Filem Joker adalah filem tahun 2019 yang dinanti-nantikan oleh para peminat komik, dan juga peminat Joaquin Phoenix. Saya hanya mengenali Joaquin dari filem ‘Her’, dan dari situ filem-filem lakonan beliau yang lain mula saya ikuti.
Joker ialah satu watak yang ‘merbahaya’ kepada pelakonnya. Jika bagus, pembawa watak akan dipuja bertahun lamanya. Jika tidak, mereka akan dilupakan, malah namanya menjadi bahan kutukan di mana-mana. Tidak perlulah saya sebutkan nama, anda pasti tahu siapa.
Seingat saya, inilah kali pertama satu filem berinspirasikan komik dibawa dalam gaya yang sebegini rupa.
Gaya yang bagaimana? Ia seakan ingin menjadi filem provokatif ke arah meromantika keganasan dan pembunuhan melalui promo beberapa bulan sebelumnya, tetapi setelah ditonton, matlamat sebenar tidak lebih dari sekadar sebuah kajian karakter.
Filem arahan Todd Phillips ini, mendapat satu bentuk ‘tekanan’ dalam bentuk kebimbangan penonton dan pihak berkuasa apabila tayangannya dijaga oleh polis, contoh seperti yang berlaku di Los Angeles dan New York. Kebimbangan ini berasas, kerana pernah terjadi kes tembakan rambang pada waktu tayangan ‘The Dark Knight Rises’.
Setelah selesai menonton, pada saya filem tersebut ialah sebuah hasil seni yang berjaya menonjolkan isu dalam masyarakat, tidak kiralah di mana jua sekalipun. Isunya difokuskan kepada pengidap masalah mental kronik yang ditindas masyarakat sekeliling sehingga memaksa jiwanya untuk memberontak secara melepaskan keganasan.
Naratif Joker berkisarkan hidup Arthur Fleck, seorang pelawak gagal di bandar Gotham yang tinggal bersama ibunya.
Set penggambaran kelihatan seperti tahun 80an, dan ia dibuat dengan begitu teliti sekali. Ini tidak menghairankan, kerana ia diinpirasi dari novel grafik Batman: The Killing Joke (1988).
Tema filem tidak lari dari bagaimana cara masyarakat melayan individu yang mempunyai masalah mental dan jiwa. Mereka ini sentiasa berasakan keseorangan di balik ramainya manusia sekitar.
Begitu jualah yang Arthur rasai ketika percubaan untuk menjadi seorang pelawak komedi berdiri (stand up comedian) gagal apabila dia ditertawa bukan kerana komedi (punchline) tetapi kerana dirinya sendiri menjadi bahan ejekan. Bukan sekadar penduduk sekitar, bahkan diketawakan di siaran televisyen perdana.
Terlahirnya watak ‘Joker’, hanya setelah kemuncak tekanan menimpa diri Arthur. Bermula dari situ, satu demi satu fasa peralihan watak dapat dirasai dan ditontoni. Saya puji lakonan Joaquin yang amatlah berkesan sekali. Tidak menghairankan jika beliau sentiasa disebut sebagai calon Oscar.
Joaquin dikenali sebagai pelakon yang menggunakan method acting, sama seperti mendiang Heath Ledger. Joaquin dikatakan mengambil inspirasi ketawanya dari pesakit pathological laughter, sejenis penyakit yang menyebabkan individu tersebut ketawa tanpa dapat dikawal, dan tidak mengikut kepada emosi semasa.
Filem diserikan lagi dengan adanya Robert De Niro. Watak beliau mungkin nampak kecil dan hanya muncul beberapa minit sahaja, tetapi masih memberikan impak kepada jalan cerita secara keseluruhan. Watak Thomas Wayne yang dipegang oleh Brett Cullen pula hampir sahaja boleh dilupakan (forgettable), kerana emosi terhasil apabila Thomas bertembung dengan Arthur belum cukup untuk menjustifikasi segala perbuatan Arthur selepas menjadi ‘Joker’. Cuma yang boleh dikatakan, Brett Cullen tidak menghampakan penonton dalam cubaannya menggambarkan sifat-sifat golongan elit Gotham.
Zazie Beetz sebagai Sophie Dumond, juga pada saya sekadar ‘tempelan’. Watak sampingan ini bagaimanapun tetap menjadi penyeri kepada ‘plot twist’ di akhir cerita. Pada saya Joaquin menanggung filem ini di atas bahunya, kerana setiap nuansa wajah, juga postur tubuh, memberikan penonton sesuatu untuk dirasai, yang mana watak-watak lain menyokong dari sudut jalan cerita.
Di akhirnya, kegilaan yang timbul apabila filem hampir menutup tirai merupakan satu isu pokok patut difikir bersama. Mungkin Todd Phillips berkata tiada apa-apa yang hendak beliau sampaikan melalui filem ini, tetapi saya rasakan isu masalah mental di kalangan rakyat kita patut diketengahkan. Mereka ini mesti dibantu, bukan dipinggir atau dipulau.