Tuesday, 11 November 2025
spot_imgspot_imgspot_imgspot_img
Utama Blog Laman 51

Malware Android Baharu Ini Mampu Mencuri Maklumat Perbankan Anda

0

Awal bulan ini, para pengkaji keselamatan siber daripada ThreatFabric menemui satu trojan baharu pada platform Android. Mereka menamakannya sebagai Xenomorph atas hubungannya dengan malware Alien, yang mula menjangkiti peranti Android sekitar tahun 2020.

Meskipun kodnya hampir menyerupai Alien, Xenomorph mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Pada ketika ini, dikatakan terdapat lebih daripada 50,000 pengguna Android yang telah pun memasang aplikasi hasad tersebut. Pelaku ancaman yang mengendalikannya menyasarkan pengguna 56 perkhidmatan perbankan berbeza di Eropah.

Menurut ThreatFabric, Xenomorph masih lagi dalam pembangunan, namun ia berkemampuan untuk menyebabkan ancaman nyata. Malware itu menggunakan kaedah serangan ‘overlay’ untuk mencuri butiran log masuk bagi aplikasi perbankan. Ia juga mampu memintas mesej teks dan notifikasi untuk memantau dan menggunakan token 2FA. Xenomorph turut direka agar dapat dijadikan ‘berskala’ dan boleh dikemas kini.

Maklumat yang disimpan oleh keupayaan pengelogan perisian hasad ini sangat luas. Jika maklumat itu dihantar kembali ke pelayan C2 (command-and-control server), ia boleh digunakan untuk melaksanakan pengelogan kekunci (keylogging), mengumpul data tingkah laku pada mangsa dan pada aplikasi yang dipasang, meskipun ia bukan sebahagian daripada senarai sasaran.

Pun begitu, seperti kebanyakan perisian hasad aplikasi perbankan lain, Xenomorph bergantung pada pengguna yang memberikannya akses kepada peranti mereka. Sebaik sahaja ia menjangkiti peranti, perisian hasad ini akan meminta keistimewaan/kebenaran ke atas ‘Accessibility Service’. Jika ia mendapat keistimewaan tersebut, ia boleh mengelog semua perkara yang berlaku pada peranti.

Buat masa ini, Xenomorph telah menyasarkan pengguna di Sepanyol, Portugal, Itali dan Belgium.

Sumber: Threatpost

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Pengurus Kata Laluan Chrome Akan Menjadi Semakin ‘Canggih’

0

Saya dah berpesan banyak kali juga pada anda semua, supaya manfaatkan sepenuhnya aplikasi pengurus kata laluan. Bukan apa, di zaman rakyat lebih banyak memakan semut sebab harga roti canai dah semakin mahal akibat kekurangan telur, daya ingatan kita semakin lemah. Pengurus kata laluan ialah satu medium paling ampuh dalam membantu kita ‘mengingati’ setiap kata laluan yang pernah dibuat.

Kalau setakat awak buat kata laluan ‘abdc12345’ ke atas setiap laman web yang awak masuk, maka tak payah mengada sangatlah nak cari aplikasi pengurus kata laluan paling mantap.

Saya bukan pengguna Google Chrome yang tegar, kerana pelayar web utama saya ialah Brave, diikuti oleh Microsoft Edge dan Firefox. Tetapi Chrome juga perlu digunakan pada masa tertentu, dengan menggunakan kaedah ‘pengasingan pelayar web’ (itu kita akan cuba bicarakan di masa akan datang).

Menyebut mengenai Chrome dan pengurus kata laluannya, cara paling mudah mengakses ialah dengan membuka pautan: https://passwords.google.com/.

Menggunakan pengurus kata laluan Chrome ialah cara paling mudah dan ‘murah’ (kerana ia percuma). Apabila pengguna melawati mana-mana laman web dan perlu menyimpan kata laluan yang dibuat, Chrome akan secara automatik mengeluarkan popup kecil di atas kawasan omnibar untuk menawarkan kepada pengguna supaya ia disimpan olehnya.

Tetapi selepas ini sekiranya popup itu tidak keluar sekalipun, anda masih boleh menyimpan kata laluan secara manual ke dalam Chrome tanpa perlu melawati laman web terlebih dahulu.

Penemuan ini dibuat oleh Redditor u/Leopeva64-2 yang mendapati ciri ini berfungsi dalam Chrome Canary. Sejak itu, ciri tersebut telah pun tersedia dalam versi Chrome yang stabil, tetapi ia masih berada di belakang ‘flags’ yang perlu anda hidupkan secara manual melalui:

chrome://flags/#add-passwords-in-settings

 

Ia tidak terhenti setakat itu sahaja. Nampaknya lebih banyak pembangunan sedang dilakukan untuk ciri berkenaan, kerana Redditor yang sama kini menunjukkan bahawa dalam Chrome Canary versi 101 terdapat medan baharu di mana anda boleh menambah nota sambil menyimpan kata laluan.

Ini boleh menjadi satu ciri yang sangat membantu jika anda ingin menyimpan maklumat tambahan seperti soalan keselamatan dan jawapan yang anda gunakan untuk laman web tersebut, atau medan log masuk ketiga seperti nombor rujukan yang biasanya tidak dapat ‘ditangkap’ oleh Chrome. Medan yang sama ini juga akan tersedia pada kata laluan yang telah anda simpan.

Tidak jelas sama ada medan nota ini akan dienkripsi dengan cara yang sama seperti nama pengguna dan kata laluan anda pada masa ini. Memandangkan ini adalah ciri percubaan, pada masa ini tiada dokumentasi bantuan mengenainya.

Sesiapa yang berminat, bolehlah memasang Chrome Canary ya, manakala jika setakat hendak mencuba ciri untuk menambah kata laluan dalam pengurus kata laluan Chrome, aktifkan sahaja ‘flags’ di atas.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Penternak Lebah Menggunakan Peranti Pengesan Untuk Melindungi Sarangnya

0

Selama beberapa minggu, penternak lebah dari sekitar Amerika Syarikat mengangkut berbilion-bilion lebah madu ke California untuk menyewakannya kepada penanam badam yang memerlukan serangga itu untuk mendebungakan tanaman.

Tetapi apabila pokok badam mula mekar, kecurian sarang lebah telah menjadi sangat berleluasa sehingga penternak lebah kini beralih kepada peranti pengesan GPS, kamera pengawasan dan teknologi anti-kecurian lain untuk melindungi koloni berharga mereka.

Kecurian sarang lebah juga telah dilaporkan di tempat lain di negara tersebut, yang mana terbaru, tiga sarang yang mengandungi kira-kira 60,000 lebah diambil dari taman rantaian runcit di tengah Pennsylvania. Ia berlaku pada skala yang lebih besar dan unik di California pada tahun ini kerana lebah paling mendapat permintaan semasa berlakunya proses pendebungaan terbesar di dunia.

Dalam beberapa minggu lalu, 1,036 sarang lebah bernilai ratusan ribu dolar dilaporkan dicuri dari kebun di seluruh negeri. Rompakan terbesar melibatkan 384 sarang lebah diambil dari ladang di Mendocino County, mendorong persatuan penternak lebah negeri menawarkan ganjaran $10,000 untuk maklumat yang membawa kepada kembalinya sarang lebah itu kepada mereka.

Seorang penternak, Helio Medina berkata, kecurian itu memusnahkan apiarinya, jadi tahun ini dia berusaha meletakkan penjejak GPS di dalam kotak. Dia juga mengikat kunci kabel di sekelilingnya dan memasang kamera di kawasan berdekatan. Apabila bunga badam mula mekar dan sarang menjadi aset ‘panas’, Medina mula memandu di sekitar kebun buah-buahan dalam suasana gelap.

Kecurian biasanya berlaku pada waktu malam, apabila tiada sesiapa berada di kebun dan lebah kembali ke sarangnya. Pencuri biasanya seorang penternak lebah atau seseorang yang biasa dengan pengangkutan lebah.

Ada penternak lebah ke daripada kalangan pembaca kami?

Via: AP News

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Surfshark Nexus: Ciri Baharu Menambah Baik Sekuriti Dan Privasi Pengguna

0

Surfshark telah mengumumkan kemas kini terhadap perkhidmatan VPN mereka yang direka untuk menambah baik tahap sekuriti dan privasi pengguna.

Nexus ialah teknologi rangkaian ditakrifkan oleh perisian, yang menghubungkan pengguna ke seluruh rangkaian pelayan sebelum menghalakan mereka ke lokasi pilihan. Ini berbeza daripada beberapa perkhidmatan lain, yang hanya menghubungkan pengguna ke pelayan tunggal.

Matlamat Nexus ialah untuk meningkatkan privasi dalam talian dengan membenarkan pengguna menukar alamat IP dalam rangkaian tanpa perlu memutuskan sambungan kepada VPN, serta mempercepat dan menstabilkan sambungan sama ada di peringkat lokal atau antarabangsa.

VPN tradisional bersambung melalui terowong langsung (direct tunnel), yang membawa beberapa isu seperti alamat IP yang ditetapkan kekal sama. Jadi, sementara alamat IP sebenar disembunyikan, aktiviti pengguna masih terikat pada satu alamat IP sahaja. Sekiranya informasi ini dikumpul, kemungkinan untuk mengenal pasti siapakah gerangan pengguna itu ada.

Sambungan secara langsung juga mempunyai isu mengenai kelajuan dan kestabilan, terutamanya jika pengguna bersambung ke rangkaian di negara lain, dan ia juga bermakna sebarang gangguan pada rangkaian boleh menyebabkan terputusnya sambungan, yang berpotensi mendedahkan aktiviti peribadi.

Nexus bersedia terhadap isu ini dengan membawa beberapa ciri baharu kepada Surfshark yang dikatakan dapat menanganinya. Ini termasuklah ciri ‘IP Rotator’, yang direka untuk menyelesaikan isu kebimbangan privasi apabila alamat IP yang sama digunakan pada VPN untuk masa yang lama.

IP Rotator ini menukar alamat IP secara berkala tanpa perlu memutuskan sambungan daripada VPN. Pengguna boleh memilih cara IP diputarkan, menyatakan lokasi tertentu, negara, wilayah, bahkan secara global.

Nexus juga akan menyediakan alamat IP rawak (IP randomizer) bertujuan menyembunyikan corak pelayaran web yang apabila aktif, akan dapat memberikan peranti alamat IP baharu setiap kali laman web baharu atau sumber di internet yang lain dilawati.

Selain itu, pengguna dapat memanfaatkan ciri Dynamic Multihop, yang membolehkan mereka memilih lokasi masuk dan keluar mereka sendiri. Menurut Surfshark, semua ciri ini akan membolehkan pengguna memperoleh pengalaman kelajuan, sambungan, dan prestasi VPN yang lebih baik.

Ciri IP Rotator sudah pun tersedia dalam klien, baik untuk desktop mahupun mobil. Ia boleh diakses pada nama ‘Rotating IP’ dalam tetapan ‘Advanced’. Ciri-ciri lain pula akan dilancarkan secara beransur-ansur sepanjang tahun 2022 hingga 2023.

Sumber: Surfshark Nexus: a cutting-edge technology to change VPNs

Anda boleh melanggan Surfshark beserta diskaun sebanyak 81% dengan menggunakan pautan berikut:

Surfshark VPN + 81% Discount

*Kalau nak mudah dan jimat, cari rakan untuk berkongsi akaun. Buat satu group WhatsApp, kumpul 10 orang. Siap.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Bilakah The Batman Akan Berada Dalam Perkhidmatan Penstriman?

0

Kita sudah menanti terlalu lama, tetapi kini sudah hampir tiba masanya untuk kita pergi menonton filem ‘The Batman’, dalam gambaran terbaru superhero bertemakan kelawar ini.

Versi yang dibintangi oleh Robert Pattinson sebagai Bruce Wayne, dan Zoë Kravitz sebagai Selyna Kyle, akan mencipta sebuah ‘bat universe’ baharu. Filem diarahkan oleh Matt Reeves, dan muzik pula oleh Michael Giacchino.

Jalan cerita kali ini akan menampilkan Bruce Wayne pada tahun kedua misinya sebagai ‘Caped Crusader’ Gotham. Garis masa perjalanan filem dikatakan hanya dalam tempoh seminggu sahaja, kerana Wayne berusaha menghentikan The Riddler (lakonan Paul Dano) sebelum cubaannya membunuh lebih ramai orang.

Wayne akan mendapat bantuan daripada Selyna/Catwoman, dan Detektif James Gordon (lJeffrey Wright). Ancaman tidak hanya datang daripada The Riddler, tetapi juga The Penguin (Colin Farrel) dan Carmine Falcone (lJohn Turturro) yang akan mempunyai kaitan dengan jenayah di bandar tersebut.

The Batman akan ditayangkan di pawagam bermula pada 4 Mac 2022. Apa yang menggembirakan, ia tidak akan memerlukan masa yang lama sebelum ia dapat memasuki perkhidmatan penstriman. Filem ini akan tersedia di HBO Max hanya 45 hari selepas tarikh tayangan di pawagam (18 April).

The Batman, dalam penampilan kali ini dikatakan akan mempunyai suasana dan jalan cerita yang lebih ‘gelap’ berbanding versi sebelumnya.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Cara Pemasangan Chrome OS Flex Pada Peranti Windows Atau Mac

0

Disebabkan ramai juga yang meminta, maka saya kongsi sedikit bagaimana cara untuk memasang Chrome OS Flex.

Suka untuk saya ingatkan, Chrome OS Flex bukan untuk semua orang. Jika peranti anda sememangnya sudah sedia bagus bersama dengan Windows atau MacOS, maka kekalkan saja sistem operasi itu.

Pada saya, Chrome OS Flex sesuai diguna untuk ‘menghidupkan’ semula laptop atau komputer yang dah ditelan zaman. Kalau anda berminat nak mencuba sesuatu yang baru, itu saya tak boleh nak halang, terpulang kepada anda.

Pemasangannya adalah sama sahaja sepertimana anda memasang distro Linux. Boot melalui pendrive, dan pilih sahaja untuk memasang ia terus ke pemacu yang ada.

Harus diingatkan bahawa pemasangan ini akan memadam sistem operasi sedia ada. Tidak terdapat pilihan untuk membuat ‘dual boot’, maka sila pastikan pemacu yang anda gunakan itu kosong atau sememangnya ingin anda ‘padamkan’.

Sekarang, anda mungkin serba sedikit sudah faham bagaimana ‘perjalanan’ pemasangannya, paling penting sekali ialah bagaimana cara untuk memasangnya ke dalam pemacu USB sebagai medium. Ikut sahaja kaedahnya seperti berikut:

1. Pasang Chromebook Utility Tool pada pelayar web (haruslah berasaskan Chromium, seperti Google Chrome, Brave, Microsoft Edge, dan sebagainya lagi).

>>> Chromebook Utility Tool

2. Klik pada extension Chromebook Utility Tool tersebut untuk mulakan pemasangan. Proses ini dijalankan terus secara atas talian ya. Oleh itu, sila pastikan anda mempunyai sambungan internet yang baik.

3. Seterusnya, klik pada pilihan ‘Select a model from a list’ > Select a manufacturer > pilih Chrome OS Flex. Pada pilihan ‘Select a product’ klik saja nama versi Chrome OS Flex yang keluar – Chrome OS Flex (Developer-Unstable), dan klik Continue.

4. Pastikan anda sudah memasukkan pemacu USB ke port yang ada, dan teruskan pemasangan. Saiznya haruslah 8GB ke atas.

5. Sekarang, tunggu sahaja proses ini selesai. Sekiranya ada diminta oleh Windows untuk menjalankan extension, klik sahaja butang untuk membenarkannya.

6. Akhir sekali, boot menggunakan pemacu USB ini.

7. Anda akan terus memasuki persekitaran Chrome OS Flex. Ikut dan masukkan sahaja butiran yang diminta sehingga selesai.

Selamat mencuba.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Chrome OS Flex: Apa Kelebihannya?

0

Saya ada kongsikan mengenai bagaimana caranya untuk anda menukarkan komputer atau laptop lama kepada Chromebook dengan memasang Chrome OS Flex di: Ada Laptop Lama? Tukarkan Ia Kepada Chromebook.

Terus terang kata, Chrome OS Flex berjaya menambat hati saya untuk terus menggunakannya. Komputer dengan spesifikasi lama masih dapat bernyawa dengan adanya sistem operasi ini dipasangkan padanya.

Jika Chrome OS dari saluran ‘biasa’ hanya dapat dinikmati pada peranti Chromebook, Chrome OS Flex pula dapat diakses oleh sesiapa sahaja. Anda pengguna Windows? Mac? Tak kisah. Asalkan ada peranti yang boleh ditukar menjadi ‘Chromebook’, anda adalah calon penggunanya.

Seperti cara Chrome OS beroperasi, Chrome OS Flex adalah berdasarkan teknologi awan, bermakna sebarang proses tugas berat tidak akan berlaku pada perkakasan lokal peranti anda. Oleh itu, secara tidak langsung ia menafikan keperluan untuk spesifikasi sederhana hingga tinggi ke atas komputer.

Keseluruhan idea ini telah lahir daripada satu lagi sistem operasi terkenal yang dipanggil sebagai CloudReady. Sebelum ini, berada di bawah pemilikan sebuah syarikat bernama Neverware. Walau bagaimanapun pada tahun 2020, taikun teknologi Google membeli Neverware dan kini menjadi pemilik kepada jenama tersebut. Selepas Google menyediakan versi stabil pertama sistem operasi, semua pengguna CloudReady semasa secara automatik layak untuk menerima naik taraf percuma kepada Chrome OS Flex.

Chrome OS Flex tidak memerlukan sebarang kos. Ia adalah percuma dan dapat dipasang pada peranti Windows dan Macbook. Konsep ini pada dasarnya akan menghapuskan keperluan jabatan IT dari pelbagai sektor untuk mengalihkan perkakasan mereka dengan melalui banyak usaha dan membelanjakan banyak wang sekiranya mereka ingin beralih ke Chrome OS Flex.

Selain itu, Google tidak lama lagi akan mengeluarkan senarai komprehensif peranti yang disahkan (verified devices), yang akan terus mendapat sokongan aktif daripada pembangun. Bagaimanapun, anda masih boleh memasang Chrome OS Flex pada mana-mana peranti yang anda miliki, sama ada dalam senarai peranti yang disahkan/diperakui atau tidak.

Berdasarkan kod sumber Chromium OS, pengguna boleh mengharapkan tahap prestasi yang sama dalam kelajuan dan kebolehpercayaan seperti Chrome OS – ada pada Chrome OS Flex. Sistem operasi ini akan menjadikan komputer riba anda serba baru semula dan membolehkan anda menggunakannya dengan nafas baharu sekali lagi. Salah satu kelebihan terbesar Chrome OS ialah kelajuannya, dan ini sudah pasti diwarisi oleh Chrome OS Flex.

Bagaimana pula dengan tahap sekuriti?

Memandangkan Chrome OS Flex bakal menyertai keluarga OS Chrome, anda boleh mengharapkan kemas kini yang konsisten dan rutin yang tidak berbelah bahagi daripada Google dalam hal itu. Walau bagaimanapun, tumpuan daripada pembangun kekal pada tampalan keselamatan (security patches) untuk Chrome OS Flex, memberikan keselamatan proaktif terhadap ancaman terbaru.

Jika dirujuk pada pengumuman Google minggu lepas, anda boleh lupakan tentang keperluan untuk memasang sebarang perisian antivirus di peranti anda.

Rujukan: Google Cloud

Beberapa ciri keselamatan Chrome OS yang paling mantap (dan kini Chrome OS Flex) adalah termasuk mekanisme sistem ‘read-only’ dan pelaksanaan ‘sandbox’ yang tidak membenarkan perisian hasad ‘mengganas’ dan melintasi aplikasi serta fail sistem lain. Anda juga boleh menggunakan Enhanced Safe Browsing pada peranti Chrome OS Flex, yang menghalang anda daripada terperangkap oleh laman web dipenuhi perisian hasad di Internet.

“With Chrome OS Flex, there’s no need for antivirus software.”

Saya ucapkan, selamat menggunakan Chrome OS Flex kepada semua.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Ada Laptop Lama? Tukarkan Ia Kepada Chromebook

0

Tidak dapat dinafikan, Windows 11 membawakan pembaharuan yang signifikan terutamanya pada paparan antara muka pengguna. Namun begitu, setiap penambahbaikan pasti ada ‘pengorbanan’ yang perlu dilakukan. Windows 11 menuntut spesifikasi lebih baik, dan ini bermaksud laptop lama mungkin hanya akan ‘bersemadi’ bersama sistem operasi yang sudah ketinggalan.

Tetapi, bagaimana jika ada cara lain untuk ‘menghidupkan’ semula laptop lama itu? Tidak, saya tidak bercakap mengenai Linux, kerana selepas bertahun-tahun menulis tentang Linux, mereka yang berjaya memanfaatkannya boleh dibilang melalui jari kaki. “Ade ler seco’et,” bak kata orang Perak.

Hari ini saya nak memperkenalkan kepada anda – Chrome OS Flex.

Versi baharu Chrome OS ini boleh dipasang pada mana-mana PC atau Mac, dan Google percaya bahawa ia mampu memberi nafas baru pada komputer atau laptop lama yang anda gunakan dalam urusan seharian.

Minggu lepas, Google telah melancarkan Chrome OS Flex, dan ia boleh dimuat turun serta dicuba menerusi ‘live USB’. Ya, sama saja sepertimana ketika anda hendak mencuba Linux secara ‘live’ USB’. Ini membenarkan bakal pengguna untuk merasai terlebih dahulu bagaimana rupa serta reka bentuk sistem operasi ini, berbanding Windows yang memerlukan pengguna terus memasangnya pada peranti.

Apa antara kekuatan atau faedahnya apabila anda menggunakan Chrome OS Flex ini:

– Laptop akan dapat boot dengan cepat, manakala sistem operasi itu pula akan membuat kemas kini di belakang tabir.
– Aplikasi Google, contohnya YouTube, Chrome, Docs, Sheets, adalah terintegrasi dengan lebih baik.
– Pengguna iCloud boleh membuat pelarasan (sync) akan tersebut dalam Chrome OS Flex.
– Ia juga boleh menyekat fail ‘executable’ daripada dijalankan (fungsi sekuriti).

Disebabkan sistem operasi ini adalah berasaskan teknologi awan (cloud base OS), anda semestinya memerlukan internet yang baik. Jika anda rasa Chrome OS Flex mampu memberi apa yang anda inginkan pada sesebuah sistem operasi, anda boleh muat turun pada pautan ini: Chrome OS Flex

Oh ya, apa yang paling penting ialah ianya percuma.

*Masukkan butiran terlebih dahulu, kemudian anda ikut sahaja panduan yang diberikan.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Vivo Sedang Membangunkan Telefon Beserta Kamera Boleh Terbang

0

Pembangunan telefon pintar ni, pada abam dah menghampiri sudut puncaknya apabila peranti mercu terbaru pun hampir sahaja mengulangi apa yang sudah sedia ada ditawarkan pada model semasa. Bahasa mudah yang lain, pembangunan sudah pun tepu.

Kalau ada pun penambahbaikan – mungkin pada teknologi pengecasan pantas dan semestinya kamera. Kalau bab chipset, nampaknya kita betul² perlu menantikan peranti baharu yang mampu menangani masalah haba dengan lebih berkesan.

Jika tidak, semuanya bagaikan seterika kayangan, maklum saja harganya tidak murah belaka.

Menyentuh mengenai kamera, diberitakan bahawa vivo sedang cuba membangunkan kamera yang mampu terbang keluar dari telefon pintar. Ini berikutan telefon pintar mereka sebelumnya sudah pun dilengkapi dengan sistem gimbal mikro yang dapat merakamkan video ultra-stabil tanpa memerlukan gimbal luaran.

Dikatakan lagi, Vivo sedang membangunkan kamera dengan keupayaan seperti dron. Ia mungkin akan ‘tertanggal keluar’ dari telefon pintar dan melayang di udara untuk mengambil gambar di udara atau merakamkan video.

Menurut laporan, Vivo akan mendapatkan paten untuk telefon pintar itu dengan Pejabat Harta Intelek Dunia (World Intellectual Property Office) pada Disember 2020. Seperti biasa di ruang maya internet, lakaran telefon Vivo yang dikhabarkan dengan kamera terbang telah pun tersebar (anda boleh rujuk pada gambar yang abam muat naik).

Lets Go Digital adalah antara yang mula² mengeluarkan lakaran (digital sketch) tersebut pada tahun lepas. Ia menggambarkan sebuah telefon pintar yang mempunyai ruang (compartment) yang boleh ditarik keluar di bahagian tepinya.

Bekas yang menyimpan kamera tersebut mengandungi empat baling² (propellers) yang membolehkannya untuk terbang ke udara, siap beserta bateri terbina dalaman.

Untuk mengelakkan perlanggaran semasa terbang di udara, ia mempunyai dua kamera dan tiga sensor inframerah. Kamera pertama digunakan untuk menangkap pandangan udara hadapan, manakala kamera kedua diletakkan untuk merakam rakaman dari bawah. Menurut paten, ruang kamera itu boleh dikeluarkan sepenuhnya dari telefon pintar.

Kerana ia akan diletakkan di dalam telefon pintar, kamera terbang itu dijangka agak kecil. Walau bagaimanapun, paten tidak menjamin bahawa pengeluar akan mengeluarkan telefon seperti ini. Pengeluar telefon pintar mengemukakan sejumlah besar paten, tetapi hanya sebilangan kecil daripadanya dikomersialkan.

Kita seperti biasa, kalangan mana yang marhaen makan gaji ni, lepak tepi saja sambil kunyah kuaci (popcorn mahal). Kalau keluar, doa sajalah semoga tangan kita dapat merasa mengendalikannya.

Via: Bolnews

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

SonicBit: Seedbox Percuma Untuk Kegunaan Harian Anda

0

Biasanya saya guna kombinasi antara Seedr, Gettorrent, dan ZbigZ kerana semuanya percuma. Tetapi sama seperti kebanyakan seedbox percuma lain, ruangan storan adalah terhad, dan selalunya saiz diberi adalah 2GB.

Kali ni saya nak kongsi satu seedbox yang juga percuma, tetapi ruangan storan diberikan ialah 4GB. Seedbox itu bernama SonicBit. Ya, apa salahnya kita tambahkan lagi ‘koleksi’ seedbox percuma, kan?

Selain ruang yang lebih besar, kelajuan muat turun juga (setakat penggunaan harian saya) tidak disekat. Kalau plan internet anda berkelajuan 30Mbps, 30Mbps lah yang anda akan dapat. Kalau 100, 100 lah.

Tapi paling penting, kalau anda hendak naik taraf akaun kepada langganan premium sekalipun, harganya tidak mahal. Bermula dari plan 20GB ruang storan, anda hanya perlu membayar sebanyak $2.15 sahaja (RM9), manakala plan lain pun tidak akan mengoyakkan poket anda. Anda boleh rujuk sendiri plan di tab ‘Upgrade’.

Ia juga menyokong ciri lain seperti Cloud Transfer (Remote Upload) yang membenarkan kita untuk memindahkan fail ke perkhidmatan penyimpanan fail yang lain seperti Mega, pCloud, Google Drive, dan lain-lain.

Ehh senang cerita, kalau berminat, bolehlah daftar akaun anda di pautan: SonicBit

Views: 2

Iklan Newspaper Inline