Lembaga Zakat Boleh Usahakan Penggunaan Sistem Blockchain Bagi Menghentikan Segala Fitnah
Kutukan dan sindiran terhadap institusi zakat negara ini tak putus-putus saban hari. Tambah memburukkan keadaan, apabila ada pendedahan penyelewangan wang zakat di beberapa institusi zakat negeri seperti yang dilaporkan dalam berita arus perdana.
Penyelewangan ini pula bukanlah sikit, malahan mencecah jutaan ringgit!
Dalam isu ini, kita perlulah berlaku adil dan ambil pendekatan selidik dahulu. Benar, memang ada kes penyelewengan wang zakat. Benar, ada kes terlepas pandang wang zakat. Namun begitu, semua perlu faham yang bahagian kutipan dan pemberian zakat adalah dua jabatan dan isu berbeza. Apabila kita membayar zakat, itu kewajipan kita.
Apabila asnaf memohon zakat, itu bukan lagi tanggungjawab dan amanah kita sebaliknya amanah ke atas institusi zakat itu sendiri.
Sebagai seorang yang banyak terlibat dengan asnaf, saya dapat katakan agihan zakat di Malaysia ini baik walaupun tidaklah sempurna. Bantuan perubatan contohnya, mudah dipohon. Di Terengganu, sudah berapa ramai asnaf memohon bantuan zakat perubatan melalui MAIDAM. Bantuan dalam bentuk wang ringgit, alatan perubatan dan juga keperluan harian.
Bantuan zakat pendidikan pun, ramai juga yang sudah menerima manfaat. Saya sendiri pun melalui MAIK pernah menerima bantuan zakat pengajian ke IPTA yang sangat membantu saya dalam urusan pendaftaran ke IPTA untuk yuran pengajian.
Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan juga wujudnya ruang untuk penambahbaikan. Sekiranya pusat zakat mampu membuat penyelenggaraan bangunan pusat kutipan zakat, pasti pusat zakat juga mampu untuk mewujudkan satu sistem untuk agihan zakat. Bukankah pembayaran sudah boleh dibuat online? Saya pasti, permohonan jika boleh dibuat online juga bagi memudahkan asnaf memohon.
Zakat pengajian contohnya, hanya memerlukan dokumen rasmi tawaran ke IPTA. Bagi saya, ini satu kategori zakat yang sebenarnya boleh sahaja diberi kelulusan melalui semakan online. Betulkan saya kalau salah. Untuk kategori lain pun, boleh juga diusahakan untuk dibuat permohonan online. Saya tidak pasti sama ada sistem permohonan online ini sudah ada atau tidak kerana sehingga ke hari ini, asnaf yang saya jumpa semuanya mengatakan mereka perlu menghantar borang secara manual. Mohon kongsikan maklumat jika ada.
Sekali lagi saya ulang, ini untuk permohonan saja. Untuk kelulusan, jika perlu semakan di lapangan, pusat zakat boleh menugaskan amil di kawasan untuk membuat lawatan asnaf. Jika dengan permohonan melalui sistem, bukankah proses penugasan amil dan penyusunan kawasan bertugas ini akan lebih mudah? Jika sesebuah kawasan itu ada terlalu banyak asnaf yang memohon, pusat zakat boleh mengalih jawatan amil di kawasan yang kurang bebanan tugas ke kawasan yang tinggi bebanan tugas.
Penggunaan teknologi blockchain juga bagus untuk dipertimbangkan. Penggunaan blockchain ini memastikan satu rekod yang awam, selamat dan berpusat. Maka, tiadalah lagi ruang untuk mana-mana pihak membuat tohmahan tidak berasas tentang ke mana wang zakat dibelanjakan. Dengan rekod umun ini, penyelewengan juga akan lebih mudah dikesan.
Apa pandangan pembaca?