Kalau 4 hingga 5 tahun dahulu, bolehlah dikatakan ‘megapixels count’ belum begitu penting dek kerana kemajuan teknologi untuk fotografi mobil juga tidak begitu terkehadapan.
Kini kita berada di era ‘computational photography’, di mana selain jumlah megapixels, pengoptimuman perisian/firmware, peranan kecerdasan buatan, algoritma tambahan, dan saiz sensor bagi kamera telefon pintar sudah begitu maju ke hadapan dan ciri-ciri ini digabung bagi menghasilkan kamera telefon yang berkualiti tinggi.
Kebanyakan telefon perdana atau flagship telah pun ‘selesa’ dengan jumlah megapixels antara 12 hingga 16MP. Ia sudah lebih dari cukup untuk mendapat hasil gambar yang mengagumkan.
Apa yang menjadi penentu kepada hasil kualiti gambar, selain jumlah megapixels? Disebabkan kualiti adalah satu isu yang agak rumit – ia tertakluk kepada kualiti sensor pengimejan, saiz sensor, pengoptimuman perisian atau firmware (sistem operasinya), serta saiz pixel. Kesemua ini digabungkan bagi memperoleh hasil paling optimum.
Sebenarnya jawapan yang tepat untuk isu ini bukanlah tidak wujud, tetapi memerlukan lebih perincian. Jumlah megapixel yang besar tidak semestinya membantu sekiranya saiz pixel dan sensor adalah kecil. Begitu jugalah sebaliknya.
Ini belum lagi disentuh spesifikasi lain seperti saiz aperture, kualiti lensa, bantuan penstabilan imej (OIS dan EIS) sekiranya ada, kelajuan pengatup, ISO, dan sebagainya. Kesemua ini memainkan peranan, ditambah pula dengan tahun ini dipenuhi kamera beserta pembelajaran mesin dibantu kecerdasan buatan, menjadikan faktor-faktor yang menyumbang kepada kualiti imej semakin memadat.
Artikel ini akan cuba menghuraikan kekusutan yang dialami oleh ramai orang, terutamanya yang mengaku diri sebagai tech junkie dan photographer tetapi masih gagal memahami apatah lagi hendak menerangkan isu pokok kepada persoalan ini.
Apa Itu Pixel?
Imej digital yang anda lihat setiap hari adalah terbentuk melalui petak-petak kecil. Setiap satu petak tersebut boleh mempunyai warna berbeza, dan gabungan dari petak-petak kecil itulah yang menjadikan sebuah gambar tercipta. Pixel adalah nama bagi setiap satu dari petak-petak kecil tersebut.
Apa Itu Megapixels?
Megapixel ialah satu juta pixel. Oleh itu untuk mengatakan satu imej dengan kualiti dari kamera beresolusi 12 megapixel adalah gabungan daripada 4000 x 3000 pixel, bersamaan dengan 12000000 pixel keseluruhannya.
Kepentingan Megapixels
Apabila peranti itu mempunyai lebih kiraan/jumlah megapixels, ia akan membolehkan kita untuk mengubah saiz bingkai (re-frame) gambar yang diambil tanpa menjejaskan resolusi.
Boleh juga untuk kita mengubah nisbah aspek gambar dari potret kepada landskap, juga tanpa menjejaskan kualiti imej apabila masih banyak resolusi yang boleh dimanfaatkan.
Fleksibiliti seperti ini amat penting untuk kerja-kerja fotografi, seni gambar, seni rakaman sinematik dan sebagainya lagi. Semua ini tidak akan berhasil sekiranya jumlah megapixel yang tersedia pada kamera telefon pintar bersaiz kecil. Mempunyai lebih banyak resolusi tambahan memberikan ruang kreativiti kepada pengguna untuk memanipulasi dan bereksperimentasi dengan lain-lain komposisi.
Akan tetapi bagi para pengguna profesional, mereka boleh mencetak gambar sebesar papan iklan di jalan raya (billboard), namun jangan tersilap kerana kiraan untuk papan iklan yang besar tidak memerlukan megapixels yang besar pula. Bagaimana pengiraannya?
Untuk mencetak ke papan/banner iklan, DPI atau Dots Per Inch yang diambil kira. DPI dalam konteks cetakan ini ialah titik-titik dakwat dari pencetak yang diguna untuk menghasilkan semula pixels pada gambar yang dicetak keluar.
Keperluan papan iklan yang besar adalah berbeza dengan keperluan percetakan saiz biasa. Cetakan saiz biasa atau kecil ini biasanya dilihat dari jarak dekat, oleh itu setiap pixel adalah ‘bermakna’. Manakala papan iklan pula dilihat dari pandangan mata yang jauh, jadi cetakan padanya tidak memerlukan DPI yang mampat kerana mata manusia tidak dapat pun menerjemahkan ia.
Secara kasar, jarak pandangan memainkan peranan dalam hal ini. Sifirnya ialah semakin jauh jarak pandangan, semakin kurang jumlah DPI yang diperlukan. Disebabkan papan iklan dilihat dari jarak yang begitu jauh sekali, maka DPI lebih rendah sahaja dapat diaplikasi bagi menghasilkan imej yang masih lagi ‘tajam’ pada pandangan mata.
Berapakah jumlah megapixel yang kebiasaannya diperlukan?
Secara umumnya mengikut standard industri percetakan, untuk mendapatkan gambar yang baik, 300 ppi (pixels per inch) adalah diperlukan. Jika anda ingin mencetak gambar bersaiz 8 x 10 inci, maka anda perlu darabkan panjang dan tingginya dengan 300 – yang akan memberikan jumlah saiz pixel.
Oleh itu gambar 8 x 10 inci akan menjadi 2400 x 3000 pixel, bersamaan dengan 72 juta pixel. Dibahagikan dengan 1 juta (kerana terdapat 1 juta pixel pada 1 megapixel) jumlahnya menjadi 7.2 megapixel.
Jadi, untuk tujuan kerja-kerja profesional, anda boleh kira sendiri berapakah saiz maksimum megapixel yang anda perlukan bagi mencetak imej lebih besar dari saiz 8 x 10 inci – yang akan dilihat pada jarak dekat, dan bukan seperti papan iklan – dilihat dari jarak jauh tanpa menjejaskan kualiti dan ketajaman resolusinya.
Inilah dia sebenarnya isu yang dijawab,
“Sebesar mana saiz cetakan, dan sejauh mana jarak penglihatan dari gambar memainkan peranan tentang penting atau tidak jumlah megapixels yang besar”.
Jika cetakan anda besar dan akan dilihat dari jarak dekat, sudah semestinya jumlah megapixels yang lebih banyak amat penting. Jika cetakan anda besar dan dilihat dari jarak jauh seperti papan iklan, maka setiap DPI akan menurun dengan drastik, oleh kerana itu jumlah megapixels yang diperlukan juga menurun.
Mudah untuk difahami bukan?
Benar, jika diberikan kepada pengguna biasa, mereka hanya akan menggunakan kamera yang maju dari peranti perdana untuk menangkap gambar lalu memuat naik gambar-gambar tersebut di Facebook, Instagram, dan WhatsApp. Media-media sosial seperti itu tidak memerlukan kamera beresolusi gergasi.
Jika kita ingin mengambil kira kepada satu golongan ini sahaja, maka apa yang kita lakukan hanyalah menyekat kemajuan teknologi yang sedang sedia pesat membangun.
Tetapi dengan wujudnya golongan profesional yang kini lebih memilih untuk membawa telefon pintar ke mana sahaja mereka pergi, kemajuan teknologi untuk fotografi mobil ini semestinya amat dialu-alukan.
Perkembangan teknologi sensor pengimejan bagi telefon pintar semakin ke hadapan, pemproses imej dan saiz pixel yang semakin besar, isu sensor tidak dapat menyokong jumlah megapixel yang besar tidak lagi menjadi persoalan. Kita tidak lagi boleh berada di takuk lama, walaupun telefon sekarang skrinnya sudah bertakuk (takuk = notch – pun intended).
Kamera pada telefon pintar di era ini dikatakan semakin mampu bersaing dengan kamera profesional.
Google sudah membangunkan Pixel Visual Core, iaitu chip kedua bertindak sebagai pemproses imej. Huawei pula sudah membangunkan kamera dengan kerjasama Leica, beserta kecerdasan buatan yang dikuasakan oleh NPU.
Apa ertinya semua ini?
Ia bererti bahawa kamera telefon pintar sudah selangkah demi selangkah semakin hampir mendekati kualiti yang diinginkan untuk menyempurna kerja-kerja profesional.
Bukan juga bermaksud DSLR tidak lagi berguna, akan tetapi kita dapat lihat ramai jurugambar yang menggunakan DSLR pada hari ini lahir dari kelas-kelas fotografi mobil. Teknik dan tips komposisi itu bukan sahaja dapat diaplikasikan pada kamera DSLR, tetapi sudah semestinya juga pada kamera telefon pintar. Kerana tidak dapat tidak, ianya masih lagi sebuah kamera.
Sedikit fakta menarik untuk ‘dikenang’ bersama, jangan tak tahu sistem operasi Android pada asalnya telah dicipta untuk kamera, sebelum pengasas-bersama Android iaitu Andy Rubin melihat potensi sistem operasi tersebut pada telefon pintar. Dalam satu temu ramah bersama PCWorld, Andy mengatakan bahawa platform yang sama, sistem operasi yang sama mereka cipta dan bina untuk kamera, telah menjadi Android untuk telefon pintar.
Sistem operasi itulah yang anda lihat menguasakan, menggerakkan, dan mengendalikan telefon serta juga kameranya pada hari ini.
Jadi, kembali kepada persoalan, adakah megapixels itu penting?
Jawapannya mudah dan pendek, ia penting. Jawapan panjangnya, jika anda banyak menggunakan kamera untuk tujuan cetakan seperti gambar hadapan majalah, mengambil gambar landskap, mengambil gambar dalam kondisi studio, maka kamera dengan resolusi lebih tinggi adalah perlu bagi mendapatkan perincian pada subjek yang diambil. Kamera dengan resolusi 20MP pastinya memberikan lebih perincian dan ketajaman kepada gambar berbanding 12MP. Sejauh mana besarnya saiz sensor dan bagusnya kualiti pemproses imej, itu adalah dua persoalan berbeza.
Jika anda menggunakan kamera hanya sekadar hobi, muat naik gambar di laman-laman sosial, kamera beresolusi rendah tidak akan menghampakan. Jangan jadikan faktor percetakan ke atas papan iklan sebagai alasan megapixels tidak penting, kerana penerangan di atas tentang bagaimana jarak penglihatan ke atas PPI/DPI memainkan peranan kepada ‘tidak pentingnya’ jumlah megapixels tersebut setelah gambar dicetak.
Mengambil gambar bukan segala-galanya tentang cetakan. Jangan lupa dunia penggambaran juga ada istilah penyuntingan. Apabila mempunyai megapixels yang besar, resolusi terhasil juga memberikan ruang kepada pengkarya untuk menyunting dengan lebih baik. Pengubahan komposisi, nisbah aspek, dan manipulasi imej tidak akan jadi sebaiknya apabila tiada ruang pun untuk dimulakan.
Apabila anda ingin menghasilkan gambar yang ‘tajam’, lebih megapixels sememangnya amat membantu. Tidak percaya? Anda boleh buka pautan ini untuk sampel gambar yang diambil menggunakan Canon PowerShot G3, dengan resolusi sebanyak 4MP dan beritahu kepada saya gambar yang diambil tersebut adalah cukup tajam untuk kepuasan mata anda: Canon PowerShot G3 Camera Samples
Oh, masih belum puas hati? Anda boleh buka pula pautan ini: Canon PowerShot G3
Kesimpulannya?
“Anda tidak boleh mengalahkan ciri-ciri dan hukum fizik/fizikal. 20 sememangnya pasti akan memberi lebih perincian berbanding 2″.
Cuma apabila ingin membeli sesuatu peranti (dalam kes ini ialah telefon pintar), jangan lupa ambil kira juga faktor-faktor lain seperti yang disebutkan awal artikel ini. Peranan lensa, pemproses imej, saiz sensor, pengesanan jarak dinamik, saiz pixel, bantuan pembelajaran mesin serta kecerdasan buatan – menjadi penentu akhir kepada penghasilan gambar terbaik.
Jika anda menggunakan kamera dari telefon low-end, janganlah anda menjangkakan dan mengharap hasilnya sama seperti peranti high-end, kerana apa yang dimuatkan ke dalam spesifikasi kameranya sudah pasti sesuai dengan kadar harga yang ditawarkan.
Anda boleh tonton video di bawah untuk penerangan yang lebih terperinci lagi.