Pusaka: Filem Seram Yang Kejam, Ngeri, Dan Segar

Pusaka bukan filem seram biasa yang kita tonton. Ya, masih terdapat jump scares yang tidak diperlukan dalam filem, dan hanya ada semata-mata untuk mengejutkan mereka yang mudah terperanjat.

Tetapi jalan ceritanya itu menarik minda untuk berfikir sementara. Ia tidaklah terlalu berat, bahkan boleh dihadam. Cuma sekali sekala kita akan rasa terbawa-bawa untuk memikirkan siapakah sebenarnya yang mengundang semua insiden dan malapetaka.

Sinopsis

Filem bermula dengan pengenalan watak Inspektor Nuar yang mempunyai adik kembar bernama Nur. Nur merupakan remaja bermasalah yang sering lari dari pusat pemulihan.

Misteri bermula apabila Nuar menerima panggilan yang mengatakan terdapat pembunuhan di lokasi rumah berhampiran tapak kuari.

Sesampainya di rumah tersebut, Nuar menjumpai sepasang adik beradik kembar yang terkurung untuk suatu waktu yang lama. Seorang dari kembar itu telah pun meninggal dunia, dengan tubuh mereput sambil mayatnya dipapah oleh seorang lagi kembar iaitu Qistina.

Plot Dan Jalan Cerita

Pada saya, kita sudah pernah melihat plot twist seperti ini dalam filem seram lain, tetapi apa yang menyeronokkan ialah di dalam plot twist, ada pula satu lagi kejutan yang lain tersembunyi menanti.

Ini saya tidak dapat nak tulis secara terperinci, kerana saya tidak mahu memberi sebarang spoiler.

Cukup sekadar saya mengangguk kepuasan dengan pengakhiran mengejut diberikan. Ini berkemungkinan kerana kita telah disaji dengan filem seperti Munafik 2, Misteri Dilaila, dan Dukun yang masing-masing punyai keunikan tersendiri. Oleh itu Pusaka tidak boleh datang berlenggang dan perlu membawa sesuatu yang berbeza dalam menggambarkan ketegangan filem berunsur seram ini.

Bukan Filem Cincai

Ya, saya sukakan filem Pusaka ini kerana ia bukan ‘asal boleh’, hentam kromo, ataupun cincai. Nampak usaha pengarahnya (Razaisyam Rashid) meneliti perincian babak ke babak, dan pemilihan pelakon juga amat tepat sekali. Watak Inspektor Nuar Ishak (Syafiq Kyle) walaupun masih agak cliche (polis yang kurang percaya kepada perkara mistik) tetapi membantu membawa jalan cerita mengikut kepada landasan sepatutnya.

Manakala watak kembarnya iaitu Nur (Mimi Lana) dapat membuat kita merasa hubungan dekat antara dirinya dengan Nuar, yang mana itu salah satu perkara sebagai anak kembar yang perlu diberikan lebih ‘jiwa’ kepadanya, dan Mimi Lana boleh dikatakan berjaya dalam hal tersebut.

Pelakon-pelakon lain seperti Ogy Ahmad Daud, Faizal Hussein, Farhanna Qismina, Hafidz Roshdi, Aleza Shadan dan Yuna Rahim, kesemuanya memberi impak tidak kiralah banyak mahupun sedikit. Saya sukakan watak ASP Mansor (Faizal Hussein) yang tampak seperti ‘tiada perasaan’, tetapi sebenarnya mengambil berat tentang keadaan semasa anak buahnya.

Konklusi

Secara keseluruhan, Pusaka mempunyai sesuatu yang agak segar berbanding penceritaan filem terdahulu. Terdapat unsur-unsur jump scares, yang pada saya ‘tidak kena’ dengan cerita pada ketika itu, tetapi ia bolehlah ‘dilepas dan dimaafkan’ atas kerana tidak mencacatkan filem.

Sejujurnya susah nak takutkan penonton zaman ini, jadi banyak percubaan berani dibuat. Mujurlah percubaan tersebut masih berpaksi kepada logik dan boleh dihadam, lalu membuat ia menjadi filem yang kami syor untuk tonton di panggung.

 

Penarafan Durian Buruk: 7.5/10

You never know what’s waiting around the corner of Pusaka. – Astro Shaw

 

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x