Linux Mint sudah dikenali ramai. Rasanya tidak perlu lagi untuk saya menulis panjang lebar mengenai perincian sistem operasi ini. Linux Mint 19 berasaskan Ubuntu 18.04, dan akan disokong sehingga tahun 2023 (kerana ia adalah versi LTS).
Kalau anda nak baca changelog panjang lebar, anda boleh cari laman sesawang lain. Di sini saya ingin menyentuh beberapa perkara yang saya rasakan menarik untuk ditulis, disebabkan saya hanya sempat menggunakan Linux Mint 19 ini melalui live USB sahaja.
Baiklah, mari kita lihat apa perkara menarik ada pada Linux Mint 19 dengan kod nama ‘Tara’ ini.
1. Antara perkara yang saya suka tentang Linux Mint ialah kekemasan, dan ketelitian. Ini dapat dilihat pada usaha pembangunnya untuk memperkemaskan aplikasi-aplikasi lalai yang disertakan dengan sistem operasi ini. Salah satu yang anda akan dapat lihat ialah Software Manager.
Kalau anda merupakan seorang pemula, lihatlah saja bagaimana mereka meletakkan setiap satu aplikasi pilihan editor di bahagian atas siap beserta ikonnya sekali. Dari situ anda dapat gambarkan apa yang ditawarkan oleh Software Manager ini.
Di bahagian bawah pula terpapar kategori dengan setiap satu darinya diletakkan bersebelahan. Apa yang anda hendak cari, semuanya ada, tiada yang terkecuali atau disingkir secara prejudis.
Anda mahukan Spotify? Ada! Klik ‘Install’ sahaja.
2. Salah satu perkara yang menjadi pilihan ramai pemula ialah betapa mudahnya mengendali dan menggunakan Linux Mint. GDebi Installer siap tersedia jika anda memuat turun fail pemasang .deb dari mana-mana laman sesawang.
Buat yang tak tahu, .deb ialah extension format bagi fail pemasang, serupa dengan apa yang kita dapat lihat pada Windows, iaitu .exe (untuk mudah faham).
3. Jika anda terbiasa dengan Night Mode pada Windows 10, di Linux Mint pula sudah tersedia Redshift. Redshift menyesuaikan suhu warna skrin anda mengikut persekitaran. Ia akan dapat membantu mengurangkan rasa penat pada mata jika anda memilih untuk meneruskan kerja di waktu malam.
4. Timeshift: Pada pendapat saya, ini satu-satunya ciri ‘star’ pada Linux Mint kali ini. Ia berfungsi sebagai pemulih sistem, jika ada kemaskini yang ‘buggy’, atau anda ‘ter’ pasang aplikasi yang mengubah pengalaman anda dengan sistem operasi.
5. Timeshift itu pula akan sentiasa ‘bekerjasama’ dengan Update Manager, yang pada saya pula bertindak atau berfungsi dengan cukup cemerlang. Anda tidak akan dapat mengemaskini selagi tidak memilih ‘Snapshots’ sistem operasi yang perlu anda tetapkan terlebih dahulu melalui Timeshift.
6. Selain itu, Linux Mint 19 juga menjadi ‘syurga’ buat para pengguna termaju yang suka untuk melakukan pengubahan. ‘Tweaking options’ yang ditawarkan dapat membuat pengguna untuk terus kekal melekat padanya.
Dari tema, hinggalah kepada tetapan-tetapan lalai, anda boleh tentukan apa yang anda mahu, dan bagaimana ia akan beroperasi setiap hari.
7. Tidak dilupakan juga, Linux Mint secara tradisi menjadi sistem operasi Linux yang sudah ‘siap’, bererti anda tidak perlu pasang apa-apa pun.
Aplikasi pejabat, pemain video dan audio, codec multimedia, penyunting gambar (GIMP), pelayar web (Firefox), pendek kata semuanya sudah ada. Hanya perlu pasang dan pakai sahaja. Tetapi jika masih belum memuaskan hati, anda berasa masih belum mencukupi, maka Software Manager bakal membantu anda melengkapkan sistem operasi.
Secara keseluruhannya saya amatlah berpuas hati dengan persekitaran meja Cinnamon kali ini. Ia sudah menampakkan kematangan dari sudut reka bentuk dan fungsi, serta prestasi yang amat bagus terutamanya untuk PC yang sudah berumur lanjut.
Ia juga tidak mengalami isu ketirisan memori seperti yang dialami oleh GNOME. Ini merupakan satu bonus yang amat berharga, tambahan jika memori yang digunakan hanyalah 4GB.
Jika anda berminat hendak menggunakan Linux Mint 19 ‘Tara’ ini, anda bolehlah muat turun ISO di pautan berikut: Download Linux Mint 19 Tara