Jangan Mudah Tertipu Dakwaan Kononnya Jadi Mangsa Pekerjaan di Myanmar-PDRM

Kerajaan Kemboja Melaporkan Ada Mangsa Sindiket Pekerjaan Sebenarnya Berhutang Ahlong dan Kalah Dalam Perjudian

Terkejut juga saya semasa menonton liputan khas sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar dan Kemboja di slot rancangan 999, TV3 tadi. Sindiket penipuan ini didakwa aktif dan giat menipu rakyat negara kita Malaysia dengan menjanjikan pekerjaan di sana. Namun begitu, setelah mangsa ke sana untuk bekerja, mangsa kemudiannya dipaksa menjadi buruh paksa dan juga buruh seks.

Sejak tahun lalu, banyak juga berita dan rayuan daripada ibu bapa yang meminta anak dan ahli keluarga mereka diselamatkan oleh kerajaan Malaysia. Dakwa mereka, anak mereka telah merayu supaya diselamatkan kerana telah ditipu ejen pekerjaan dan kini sedang ditahan secara haram. Kerajaan Malaysia juga dilihat telah banyak mengambil langkah pantas dan diplomatik dengan membawa pulang rakyat Malaysia yang sedang ditahan di sana.

Dalam perkembangan yang sama, lain pula nada PDRM di 999 TV3 tadi. Menurut jurucakap PDRM, ada di kalangan individu yang mendakwa mereka ‘ditipu’ ini sebenarnya tidak ditipu pun. Sebaliknya, ramai dari kalangan mereka sebenarnya terlibat dalam jenayah penipuan dan sedang diburu di sana. Tak kurang juga ada individu yang sedang ditahan di sana dan dipaksa bekerja sebenarnya terdiri daripada mereka yang kalah judi dan juga mereka yang tidak melangsaikan hutang.

Apabila siasatan dan serbuan dilakukan bersama pihak kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan, barulah terbongkar rahsia sebenar penahanan mereka. Walaupun sedemikian, individu-individu ini tetap dibawa pulang atas faktor diplomatik dan undang-undang buruh yang menetapkan menjadi kesalahan sekiranya pekerja ditahan secara paksa.

Tambah PDRM lagi, ada juga individu-individu yang dibawa pulang ini pergi semula ke Myanmar untuk meneruskan aktiviti lama mereka kerana telah biasa dengan keadaan di sana. Pergerakan mereka telah dikesan melalui kerjasama dan risikan bersama PDRM dan Jabatan Imigresen Malaysia. Mereka yang dibawa pulang juga akan diperhatikan dengan ketat oleh pihak PDRM sepanjang tempoh mereka berada semula di Malaysia. Faktor desakan dan emosi ahli keluarga dijadikan alat untuk mengugut keluarga dan rakyat di Malaysia untuk menyalurkan bantuan sekaligus mendapatkan wang mudah.

Pihak PDRM menasihati pengguna media sosial supaya berhati-hati dalam menerima dan membaca maklumat di internet. Kebanyakan dakwaan dipaksa menjadi buruh paksa ini tersebar di media sosial tanpa sumber dan maklumat yang sah. Kerajaan Malaysia menerusi PDRM dan pihak berkuasa Myanmar dan Kemboja sentiasa berkongsi maklumat dan siasatan pemerdagangan orang dari semasa ke semasa untuk membanteras sebarang jenayah rentas sempadan.

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x