Poco F2 Pro: Peranti Bajet Berciri Perdana Beri Lebih Nilai Pada Wang Anda

Pocophone F1 dilancarkan lebih kurang dua tahun lepas. Ia menjadi peranti yang mempunyai banyak gembar-gembur dek kerana ia dipromosikan sebagai peranti mercu bajet dengan pelbagai spesifikasi terbaik. Harganya yang mampu milik menyebabkan ramai membeli tanpa berfikir panjang.

Pada waktu itu meskipun ia menggunakan skrin IPS LCD, tidak ramai pula yang mempertikai keputusan itu kerana rata-rata lebih mementingkan pemproses dan harganya.

Selepas imbas ke belakang, kini Xiaomi mengeluarkan pula penggantinya iaitu Poco F2 Pro. Kali ini harga menjadi taruhan, kerana ia dilancarkan pada harga jualan lebih tinggi, mencecah RM2000. Ini disebabkan penggunaan pemproses Snapdragon 865 yang turut diimplimentasi modem 5G.

Pun begitu, pelancaran model ini di Lazada yang terjual habis 950 unit dalam tempoh 10 minit pada 10 June lepas menunjukkan bahawa walaupun harga kini meningkat naik, pengguna masih sanggup mendapatkannya.

Iklan Google

Atas sebab apakah ia masih laris? Untuk itu, saya cuba ceritakan sendiri sedikit ulasan saya setelah beberapa hari menggunakannya. Saya tidak ditaja oleh Xiaomi untuk unit ini. Apa pun mari kita buka kotak dahulu:

Apa yang ada dalam kotak?

  • Seunit Poco F2 Pro.
  • Manual panduan pengguna.
  • Pin pembuka slot kad sim.
  • Bekas TPU
  • Adapter pengecasan pantas 33W.
  • Kabel USB-C.

Nampaknya buka kotak dah tak seceria seperti zaman Nokia dulu, tetapi itulah dia hakikat yang kita perlu terima. Cuma bila difikirkan balik, apa yang diberikan dalam kotak pada ketika ini sebenarnya bagus juga, contohnya adapter pengesan pantas. Kalau disuruh beli sendiri, mahal juga tu.

Reka Bentuk

Untuk pengetahuan anda, saya masih menggunakan Mi 9T yang dibeli pada tahun lepas. Saya sememangnya meminati reka bentuk tanpa notch dan punch hole yang banyak boleh didapati pada peranti keluaran baru. Mekanisma kamera pop-naiknya bertahan sehingga ke hari ini, dan atas kerana itu saya tidak ragu lagi mendapatkan Poco F2 Pro.

Jika hendak dibandingkan dengan peranti mercu lain pada tahun ini, sememangnya Poco F2 Pro ada beberapa kekurangan yang tidak dapat dielakkan.

Tetapi jika kita buat perbandingan dengan Pocophone F1 pula, reka bentuk dan kualiti binaan akhir pada F2 Pro adalah jauh di hadapan. Skrin pula menggunakan Super AMOLED dengan tahap kecerahan 500 nits. Ini adalah naik taraf yang dinantikan.

Pada bahagian belakangnya diberikan sentuhan Gorilla Glass 5 berbanding plastik (polikarbonat) pada F1. Terdapat empat buah kamera dengan lensa utamanya menempatkan kamera beresolusi 64MP (Sony IMX686 Exmor RS). Kamera lain pula ialah 5MP (telefoto makro), 13MP sudut ultra lebar), dan 2MP untuk kedalaman.

Iklan Google

Sebut mengenai skrin, reka bentuk tanpa bingkai memberikan pengalaman menonton tanpa gangguan. Cuma saya mendapati aplikasi Netflix menunjukkan tiada sebarang ciri HDR pada Poco F2 Pro. Saya sudah pun melaporkan isu ini melalui ruangan ‘Feedback’, dan harapnya Xiaomi akan cepat mengeluarkan kemas kini bagi membaiki HDR yang tidak berfungsi itu.

*Kemas kini: Akhirnya Poco F2 Pro sudah pun ada sokongan HDR pada Netflix.

Apa yang menarik, Poco F2 Pro mempunyai pemancar infra merah terletak di atas, yang juga menempatkan headphone jack, dan kamera pop-naik. Pada bahagian kiri, tiada apa dapat ditemui, manakala bahagian kanan pula terdapat butang pelaras kekuatan bunyi dan butang penghidup. Di bawah pula adanya port USB-C, dan slot kad sim, serta pembesar suara mono.

Dengan paparan skrin sebesar 6.67 inci berbanding 6.39 inci pada Mi 9T, dan 6.18 pada Poco F1, ia kelihatan begitu besar dan apabila memegangnya juga terasa lebih berat. Pada skrin terdapat pengimbas cap jari, yang pada saya terasa jauh lebih baik berbanding Mi 9T.

Iklan Google

Ertinya, kadar kegagalannya untuk membaca cap jari dengan baik tidaklah sebanyak Mi 9T, cuma saya anggarkan buat masa ini pengimbas terpantas ialah dari Realme X2 Pro. Kedudukan pengimbas juga lebih tinggi, dan untuk diri saya sendiri, saya rasakan ia lebih selesa begini, tetapi saya faham jika ada yang tidak beberapa suka.

MIUI 11, Android 10

Poco F2 Pro dilancarkan bersama MIUI 11, tetapi dibina pada platform Android 10. Saya sudah lama menggemari UI ini, kecuali bloatwares yang disertakan sekali.

Dan bloatwares yang ada, adalah amat banyak, tidak termasuk aplikasi sedia terpasang seperti Mi Community dan beberapa aplikasi permainan (bukan aplikasi sistem).

Iklan Google

Mujurlah ia boleh dibuang menggunakan ADB, tanpa perlu root. Cuma masih bersaki-baki beberapa komponen atau aplikasi yang pada saya tidak diperlukan, dan tidak juga saya akan gunakan, tidak dapat dibuang, contohnya aplikasi Google One.

Kalau ya pun, janganlah jadikan ia sebagai aplikasi sistem. Sekurang-kurangnya jika ia dipasang sebagai aplikasi biasa, pilihan terletak di tangan pengguna sama ada hendak terus menggunakannya atau tidak.

Selain dari isu ini, ada beberapa ciri pada MIUI 12 agak saya rindui, seperti global dark mode. Walaupun implimentasinya tidak sempurna, kerana ada beberapa bahagian pada aplikasi contohnya Facebook, menjadi putih keseluruhan di ruang notifikasi sehingga tidak nampak tulisannya, tetapi mode paparan gelap secara global ini membuatkan saya tidak rindu lagi kepada warna putih di mana-mana.

MIUI 12 dijangka akan dilepas kepada pengguna Poco F2 Pro menjelang akhir Jun, atau awal Julai nanti (second wave release).

Perangai ‘Pelik’ MIUI

Satu perkara yang saya kurang suka pada MIUI (for Poco) ialah ‘perangai peliknya’. Saya berikan anda contoh, saya gunakan Poco Launcher 2.0 pada awalnya, dan ia telah terintegrasi bersama Google Discover dengan baik sekali. Atas sebab itu, saya terus memakainya selama beberapa hari kerana pada saya, apabila saya seret (swipe) ke kanan dan keluar Google Discover, saya tidak perlukan launcher lain.

Tetapi setelah saya puas menggunakan ciri itu, secara tiba-tiba ia ‘hilang’, lalu digantikan dengan ‘App Vault’. Tidak terbayang kekecewaannya, kerana pada saya App Vault MIUI tidak berguna langsung (untuk diri saya).

Anda boleh lihat sendiri antara senarai aplikasi yang saya tinggalkan dalam sistem operasi. App Vault ialah salah satu dari aplikasi yang saya buang, tetapi entah bagaimana ia masih boleh ‘keluar’ dan menggantikan Google Discover (yang lebih baik). Atas kekecewaan itu, saya buang juga Poco Launcher dan gantikan pula ia dengan Nova Launcher.

Ini belum saya sebutkan pula mengenai kadar laras suara/bunyi yang tidak sama untuk negara berlainan. Katakanlah anda gunakan (region) Malaysia, kadar bunyinya agak perlahan meskipun anda laraskan pada tahap paling tinggi. Tetapi apabila anda tukarkan kepada United States, bunyinya akan meningkat dengan signifikan.

Bloatwares untuk setiap negara juga jika tak salah saya adalah berbeza. Anda boleh cuba sendiri kalau anda beli nanti.

Kamera

Jika ditanya kepada saya, perbezaan ketara antara peranti mercu/perdana dengan peranti bajet bukan terletak kepada chipset yang digunakan. Ianya adalah kamera. Katakanlah Pixel 5 dipasangkan Snapdragon 765G sekalipun, tetapi nanti kameranya juga yang dibicarakan orang.

Setakat percubaan saya, kamera Poco F2 Pro tidak mengecewakan. Kita sudah mengenali sejauhmana kualiti pemprosesan imej pada Xiaomi sama ada melalui ulasan di laman web, YouTube, mahupun DXOMark. Ia adalah kualiti yang diyakini, dan Poco F2 Pro tidak terkecuali.

Jika ada yang berkata kamera adalah titik kelemahan pada Poco F2 Pro (untuk mengurangkan harganya), maka saya bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) dengan perkara itu. Mari kita lihat beberapa sampel yang sempat saya ambil.

Tangkapan gambar ‘Indoor’.
Tangkapan gambar ‘outdoor’.

Tangkapan dengan lensa sudut lebar.
Tangkapan dengan mod malam.

Berikut pula adalah rakaman pengujian kestabilan dan juga rakaman pengujian kecekapan fokus, ketepatan warna, dan kualiti bunyi.

Bateri

Baterinya berkapasiti 4700mAh dan menyokong pengecasan pantas sehingga 33W. Saya masih belum menggunakan adapter pengecasan pantas 33W yang tersedia dalam kotak.

Ya, pengecasannya adalah sama pantas dengan K30 Pro/Pro Zoom Edition.
Rujukan: blog.mi.com

Sehingga hari ini, saya masih gunakan adapter Tronsmart WC1T, yang mampu mengecas dengan kelajuan 18W, dan untuk Poco F2 Pro, saya anggarkan lebih kurang 1 jam 45 minit untuk penuh, dari 0%.

Setakat yang saya uji sendiri, dari 10% (seperti tangkap layar di atas) hingga 100% memerlukan masa sehingga 1 jam 32 minit. Bagi adapter asal pula, anda hanya perlukan masa selama 63 minit sahaja (1 jam 3 minit) untuk penuh, dari 0%. Anda jimat lebih dari 30 minit berbanding pengecas 18W.

Dengan kapasiti 4700mAh itu, adalah amat sukar untuk saya habiskannya dalam masa sehari. Anda boleh lihat sendiri pada tangkap layar di bawah, di mana masih berbaki 10%, dan SOT sudah mencecah 10 jam 32 minit. Saya banyak habiskan masa dengan aktiviti penstriman.

Sekiranya anda banyak bermain permainan, sudah tentulah akan lebih cepat berkurangan, tetapi anda tidak perlu bimbang kerana kadar pengurangan dari semasa ke semasa adalah sedikit. Pada telahan saya, pengoptimuman dari Xiaomi pada MIUI boleh dikatakan berjaya, untuk penghematan kuasa bateri, ditambah lagi dengan optimumnya penggunaan kuasa pada Snapdragon 865.

*Kemas kini: Pengecasan pantas 33W nampaknya hanya dapat dicapai sekiranya Poco F2 Pro ini berada dalam keadaan suhu rendah, di bawah 30°c.

Berikut antara ujian yang saya lakukan, dan apabila suhu peranti mencecah lebih dari 33°c, kelajuan pengecasan akan mula berkurangan dengan drastik. Jika anda buka penghawa dingin dan berusaha merendahkan suhu bilik sehingga lebih kurang 25°c, barulah pengecasan akan mula menjadi semakin laju.

Iklan Google

Prestasi, Dan Konklusi

Perlukah lagi saya perkenalkan prestasi Snapdragon 865 kepada anda? Rasanya, pada ketika ini semua orang sudah tahu bagaimana ia mampu mengendalikan pelbagai permainan yang mempunyai grafik intensif.

Saya bukan pemain tegar (heavy gamer), tetapi dari beberapa permainan yang telah saya cuba seperti Dead Trigger 2, Asphalt 9, METAL MADNESS PvP, Left to Survive, dan Iron Blade: Medieval, tiada yang tidak dapat dikendalikan dengan baik oleh telefon ini.

Jadi, dimanakah ‘titik’ pengurangan ciri pada Poco F2 Pro, dalam usaha untuk mengurangkan harga peranti ini?

Apa yang ia tiada, ada pada peranti mercu yang lain?

  • Skrin dengan refresh rate 90Hz dan 120Hz.
  • Pengecasan pantas 50W ke atas.
  • Tiada pengecasan tanpa wayar.
  • Tiada OIS.
  • Pengimbas cap jari tidak sepantas peranti mercu seperti Realme X2 Pro (model tahun lepas).
  • Tiada pembesar suara stereo.

Tetapi, adakah dengan semua kekurangan di atas, saya berasa ‘tertinggal’? Tidak sama sekali, dan ini juga membuktikan bahawa anda tidak perlukan peranti yang terlalu mahal untuk berasa puas dengan teknologi semasa. Sekurang-kurangnya, beberapa keperluan telah dipenuhi iaitu SoC terpantas ketika ini, skrin penuh tanpa sebarang gangguan, kamera yang bagus, bateri yang tahan lama, dan ketersediaan untuk band 5G.

Pada ketika 5G sudah pun kukuh, dan pada waktu pelbagai peranti hadir dengan skrin beserta refresh rate sehingga 144Hz nanti, saya yakin anda sudah punyai modal lain untuk membeli peranti mercu lebih baik. Untuk saya, buat masa ini Poco F2 Pro telah memuaskan keperluan yang saya mahukan.

Iklan Google
Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at arya@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img