Maonocaster AU-AM200 S1 Starter Bundle: Streaming, Audio Semua Dalam Satu!

Apa Dalam Kotak?

Maonocaster AU-AM200 S1 Starter Bundle adalah antara kotak produk yang paling besar pernah saya dapatkan. Walaupun kotak produk ini telah hancur ketika sampai kepada saya, nasib baiklah semua item di dalamnya masih lagi kekal utuh. Terima kasih kepada kekemasan pembungkusan produk ini yang hadir dengan pelbagai lapisan busa di dalam kotak.

Di dalam kotak, saya mendapat satu unit antaramuka audio Maono AU-AM200, satu unit mikrofon dan kabel XLR jenama Maono, satu unit fon telinga, dua kabel AUX 3.5mm, satu kabel USB-C OTG dan satu kabel USB-C ke USB. Ya, nama ‘Starter Bundle‘ pada kotaknya bukan hanya sekadar slogan. Pakej ini hadir cukup lengkap untuk anda memulakan studio podcast anda sendiri!

Spesifikasi Ringkas

Maonocaster hadir dengan cip pemproses audio terbina dalam dan menyokong sambungan Bluetooth. Ia juga boleh digunakan tanpa dicucuk pada wayar pengecas terima kasih kepada bateri bersaiz 1200MaH yang ada di dalam dek audio tersebut.

Ia juga boleh menyokong sehingga 4 peranti serentak. Satu perkara yang sangat menyenangkan kerja bagi mereka yang sering kali membuat strim atas talian dan menggunakan banyak peranti dalam satu masa.

Iklan Google

Kawalan

Maonnocaster AU-AM200 ini menggunakan kawalan analog dengan togol dan tombol yang responsif. Dua tombol besar pada bahagian atas digunakan untuk mengawal kelantangan input daripada mikrofon dan muzik latar. Di baris atas, ada 4 togol untuk mengawal tona bunyi mikrofon dan juga kelantangan rakaman.

Di tengah konsol, terdapat kawalan sentuhan untuk mengawal not bunyi, biasanya digunakan oleh pemain muzik dan penyanyi. Dua tolok pada bahagian kanan pula digunakan untuk mengawal kelantangan bunyi fon telinga dan juga untuk mengawal kekuatan gema suara anda.

Selain daripada butang analog, Maonocaster AU-AM200 juga dilengkapi dengan butang pad getah yang terbahagi kepada dua bahagian. Di bahagian kanan, 8 pad bertanda adalah untuk efek bunyi yang telah diprogramkan. 4 pad kosong di baris bawah pula merupakan butang kosong yang boleh diprogramkan dengan bunyi sendiri.

Di sebelahnya, 6 pad kekunci pula digunakan untuk menjalankan program bunyi. Ada butang “Effect” untuk mengubah kesan bunyi suara dalam 4 tetapan. Butang “Pitch” membolehkan anda mengubah suara anda kepada 4 jenis iaitu suara wanita, lelaki sado, bayi dan juga robot. Butang “Music Only” membolehkan anda membuang suara daripada lagu untuk tujuan karaoke ataupun ‘minus-one’. Butang “Denoise” pula membolehkan Maoncaster memproses bunyi daripada mikrofon anda dan membuang bunyi selain daripada suara anda untuk tujuan rakaman. Dua lagi butang di bawahnya masih lagi menjadi misteri buat saya.

Pengalaman Selepas Menggunakan Sebulan

Setelah sebulan menggunakan Maonocaster AU-AM200 S1 Starter Bundle ini, saya amat berpuas hati dengannya. Saya telah gunakan Maonocaster ini untuk merakam video, mengedit video dan juga untuk kerja dan bermain permainan video secara atas talian. Dengan Maoncaster ini, saya kini ada lebih banyak kawalan ke atas mikrofon saya.

Butang dan fungsi yang telah diprogramkan bersama Maonocaster ini juga memberi lebih keseronokan semasa bermain bersama rakan-rakan di dalam talian. 4 butang kosong pada Maonocaster ini saya gunakan sepenuhnya dengan suara dan efek bunyi saya sendiri.

Antara fungsi lain yang saya suka adalah kebolehan untuk mengubah efek suara dan juga keupayaan Maonocaster untuk membuang bunyi bising semasa rakaman. Dengan mod Pro, saya boleh mengubah tona suara saya dengan 3 togol Low, Mid dan Hi. Butang Denoise juga sangat membantu dengan membuang bunyi bising persekitaran semasa rakaman. Kini saya tidak perlu lagi berjaga malam, menanti keadaan senyap untuk merakam audio.

Iklan Google

Kalau ada pun perkara yang saya tidak berapa suka dengan Maonocaster AU-AM200 ini adalah keupayaannya untuk memberi cukup kuasa kepada mikrofon khususnya kepada jenis ‘condenser‘. Mikrofon BM-800 saya boleh digunakan bersama Maonocaster ini dan bunyi yang dihasilkan cukup baik pada apabila diletak pada maksimum. Namun, untuk benar-benar mendapatkan keupayaan sebenar BM-800, saya masih lagi perlu menggunakan phantom power.

Iklan Google

Sekiranya anda menggunakan mikrofon yang datang bersama set bundle ini, ia tiada masalah kerana ia telah ditala untuk digunakan bersama. Tetapi jika anda ingin menggunakan mikrofon lain, saya nasihatkan anda untuk membuat kajian dahulu tentang kuasa mikrofon anda.

Maonocaster AU-AM200 ini juga menyokong output kepada peranti rakaman lain seperti kamera dan telefon pintar anda. Jadi, saya boleh gunakan mikrofon saya sendiri, sambung ke Maonocaster, gunakan Denoise dan  kemudiannya sambung Maonocaster saya kepada kamera saya. Dengan ini, saya boleh terus merakam video tanpa saya perlu merakam suara saya secara berasingan untuk suara yang lebih jelas. Semuanya kini boleh dilakukan secara serentak.

Penjimatan masa dan tenaga saya dalam penghasilan video adalah dua kali ganda lebih jimat dengan gabungan Maonocaster dan kamera video.

Kesimpulan

Kesimpulan saya, pada harga yang tidak terlalu mahal, Maonocaster AU-AM200 S1 Starter Bundle ini sememangnya berbaloi untuk dibeli. Ia telah banyak memberi kelegaan kepada saya dalam langkah kerja penghasilan video. Tidak perlu lagi membuat kerja dua tiga kali untuk memproses audio rakaman, tidak perlu lagi berjaga lewat malam dan menanti tiada bunyi di rumah untuk mendapatkan suasana rakaman yang optimum. Sejujurnya, tiada harga yang boleh diletakkan untuk masuk tidur awal dan bangkit pada keesokan pagi dengan tidur malam yang cukup.

Iklan Google

Dapatkannya di kedai rasmi:

Shopee

Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img