Cicak Man 3 : Sebuah Filem Yang Epik, Dengan Kegagalan

Pada mulanya saya enggan lagi untuk menulis tentang filem ini. Ianya sudah lama berlalu. Ia juga sudah lama mengutip hasil yang berjuta-juta. Errr.. ye ke? Walaupun tidak kedengaran lagi seperti filem-filem sebelumnya (Cicak Man, Cicak Man 2) yang berjaya dengan kutipan jutaan Ringgit, saya yakin filem ini tidak kurang hebat kutipannya.

Namun, bukan berkenaan hasil kutipan yang ingin saya kupaskan. Tetapi ia adalah berkenaan dengan pengarah-pengarah filem berstatus jutawan, yang mengarah filem berstatus syok sendiri. Biarpun ia telah ditayangkan beberapa minggu sebelum, tetapi apabila melihat ia ditayang semula melalui Astro First, ia menyebabkan saya terpanggil jua untuk menulis.

Oh, ia adalah hakikat, jadi mohon terima dengan penuh lapang dada. Ia adalah sebuah filem gagal, dari setiap sudut.

Cicak Man 3 dikatakan ‘lebih dekat dengan realiti’. Jadi apa yang mereka lakukan untuk membuktikan ia? Mereka tukar kostumnya. Lihat saja perbezaan kostum yang digunakan oleh Saiful Apek (atau stunt double beliau). Lihat pula pada kostum yang dipakai oleh Zizan Razak. Hmmm.. realitinya kostum yang digunapakai oleh Zizan kelihatan sangat… murah, dan mungkin pada tafsiran pengarah, ‘murah itu lebih dekat dengan realiti’.

Saya tidak pasti apakah bentuk realiti yang cuba ditonjolkan sebenarnya dalam filem ini. Semuanya tampak samar-samar belaka. Khususnya untuk reka bentuk ‘Super Bro’ yang nampak terlalu bodoh dan tidak matang. Meskipun filem ini bergenre superhero komedi, tetapi watak jahat tidak semestinya perlu nampak sebegitu rupa. Dengan kemasan kepala yang terlalu besar, terdapat butang On/Off di tengah dada. selain bentuk fizikal yang nampak terlalu tidak kena pada tempatnya.

Mungkin pengarah hendak tonjolkan ‘realiti’ itu adalah dalam bentuk jalan cerita kehidupan, namun mereka terlupa tidak ada apa yang salahnya dengan jalan cerita Cicak Man dan Cicak Man 2, walaupun ia agak cliche akan bagaimana Hairi mendapatkan kuasa luar biasanya, iaitu melalui seekor cicak yang telah dilakukan eksperiman terhadapnya, di dalam sebuah makmal. Hmmm, lebih kurang macam SpiderMan.

Sebut tentang cliche, babak-babak pertempuran antara Cicak Man dengan kumpulan Belalang Kunyit (betul kot) disebabkan mereka mengganggu seorang wanita adalah babak yang sudah terlalu kerap digunakan dalam filem-filem. Tak boleh fikirkan babak yang lain ke macam mana? Kalau geng yang jahat, mesti kacau perempuan, kemudian mesti datang superhero untuk selamatkan, gitu..
Itu belum sebut mengenai Super Bro yang entah-hapa-hapa-entah. Dari awal lagi saya sudah dapat mengagak siapakah dalang disebalik kostum tersebut, dan ini ialah kegagalan yang paling nyata. 

Beralih kepada CGI/animasi, sebenarnya inilah ‘selling point’ untuk filem ini, selain genre komedi yang sepertimana kita semua sedia maklum, sangat digemari oleh sekalian rakyat Malaysia. Walaubagaimanapun, ‘selling point’ ini juga salah satu perkara yang paling gagal, kerana boleh dikatakan semua CGI dalam filem ini tampak seperti ‘tak siap’. Tengok babak penampilan Mahkamah Metrofulus cukuplah. Waktu pertama kali melihatnya, perkara yang terlintas dalam fikiran ialah “Adakah aku sedang menonton filem animasi Keluang Man?”.

Tidak, kita semua sepatutnya memang tidak boleh nak berbangga dengan hasil akhir filem ini oleh kerana CGI-nya. Ia menjadi bahan ketawa orang luar negara, dan ia sememangnya dinanti untuk diketawakan sejak keluarnya filem Vikingdom lagi. Apabila Vikingdom keluar, ia dikatakan sebagai ‘rip-off’ filem Thor yang paling teruk pernah diarahkan.

KRU sebenarnya berharap Cicak Man 3 boleh jadi seperti filem Adnan Sempit. Adnan Sempit adalah filem yang berjaya kerana pada waktu itu eksperimen Ahmad Idham dengan menyuntik elemen komedi rempit yang ternyata lebih dekat dengan realiti masyarakat marhaen telah pun berjaya menambat hati penonton untuk datang ke panggung wayang.

Adnan Sempit adalah sebuah eksperimen aksi komedi, manakala Cicak Man 3 juga dalam genre yang sama, namun dengan suntikan elemen CGI sebagai penambah perisa. Malangnya ia tidak berjaya seperti Adnan Sempit, kerana meskipun Adnan Sempit itu filem santai, ia tidak bersembunyi dalam ‘harapan’ bahawa masyarakat akan datang menonton kerana CGI atau yang seumpama dengannya. Mereka datang kerana ingin dihiburkan. Pada saya Cicak Man 3 pula hanyalah bergantung harap kepada CGI untuk menghiburkan penonton, dan kita tahu CGI bukan ciri paling hebat dalam filem ini.

Hendak ulas mengenai jalan cerita pula? Oh tak perlulah. Satu perkataan sahaja yang sesuai untuknya, iaitu ‘muak’.

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

spot_imgspot_img