Dalam majlis pelancarannya semalam, Xiaomi telah mempertontonkan beberapa produk dan teknologi terbaru daripada mereka. Antara yang menarik perhatian adalah pengumuman telefon dengan skrin lembut melengkung dan juga pengumuman cip pemproses imej buatan mereka sendiri, Surge C1.
Xiaomi dalam pengumumannya berkata pemproses Surge C1 ini adalah berasingan daripada SoC dan akan dipateri secara berasingan pada papan litar telefon. Ini akan membolehkan proses penggambaran pada telefon berfungsi secara bebas dengan menggunakan algoritmanya sendiri. Mengulas lanjut, syarikat gergasi itu mendedahkan bahawa perkembangan baharu mereka itu adalah hasil daripada pelaburan mereka yang bernilai lebih daripada RM88 juta.
Secara khususnya, syarikat itu telah berusaha selama 2 tahun dan melabur banyak peruntukan ke dalam jabatan R&D mereka untuk membina cip yang menggunakan lebih kurang kuasa pemprosesan dan memori tetapi mampu menghasilkan imej yang lebih baik. Cip ISP ini menggunakan algoritma 3A seperti berikut:
AF– Auto Focus (Fokus Automatik)
AWB– Accurate White Balance (Keseimbangan Putih Tepat)
AE– Automatic Expossure (Pendedahan Automatik)
AF berfungsi untuk mendapatkan fokus pada objek dan persekitarannya dengan lebih pantas terutama sekali dalam suasana gelap di mana ruangan untuk memfokuskan objek adalah lebih kecil dan sukar. AWB pula bertindak dengan membetulkan semula jumlah pendedahan dan warna putih di dalam gambar yang dihasilkan. AE penting untuk mengawal sebanyak mana cahaya yang diperlukan untuk menghasilkan gambar yang terbaik.
Xiaomi mengatakan Surge C1 mempunyai penyesuaian dwi-penapis yang membantu ia memproses kedua-dua frekuensi tinggi dan rendah secara beriringan. Proses ini, digabungkan bersama dengan penggunaan algoritma 3A yang berkesan, disasarkan untuk mencapai kadar efisen maklumat gambar sebanyak 100%.
Pembinaan cipset sendiri oleh Xiaomi telah bermula sejak tahun 2014 lagi dengan pengenalan SoC Surge S1 pada tahun 2017. Namun begitu, tidak banyak perkembangan yang dapat didengari berkenaan Surge dan Lei Jun pada semalam mengumumkan, walaupun terdapat pelbagai halangan, perkembangan cip Surge tetap akan berjalan di masa akan datang.
Paling penting, cip ISP Surge C1 ini diumumkan akan hadir tersedia dipasang pada telefon boleh lipat pertama Xiaomi, Mi MiX FOLD untuk membantu pemprosesan gambar yang lebih baik. Mungkin juga Surge C1 akan hadir pada kesemua peranti Xiaomi di masa akan datang. Tidak sabar juga untuk menunggu hasil daripada ISP ciptaan Xiaomi ini. Adakah ia akan menjadi pesaing baru Google Pixel?