Wall Street VS Reddit : Secara Mudahnya, Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

Sudah kecoh dalam seminggu ini tentang pasaran saham Wall Street yang telah ‘diserang’ oleh orang awam dan memaksa beberapa syarikat pelaburan Wall Street menuju bankrap. Semuanya bermula dengan sebuah subReddit dan juga ciapan daripada Twitter Elon Musk. Apa yang berlaku seterusnya adalah kesan domino dan pasaran saham khususnya pasaran saham GameStop mengalami perubahan yang sangat pelik dan di luar kebiasaan. Ia sudah jadi sebuah peperangan di antara orang awam dan juga kapitalis pasaran saham di Wall Street.

Sebelum itu, kita fahami dahulu beberapa terma penting dalam peristiwa bersejarah ini.

Hedge Funds

Hedge funds adalah sebuah kerjasama yang dibina daripada sekumpulan pemain saham. Mereka bekerja secara sepenuh masa dalam menguruskan, membuat persepsi, menjual-beli saham dan kerja-kerja belakang tabir di pasaran saham. Keuntungan daripada proses jual beli saham mereka ini kemudiannya disalurkan ke dalam satu tabung dana yang akan dugunakan untuk menyuntik modal dan urusan jual beli saham di bursa saham. Akaun dan pengurusan dana ini dinamakan sebagai Hedge Funds.

Short Sale

Short Sale adalah proses jual beli unit saham di mana individu atau hedge funds meminjam unit saham daripada pemegang saham untuk dijual. Mereka kemudiannya menunggu harga saham tersebut turun daripada harga asal dan kemudiannya membeli unit yang telah dijual tersebut pada harga yang lebih rendah. Keuntungan yang diperoleh adalah jumlah perbezaan jual dan beli saham tersebut.

Sebagai contoh, saya telah meminjam 1000 unit saham daripada Pelaburan A dan telah menjual unit saham tersebut di pasaran pada harga RM2 seunit. Jumlah jualan saya adalah RM2000 untuk 1000 unit.

Setelah beberapa ketika, unit saham tersebut telah turun kepada harga RM1 seunit. Jadi saya telah membeli semula 1000 unit saham yang telah dijual tadi dengan harga RM1000 sahaja untuk 1000 unit.

Saya kemudiannya memulangkan semula 1000 unit saham yang telah dipinjam dari Pelaburan A tadi dan telah mengaut keuntungan bersih sebanyak RM1000. Pengiraannya :

  1. Pinjam 1000 unit daripada Pelaburan A.
  2. Jual 1000 unit dengan harga RM2000 keseluruhan.
  3. Beli semula 1000 unit dengan harga RM1000 keseluruhan.
  4. Pulangkan semula 1000 unit saham yang dipinjam daripada Pelaburan A.
  5. Untung bersih dikira dengan formula : RM2000 (jual) – RM1000 (beli semula) = RM1000 (untung bersih).

Tapi dalam skala Hedge Funds, sudah tentulah ia melibatkan unit dan harga saham keseluruhan yang lebih besar dan mencecah jutaan malah berbilion ringgit.

Sampai masuk surat khabar

Kejadian GameStop

GameStop adalah sebuah syarikat brick-and-mortar permainan video di Amerika Syarikat yang telah bertapak sejak dari tahun 1984 dan menggunakan nama GameStop secara rasmi sejak tahun 1999. GameStop yang telah mengalami kemerosotan telah banyak menutup cawangannya dan keadaan bertambah buruk dengan penurunan nilai saham mereka. GameStop dijangka akan bankrap dan ini telah menarik ramai kapitalis daripada pelbagai hedge funds untuk mendapat untung mudah melalui short sale dan dalam masa yang sama menurunkan lagi nilai saham GameStop untuk mendapat julat untung yang lebih tinggi.

Proses ini sudah tentunya akan membawa kerosakan dan kerugian besar kepada GameStop yang sudah sedia ada dalam keadaan yang buruk. Kejadian ini juga bukan pertama kali berlaku. Syarikat alat permainan brick-and-mortar, Toys ‘R’ Us juga menerima nasib yang hampir sama apabila saham mereka jatuh merudum dan mereka terpaksa menutup perniagaan kerana menanggung hutang dan rugi yang besar.

Dalam usaha licik Melvin Capital, sebuah hedge fund di Wall Street untuk melakukan short sale terhadap GameStop, maklumat tersebut telah tersebar di Reddit dan para pengguna Reddit di subReddit r/wallstreetbets mula berpakat untuk menggagalkan usaha Melvin Capital untuk mendapat keuntungan dengan menindas GameStop.

Para pengguna Reddit di r/wallstreetbets mula membeli saham GameStop yang dijual oleh Melvin Capital melalui aplikasi pelaburan dalam talian;- RobinHood. Sebaik sahaja Melvin Capital menjualnya, individu-individu mula membelinya. Sangat ironi, sebagaimana kisah Robin Hood mencuri daripada mereka yang kaya, aplikasi yang bernama RobinHood juga telah berjaya ‘mencuri’ daripada kapitalis dalam sebuah ‘rompakan’ bersejarah yang terhebat di Wall Street. Belian saham dalam jumlah yang banyak oleh pelbagai individu akhirnya telah membuatkan nilai saham GameStop melonjak naik. Malahan, tertinggi dalam sejarah sejak daripada penubuhannya! Lebih tinggi daripada zaman kegemilangannya sendiri!

Nilai saham GameStop telah melonjak naik daripada nilai terendah mereka dalam sejarah pada nilai $2.57 seunit kepada nilai tertinggi mereka dalam sejarah iaitu $500 seunit pada 28 Januari 2021. Kenaikan sebanyak 190 kali ganda daripada nilai asal!

Kekalahan Total Melvin Capital

Berbeza daripada rancangan asal mereka untuk membeli semula saham GameStop yang dijual, Melvin Capital sebaliknya terpaksa mengeluarkan wang untuk mengimbangi saham yang ‘dipinjam’ tadi. Melvin Capital dilaporkan telah kehilangan sejumlah 30% dana mereka dalam kekalahan ini.

Dalam kekalahan ini, beberapa hedge fund lain telah melakukan suntikan modal kepada Melvin Capital bagi mengelakkan Melvin Capital gulung tikar. Antara penyumbang adalah Citadel LLC dan juga Point72 Asset Management dengan sumbangan keseluruhan mencecah hampir 3 billion USD.

Namun begitu, suntikan tambahan 3 billion USD ini juga dikatakan gagal menyelamatkan Melvin Capital kerana nilai saham GameStop telah naik tanpa henti. Melvin Capital dikatakan telah kehilangan semua wang mereka dan juga wang tambahan daripada rakan-rakan mereka di Wall Street.

Kejadian ini dinamakan sebagai ‘short squeeze‘. Dan ini adalah sejarah short squeeze yang terbesar dan terhebat sepanjang zaman.

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x