5G Di Malaysia: Sebuah Penantian Yang Berakhir Dengan Penantian Sekali Lagi

Kita sudah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan perkhidmatan 5G di negara ini. Apa yang menyedihkan, nampaknya kita masih perlu terus menerus menunggu kerana jika mengikut perancangan dan peta masa DNB, 5G hanya akan meliputi seluruh kawasan Malaysia sekitar 80% hanya pada tahun 2031, yang bermaksud kita ada masa lebih kurang 9 tahun lagi untuk menikmati 5G tanpa kawasan ‘dead spot’.

Ini belum lagi mengambil kira telco-telco di Malaysia yang tidak sefahaman dengan DNB, kerana mereka ingin melancarkan 5G sendiri.

Sepertimana kita sedia maklum, dua telco yang menyahut seruan DNB untuk menggunakan 5G dikendalikan syarikat tersebut ialah YTL Communications (Yes) dan TM (unifi Mobile). Buat sementara waktu ini, pengguna pascabayar unifi Mobile masih belum dapat memanfaatkan 5G, tetapi pengguna prabayar dan pascabayar pelan FT5G dari Yes sudah dapat menikmatinya.

Malangnya, telco utama di Malaysia iaitu Maxis, Digi, Celcom, dan U Mobile masih belum mahu bekerjasama dengan DNB, dan ini adalah dapat difahami kerana mereka ingin menawarkan 5G sendiri berbanding sekadar ‘menumpang’.

Tidak lupa juga, 5G yang tersedia hanya dapat dinikmati sehingga akhir bulan Mac 2022 sahaja (secara percuma). Selepas itu, terserah kepada telco untuk mengenakan cas mereka sendiri. Kawasan liputan pula adalah amat-amat terhad, yang bererti sekiranya anda tidak bermastautin di kawasan tersebut (iaitu sekitar Putrajaya, Cyberjaya, dan Kuala Lumpur), anda akan kembali menggunakan 4G yang ditawarkan oleh Yes.

Kelajuan 5G yang telah saya uji di Putrajaya.

Kita juga maklum, rangkaian 4G dari Yes dan unifi (serta kelajuannya) adalah amat tidak memuaskan. Saya sendiri pernah menggunakan unifi Mobile dan hanya dapat ‘bertahan’ selama 6 hari sahaja sebelum ‘port out’ dan kembali ke Maxis. Anda boleh ikuti perkongsian saya tentang unifi Mobile dengan mencari menggunakan kata kunci ‘unifi Mobile’ di halaman Facebook kami.

Disebabkan perkara ini, apabila saya menggunakan kad SIM Yes 5G, saya juga terpaksa menyediakan sandarannya iaitu kad SIM oleh Maxis. Mujurlah saya memang menggunakan pelan MaxisONE Prime, menjadikan saya tidak beberapa bimbang sekiranya terpaksa berpatah balik ke 4G.

Apa yang saya ingin cadangkan kepada pihak DNB ialah, buat masa ini sebelum rangkaian 5G mereka lebih menyeluruh di Malaysia dan lebih stabil lagi, saya rasa adalah lebih baik sekiranya DNB melancarkan pelan ‘5G Home Internet’ – sebagai alternatif kepada fiber di kawasan yang sudah pun dipenuhi dengan menara 5G DNB (kita bolehlah samakan pelan ini dengan Maxis Home 4G WiFi, atau unifi Air yang menawarkan pelan beserta peranti penghala).

Ini dapat mengukuhkan lagi pendapatan ‘sampingan’ DNB disamping kerjasama mereka dengan telco Yes dan unifi. Juga, sedikit sebanyak dapat meningkatkan kredibiliti ulasan 5G mereka kerana semestinya di kawasan yang tersedia kemudahan 5G ini, kelajuan dan liputan pasti memuaskan – sekurang-kurangnya 100Mbps seperti yang dijanjikan.

Ia juga bersesuaian dengan status 5G semasa yang masih tidak menyokong ciri panggilan suara. Ciri Voice over 5G New Radio (VoNR) adalah penting, kerana tanpanya, pengguna perlu menggunakan pula panggilan suara VoLTE yang didasari oleh 4G.

Secara konklusi, buat sementara waktu ini lebih baik kita nantikan tawaran 5G dari telco-telco lain dahulu. 5G dari DNB bolehlah dikatakan sebagai memuaskan kualitinya, namun sebagai pengguna internet, kita tidak dapat bergantung kepada 5G sepenuhnya, tambahan pula untuk individu yang sering keluar negeri.

Kita tidak selalunya memerlukan internet berkelajuan tinggi sehingga 200-300Mbps apatah lagi 1Gbps, tetapi kita pastinya perlu kepada internet yang stabil di seluruh pelusuk negeri, dan 5G yang ada kini masih di peringkat percubaan semata serta tidak meluas liputannya. Sesiapa yang sudah menggunakannya bolehlah disebut sebagai ‘beta tester’, dan mereka yang berada di luar kawasan liputan pada ketika ini bolehlah disebut sebagai ‘berputih mata’.

Sabarlah semua. 5G di Malaysia, belum dapat dinikmati oleh sekalian jelata.

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x