Mungkin Ini Maksud Sebenar Di Sebalik Cover Album Malique, Pejamkan Mata

Gambar cover artikel diambil oleh abam.

“Lirik Malique bukan teks tapi kodeks macam Hammurabi atau Nag Hammadi jangan kupas mesti carigali” – Malique feat. Ariz – Salut.

Saya tak berminat nak claim satu dunia bahawa saya adalah peminat nombor satu Malique, sebab rasanya bila tengok kawan-kawan yang lain, hebatnya mereka ni bila boleh rap semula lagu Anak Ayam, walhal lagu tu susah kot.

Saya sendiri tergeliat otak nak menyanyikannya.

Namun tidak dapat tidak sedikit dan sebanyak gaya bahasa Malique dalam lirik-liriknya banyak juga mempengaruhi cara saya menginterpretasikan artikel-artikel yang telah ditulis dalam blog ini dan page OMG! Hackers?.

Album Malique – Pejamkan Mata.

Ayat pembukaan di atas adalah dari lirik lagu SALUT yang telah dinyanyikan oleh Malique dengan penampilan Ariz. Sejak tampil solo begitulah tingkah laku Malique, beliau akan bergandingan dengan sesiapa sahaja kecuali – Joe. Mungkin ada satu lagu iaitu 2010 Masih Hip-Hop yang menampilkan Joe Flizzow sekaligus memberi harapan kepada peminat tegar yang Too Phat akan kembali.

Tapi kini dah nak masuk 7 kali Raya, Too Phat memang tak kembali lagi. Tak tahulah kalau ada peluang sebelum mata ini tertutup kita akan dapat melihat ia berlaku – harapnya begitulah.

Oh ya, berbalik kepada artikel, menyebut mengenai ‘mata tertutup‘, yang menjadi konsep dalam cover album Malique – Pejamkan Mata tahun 2017 ini, ianya telah mendapat perbincangan hangat di kalangan rakan-rakan maya terutamanya mereka yang memang terlampau sensitif dengan ‘the all-seeing eye’ atau Dajjal, Freemason, teori konspirasi, bla bla bla.

Tapi benarkah Malique nak ‘bercerita’ tentang Dajjal pada cover album dan lagu Pejamkan Mata beliau, atau sebenarnya ada sesuatu yang terselindung yang ingin disampaikan oleh beliau namun tidak secara langsung.

Ianya adalah seperti bait lirik Salut itu, iaitu ‘Lirik Malique bukan teks tapi kodeks macam Hammurabi atau Nag Hammadi jangan kupas mesti carigali‘.

Saya mudahkan minda anda, berikut adalah pautan rujukan:

>>> The Code of Hammurabi

>>> The Nag Hammadi Library

Sila baca kedua-dua artikel di atas dan tolong fahamkan. Begitulah Malique, apabila berbuat sesuatu pun ingin beliau sampaikan dalam cara berkias.

“Dalam dunia yang maya prejudis dan bias,

Kita tak terlepas dari terkena tempias,

Rimas ditindas sembunyi dalam puisi dan kias“.

Maka dah tentu, ianya BUKAN ada kena mengena secara terus kepada Dajjal, The Eye of Providence (all-seeing eye of God) atau Illuminati. Mudah sangat. Itu bukan cara Malique.

Sukalah untuk saya tunjukkan kesemua gambar album dari luar hinggalah ke dalam yang telah saya ambil, satu demi satu:

Ini merupakan paparan bahagian depan cover yang menjadi kontroversi, memaparkan mata di dahi sedang terbuka.

 

Bahagian dalam, menunjukkan mata di dahi sedang tertutup.

 

Belakang kulit album, menunjukkan dua mata terbuka, mata di dahi tertutup.

 

Tak taulah siapa di sebalik topeng tu, rasanya macam Malique.

 

CD, yang dicetak mata dua tertutup manakala mata di dahi terbuka.
Bahagian belakang album, sekali lagi memaparkan dua mata terbuka, mata di dahi tertutup.

Jadi apa sebenarnya semua ini? Tidak lain tidak bukan hanyalah METAFORA Malique kepada MATA KETIGA, atau orang tua-tua zaman dahulu panggil sebagai MATA HATI.

Kalau perasan, dalam ketiga-tiga keadaan mata terbuka atau tertutup tersebut, kesemuanya menggambarkan keadaan yang sama iaitu MULUT tertutup rapat tanpa dapat dibuka.

Tak ramai yang mampu berbicara mengenai mata hati, kerana ia bukan sekadar retorik klasik, tetapi ia lebih dari itu. Ia merupakan suatu kritikan sosial terhadap masyarakat zaman sekarang, yang lebih banyak bercakap dari memerhatikan perkara sebenar.

Kata-kata yang sepatutnya dilafaz menggunakan ilmu dan minda, bukan setakat cakap kosong di kedai kopi semata-mata. Namun itu tidak berlaku, di mana masyarakat menjadi caca wal marba, bidang kau bidangku jua, aku pun boleh jadi ustaz asalkan pandai Google.

Kebanyakan orang-orang kita juga lebih suka memandang sesuatu secara zahir, tanpa memandang ia dengan mata batin, tanpa merenung kebenaran di sebalik sesuatu. ‘Orang kita’ terus menutup mata terhadap apa sebenarnya yang terjadi, mungkin kerana ia lebih mudah berbanding terpaksa berfikir untuk kebenaran.

Paling teruk, adalah ketiga-tiga mata tertutup. Orang jenis ini yang digambarkan Malique dalam lagu single utamanya iaitu Pejamkan Mata, dalam bait,

“Katanya mata penamu tak mencoret solusi,

Kata magismu takkan mampu cetus revolusi,

Manusia kan sentiasa menyakiti,

Yang tak membunuh buatmu kebal sehari lagi”.

Suka untuk saya petik sesuatu yang saya perasan iaitu konsep ini juga ada persamaan sedikit-sebanyak dengan ‘Three Wise Monkeys‘. Ketiga-tiga ‘monyet bijaksana’ ini mewakili perumpamaan “see no evil, hear no evil, speak no evil”.

Speak no evil – digambarkan dengan mulut yang terkunci rapat.

Kalau perasan juga, dalam kesemua gambar, tiada satu pun Malique letakkan gambar ketiga-tiga mata TERBUKA. Kenapa? Kerana ianya memang sangat RARE (jarang berlaku). Mencari seorang manusia yang sangat bijaksana (wise), dan mampu melihat semua perkara yang berlaku secara penilaian ‘luar dan dalam’ adalah sangat-sangat sukar untuk ditemui.

Siapa lagi yang mampu memandang dengan pandangan Al-Haq? Memandang melalui sifat ‘Basar’ Sang Pencipta?

Jawapannya seperti yang telah dibicara – susah, sangat susah untuk kita jumpa. Kalau jumpa maka beruntunglah badan, gading bertuah sanggup digadaikan.

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x