Ini Punca Trafik Laman Web Anda Rendah

Spamdexing: Pencurian Trafik Laman Web Di Tengah Jalan

Menguruskan laman web sendiri bukan sesuatu yang mudah. Banyak masa, tenaga, malah wang ringgit perlu dihabiskan. Bayangkan, anda telah menghabiskan masa dan tenaga dalam usaha untuk meletakkan kedudukan laman web pada kedudukan utama di enjin carian melalui amalan SEO yang baik. Lebih parah lagi, anda juga telah membayar penyedia SEO premium yang secara bulanan untuk laman web anda.

Namun, anda menyedari bahawa seseorang telah mencuri trafik laman web anda dengan memasukkan spam kata kunci mereka sendiri. Ini menjadikan laman web anda tidak terpapar langsung di muka pertama hasil carian di enjin carian seperti Google, Bing, Brave dan DuckDuckGo.

Itulah dia yang dipanggil sebagai spamdexing’ (SEO spam malware). Spamdexing bukan benda baru. Tetapi ia berevolusi mengikut peredaran zaman. Spamdexing akan melakukan spam kepada proses enjin carian mencari laman web anda di internet yang dikenali umum sebagai indexing.

Enjin carian akan membaca segala kandungan yang ada di seluruh internet dan menunjukkannya di halaman hasil carian. Satu proses yang kedengaran mudah tetapi sebenarnya memerlukan kuasa pemprosesan dan algoritma yang sangat kompleks dalam pengaturcaraan komputer.

Contohnya, jika anda ingin mengisi borang Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), anda cuma perlu menaip ‘BPR’ di enjin carian pilihan anda seperti Google Search. Enjin carian ini pula akan ‘berfikir’ dan cuba meneka apakah laman web yang anda mahukan daripada berbilion kata ‘BPR’ di internet. Dengan serangan spamdexing, carian ‘BPR’ anda mungkin tidak akan berada di halaman pertama hasil carian dan halaman pertama enjin carian akan membawa anda kepada laman web-laman web sampah dan salah.

Secara mudahnya, spamdexing boleh ditakrifkan sebagai;- laman web yang telah dioptimumkan untuk algoritma enjin carian dalam pengindeksan yang optimum/maksimum. Laman web spam ini akan dinilai oleh enjin carian sebagai laman web yang lebih penting dan patut berada di muka utama hasil enjin carian berbanding laman web anda yang asli.

Di zaman ini, tidak perlu lagi menunggu di dark web untuk menjadi mangsa penggodam atau ‘threat actor‘. Di atas permukaan pun sentiasa berlegar ancaman mencari kambing hitam untuk keuntungan diri sendiri.

Perbuatan spam SEO ini membolehkan laman-laman web spam mendapat lebih banyak pendedahan daripada apa yang selayaknya mereka perolehi untuk kata kunci yang diguna di enjin carian utama. Hasilnya, laman web spam lebih menonjol di halaman pertama berbanding laman web sebenar di hasil enjin carian (SERP).

Keracunan enjin carian (Search Engine Poisoning/SEP) menyalahgunakan algoritma kedudukan  laman web dan membawa pengunjung ke laman yang tidak ingin mereka lawati. Ini akan mengelirukan pengguna laman web dan mendorong mereka untuk klik dari satu laman web spam ke laman web spam yang lain tanpa berjaya untuk ke laman web sebenar yang mereka ingini.

Dalam beberapa kes, laman web dibuat dengan sempurna untuk menipu algoritma enjin carian. Manakala di banyak kes yang lain pula, mereka mengeksploitasi laman web yang sah. Pengguna akan menyangka mereka telah melawat laman web yang mereka kehendaki, tapi hakikatnya laman web yang mereka lawati adalah laman web palsu!

Biasanya, perbuatan ini dilakukan oleh individu yang mahukan duit mudah melalui iklan-iklan yang ekstrem di laman web spam mereka. Dalam sesetengah kes juga, motif serangan juga berpunca daripada sabotaj terhadap laman web yang disasarkan seperti cubaan menghalang pengaruh politik individu yang memiliki laman web tersebut. Motif lain juga termasuk mencuri data peribadi dengan menyamar sebagai laman web rasmi sesebuah organisasi.

Malware ini terdapat dalam pelbagai bentuk. Ia biasanya digunakan oleh penggodam untuk memanfaatkan kedudukan baik laman web terkemuka bagi menyebarkan pautan mereka sendiri kepada sebanyak mungkin pengguna.

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x