Arch Linux : Pros & Cons

Ada banyak pro dan kontra apabila menggunakan Arch Linux. Untuk para pemula, saya sarankan anda gunakan saja Ubuntu, atau Linux Mint.

Saya sendiri bermula dengan Ubuntu. Tiada apa yang salahnya pun. Kita yang tidak tahu apa-apa tentang Linux tetapi dalam masa yang sama amatlah berminat ingin tahu bagaimana cara kerjanya, maka Ubuntu adalah ‘calon’ yang paling sesuai.

Saya masih ingat lagi soalan saya kepada kawan baik suatu waktu dulu iaitu mana yang lebih mudah digunakan, Windows atau Linux?

Katanya “Windows lah, senang, ada GUI, kalau Linux ko nak kena pandai gunakan command”.

Ini jawapan beliau kepada saya. Saya tanyakan kepada beliau dek kerana beliau pada saya agak berpengalaman dengan komputer dan sistem operasi. Tetapi berbekalkan jawapan tersebut, saya ‘explore’ Linux kerana tidak berpuas hati. Pada saya beliau sengaja menjawab begitu kerana nak ‘sedapkan’ hati saya.

Maka bermulalah perjalanan saya mempelajari Linux bermula dari Ubuntu, beralih ke Linux Mint, seterusnya kepada beberapa sistem operasi Linux yang lain hinggalah akhirnya tetap kepada Arch Linux. Setelah beberapa tahun menggunakannya, berikut saya senaraikan beberapa pro dan kontra Arch Linux sebagai sistem operasi harian. Kita mulakan dengan pro terlebih dahulu:

1. Percuma Tanpa Syarat

Sementara Microsoft ‘memberikan’ Windows 10 secara percuma dengan syarat pengguna mestilah menggunakan sistem operasi asli, Linux pula memberikan semua orang sistem operasi mereka secara percuma tanpa ada apa-apa syarat.

Cuma, kalau anda lihat paparan skrin di bawah ini, Ubuntu juga memberikan kepada anda pautan untuk muat turun fail ISO, namun dengan ‘bau-bau perlian yang agak pedih’. Nah, nak muat turun, silakan, tapi muat turun begitu je ke? Tak kan takde derma sikit kot?

Ahahahah.. lebih kurang begitulah maksud saya. Tetapi di laman muat turun Arch Linux, anda boleh terus sedut ‘like a boss’. Tiada perli-perli, tiada sliding bar untuk buat anda rasa serba-salah. Heheh..

Muat Turun : Arch Linux Download

2. Belajar Sistem Linux Dengan Lebih Mendalam

Kalau anda sangat baru dengan dunia Linux, saya galakkan anda mencuba Ubuntu. Tetapi bila dah lama sikit, dan dah mahir selok-belok sistem, apabila anda teringin hendak luaskan ilmu pengetahuan anda maka teruslah muat turun dan pasang Arch Linux pada partisi kosong yang ada.

Bukan nak kata tak boleh belajar sistem Linux apabila menggunakan Ubuntu. Boleh juga, jangan lah menangis. Heheh.. cuma apabila anda dah cuba Arch Linux, saya akui ianya lebih ‘deep’ lagi. Ada ceruk-ceruk dalam sistem yang tak tahu boleh jadi tahu. Itupun disebabkan oleh ralat-ralat yang berlaku akibat dari kesilapan diri sendiri.

Apabila ralat keluar, tidak dapat tidak kita kena belajar bagaimana caranya untuk kita atasi masalah tersebut dan selesaikannya. Jadi di sinilah bermulanya perjalanan pembelajaran pengguna. Kalau tak dapat banyak, dapat sedikit pun dah memadai asalkan kita faham ‘di mana letaknya sesuatu itu’ dalam Linux. Kerana dalam Linux semuanya adalah, fail.

3. Baris Perintah Yang Lebih….. Power User

Ambil contoh paling mudah, katakan nak pasang Tor Browser dalam Ubuntu, berikut adalah baris perintah yang perlu digunakan:

sudo add-apt-repository ppa:webupd8team/tor-browser
sudo apt-get update
sudo apt-get install tor-browser

Rujukan : TOR BROWSER BUNDLE UBUNTU PPA

Apa dia tu? Tambah repo, kemas kini maklumat sistem untuk package manager dan kemudian barulah pasangkan Tor Browser.

Untuk Arch Linux pula:

sudo pacman -S tor

Rujukan : Tor

Baris perintah dalam Arch Linux lebih ringkas, padat, jitu, mutu, keunggulan gitu, ye tak? Heheheh.

4. Arch Linux Sebenarnya Senang Untuk Dipasang dan Digunakan

Betul, kalau anda dah mahir, iaitu mahir dengan sistem operasi Linux, sistem dalam direktori fail Linux itu sendiri, selok-belok cilok-mencilok cedok-mencedok, setakat Arch Linux ni memang pejam mata lah. Kalau Arch Linux dah pejam mata, Ubuntu tu pejam mata guna sambil lari dalam guni. Ahahaha.

Sekurang-kurangnya cuma lebih kurang 20 minit sahaja yang perlu digunakan untuk memasang Arch Linux menjadi sistem operasi harian anda. Ini adalah jauh lebih singkat berbanding….. Gentoo.

Tak percaya boleh cuba Gentoo sendiri. Saya tak larat nak tunggu package compiling, terus-terang cakap.

5. Sistem Operasi Cerminan Diri

Anda bermula dari baris perintah. Tiada paparan persekitaran desktop yang membantu. Semua yang anda mula pasang anda lihat depan mata, anda perhati satu demi satu pakej yang dipasang, kalau boleh tiada yang terlepas waktu pacstrap. Daripada kosong, hinggalah kepada sebuah sistem operasi yang ‘penuh’, andalah yang tentukan ia akan menjadi ‘apa’ dan ‘bagaimana’ rupanya.

Ini pada saya adalah jauh lebih mudah. Jauh lebih menyeronokkan kerana hasil akhir tidak kiralah pasang berapa kali pun, belum tentu akan jadi seperti sebelumnya, kerana sebagai contoh kalau di satu PC yang lain saya cuma pasangkan Arch Linux yang minimal beserta MATE Desktop, di satu PC lagi saya tambahkan pula dengan Compiz, dan pelbagai lagi hingga jadi seperti PC dalam filem-filem Sci-Fi, canggih-manggih gitu.

Berbeza dengan Ubuntu atau lain-lain turunan dari Ubuntu seperti Linux Mint, sistem-sistem operasi tersebut sudah ‘disiapkan’ lebih awal lagi untuk anda. Bukan nak kata anda tiada kawalan penuh, tetapi anda tidak dapat menikmati keseronokkan membinanya dari mula. Penting sangat ke? Oh yeah, penting.

Baiklah. Kita beralih kepada kontranya pula. Berikut adalah senarai dari saya sendiri:

1. AUR

Ya, pada pengguna lama mesti tak bersetuju dengan saya. Jangan salah faham. Saya suka sangat dengan AUR. Apa-apa pakej yang tiada dalam repo rasmi boleh cari dengan mudah di sini. Tetapi terimalah hakikatnya, bukan semua ‘resipi’ dalam AUR itu sempurna.

Kerap saya menemukan tidak boleh compile di sana sini akibat itu tidak cukup, ini tidak lengkap. Memang boleh bikin sendiri tetapi di mana keseronokannya di situ?

Ini belum lagi kalau pakej yang sudah di-flag sebagai out-of-date, dan kemudian ‘abandoned’, sedangkan boleh pasang dengan mudah pada Ubuntu. LOL. Sebut pasal Ubuntu, proses kemas kini pakej yang menggunakan PPA adalah jauh lebih mudah berbanding pakej yang menggunakan AUR. Tak percaya cakap saya boleh cuba sendiri. Bosan lah cakap sorang-sorang.

2. Proses Kemas Kini Tidak Dikendalikan Sepenuhnya Oleh Package Manager

Ya, ini yang paling menyakitkan jiwa. Kenapa tak bikin terus? Kenapa nak susahkan pengguna lagi? Ini bukan soal belajar benda baru lagi, atau jangan malas-malas, tapi ini soal benda ‘auto’ kalau dah boleh dibuat kenapa nak bikin manual? Ini contoh:

warning: /etc/pam.d/usermod installed as /etc/pam.d/usermod.pacnew

Ini contoh sahaja lah. Kalau dah boleh digantikan dengan fail yang baru, kan elok terus gantikan sahaja, cuma maklumkan melalui pacman. Paling mudah faham fail mirrorlist. Kalau ia terus digantikan pun tiada masalah, pengguna boleh buat semula speed test untuk mirror yang paling laju dan kemudian sort kepada 5 atau 6 mirror paling bagus. Ini tidak, ia disimpan dahulu sebagai mirrorlist.pacnew selepas selesai pacman -Syu. Ceh.

3. Pepijat Selepas Kemas Kini

Entah kenapa, kadang-kadang (diulangi kadang-kadang!) kalau selepas kemas kini sistem ada pula pepijat yang rajin singgah. Terkadang ia dari fail pemacu baru, dan mungkin juga dari aplikasi-aplikasi yang mempunyai konflik dengan fail-fail tertentu.

Penat juga apabila kena peruntukan masa untuk baiki sistem yang terganggu. Tetapi itu pengalaman saya, selepas beberapa tahun menggunakannya (dan tidak pernah diformat langsung laptop ini sejak saya pasangkan Arch Linux sampai lah dapat Windows 10. Heheheh.).

Anda mungkin lain pula pengalamannya. Apapun boleh kongsikan pengalaman anda sendiri di ruangan komen. Apa pendapat anda?

Untuk anda yang baru nak berjinak-jinak, boleh rujuk cara pasang Arch Linux yang terbaru di sini : Cara Memasang Arch Linux (2015.08.01 ISO)

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

spot_imgspot_img