabila dalam tetingkap tetapan AI ini sudah terpampang notis “Privasi Anda Dipedulikan” sedangkan perbuatan Microsoft ini jelas-jelas telah menceroboh privasi pengguna.
Selain daripada masalah privasi, fungsi yang sentiasa aktif dan memantau setiap aktiviti anda dalam sistem operasi dan perisian ini pastinya akan memberi kesan buruk terhadap sistem dan sumber komputer anda seperti halaju internet dan penggunaan memori dan CPU. Bagi mereka yang menggunakan laptop atau desktop dengan kemampuan minima, kesan kepada sistem ini pastinya akan menyukarkan dan merugikan anda. Untuk itu, di sini kami sediakan tutorial mudah cara matikan AI Microsoft Word ini.
Untuk mematikan fungsi AI ini:
Pergi ke File > Option > Trust Center > Trust Center Settings > Privacy Options > Privacy Settings > Connected Experiences
Pada kotak Connected Experiences, buang tanda pada kotak pilihan “Turn on experiences that analyze your content”
Tekan OK dan simpan tetapan anda. Tutup dan buka semula perisian Microsoft Word untuk menggunakan Microsoft Word anda tanpa diintai AI.
1 daripada 4
Pergi ke File > Option > Trust Center > Trust Center Settings > Privacy Options > Privacy Settings > Connected Experiences
Pergi ke File > Option > Trust Center > Trust Center Settings > Privacy Options > Privacy Settings > Connected Experiences
Pada kotak Connected Experiences, buang tanda pada kotak pilihan "Turn on experiences that analyze your content"
Klise betul guna ayat sopan dan canggih. Experience lah, connected lah. Padahal, hakikatnya, mengintai dan melombong maklumat kita secara terang-terangan. Ambil free pula tu!
Jika anda penggemar kandungan ikhtiar hidup di YouTube, pasti akan pernah menonton video dari gadis ini. Li Zi Qi boleh dikatakan antara “OG” dalam genre gadis hutan cantik. Kerjayanya bermula secara tidak sengaja setelah dia pulang ke kampung pedalaman untuk menjaga neneknya.
Li Zi Qi sebelum mencipta saluran YouTube, telah bertugas sebagai DJ di sebuah kelab di bandar. Namun, pulang ke kampung setelah neneknya tidak sihat. Di kampung, bagi mengisi masa lapang dan mengembangkan bakat sedia ada, beliau mula memuat naik video pekerjaannya seharian.
Kandungan videonya tidak sunyi dari kontroversi. Dituduh sebagai penipu, pelakon propaganda China, memanipulasi trafik, dan pekerja korporat besar, Li Zi Qi terus berkarya sehingga genre “gadis pedalaman cantik” menjadi satu genre baru dalam YouTube. Li Zi Qi menjadi saluran yang pertama dalam genre ini mencapai 10 juta pelanggan! Sekaligus, mempopularkan genre ini.
Sayang sekali, kejayaan Li Zi Qi tidak lama kerana ditipu oleh syarikat produksi. Setelah salurannya semakin besar, Li Zi Qi telah bekerjasama dengan syarikat bagi menguruskan jadual dan kerja-kerja produksi hariannya. Sebaliknya, syarikat tersebut hanya menggunakan jenama Li Zi Qi untuk menjual produk dan tidak membantu dalam kerja-kerja penghasilan video.
Pada Julai 2021, Li Zi Qi ingin menamatkan kontraknya dengan syarikat produksi ini namun Li Zi Qi mendapati pengurusnya telah menipu beliau dan kini seluruh jenama dan saluran YouTube beliau kini dimiliki syarikat produksi tersebut. Li Zi Qi kemudiannya mengambil tindakan undang-undang dan tiada maklumat lanjut tentang perjalanan kes beliau kerana COVID-19 telah melanda seluruh dunia.
Sehinggalah dua hari lepas, di mana Li Zi Qi telah memuatnaik video terbaru di saluran YouTube beliau. Semalam juga, Li Zi Qi juga telah memuatnaik video baru.
Akaun YouTube Li Zi Qi kembali aktif 2 hari lepas dengan muat naik terbaru.
Tidak dapat dipastikan sama ada Li Zi Qi telah berjaya mendapatkan semula hak saluran YouTubenya. Namun, dalam sebuah temuramah televisyen, Li Zi Qi ada mengatakan hanya akan memuat naik video semula setelah berjaya menyelesaikan isu mahkamah beliau.
Video temuramah Li Zi Qi semasa beliau mula popular sebelum menghilangkan diri dari YouTube.Temuramah Li Zi Qi setelah kembali aktif ke YouTube.
Dengan muat naik terbaru ini, mungkin ini tandanya Li Zi Qi telah menang dalam tuntutannya.
Buat peminat Smart Band dan alat penjejak kecergasan, pasti tidak asing lagi dengan siri Xiaomi Smart Band. Mana tidaknya, Xiaomilah yang memulakan revolusi alat penjejak kesihatan bajet di pasaran global. Dengan Mi Band 1, boleh dikatakan jenama penjejak kecergasan global terkemuka seperti Garmin dan FitBit mula garu kepala dan terpaksa turunkan harga mereka yang terlalu premium.
Kini, Xiaomi melancarkan entri terbaru dalam siri Smart Band mereka dengan Xiaomi Smart Band 9. Sebagai bekas pengguna Mi Band 1, Mi Band 2 dan Mi Band 3, ketika kali pertama memegang Smart Band 9 ini saya dapat lihat perubahan dan kemajuan teknologi yang ketara pada Smart Band 9. Jika anda masih lagi menggunakan siri lama Mi Band, ini adalah masa yang tepat untuk anda ‘upgrade’.
Kualiti Binaan
Rekaan Smart Band 9 tidak berubah daripada generasi terdahulu. Masih lagi menggunakan bentuk bujur dan tali getah.Walau bagaimanapun, ada sedikit penambahbaikan seperti saiz paparan yang lebih besar dan tali pemegang yang lebih kemas dan susah terbuka. Ini adalah penambahbaikan yang sangat bagus kerana lebih memudahkan anda melihat maklumat pada paparan dan memastikan tali jam tidak mudah terbuka terutama sekali ketika anda sedang aktif melakukan aktiviti fizikal.
Penderia pada Smart Band 9 juga lebih baik dan tepat. Menurut Xiaomi, penderia jantung pada Smart Band 9 ini ada gred kesihatan dan mampu memberikan hasil yang lebih tepat berbanding generasi yang sebelumnya. Pengecas 2-pin nya juga masih lagi mengekalkan jenis magnet. Selain daripada penderia optik jantung, ia juga dilengkapi dengan giroskop dan accelerometer untuk mengesan pergerakan. Di skrin hadapan, diletakkan juga penderia cahaya ambien untuk mengesan kecerahan persekitaran. Smart Band 9 tidak memiliki penderia GPS.
Paparan Smart Band 9 sangat cemerlang bagi saya. Dengan 1200 nits kecerahan maksimum, segala info boleh dibaca dengan jelas walau di luar rumah. Skrin AMOLED 1.62 inci bermakna anda juga boleh menggunakan paparan sentiasa nyala (AOD). Ada 3 mod AOD iaitu mati, jadual atau mod pintar di mana ia akan diaktifkan apabila jam dipakai di tangan anda. Setiap AOD adalah unik bergantung kepada setiap jenis muka jam yang anda piilih.
Ciri Tambahan dan Penjejak Kitaran Tidur
Xiaomi Smart Band 9 menggunakan aplikasi Mi Fitness. Oleh kerana Smart Band 9 tidak mempuyai GPS terbina dalam, anda perlu menyambung dahulu jam ke telefon sebelum dapat menjejak status aktiviti fizikal anda. Smart Band 9 juga tiada altimeter terbina dalam dan ini menjejaskan pengesanan aktiviti fizikal yang melibatkan ketinggian seperti mendaki bukit. Anda perlu bergantung sepenuhnya kepada penderia pada telefon anda. Smart Banda 9 memiliki mod khas iaitu Mod Larian yang membolehkan ia digunakan bersama aksesori lain untuk dipakai di kasut.
Untuk penjejakan tidur pula, saya dapati Smart Band 9 agak mengecewakan. Data ditunjukkan dengan lengkap pada aplikasi Mi Fitness tapi pada jam, data hanya ditayangkan dalam bentuk peratusan. Saya juga dikatakan mempunyai kualiti tidur Deep Sleep yang lama berbanding dengan data daripada Mi Watch S1 saya. Mungkin Xiaomi boleh membaiki pengesanan kitaran tidur agar lebih tepat melalui kemaskini firmware akan datang. Untuk pengesanan tidur siang, data daripada Smart Band 9 tiada dalam Mi Fitness saya.
Bateri
Xiaomi mendakwa bateri Smart Band 9 boleh bertahan sehingga 21 hari. Penggunaan sebenar saya yang menggunakan AOD dan mengaktifkan semua ciri pengesanan tambahan termasuk kadar degupan jantung, stress, dan tidur mampu memberikan kuasa bateri selama 7 hari. Yang mana, sangat-sangat bagus untuk sebuah penjejak kecergasan termurah di pasaran. Pengecasan penuh hanya dalam masa lebih kurang 1 jam.
Kesimpulan
Xiaomi Smart Band 9 adalah pilihan mudah buat anda yang masih belum memiliki sebarang jam pintar atau penjejak kesihatan. Ia mempunyai jangka hayat bateri yang sangat panjang, sesuai untuk mereka yang baru mula berjinak-jinak dalam menggunakan jam pintar daripada jam tangan konvensional. Saya ingat pengalaman pertama saya menggunakan jam pintar, untuk mendapatkan disiplin dan rutin baru mengecas jam tangan agak kekok dan kerap juga saya pakai jam yang sudah habis bateri. Jadi, degan jangka hayat bateri 21 hari pada Smart Band 9 ini, setidaknya anda ada banyak masa dan ruang untuk mengelakkan kejadian pakai jam habis bateri.
Dengan skrin yang terang dan jelas, ia juga sangat membantu dalam produktiviti. Jam pintar boleh dikatakan sebagai keperluan baru masa kini kerana ia dapat memberikan anda info dengan lebih pantas. Untuk petugas pejabat pula, anda dapat membaca mesej dan lebih cakna dengan panggilan masuk kerana maklumat amaran dapat dipaparkan terus pada jam. Dalam mesyuarat, saya dapat membaca WhatsApp yang masuk tanpa melihat telefon dan ini satu ciri yang susah saya hentikan kerana ia sangat memudahkan.
Bagi saya, Smart Band 9 sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah jam pintar yang berguna dan boleh diharapkan. Ia sempurna sebagai sebuah aksesori gaya hidup terkini dan sangat cocok buat anda yang cakna dengan kesihatan anda. Ia bukan hanya sesuai untuk mereka yang aktif sahaja, malah perlu juga digunakan oleh mereka yang sedentari untuk lebih memupuk gaya hidup yang lebih aktif. Untuk pelari serius, anda mungkin perlu melihat ke arah lain.
Gambar di atas menunjukkan ketika kunjungan saya ke ‘center’ U Mobile di Ipoh, 1 Oktober lepas. Genap sebulan menggunakan U Home 5G ini, rasanya sudah cukup data-data diperlukan untuk menulis sedikit ulasan mengenainya.
Saya telah menggunakan Maxis Fibre sejak mula pelancarannya lagi. Setelah bertahun lamanya, saya terasa hendak beralih kepada sesuatu yang baharu, sebagai pencarian perkhidmatan yang lebih ‘marhaen’.
Mungkin ada sesetengah agak skeptikal, namun selaku pengamal media yang terarah kepada teknologi, tidak dapat tidak siapa lagi yang hendak mencubanya kalau bukan diri sendiri. Tambah lagi admin lain sudah pun menggunakan unifi dan TIME – tiada lagi antara mereka yang menggunakan internet 5G sebagai sandaran harian.
Maka setelah tamatnya kontrak Maxis Fibre (maklumlah, bila berpindah lokasi, Maxis memaksa pembaharuan kontrak, tidak seperti unifi yang percuma saja), saya terus ke pusat jualan berhampiran.
Sesampainya di rumah, buka kotak dan pasangkan modem di lokasi berhampiran televisyen, terus lakukan ujian kelajuan. Ahh, nampaknya tidak beberapa memuaskan. Kelajuan hanya mencecah lebih kurang 30Mbps sahaja ketika itu. ‘Post mortem’ pun dibuat ketika itu juga.
Nampak seperti tiada apa-apa masalah. 5G terhubung dengan jayanya. Saya ada cuba ‘godek-godek’ tetapan, namun kelajuan tetap tidak menaik dengan baik. Lalu terasa sedikit hampa, putus asa.
Tetapi tidak mengapa. Saya cuba ubah tempatnya pula. Dari depan ruang tamu, menuju ke bilik tetamu. Akhirnya, kelajuan yang diingini telah tercapai.
Untuk pengetahuan anda, liputan 5G di kawasan saya boleh dikatakan agak ‘sipi’, namun tidak sepi. Wal-lah! Saya paparkan beberapa tangkap layar ujian kelajuan sewaktu penggunaan di rumah.
Satu permasalahan yang saya dapati, kekadang kelajuannya amat memberansangkan, seperti yang anda dapat lihat pada tangkap-tangkap layar di atas. Namun bila malam menjelang, mulalah ia perlahan. Kadang-kala 10Mbps ke bawah.
Ah, hati mula tak keruan. Apa lagi yang tak kena.
Lalu saya menjengah ke dalam tetapan semula, dan saya cuba ‘lock’ atau kunci band-band 4G dan 5G tertentu. Berekperimentasi dengan minda kronik. Hasil dapatan daripada beberapa band yang dinyahaktif dan dikuncikan, saya mendapati kelajuan pada waktu malam berubah dengan drastik sekali.
Tetapi your results may vary. Anda perlu mencuba sendiri kerana lokasi kita adalah tidak sama. Kadar kekuatan 4G dan 5G yang berbeza boleh menimbulkan kekusutan. Tetapi apabila sudah ‘mengena’, bulan lepas saja saya sudah guna 500GB. Strim video 4k sahaja di YouTube sepanjang masa, beserta Netflix semestinya.
Demikianlah sedikit perkongsian saya.
Mungkin pengalaman anda tidak serupa. Apa pun, kena berani mencuba. Saranan saya, hanya jika di tempat anda ada 5G, kerana jika tiada, tiadalah guna. Berani hanya untuk rugi saja. Jika ada 5G, anda akan bahagia, seperti saya.
*Modem yang diberikan oleh U Mobile ini berkualiti setaraf modem murahan.
**Kerap terputus sambungan dan ibarat ia ‘restart’ sendiri. Entah kenapa. Bukan tak boleh guna, cuma jika anda ada bermodal sendiri, adalah lebih baik anda beli modem 5G yang disyor oleh kebanyakan pengguna lain, seperti Nokia Fastmile 3. Boleh beli di: Nokia Fastmile 3 5G Modem.
Memilih kereta pertama pastinya memeningkan. Tambahan pula, bagi mereka yang baru pertama kali ingin membeli kereta, pastinya banyak yang perlu difikirkan. Tambah lagi dengan ‘racun’ kawan-kawan dan faktor kehendak lawan kemampuan, pastinya cukup kusut untuk membuat pilihan.
Ambil purata gaji permulaan minima baru kerajaan sebanyak RM1,700, tak banyak pilihan kereta yang sebenarnya ‘mampu’ dalam kategori gaji ini. (Saya yang layak cukai pendapatan pun tak berani nak ambil Myvi). Mengikut perkiraan perancang kewangan, kereta yang mampu milik sebenarnya hanyalah dalam julat 15% daripada pendapatan bulanan.
Jika gaji anda RM1,700, anda sebenarnya hanya mampu untuk memiliki kereta dengan bayaran bulanan RM255. Macam mana? Ada tak kereta dengan bayaran bulanan RM255 sebulan? Jika kereta terpakai, mungkin ada. Tapi jika kereta baru? Jadi ini membawa kita kepada faktori pilihan paling popular; “Kereta apa paling murah di pasaran?”. Dan kita ada dua pilihan iaitu Perodua Bezza dan Proton Saga.
Setelah mengambil kira pelbagai faktor, saya memilih Proton Saga Premium S secara peribadi. Bagi saya, Proton Saga menang secara keseluruhan dan memiliki keseimbangan paling baik bagi harga, prestasi, keselesaan dan keselamatan.
Tak dapat dinafikan, pengendalian Proton Saga memang terbaik dalam kelasnya!
Apa yang best?
Pemanduan yang sangat selesa. Proton Saga memiliki NVH (Noise, Vibration, Harshness) antara yang terbaik di pasaran. Memandu dan menaiki Proton Saga terasa seperti berada di dalam kereta sedan bersaiz besar. Senyap dan tidak bergegar.
Ruang dalam yang tidak sempit terutama bagi penumpang belakang.
Saiz bonet belakang yang besar, 420 liter. Lebih besar berbanding bonet kereta sedan segmen B dari Jepun!
Aksesori ‘sport’ sedia ada dari kilang. Setiap varian Proton Saga sudah dipasang dengan strut bar depan bagi memberi lebih kawalan dan kestabilan di selekoh.
Rekabentuk dan penggayaan yang sudah lengkap. Bagi varian Premium S, sudah siap dipasang bampar depan dan belakang, skirt sisi dan juga spoiler belakang. Rim juga sudah diberi rim sukan saiz 15 inci. Jadi, tak perlu susah-susah dan berhabis duit ke kedai aksesori selepas menerima kunci kereta pertama anda.
Transmisi 4AT dari Aisin. Bagi saya yang selalu berulang-alik dari Kelantan ke Pahang dan Kuala Lumpur, transmisi 4AT ini memang sangat sedap. Dengan 4AT anda tak perlu risau sangat dan tak perlu dibelai sangat. Di lebuhraya CSR dan Merapoh, saya boleh kekalkan kelajuan maksima sehingga 160KM/J. Tidak seperti CVT yang selalu orang cakap “tak boleh lenjan”.
Meter panel yang separa analog. Lebih praktikal berbanding skrin LED sepenuhnya.
Lampu hadapan menggunakan soket mentol halogen. Juga lebih praktikal dan senang ditukar jika saya ingin lampu yang lebih terang/warna lebih panas/jenis mentol projektor.
Sistem audio yang mantap. Mula-mula saya terkejut juga. Audio Saga ini memang macam dah ditala siap-siap. Sistem infotainment juga sudah ada DSP dan EQ sendiri. Dari kilang, Proton Saga sudah dilengkapi dengan 4 unit speaker.
Bonet belakang boleh buka dengan kunci. Ada lampu! 😂
EKON SEJUK!
Sayang, skrin bukan main besar. Tapi tak ada Android Auto/Apple Car Play.
Apa yang tak best?
Proton kedekut dengan ciri keselamatan. Walaupun Proton ada fasiliti HPF, casi Proton Saga hanya dibina dengan UHSS (Ultra High Strength Steel). Beg udara juga hanya 2. Tiada ADAS, hanya beberapa ciri keselamatan aktif seperti EBD, ABS, ESC, dan Traction Control.
Dah tahun 2024, masih lagi tiada Android Auto/Apple Car Play pada unit radio. Padahal Proton Saga dah ada skrin 7 inci untuk radio dan infotainment.
Tak ada lampu kabus depan dan belakang sedangkan model sebelum ini ada. Cukup sekadar lampu siang (DRL)?
Enjin CamPro 1.3 walaupun banyak dikutuk, tapi ia masih lagi “ok” dan terbukti. Kalau boleh, Proton perlu berikan transmisi 5AT atau 6AT untuk Saga. Atau setidaknya, letakkan ia pada varian terpilih. Contohnya Proton Saga R3. (tak adalah R3 sekadar cat hitam saja). Kalau ada Proton Saga 1.5 SE dengan 6AT, memang king!
Beg udara keselamatan pun ada 2 saja. Paling tidak pun bagilah 4!
Kesimpulannya, Proton Saga adalah sebuah kereta yang sangat sedap dipandu terutamanya sekali bagi mereka yang membawa ramai orang dan muatan banyak untuk perjalanan jauh. Penggunaan bahan api? Bagi saya bab petrol ni tak signifikan sangat pun. Jika kereta itu diiklankan sebagai “jimat minyak”, percayalah, untuk perjalanan jauh pasti telan banyak minyak. Kebanyakan iklan dan dakwaan “jimat minyak” ni hanya mengambil kira pemanduan dalam bandar dan jarak dekat saja.
Jika anda membeli Proton Saga semasa bujang, percayalah ia akan terus dapat berkhidmat cemerlang sehingga anda berkeluarga kelak. Bonet belakang boleh muat 4 bagasi baju, bakul susu dan 2 pek lampin pakai buang. Saya boleh muatkan 2 biji kerusi roda dalam bonet belakang Saga. Itu pun, masih lagi ada ruang untuk beg baju dan barang-barang belian dari pasaraya.
Percayalah, Proton Saga ini akan kekal selesa walaupun anda sudah berkeluarga kecil dan sederhana!
Namun begitu, tak dapat dinafikan yang Proton Saga ini adalah satu model sedan yang sudah ketinggalan zaman berbanding pesaing rapatnya dari segi teknologi. Jika Proton ingin memastikan Proton Saga kekal relevan di zaman ini, Proton perlu mula lengkapkan Proton Saga dengan pelbagai ciri teknologi terkini. Paling busuk pun. beg udara bagilah 4 biji. Android Auto/Apple Car Play tu ejaslah Proton.
Percubaan Nubia untuk memasuki pasaran telefon tempatan telah diterima baik oleh peminat Malaysia sejak akhir-akhir ini. Terbaru Nubia telah memperkenalkan model telefon terbarunya yang kursus kearah imej fotografinya iaitu Nubia Focus Pro 5G.
Mari kita lihat ciri-ciri dan prestasi yang ada pada Nubia Focus Pro 5G ini.
Model
NUBIA FOCUS PRO 5G
Pemproses
UNISOC TANGULA T760
Ram / Storan
8GB+12GB RAM DINAMIK / 256GB
Kamera depan
32M
Kamera Belakang
108M OIS + 5M FF + 2M FF
Skrin
6.72 FHD+ 120hz Kadar Segar Semula
Bateri/Pengecasan
5000mAh/33w
Dimensi(mm)
76.1 mm / 166 mm
Pengimbas Cap Jari
Cap Jari Sisi
Keterhubungan
Type-C
Pembesar Suara
Pembesar Dwi Stereo yang dijanakan oleh DTS
Sistem Operasi
Android 13
Nubia Focus Pro 5G telah mendapat perhatian kerana gabungan prestasi dan kemampuannya.
Berikut adalah pandangan peribadi saya terhadap telefon ini.
TANGGAPAN PERTAMA
REKA BENTUK BINAAN LUARAN
Telefon ini menampilkan reka bentuk anggun dengan dua pilihan warna iaitu emas ataupun hitam memberikan rasa premium bebaloi dengan harga. Saya berkesempatan mencuba sendiri peranti yang berwarna hitam.
SKRIN
Paparan IPS FullHD+ 6.72-inci dengan kadar penyegaran 120Hz boleh diberikan pujian kerana visualnya yang cantik dan paparan yang sangat terang walaupun berada diluar panas terik. Tak sangka telefon bajet ini mempunyai kemampuan visual yang cantik dan terang.
PEMPROSES
Dikuasakan oleh Pemprosess Unisoc Tangula T760, ia menawarkan prestasi yang baik untuk tugasan harian mahupun dalam permainan telefon.
SISTEM OPERASI
Menggunakan Android OS v13.0, memberikan pengalaman pengguna yang terkini setanding dengan harga. Dengan harga RM899 pada jualan rasmi, anda akan mendapat 8gb+12gb RAM dan juga kapasiti simpanan sebanyak 256gb, sesuai pada mereka yang tercari-cari telefon bajet.
KAMERA & SISTEM FOTOGRAFI AI NEOVISION
Kamera utama 108MP dengan Penstabilan Imej Optik (OIS) ialah ciri yang paling menonjol dalam siri ini yang memberikan hasil foto yang menarik dan stabil. Berikut contoh gambar yang saya ambil menggunakan kamera ini. Anda tidak perlu menjadi seorang Jurugambar Professional untuk menggunakan telefon ini.
1 daripada 9
JANGKA HAYAT BATERI
Bateri 5000mAh memastikan masa penggunaan yang mencukupi dan tahan lama, dan pengecasan pantas 33W sesuai dengan sebuah telefon kelas pertengahan.
KONKLUSI
Jika anda inginkan teknologi canggih kelas pertengahan dengan kelajuan 5G dan kamera yang mengagumkan, Nubia Focus Pro 5G ialah saranan terbaik saya.
Pada saya untuk sebuah peranti kelas pertengahan yang mempunyai reka bentuk anggun dan jangka hayat bateri yang baik, sudah pasti telefon ini menjadi pilihan.
Sekiranya anda berminat untuk membeli, saya sudah sediakan pautan dibawah:
Korang dah biasa guna ChatGPT untuk bantu tulis atau debug kod? Sekarang ada cara baru yang lebih senang, nama dia Canvas! 💻
Dengan “Canvas,” korang boleh buat kerja menulis dan coding bersama ChatGPT dalam satu ‘window’ lain. Bukan setakat chat, tapi korang boleh bina, ubah, dan ‘touch up’ kerja tu terus!
Apa Yang Best Tentang ChatGPT Canvas?
Bekerjasama dengan ChatGPT Lebih Mudah
Korang boleh highlight teks atau kod untuk minta ChatGPT semak atau bagi cadangan.
Ubahsuai & Semak Kod Lebih Pantas
ChatGPT boleh bantu debug, tambah komen, dan cadangkan cara nak improve kod korang.
Restore Versi Lama
Kalau tersilap edit, korang boleh undur balik ke versi sebelum ni!
Pilihan Tahap Pembacaan
Nak tingkatkan atau turunkan tahap pembacaan (reading level)? Canvas boleh adjust ikut kesesuaian korang, dari tahap kanak-kanak sampai ke profesional!
Panjangkan atau Pendekkan Teks
Kalau perlu tambah atau ringkaskan penulisan, boleh buat dengan mudah guna shortcuts yang disediakan.
Tambah Sentuhan Akhir
Canvas boleh semak ‘grammar’ dan jelas kan ayat supaya lebih jelas!
Emoji Pun Boleh!
Tambah emoji terus untuk hidupkan teks korang – sesuai sangat kalau buat konten media sosial.
Sesuai Untuk Pemula & Expert
Sama ada korang baru nak mula atau pro dalam coding, Canvas boleh bantu selesaikan masalah atau baiki kod.
Boleh Guna Banyak Bahasa Programming
Nak tukar dari Python ke Java atau bahasa lain? Canvas boleh tolong translate kod terus!
Pengguna ChatGPT Plus dan Team dah boleh cuba fungsi ni sekarang. Yang lain, sabar sikit, nanti korang pun boleh guna!