[Santai & Ilmiah] The Daily Reminder

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Masih belum terlambat untuk melafazkan ucapan salam kepada bulan Ramadan atas kehadirannya pada tahun ini. Semoga Ramadan tahun ini lebih memberi makna kepada sahabat OMG! Hackers? sekalian. Selamat menjalani ibadat puasa diucapkan kepada sahabat yang beragama Islam dan tanpa melupakan saudara Arya Putra selaku pemimpin laman perkongsian ilmu ini. Sifat tidak mempercayai dan menolak suruhan Allah oleh segelintir umat Islam tempatan telah dibuktikan dengan kajian dan penyelidikan saintis Barat. Manfaat daripada berpuasa itu cukup hebat namun disia-siakan oleh orang yang kebulur di tengah hari. Sungguh menyedihkan, apakah sudah hilang sifat malu pada tuhan dan manusia atau apakah sukar untuk menundukkan nafsu-nafsi sehingga terpaksa menjamah juadah berbuka pada waktu tengah hari. Ah, ini semua perbuatan gila semata!

Santai dan Ilmiah, itulah tajuk penulisan kali ini. Saya tidak hadir dengan artikel panduan atau perkongsian ilmu berkenaan teknologi. Kekurangan dalam mendalami setiap pelusuk internet mengakibatkan saya terhad dengan ilmu tentang teknologi. Teknologi seperti komputer hibrid (convertible laptop), kereta tanpa pemandu, realiti maya (virtual reality), peranti dengan spesifikasi menakjubkan dan pelbagai lagi kemudahan teknologi dan komunikasi yang ditonjolkan belakangan ini seringkali menjadi bahan bacaan saya, namun saya masih tidak mampu untuk merangkai kata untuk dipersembahkan dalam bentuk artikel di laman ini. Hal ini berpunca daripada kesibukan dunia realiti yang dihadapi meskipun seorang penuntut ilmu dan bukannya seorang yang makan gaji.

Berbalik semula kepada perbincangan kita iaitu santai dan ilmiah. The Daily Reminder merupakan sebuah saluran yang terdapat pada laman penstriman video terkemuka dunia, YouTube. Sempena dengan bulan Ramadan yang penuh barakah ini, umat manusia akan berlumba-lumba untuk memperbanyak amalan yang telah dilipatgandakan oleh tuhan sekalian alam, Allah S.W.T. Oleh itu, menuntut ilmu dalam alam maya merupakan salah satu metodologi lain untuk mengaut pahala walau di mana sahaja anda berada tanpa melupakan untuk mengimarahkan masjid dan pusat ibadat lainnya  dengan mendengar tazkirah-tazkirah ringkas yang disampaikan oleh penceramah agama. Inilah masanya untuk menjinakkan suatu yang cukup hebat lagi dahsyat iaitu nafsu. Memetik kata daripada lagu Suara Khalifah oleh kumpulan Khalifah “berkata rasul junjungan kita, nafsu musuh yang nyata, perangilah ia”, telah menjelaskan betapa pentingnya untuk kita perangi musuh yang satu ini. 

Sewaktu saya sibuk melayari internet bagi mendapatkan input-input terkini tentang dunia maya ini, saya telah dipertemukan dengan sebuah video yang menarik daripada saluran The Daily Reminder ini, “zero + zero + zero cannot possibly ever give you one” menjadi sebuah kalimat yang menarik perhatian saya untuk terus kekal menelaah setiap video yang dihasilkan oleh The Daily Reminder. Selain itu, persembahan menarik yang ditonjolkan dalam setiap video menjadikan saya berminat untuk menonton setiap video yang dimuat naik ke dalam saluran ini. Lebih menarik apabila setiap video mempunyai kelebihan untuk menonton dalam definisi tinggi. Jika, di Malaysia kita mempunyai Tuan Hell Film (TH Film), karya yang dihasilkan amat menarik dalam aspek penyampaian dakwah. Kedua-dua saluran wajar diberi pujian atas daya usaha untuk menyampaikan suatu pesanan dalam kaedah yang lebih efisien dan efektif bagi menarik lebih ramai umat manusia untuk mendalami ajaran Islam yang sebenar. 

Akhir kata, saya bukan pendakwah, hanya sahabat yang lemah, saya perlu bantuan dan bimbingan, untuk mencari tujuan kehidupan. Betulkan segala kesilapan dalam penulisan ini.


Assalamualaikum.

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

spot_imgspot_img