Tidak habis lagi dengan data yang didakwa data pengguna laman belian dalam talian, individu sama tampil pula dengan data baru di forum yang sama. Kali ini, individu terbabit mendakwa memiliki lebih banyak data, berjumlah 10 juta data banyaknya.
Maklumat ini telah disalurkan kepada kami melalui emel.
Individu ini didapati baru sahaja membuat akaun di forum berkenaan pada April tahun lepas dan ini adalah hantaran kedua individu ini di forum. Tiada komen ataupun hantaran lain oleh individu ini di forum. Dia juga didapati bermain sentimen dengan meletakkan hashtag #KitaMintaLima pada gambar data yang didedahkan. Tidak dapat dipastikan tujuan individu berkenaan menggunakan hashtag tersebut.
Data tersebut didakwa sebagai data daripada senarai daftar pengundi. Data yang ditunjukkan adalah termasuk kawasan, DUN, alamat, nama, nombor kad pengenalan dan juga parlimen.
Melihat kepada jadual data, ia agak meyakinkan dan kelihatan seperti data sebenar. Sudah ada pembida dan beberapa pengguna forum juga telah menawarkan untuk membeli data yang diiklankan.
Ada juga pengguna forum yang mengatakan ia hanyalah data awam dan individu ini adalah scammer.
Setakat ini, masih tiada jawapan ataupun kenyataan media daripada SPR berkenaan data ini. Tidak dapat dipastikan kesahihan data yang diiklankan oleh pengguna ini. Diharapkan agar pihak yang terlibat boleh menjalankan siasatan ke atas pembocoran data ini kerana ia melibatkan imej dan integriti keselamatan data kerajaan.