AKU : Sebuah Monolog Kehidupan – Bab 2; Kerja Gila Kerja

Kerja. Kerja bosan. Bosan kerja. Bila buat kerja yang kau tak suka, masa sekejap pun rasa lama. Masuk kerja dengan hati menyampah, meronta, terseksa. Sampai waktu pulang, tak boleh bergegas pula. Sebab apa? Sebab kerja bertimbun. Kerja yang kau tak suka, jadi buat pun lambat. Bila lambat, tak siap. Bila tak siap, bos marah. Jadi mahu tidak mahu, kena juga siapkan. Macam mana nak siapkan? Kena la kerja lebih masa. Tak berbayar pula tu. Tapi nak salahkan siapa? Sendiri yang tak siap kan? Kalau aku siapkan awal-awal, buat kerja dengan cekap patutnya aku dah boleh balik awal. Tapi kalau balik awal pun, kena menghadap jammed juga. Sebab semua berpusu-pusu keluar serentak. Sebenarnya, memang sengaja aku balik lambat. Jadi bila balik, aku boleh memandu dengan tenang sambil layan lagu-lagu chill. Mungkin aku sengaja aku melambat-lambatkan kerja. Mungkin juga sebab aku malas. Tapi yang pasti, memang aku balik lambat.

Balik lambat, datang awal. Macam mana kerja tak penat? Nasib baik belum ada bini. Kalau tak mesti kering bini di rumah. Melayan rindu, menunggu suami pulang ke rumah. Nak kirim beli sayur telur pun tak sampai-sampai lagi ke rumah. Ya, mungkin itu lah seronok hidup bujang. Buat apa pun, tak bersangkut paut dengan siapa-siapa. Hidup kau, antara kau dengan tuhan saja. Yang penting, sembahyang jangan tinggal. Balik lewat tak ada yang membebel. Barang dapur tak beli pun sendiri yang lapar. Kau malas, kau duduk dalam tong sampah. Kau rajin, kau duduk dalam rumah bersih. Kau bertanggungjawab atas diri kau sendiri. Perasaan ni, orang bujang yang ada awek pun tak kan faham.

 

Acap juga, aku sengaja balik malam. Padahal aku habis kerja pukul 5.30 lagi. Tak suka la aku duduk beratur di mesin punch card ramai-ramai. Bukan lah salah beratur, tapi bagi aku itu tanda manusia yang tak seronok bekerja. Sentiasa tertunggu-tunggu waktu pulang. Punch card pukul 5, pukul 4.45 sudah ramai yang beratur. Kena ingat, gaji dibayar mengikut jam. Kalau 15 minit dah diguna untuk beratur, halalkah gaji untuk 15 minit aku beratur tu? Sebab tu lah aku sengaja balik lambat. Biar aku kerja lebih, jangan kerja kurang. Sekali fikir, nampak macam aku ni suka sangat pula dengan kerja aku. Kalau dah hari-hari datang awal, balik lambat, tak ke gila kerja namanya tu? Entah la. Aku pun tak tahu. Nak kata suka, tak la sangat. Tapi selesa? Ya, mungkin. Aku selesa dengan kerja aku.

 

Bagi aku, apa lah sangat yang nak di komplen dengan kerja sendiri. Bangun awal pun, bagus. Boleh solat subuh. Cuba kalau kerja mula pukul 12 tengah hari? Aku rasa tiap-tiap hari aku bangun lewat. Cukup 3 tahun kerja, kena panah petir. Sebab hari-hari tak solat subuh. Kerja aku separuh kena bergerak, separuh melibatkan pengurusan. Kena lawat rumah orang, sekolah, ukur itu, ukur ini, kadang-kadang melukis, kadang-kadang kena jumpa doktor. Nak dibandingkan dengan kerja cikgu, aku rasa syukur dengan kerja aku. Tak kena menghadap perangai budak-budak nakal. Kalau orang bagi aku jadi doktor sekalipun, aku tetap tak mahu. Doktor kena main dengan darah, nyawa manusia, emosi, selalu berdiri di tengah-tengah antara ambang hidup dan mati pesakit. Kerja berniaga? Ya, memang la kerja fleksibel. Kau bos, kau kuli. Tapi kena ada motivasi. Kalau tak ada jatidiri, buka kedai tak ikut waktu, pelanggan pun lari. Ah… ada kerja pun dah kira ok! Biar lah kereta tak mahal. Ada orang kat luar sana anak dah 5, kerja tetap pun tak ada! Prinsip hidup aku, lebih mudah dan tenang hidup bila mana aku lebih memandang apa yang aku ada, daripada berangan dan risaukan apa yang aku tak ada. Syukur tu kena dipupuk, dia tak datang sendiri.

 

Kau tahu, seorang penyair Parsi, Abū-Muhammad Muslih al-Dīn bin Abdallāh Shīrāzī pernah berkata :

“Aku menangis kerana tidak berkasut. Sehinggalah aku melihat manusia lain yang tidak berkaki.”

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

spot_imgspot_img