Malaysia Terlepas Peluang Jaringan Kabel Dasar Laut Terbaru Facebook

Menurut sumber dari The Vibes, Malaysia kehilangan peluang pelaburan dari Facebook Inc, setelah terkeluar dari senarai negara yang terlibat dalam sistem kabel bawah laut terbaru syarikat gergasi teknologi itu.

Facebook dalam satu kenyataan semalam mengumumkan sistem kabel bawah laut ‘Apricot‘, iaitu kabel sepanjang 12,000km yang akan menghubungkan Guam, Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Singapura. (Wah, semua jiran kita pakat dapat).

Facebook dijangka akan melancarkan sistem kabel ini pada tahun 2024, untuk memenuhi permintaan data yang meningkat di rantau ini dan menyokong sistem kabel sedia ada.

‘Orang dalam’ mendakwa bahawa kehilangan projek terbaru ini adalah satu lagi tamparan kepada cita-cita ekonomi digital negara, setelah Malaysia dikeluarkan dari rangkaian Echo and Bifrost.

Perdebatan dasar kabotaj negara yang menolak pemasangan infrastruktur daripada pihak luar dikatakan antara punca syarikat gergasi tersebut mengelak untuk melabur di negara ini. Hal ini sekaligus akan menambah lagi kebergantungan Malaysia kepada negara jiran dalam trafik data besar kerana kekurangan pusat data jaringan fiber.

Dalam perkembangan terbaru juga, Facebook Inc dikatakan sudah bersetuju untuk bekerjasama dengan gergasi internet dunia, Google dalam projek pemasangan jaringan kabel fiber berkelajuan tinggi dasar laut ini. Ini bermakna, Malaysia bukan sahaja terlepas peluang untuk terlibat dengan satu syarikat gergasi dunia, tetapi DUA!

Terlalu banyak implikasi daripada keciciran Malaysia dalam isu ini. Jaringan data adalah antara aset dan infrastruktur penting dalam ekonomi alaf baru. Kegagalan Malaysia dalam memeterai projek ini dengan Facebook adalah satu kerugian yang sangat besar dan merupakan satu langkah menuju kemunduran jaringan internet.

Tambah memilukan, infrastruktur sedia ada yang semakin tenat dan gagal menampung keperluan penggunaan rakyat Malaysia yang semakin meningkat saban hari. Dengan ledakan industri baru dan perdagangan atas talian, Malaysia benar-benar memerlukan lebuhraya data yang baru.

Masihkah ada sinar untuk jaringan internet Malaysia yang lebih baik? Kita semakin tenggelam dibadai ombak pembangunan daripada jiran-jiran kita. Adakah kita akan lemas dan sekadar selesa dengan sejarah lama “Harimau Asia“?

Sumber: The Vibes

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x