FBI telah menahan seorang warga Rusia yang dipercayai sebagai dalang di sebalik Deer.io, sebuah laman penjualan data hasil daripada penggodaman. Saspek yang bernama Kirill Victorovich Firsov itu telah ditahan di lapangan terbang John F. Kennedy, New York pada 7 Mei 2021 yang lalu mengikut maklumat waran tangkap yang tersebar.
Deer.io adalah sebuah laman jual beli yang popular di Rusia yang menganjurkan aktiviti jual beli data haram hasil daripada jenayah siber. Antara data yang dijual adalah akaun, gambar dan maklumat peribadi yang telah digodam.
Laman itu yang telah beroperasi sejak Oktober 2013 telah memiliki lebih daripada 24,000 kedai dan telah mengaut keuntungan sebanyak lebih daripada $USD17 juta dolar.
Deer.io Telah Digunakan Untuk Jenayah Siber Sepenuhnya.
FBI menurut kenyataannya juga mendakwa, laman Deer.io telah digunakan hampir semata-mata untuk jenayah siber sepenuhnya. Walaupun mereka mengakui sebagai satu entiti bisnes yang sah, FBI telah menjalankan penyiasatan mereka sendiri.
FBI telah meneliti sebanyak 250 kedai di laman Deer,io dan kesemuanya menjual data haram yang diperoleh melalui penggodaman. Data seperti pelayan yang digodam, maklumat peribadi, akaun internet, dan maklumat peribadi seperti nombor sekuriti sosial dan alamat dijual secara berleluasa di laman tersebut.
FBI juga mendakwa telah berjaya membeli data dengan beberapa penjual di laman tersebut dan telah mengesahkan ketulenan data yang dijual tersebut sebagai asli dan diperoleh secara tidak sah melalui aktiviti penggodaman.
FBI merumuskan Firsov sememangnya sedar dengan penyalahgunaan laman miliknya itu dengan sering mempromosi laman itu sebagai laman gedung jualan untuk jenayah siber.
Deer.io Masih Beroperasi
Walaupun saspek yang didakwa sebagai pemilik Deer.io telah ditangkap, laman itu dilihat masih lagi beroperasi. Menurut satu temubual bersama wartawan pada tahun 2016, pemilik Deer.io ketika itu, yang dipercayai adalah Firsov mengelak untuk menjawab persoalan mengenai dakwaan penjualan data haram di laman itu.
“Deer.io beroperasi di dalam ruang lingkup undang-undang Rusia.”
“Klien kami boleh membuka kedai yang tidak melanggar undang-undang Rusia. Kami menyekat kedai yang menjual dadah/maklumat akaun bank yang dicuri. Kami juga akan menyekat kedai yang diminta oleh Roskomnadzor atau mana-mana pihak berkuasa di Rusia“, menurutnya lagi dalam temubual yang sama.,
Deer.io masih lagi mempunyai dua laman proksi yang lain dengan modus operandi yang sama.