Saya sekali lagi dihubungi oleh seorang wakil dari Atlas VPN untuk mengulas mengenai servis baru ini. Diakui, ia masih lagi ‘hijau’ apabila saya mencuba aplikasi Android dan Windows-nya, kelihatan ciri-ciri yang sangat asas untuk servis seperti ini. Ya, nampaknya tidak terlalu banyak yang berubah meskipun ia telah dilancarkan sejak tahun 2020 lagi.
Meskipun begitu, terdapat beberapa pertambahan pada cirinya yang boleh dikatakan sebagai ‘berbaloi’ untuk digunakan. Perkhidmatan ini semakin matang, walaupun ada ciri-ciri yang seharusnya ditambah untuk meningkatkan lagi mutu penggunaan aplikasi.
Paparan tangkap layar di atas ialah aplikasi Windows, manakala tangkap layar di bawah pula ialah aplikasi Android.
Seperti yang anda dapat lihat, paparan kedua aplikasi tidak banyak berubah berbanding sewaktu ia dilancarkan pada tahun 2019. Aplikasinya juga masih tidak mempunyai tema gelap, dan hanya sedikit sahaja protokol enkripsi sambungan yang ada, iaitu WireGuard dan IPSec/IKEv2.
Agak menyedihkan di situ, tetapi jika ditanya kepada saya, saya sendiri pun hanya menggunakan sambungan WireGuard sebagai sandaran kerana saya sememangnya menyokong projek ini sejak ia dilancarkan lagi.
Bagaimanapun, apa yang menarik, Atlas VPN masih mengekalkan model perniagaan ‘freemium’, yang bermaksud anda boleh gunakan aplikasi ini tanpa perlu membayar. Cuma, kuota data yang diberikan kepada pengguna percuma hanyalah sebanyak 2000MB sahaja. Untuk menggunakan pelayan premium dan kuota data tanpa had, seperti biasa anda perlu melanggan pelan premium terlebih dahulu.
Dalam aplikasi, ciri yang disertakan bersama adalah ‘Tracker Blocker’ dan ‘Data Breach Monitor’. Ya, hanya ini sahaja ciri ekstra yang diberi selain ciri asas seperti ‘Kill Switch’. Disebabkan itu saya katakan perkhidmatan ini masih lagi tampak ‘hijau’ dan pelbagai jenis ciri boleh ditambah di dalam aplikasinya.
Pun begitu, bagaimana pula dengan ciri keselamatannya? Bukankah itu yang paling penting perlu diperkatakan? Cuba lihat pada tangkap layar berikut.
Melalui dua paparan tangkap layar di atas, saya dapati tidak berlaku sebarang kebocoran DNS atau kebocoran alamat IP sewaktu menggunakannya. Ini amatlah berbeza sewaktu saya pertama kali menggunakannya pada tahun 2020 yang lepas apabila aplikasinya membocorkan alamat IP melalui DNS.
Kali ini isu tersebut tidak lagi berlaku.
Cuma, kelemahannya pula ialah ia menggunakan alamat IP yang sudah banyak disekat oleh kebanyakan firewall dan laman web terkenal. Anda boleh lihat kesannya ketika saya membuka beberapa laman seperti Carousell dan laman web omghackers.com sendiri.
Saya pernah menulis mengenai VPN yang jatuh di bawah bidang kuasa Five Eyes. Disebabkan Atlas VPN berada di dalam Amerika Syarikat, maka secara tidak langsung ia berada dalam kawalan negara tersebut. Anda boleh baca tentang perkara ini di sini: Perikatan Perisikan Antarabangsa: 5 Eyes, 9 Eyes, Dan 14 Eyes.
Bagaimana pula dengan perkhidmatan penstriman? Apakah ia boleh digunakan untuk strim Netflix?
Saya sudah mencuba pelayan Los Angeles, dan nampaknya ia dapat memainkan video di Netflix tanpa sebarang masalah. Saya hanya baru sempat mencuba di Windows 11 sahaja, dan masih belum mencuba pada Android TV serta telefon pintar. Saya jangkakan kesemuanya tiada masalah kerana pengoptimuman penstriman berkemungkinan dibuat menggunakan Smart DNS.
Apa yang saya suka tentang Atlas VPN ialah, tiada sebarang had dikenakan untuk bilangan peranti, yang bermaksud anda boleh berkongsi satu akaun dengan beberapa orang rakan untuk mengurangkan jumlah yang perlu dibayar.
Saya syorkan akaun tahunan untuk anda langgan, yang pada waktu ini mempunyai diskaun sebanyak 86%. Anda boleh langgan melalui pautan ini: Atlas VPN