Pada bulan Mac lalu, aplikasi Mobdro telah dimatikan operasinya oleh agensi pihak berkuasa Eropah. Aplikasi ini dilabel sebagai IPTV lanun terbesar dunia. Pengguna boleh memilih untuk menggunakannya secara percuma dengan pilihan memberikan ‘sumber’ peranti kepada rangkaian Mobdro.
Sumber dimaksudkan ialah alamat IP dan jalur lebar pengguna.
Pembangun dan pengendali Mobdro dikatakan berjaya mengaut keuntungan sebanyak 5 juta Euro hasil dari janaan pengiklanan. Tetapi bukan itu sahaja cara Mobdro menghasilkan punca kewangan.
Seperti disebutkan di atas, pengguna perlu bersetuju dengan satu perjanjian sebelum dapat menggunakan aplikasi itu secara percuma. Melalui perjanjian tersebut, pengguna perlu memberi kebenaran kepada rangkaian proksi untuk menggunakan sumber peranti iaitu alamat IP dan jalur lebar supaya dapat menjadi sebahagian dari rangkaian proksi itu.
Menerusi insfrastruktur ini, pengendali Mobdro dapat menjual informasi pengguna kepada syarikat Luminati Networks, iaitu syarikat rangkaian proksi berasas dari Israel yang sekarang dikenali sebagai Bright Data.
Agensi Kesatuan Eropah untuk Kerjasama Keadilan Jenayah (Eurojust) melaporkan bahawa polis telah membuat satu tangkapan dan menahan tiga individu untuk disoal siasat berkaitan aplikasi Mobdro.
Berikutan penangkapan ini, Luminati menggantung hak penggunaan SDK mereka kepada pengendali Mobdro, kerana menurut CEO Luminati, Or Lenchner, mereka tidak sama sekali terlibat apatah lagi menggalakkan aktiviti jenayah komersil seperti penstriman lanun dalam aplikasi Mobdro.
Tak mungkin Luminati/Bright Data ‘tak tahu menahu‘ langsung mengenai aktiviti dilakukan oleh pengguna Mobdro. Aplikasi ini antara yang paling popular selain TerrariumTV, TVZion, dan sebagainya lagi.
Apa yang pasti, kedua-duanya memang meragukan. Sebagai contoh, hubungan antara Mobdro atau lain-lain aplikasi penstriman dengan SDK Luminati bukan sesuatu yang baru.
Anda boleh rujuk pada artikel ini untuk maklumat lanjut: https://journethan.medium.com/from-suspicious-to-malicious-3990b027f3c
Berdasarkan kepada kajian, 94.7% asas rangkaian Luminati ialah berdasarkan aktiviti yang tidak sah di sisi undang-undang.
Menurut penarafan harga diterbitkan oleh Luminati sendiri, anggaran bajet syarikat mencapai sekitar 48 juta setiap tahun – diperuntukan kepada aplikasi yang melanggar akta hak cipta, aplikasi hasad, trojan, virus, dan adware. Sekitar 29% atau 14 juta dari bajet itu diguna untuk mewujudkan dan menyebar cetak rompak global yang mengakibatkan kerugian berbillion dolar.