Tuesday, 11 November 2025
spot_imgspot_imgspot_imgspot_img
Utama Blog Laman 50

YouTube Vanced Dihentikan Pembangunannya Atas Sebab Undang-Undang

0

Meskipun aplikasi YouTube Vanced boleh digunakan untuk menyekat iklan, terdapat berbagai lagi ciri dan kegunaannya.

Saya adalah pengguna akaun YouTube Premium, tetapi Vanced agak menarik untuk digunakan sebagai medium YouTube. Kenapa? Ini kerana Vanced mampu melangkau intro/outro, sponsored segment, dan ‘annoying reminder’.

Namun, semuanya sudah berakhir. Pembangun YouTube Vanced mengeluarkan ciapan Twitter yang mengatakan bahawa pembangunan aplikasi itu telah pun ditamatkan.

Tetapi apakah sebabnya?

Pencipta kandungan sentiasa mendapati aplikasi ini boleh dipersoalkan dari segi etikanya.
Vanced memberi orang ramai (pengguna Android) cara yang tidak dibenarkan untuk menonton YouTube tanpa iklan dengan tidak melibatkan pembayaran langganan bulanan (RM17.90).

YouTube Premium memberikan potongan yuran bulanan itu kepada pencipta sebagai ganti hasil iklan.

Pada saluran Telegram mereka, pembangun mengatakan ia dilakukan atas sebab undang-undang. Tiada lagi pembangunan pada masa akan datang dan pautan muat turun dialih keluar dalam tempoh beberapa hari lagi.

R.I.P, YouTube Vanced.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Salinan Blu-ray Spider-Man: No Way Home Bocor

0

Salinan berkualiti tinggi Blu-ray untuk filem Spider-Man: No Way Home telah bocor di laman lanun cetak rompak lebih awal daripada tarikh pelancaran fizikalnya. Salinan tersebut datangnya daripada kumpulan EVO, iaitu kumpulan pencetak rompak yang terkenal.

EVO atau wakilnya tidak menyatakan dari mana mereka mendapatkan salinan versi Blu-ray ini, tetapi mereka menegaskan bahawa ia adalah asli dan ‘eksklusif’.

Sebelum ini pun, sudah berlegar di laman perlanunan salinan filem tersebut, tetapi hanya berkualiti ‘telesync’ atau bahasa lain baginya ‘HD Cam’. Begitu pun, sambutan terhadapnya tetap menggalakkan apabila ia menjadi salah satu filem yang ‘laris’ dicetak rompak walaupun salinan berkualiti rendah.

EVO nampaknya berjaya mendapatkan salinan Blu-ray asli lebih awal daripada tarikh rilisan. Disebabkan itu, salinan sama telah pun diubahsuai menjadi salinan tersendiri kumpulan lain, dengan Yify dan RARBG menduduki carta teratas.

Tidak pasti juga sama ada setiap kumpulan ini mendapatkan salinan dari sumber berbeza, tetapi mengetahui bagaimana lanun cetak rompak ‘bekerja’, tidak mungkinlah mereka bersusah-payah cuba mendapatkannya melalui sumber lain semata-mata hendak kelihatan ‘unik’.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Lelaki AS Yang Menerima Pemindahan Jantung Khinzir Pertama, Meninggal Dunia Selepas Dua Bulan

0

Hospital Maryland yang melakukan pembedahan itu mengumumkan pada hari Rabu, bahawa individu pertama yang menerima pemindahan jantung khinzir telah pun meninggal dunia.

David Bennett, 57, meninggal dunia pada hari Selasa di Pusat Perubatan Universiti Maryland. Doktor tidak memberikan punca sebenar kematian, dan hanya mengatakan bahawa keadaan mula merosot beberapa hari sebelumnya.

Bagaimanapun, anak lelaki Bennett memuji pihak hospital kerana menawarkan percubaan terakhir. Dia juga berharap usaha ini dapat membantu menamatkan isu kekurangan organ.

Pada mulanya jantung tersebut berfungsi dengan baik, dan hospital Maryland mengeluarkan kemas kini berkala bahawa Bennett tampak seperti beransur pulih. Bulan lalu, hospital mengeluarkan video Bennett sedang menonton Super Bowl dari katil hospital semasa melakukan aktiviti bersama ahli terapi fizikalnya.

Bennett berjaya bertahan lebih lama dengan jantung khinzir yang disunting gen, berbanding ‘Baby Fae’, bayi California yang hampir mati, tetapi hidup selama 21 hari dengan jantung babun pada tahun 1984.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Kajian Menunjukkan Semut Mempunyai Keupayaan Mengesan Kanser Pada Manusia

0
(Untitled)

Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis (CNRS) mendapati bahawa, spesies semut Formica fusca mempunyai deria bau yang baik.

Menerusi satu kajian yang telah dijalankan, semut berkenaan mempunyai keupayaan untuk menghidu sel kanser pada manusia. Ini sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa ia boleh digunakan sebagai medium diagnosis kanser pada masa hadapan.

Atas jasa deria bau mereka, semut-semut tersebut dapat membezakan sel-sel kanser daripada sel-sel sihat pada manusia. Pun begitu, lebih banyak ujian klinikal mesti dijalankan sebelum ia boleh digunakan dalam tetapan klinikal seperti hospital.

Pasukan penyelidik mencadangkan bahawa pada masa hadapan, semut boleh menjadi medium yang lebih baik daripada anjing apabila melibatkan kerja-kerja pencarian sel kanser.

Untuk menjalankan penyelidikan mereka, para saintis melakukan ujian dengan menggunakan 36 semut yang didedahkan kepada bauan sel di bawah persekitaran makmal.

Pertama sekali, mereka mendedahkan semut tersebut kepada bauan sampel sel kanser manusia, yang kemudiannya diberikan ‘ganjaran’ (treat/reward) berupa larutan gula.

Seterusnya, semut didedahkan kepada dua jenis bauan yang berbeza. Satu merupakan bauan baru, dan kedua ialah bauan sel-sel kanser. Selesai sahaja ujian ini, penyelidik mendedahkan semut kepada beberapa sel kanser yang berbeza.

Mereka mendapati bahawa semut mula membezakan antara sel kanser, sel sihat, dan juga di antara dua garis kanser berbeza.

Selepas menjalani ‘latihan’ ini, semut Formica fusca dapat mengesan sebatian organik meruap yang dipancarkan oleh sel kanser.

Penemuan kajian boleh dibaca di: iScience

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

YouTuber Rusia Berjaya Mencipta Lightsaber Boleh Laras Pertama Dunia

0

Seorang YouTuber di Rusia telah mencipta rekod dunia baharu apabila dia berjaya mencipta sebuah Lightsaber yang boleh dilaras pertama dunia. Ia menggunakan unsur plasma putih panas, yang boleh diaktifkan sehingga 30 saat pada satu-satu masa, dan dapat diguna pakai untuk memotong keluli.

Lightsaber tersebut pada kebanyakan bahagiannya adalah diperbuat daripada bahan terpakai/dibuang.

Pada Januari lalu, Guinness World Records mengiktiraf Alex Burkan, minda di sebalik lightsaber DIY untuk ciptaannya. Di saluran YouTube miliknya, penonton boleh menemui video-video yang memaparkan pelbagai ciptaannya. Ini termasuk penjana hidrogen, sut Iron Man, dan juga Lightsaber semestinya.

Lightsaber tersebut mampu menghasilkan ‘bilah’ plasma sepanjang tiga kaki yang boleh mencapai suhu melebihi 5072 darjah Fahrenheit. Komponen utama Lightsaber tersebut ialah electrolyser. Elektroliser merupakan peranti yang boleh menjana sejumlah besar hidrogen dan oksigen serta memampatkan gas kepada sebarang tekanan tanpa pemampat mekanikal.

Anda boleh tonton video bagaimana Burkan membina Lightsaber itu di: YouTube

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Twitter Melancarkan Perkhidmatan Di Sebalik Rangkaian Tor

0

Pagi Selasa lalu, Alec Muffet, seorang pakar keselamatan siber yang pernah bekerja bersama rangkaian Tor mengumumkan bahawa kini rangkaian itu sudah mempunyai alamat Twitternya sendiri.

Saya tak pasti kalau masih ada yang tak kenal dengan Tor, tetapi secara bahasa mudahnya, Tor berfungsi dengan cara menghantar trafik internet pengguna melalui beberapa pelayan rawak dan menyulitkan (encrypting) trafik tersebut.

Ini dapat menjadikan laman-laman web tidak dapat mengenalpasti identiti pengguna dan penyedia perkhidmatan internet tidak dapat melihat laman manakah yang sedang dilayari oleh penggunanya.

Sesiapa sahaja boleh melayari URL onion iaitu URL di mana Tor dapat berfungsi dengan menggunakan pelayar web Tor. Bersesuaian dengan pengumuman ini, Twitter kini mempunyai URL onion-nya sendiri dalam usaha memerangi sekatan.

Perkara ini timbul selepas Rusia dikatakan melakukan sekatan terhadap rakyatnya daripada dapat mengakses Twitter. Perkhidmatannya yang dapat digunakan melalui laman Tor akan membolehkan rakyat Rusia mengakses laman web Twitter dalam menghadapi sekatan kerajaan.

Sumber: Twitter

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

‘Teaser’ DC League of Super-Pets Mengesahkan Keanu Reeves Sebagai Batman

0

Sesiapa yang dah lama teringin nak lihat Keanu Reeves berlakon sebagai Batman, mungkin dah boleh hilangkan perasaan ‘mengidam’ itu apabila Reeves disahkan memegang watak sebagai superhero tersebut.

Tetapi ia bukan sepertimana Robert Pattinson beserta suit kelawar ikoniknya, namun dia akan meminjamkan suaranya sebagai Batman untuk filem DC League of Super-Pets. Reeves akan bergandingan dengan watak Ace yang dimainkan oleh Kevin Hart.

Tetapi bukan hanya Reeves sahaja yang memegang watak Batman di layar skrin besar pada tahun ini. Robert Pattinson memperkenalkan versi Batmannya yang tersendiri dalam filem The Batman. Ben Affleck pula dikatakan akan kembali sebagai Batman dalam filem The Flash, manakala filem itu juga membawa Michael Keaton menyarung semula suitnya apabila multiverse mula diteroka.

DC League of Super-Pets sepatutnya ditayangkan di pawagam pada 2021 tetapi telah ditangguhkan kerana pandemik. Ia kini ditetapkan untuk tayangan pada 20 Mei nanti.

“Batman works alone.. except for Robin, and Alfred, Commissioner Gordon, my IT crew, whoever Morgan Freeman played..” 😂

Teaser trailer DC League of Super-Pets boleh ditonton di: YouTube

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

SharkBot: Trojan Perbankan Android Yang Licik

0

Para penyelidik keselamatan di Cleafy menemui trojan perbankan ini sejak Oktober 2021. Ia dikatakan antara trojan yang unik dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan malware lain seperti Xenomorph dan TeaBot, malah ada pula beberapa fungsi yang sangat canggih lagi berbahaya.

Antaranya ialah seperti Automatic Transfer System (ATS). Sistem ini membolehkan penyerang mengalihkan wang secara automatik daripada akaun mangsa tanpa memerlukan penglibatan manusia.

Kemudian, seperti yang ditemui oleh penyelidik keselamatan IT Britain, terdapat SharkBot yang telah dikemaskini dan bersembunyi tanpa dikesan dalam aplikasi ‘antivirus’ di Google Play Store.

Aplikasi hasad tersebut berfungsi dengan kaedah beberapa lapisan persembunyian. Salah satu lapisan bertindak menyamar sebagai antivirus, manakala lapisan kedua pula sebagai aplikasi SharkBot yang telah dikecilkan skalanya. Apabila ia dikemaskini, ia akan memuat turun versi penuh aplikasi hasad itu, lalu fungsinya akan berkembang sesuai dengan apa yang telah dikodkan.

Menurut penyelidik NCC Group, SharkBot boleh melakukan serangan ‘overlay’, sebaik sahaja ia dapat mengesan aplikasi perbankan diaktifkan. Ia akan mula mengeluarkan paparan yang kelihatan seperti antara muka aplikasi bank berkenaan, bertindak selaku pencuri log masuk anda.

Tidak lupa juga program ini mengaktifkan keylogger yang menghantar apa sahaja yang ditaip oleh anda ke pelayan penyerang. Ia turut memintas mesej SMS, dan dapat pula menyembunyikannya. Selain itu, SharkBot dapat merampas notifikasi masuk dan menghantar mesej palsu yang berasal dari pelayan c2 penyerang.

Apabila diteliti, peranti seakan menjadi milik pengendali aplikasi hasad itu sepenuhnya, melainkan anda segera menyahpasang aplikasi palsu ‘Antivirus, Super Cleaner’ tersebut, dan lakukan ‘factory reset’ untuk memastikan tiada sisa SharkBot di dalam sistem operasi.

Sumber: Cleafy, NCC Group

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Trojan Android TeaBot Menyasarkan Ratusan Aplikasi Perbankan

0

Pakar keselamatan siber Cleafy baru-baru ini menerbitkan laporan baharu tentang trojan Android TeaBot. Pasukan itu mendapati terdapat lonjakan besar dalam bilangan sasaran TeaBot iaitu sekurang-kurangnya 400 aplikasi yang digunakan untuk perbankan, urus niaga mata wang kripto dan insurans digital. Perisian hasad itu telah pun mula menyasarkan mangsa di Rusia, Hong Kong dan Amerika Syarikat.

TeaBot beroperasi menggunakan kaedah ‘on-device fraud’ atau ‘penipuan pada peranti’. Ia memanipulasi ‘accessibility service’ dan keupayaan penstriman langsung peranti dijangkiti dengan cara yang membenarkan penyerang berinteraksi dari jarak jauh dengan telefon tersebut dan memantaunya melalui pengelogan kekunci.

Salah satu aplikasi yang menyumbang kepada kebangkitan TeaBot ialah ‘penjelmaannya’ menerusi aplikasi pengimbas kod QR.

Jika dilihat daripada sudut luaran, tiada apa yang membimbangkan. Aplikasi seperti ini sudah pun dimuat turun dan dipasang melebihi 10,000 kali, serta terdapat pula pelbagai ulasan padanya.

Tetapi selesai muat turun, ia akan meminta pengguna untuk memasang ‘add-on’, dan ia tidak dipasang melalui Play Store, sebaliknya ‘sideload’ sahaja. Add-on yang dipasang ini semestinya mengandungi TeaBot.

Apabila selesai menjadi add-on, TeaBot akan segera melakukan kerjanya dengan mengakses kebenaran pada ‘accessibility service’ itu tadi, yang membenarkan trojan itu menguasai skrin pengguna. Seterusnya ia akan merekodkan pelbagai informasi seperti maklumat log masuk, SMS, dan kod pengesahan dua faktor (2FA).

Sekiranya anda pernah memasang dan menggunakannya, silalah dengan pantas nyahpasang sekarang. Jika belum, harap anda berhati-hati terhadap sebarang aplikasi yang menggesa anda memasang ‘add-on’ dari luar Google Play Store.

Sumber: Cleafy

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Cakna Situasi Perang Siber: Kemaskini Sistem Operasi Dan Antivirus Anda

0

Antara motivasi utama seseorang pelaku ancaman menulis dan mengedarkan perisian hasad mereka adalah bertujuan untuk menjana wang mudah. Dewasa ini, trojan dan pengelog kekunci terdapat untuk berbagai jenis platform sistem operasi.

Selain mencuri informasi, ia juga digunakan sebagai medium mendapatkan dokumen sulit lalu dijual dalam urus niaga di laman atau forum gelap. Perisian tebusan atau ransomware pula mengubah dokumen penting menjadi dokumen yang tidak boleh dibuka atau diakses, sekaligus membenarkan pelaku ancaman mengugut pengguna supaya membayar sejumlah wang supaya ia dapat digunakan semula.

Namun, sekiranya pelaku ancaman ialah penggodam yang diupah oleh sesebuah negara, kerosakan yang dilakukan adalah berskala lebih besar. Kumpulan penggodam tajaan kerajaan biasanya dirujuk sebagai ancaman berterusan lanjutan (APT) oleh penyelidik keselamatan. Perisian hasad yang digunakan untuk pengintipan bertaraf antarabangsa boleh juga berfungsi sebagai alat atau senjata perang siber yang setara dengan serangan pengeboman, yang memusnahkan data serta infrastruktur negara.

Tidak mustahil serangan siber ke atas negara lain boleh ‘berjangkit’ dan merebak ke negara sendiri, oleh itu setiap pengguna peralatan digital perlu cakna dan mengambil berat terhadap apa yang digunakan.

Salah satu serangan paling meluas dijalankan ketika ini ialah serangan pengelap/pemadaman/pemusnah data (data wiper attack). Penyelidik keselamatan siber telah menganalisis dan mengatakan bahawa perisian hasad yang digunakan dalam serangan ini berfungsi dengan cara merosakkan bahagian cakera keras yang menjadikan seluruh pemacu dapat dibaca, iaitu kawasan dipanggil sebagai Master Boot Record (MBR).

Menurut penyelidik di Sentinel One, ia juga mungkin secara aktif merosakkan fail dalam folder biasa seperti My Documents, tetapi walaupun tanpa kerosakan lanjut, sistem mangsa seharusnya tidak boleh beroperasi bermula pada pelaksanaan perosak cakera ini.

Pertahanan paling mudah dilaksana dan diguna pakai ialah dengan memastikan sistem operasi serta antivirus dikemas kini setiap hari. Bukan itu sahaja, perlu juga pastikan antivirus tersebut aktif di balik tabir. Sama seperti ancaman ransomware, tidak terdapat ruang untuk ralat apabila melibatkan serangan pemusnah data. Pilihan yang ada hanyalah selamat, atau tidak. Apabila komputer anda telah rosak setelah data dipadam, segalanya tidak lagi berguna untuk anda.

Menyesal dahulu, pendapatan. Menyesal kemudian, say hastalavista data-lah jawabnya.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline