Jabees Firefly Vintage: TWS Dengan AptX, ENC Dan TrueWireless Mirroring™

Untuk apa jua sebabnya, Jabees menjenamakan semula ciri ANC menjadi ‘ENC’, iaitu Environmental Noise Cancellation, yang mana definisinya jika kita fikirkan dengan teliti adalah benda yang sama dengan ANC (Active Noise Cancellation).

Dengan pelbagai lagi ciri lain – yang pasti menambat hati anda ditambah pula harganya yang amatlah mampu milik, TWS ini akan menjadi penanda aras baharu untuk produk lain akan datang.

Mari kita lihat terlebih dahulu apa ada dalam kotak sebelum kita meneruskan agenda.

Spesifikasi Jabees Firefly Vintage:

  • Bluetooth 5.2.
  • ENC – Environmental Noise Cancellation.
  • Chipset – QCC3040.
  • Qualcomm aptX, aptX Adaptive, & Qualcomm TrueWireless Mirroring.
  • Butang sentuh dan tekan – butang sentuhan hibrid.
  • Teknologi mikrofon berkembar.
  • Sistem Suis Kuasa Pintar – earbuds akan dihidupkan secara automatik dan berhubung secara automatik apabila penutup bekas pengecas dibuka.
  • Kalis Air IPX5 – Dapat menahan semburan jet air bertekanan rendah yang berterusan.
    Mod Ketelusan & Mod Permainan – Anda dapat mendengar bunyi di sekeliling anda untuk Mod Ketelusan (Transparency Mode), manakala Mod Permainan (Gaming Mode) pula dapat mengurangkan kelewatan audio sehingga 80ms.
  • AI kendalian suara – kawalan Siri dan Google Assistant.
  • Bunyi yang dipertingkatkan oleh Graphene – Earbuds ini menggunakan Graphene untuk peningkatan treble, pengasingan bunyi, dan peningkatan kualiti suara secara keseluruhan.
  • Ingin menikmati kesan stereo tanpa wayar yang sebenar? Gunakan secara berpasangan. Ingin menjadikan ia mono untuk panggilan? Gunakan satu earbud sahaja.
  • Panggilan Stereo – Lakukan panggilan telefon anda dan dengarkan di kedua-dua belah earbuds untuk mendapat pengalaman pendengaran panggilan lebih baik.
  • Ketahanan hayat bateri luar biasa – waktu main semula sehingga 7 jam dengan sekali cas.
    Masa menanti sehingga 200 jam.
  • Bekas pengecas dengan USB-C berkapasiti 500mAh untuk penyimpanan dan pengecasan, memberikan sehingga 3 caj tambahan yang sama dengan 21 jam penggunaan keseluruhan. Ia juga boleh dicas secara wayarles.
  • Profil Bluetooth: bebas tangan, A2DP / AVRCP.
  • Bluetooth Codec: SBC, AAC, aptX.
  • Dimensi setiap earbud: 25.90 X 16.40 X 19.80 mm
  • Berat dua earbud: 9.8g.
  • Dimensi Bekas Pengecas: 78 x 31 x 37mm.
  • Berat Bekas Pengecas: 44.8g

Sebelum saya teruskan, ingin saya terangkan mengenai apa itu Qualcomm TrueWireless Mirroring™ – yang disokong oleh chipset Qualcomm QCC3040.

Qualcomm TrueWireless Mirroring™ ialah teknologi baharu yang menggantikan (secara teknikalnya) teknologi TrueWireless Stereo Plus. Kaedah penerimaan audio secara bebas antara earbuds kanan dan kiri adalah teknologi yang menstabilkan sambungan fon telinga tanpa wayar sepenuhnya, yang juga diwakili pada varian teknologi awal iaitu ‘Qualcomm TrueWireless Stereo Plus (TWS Plus)’.

Earbuds tanpa wayar kiri atau kanan membuat sambungan Bluetooth sepenuhnya ke peranti. Earbuds sebelah lagi akan membuat sambungan ‘mirror’ (atau klon, untuk mudah faham) kepada earbuds yang lebih dominan.

Sambungan di antara earbuds dominan dan klon ini akan dialih kepada earbuds yang lebih baik sambungannya sebanyak mungkin. Peralihan antara keduanya disebut sebagai ‘roll swap’. Dengan pertukaran peranan ini, anda dapat menikmati muzik dan panggilan tanpa gangguan.

Gambaran Keseluruhan Qualcomm TrueWireless Mirroring

  • Teknologi baru Qualcomm untuk pengalaman mendengar sepenuhnya tanpa wayar.
  • Salah satu kaedah penerimaan bebas earbuds kiri dan kanan.
  • Dipasang dalam SoCs siri QCC514x/QCC304x.
  • Kini serasi dengan iOS dan Android.
  • Diuruskan oleh satu alamat Bluetooth.
  • Ciri ini tampil seakan Airoha MC Sync.

‘Qualcomm TrueWireless Mirroring’ ringkasnya, bolehlah dikatakan sebagai teknologi penerimaan audio secara bebas (earbuds) kiri dan kanan yang dipasang dalam SoC Bluetooth baharu Qualcomm. Jika cara lama, hanya ada proses penghantaran audio dari ‘Master’ ke ‘Slave’ sahaja, menjadikan hanya earbuds dominan iaitu ‘Master’ lebih cepat kehabisan kuasa bateri. TWS+ cuba memperbaiki keadaan itu dengan memisahkan penerimaan audio, manakala TWS Mirroring pula sebaliknya – ia menjadikan kedua-dua earbuds sebagai penghantar dan penerima secara serentak, dan penggunaan kuasa diseimbangkan secara pintar oleh chipset.

Kenapa penting untuk saya terangkan mengenai ciri Qualcomm TrueWireless Mirroring? Kerana Jabees membawakan ciri baharu ini ke dalam TWS mereka iaitu Jabees Firefly Vintage.

Antara perkara penting yang membezakan antara ‘Mirroring’ dan ‘Stereo Plus’ ialah ciri ‘Mirroring’ tidak lagi bergantung kepada elemen yang terikat dengan pemprosesan di sudut perkakasan untuk menggunakan teknologi ini.

TWS Plus tidak terdapat pada semua peranti, kerana hanya pemproses Qualcomm Snapdragon tertentu sahaja yang boleh menggunakannya. Ini bererti iPhone dengan sistem operasi iOS tidak dapat memanfaatkan teknologi TWS Plus.

Selain itu, hanya kerana SoC tertentu dipasang pada peranti, tidak semestinya ia serasi dengan TWS Plus. Pendek kata, terserah kepada vendor telefon pintar untuk menyokong ciri TWS Plus ini.

Berbeza dengan TrueWireless Mirroring, iOS juga dapat menggunakannya kerana masalah kebergantungan peranti telah diselesaikan apabila ia tidak lagi memerlukan pemprosesan khas di bahagian perkakasan.

Selain itu, TrueWireless Mirroring juga didaftarkan hanya kepada satu alamat Bluetooth – tidak seperti TWS Plus yang membahagikannya kepada dua alamat. Pengurusan peranti Bluetooth menjadi lebih mudah apabila hanya tampil satu nama sahaja dalam senarai.

Reka Bentuk

Dari segi reka bentuk, saya lihat ia tampak seakan tanduk Steppenwolf dari atas. Hah!
Maaf, saya masih belum dapat move on dari filem Zack Snyder’s Justice League.

Tapi secara jujur, reka bentuknya memang kelihatan agak pelik kerana jika hendak dikatakan ia direka sedemikian rupa untuk atlet, ini bukan TWS dalam niche sukan. Boleh jadi ia sememangnya direka untuk golongan audiophile atau gamer, kerana bentuknya nampak seakan futuristik.

Pada bekas pengecas, terdapat satu butang ‘hard reset’ yang anda boleh gunakan sekiranya anda ingin reset TWS anda.

Pada setiap earbuds, ada butang lembut yang dipatenkan. Butang ini boleh ditekan, atau disentuh untuk menggunakan fungsinya. Setiap fungsi ini ada diberitahu dalam buku panduan pengguna. Jangan lupa untuk baca dan cuba nanti ya.

Pada saya, adakalanya saya suka mengubah kedudukan earbuds. Saya mendapati butang ini agak sensitif juga, apabila ia seringkali diaktifkan secara tidak sengaja.

Seperti biasa, terdapat kawasan titik kontak pengecasan dengan bantuan magnet di bahagian sebelah ‘dalam’ TWS.

Bantuan Aplikasi

Anda boleh gunakan aplikasi ‘Jabees Audio’ untuk menukar Mod Ketelusan kepada varian yang ada seperti Indoor, Outdoor, dan Public Transportation. Manakala anda juga boleh menaik taraf/mengemaskini firmware dengan mudah.

Mod Ketelusan (Transparency Mode) ini akan membenarkan anda untuk mendengar bunyi dari luar. Anda boleh uji sendiri untuk mengetahui perbezaannya.

Pengecasan

Jabees Firefly Vintage menggunakan USB-C untuk tujuan pengecasan. Tiada lagi kesukaran memasukkan pengecas ke dalam port seperti USB mikro. Tempoh pengecasan adalah lebih kurang 2 jam.

Nyalaan LED berwarna putih ialah untuk pemberitahuan pengecasan earbuds sebelah kiri, manakala merah pula untuk sebelah kanan. Apabila kedua-duanya sudah selesai dicas, warna merah akan kekal bernyala untuk tujuan pemberitahuan pengecasan bekasnya pula. Lampu akan dipadamkan apabila semua sudah selesai dicas.

Tidak lupa juga bekas pengecas ini boleh dicas menggunakan pengecasan tanpa wayar Qi. Ia serasi dengan pelbagai jenis dan jenama pengecas Qi, terserah kepada anda hendak gunakan yang mana satu. Tempoh pengecasan dengan pengecas Qi ialah 4 jam, manakala 3 jam apabila anda gunakan kabel.

Daya Ketahanan Bateri

Antara perkara paling memuaskan hati apabila menggunakan Firefly Vintage ialah daya ketahanan baterinya. Saya sering mendengar lagu pada kadar kelantangan bunyi sehingga 70-100%. Dengan kekuatan bunyi seperti itu pun ia masih mampu bertahan dari awal pagi saya mula bekerja, hinggalah tiba waktu saya pulang.

Bab hayat bateri sememangnya tiada sungutan mahupun rungutan. Saya boleh berikan 5 bintang untuk ciri ini. Seperti dijanjikan dalam iklannya, ia dapat bertahan sehingga 8 jam (ikut kepada bagaimana cara anda gunakannya).

Kualiti Audio

Pada saya, Firefly Vintage ialah antara TWS yang seimbang dan ‘semulajadi’ (natural) bunyinya. Kalau tak salah pendengaran saya, ia tidak menggunakan profil V-shape seperti gajet bajet yang lain.

Panggung suara terasa begitu luas, terutamanya jika anda mendengar lagu seperti saya, dengan kelantangan suara sehingga 100%.

Tak, saya bukan pekak. Saya mendengar lagu sepertimana yang artis kehendaki, iaitu 100% audio dan alatan muzik yang direkodkan dalam studio.

Bass

Untuk bass, saya ingin mengingatkan kepada anda agar pakailah eartips/silicone tips yang berpadanan dengan telinga anda. Kalau telinga dari jenis ‘telinga degil’, mungkin anda patut gunakan yang paling besar agar muat dengan baik dalam telinga (jk).

Jika anda jenis manusia yang inginkan bass dalam setiap lagu didengari, saya tidak merasakan Firefly Vintage akan menghampakan anda. Saya mendengar lagu Hip-Hop lama dan baru, dari Method Man, Eminem, NF, MGK, dan GAWN – setakat ini ‘punch’ diberi begitu memuaskan.

Bass dan sub-bass memenuhi ruang dan paling penting sekali ia tidak menjadikan bunyi instrumen lain tenggelam atau ‘muddy’. Agak mengejutkan juga, kerana biasanya gajet audio bajet pasti akan melebihkan bass semata-mata hendak berprofil seakan ‘mahal’.

Mid

Saya melayan lagu ‘Qasidah Metal’ oleh Khalifah, dengan beberapa album terbaik mereka. Apa yang mengagumkan ialah bagaimana isolasi instrumen terasa begitu baik, sehingga saya dapat mendengar bunyi beberapa instrumen muzik yang belum pernah saya dengar lagi sebelum ini.

Saya tidak mahu menulis sehingga ia nampak seperti keterlaluan, lagi pun telinga setiap orang berbeza. Tetapi inilah dia yang mampu saya perkatakan.

Vokal lelaki dapat didengar dengan jelas, walaupun dipenuhi unsur bass, contohnya Michael Jackson – Billie Jean.

High

Frekuensi tinggi/treble tidak melelahkan dan tidak begitu tajam. Lagu Black Veil Brides – Perfect Weapon, berjaya dibawa dengan bagus sekali, manakala lagu Lamb of God – 512 menonjolkan treble tanpa menyakitkan gegendang telinga.

Vokal Randy Blythe begitu berhantu sekali, cuma saya kepingin ia dilebihkan sedikit (boosted). Jika anda cekap bermain dengan equalizer, saya pasti anda dapat menala audio pada frekuensi ini untuk menjadi lebih tepat.

Antara lagu yang sukar dimainkan sekiranya bahagian julat tinggi ini dinaikkan lagi ialah Jinjer – Scissors. Tetapi saya berasa lega kerana tiada sebarang kenyaringan yang keluar sama ada dari segi gitar mahupun vokal Tatiana Shmailyuk.

Konklusi

Jabees Firefly Vintage membawa satu nafas baru kepada segmen TWS bajet, di mana ia menyediakan pelbagai fungsi dan ciri yang biasanya hanya terdapat pada TWS mercu.

Dengan pelbagai ciri perdana seperti ENC (ANC), Mod Ketelusan, Mod Kepermainan, codec aptX, TWS Mirroring, dan sebagainya lagi, menjadikan TWS ini sebagai satu penanda aras baru kepada semua model yang bakal mendatang.

Tidak perlu dipanjangkan lagi bicara. Memang berbaloi dengan nilai wang dikeluarkan. Harganya pula cuma lebih kurang RM165 (selepas pertukaran mata wang), meletakkan ia di tempat yang selesa untuk kategori bajet.

Anda boleh beli Jabees Firefly Vintage di: Firefly Vintage.

Rujuk laman web rasmi mereka di: Jabees.

Like dan follow page rasmi mereka: Jabees Facebook Page.

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
TWS untuk gamers dan audiophiles yang mencari gajet audio ini di bawah bajet RM200. Dengan ciri baru seperti TrueWireless Mirroring, Gaming Mode, Transparency Mode, dan ketahanan bateri yang mengagumkan, TWS ini amat memberi lebih nilai pada wang anda.Jabees Firefly Vintage: TWS Dengan AptX, ENC Dan TrueWireless Mirroring™
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x