Sangat memudahkan pengurusan badan! Errr.. saya maksudkan, fail! Itulah yang mampu saya perkatakan mengenai AirDroid V2 Beta yang sedang dibangunkan. Kalau anda masih belum menggunakannya, saya sarankan anda cuba V2 ini, kerana kali ini AirDroid telah memperbaharui beberapa ciri yang terdapat pada versi sebelumnya.
Antaramuka
Apa yang boleh saya katakan, antaramukanya lebih tersusun, cantik serta pantas berbanding dahulu.
Jika sebelum ini, anda perlu log masuk menggunakan kod pengesahan yang diperolehi dari aplikasi AirDroid itu sendiri, tapi dalam V2 anda boleh log masuk menggunakan akaun Facebook, Twitter, mahupun Google, yang mana setiap sesi boleh disimpan sehingga tempoh 2 minggu.
Jadi anda tidak lagi perlu log masuk menggunakan kod berulang-ulang kali. Cukup hanya sekali, dan untuk tempoh 2 minggu lagi barulah perlu ulang log masuk semula.
Sambungan Pintar
Dalam V2, AirDroid akan memilih secara pintar sambungan internet mana yang boleh menghubungkan anda dengan paparan antaramuka laman webnya. Ini telah diuji sendiri oleh saya, yang mana AirDroid tidak lagi memerlukan sambungan WiFi yang sama untuk berhubung dengan peranti. Jika peranti anda menggunakan WiFi, dan PC anda menggunakan LAN, kini ia bukan lagi satu masalah apabila AirDroid akan terus disambungkan kepada LAN, sama seperti laman web yang lain, dan ia akan terus cuba untuk bersambung kepada peranti.
Muat Turun
Pautan baru untuk mendapatkan fail pemasang serta antaramuka baru AirDroid boleh dicapai pada pautan berikut : AirDroid V2
Apapun anda perlu ingat bahawa ia masih dalam versi beta, oleh itu sila jangkakan bugs yang mungkin akan muncul pada bila-bila masa sahaja.