More

    7 Fungsi Microsoft Edge Yang Akan Buat Anda Menyukainya

    Gambar muka depan oleh Windows Central, dan gambar ini dari TechJuice.

    Microsoft Edge bukan lagi seperti zaman Windows 7 dahulu, yang mana ia ketinggalan sungguh dari segi enjin webnya, extension, dan prestasi. Disebabkan Edge diperbaharui dari mula dengan menggunakan tapak Chromium, Edge kini ibarat Jennifer Aniston disapukan bedak bayi Johnson.

    Tetapi perubahan pelayar ini bukan hanya dari segi kosmetik (pun intended). Dari segi ‘dalaman’ juga, Edge turut memperlihatkan pelbagai ciri baru yang akan menjadi ciri malar segar, kekal relevan sepanjang zaman.

    Apa dia yang menarik dapat kita gunakan? Mari kita cuba singkap satu persatu.

    1. Vertical Tab

    Ciri ini sudah lama ada pada pelayar Vivaldi, tetapi Edge memasukkannya dan menambah perisa supaya ia mempunyai rasa yang seiring dengan reka bentuk keseluruhan kerangka pelayar tersebut. Vertical Tab atau Tab Menegak ialah alternatif kepada Tab Melintang.

    Sesiapa yang sudah terbiasa menggunakan tab menegak, anda mungkin lebih sukakan ikon berbanding tajuk web yang hanya dapat dilihat mungkin separuh ataupun 1/4 sahaja. Apabila dihalakan cursor kepada ikon, ia akan memaparkan tajuk yang lebih panjang, dan ini memudahkan pencarian buat mereka yang gemar membuka banyak tab pada satu masa.

    Untuk mengaktifkannya, anda boleh klik pada butang di sebelah atas-kiri, atau pergi ke Settings > Appearance > Show vertical tabs for all current browser windows.

    2. Sleeping Tab

    Sleeping Tab ialah salah satu dari tetapan prestasi. Anda boleh mengaksesnya melalui Settings > System > Optimize Performance.

    Sleeping Tab akan menjeda mana-mana tab yang telah dibuka sekian lama tetapi tidak digunakan. Anda boleh menentukan berapa lama masa satu-satu tab itu tidak digunakan sebelum dijeda oleh pelayar.

    3. Tracking Prevention

    Lebih mudah untuk menetapkan pilihan tahap privasi dalam Edge berbanding Chrome. Terdapat 3 mode yang boleh dipilih dari tetapan, dan ini terpulang kepada bagaimana anda hendak pelayar anda mengendalikan sekatan terhadap penjejak (trackers) atas talian.

    Tetapan boleh diakses di Settings > Privacy, search, and services > Tracking prevention.

    4. Multitasking

    Multitasking atau tugas berbilang memudahkan anda melihat/menukar tab mahupun aplikasi ketika sedang melayari internet. Ia boleh diakses menggunakan kekunci Alt + Tab.

    Selain itu, anda juga boleh mengubahsuai tetapan untuk Alt + Tab di tetapan Windows dengan menghala ke Settings > System > Multitasking.

    5. Immersive Reader

    Immersive Reader ialah fungsi yang membenarkan anda membaca dari sesebuah laman web tanpa diganggu oleh pelbagai elemen lain yang tidak diperlukan, terutamanya untuk laman yang mempunyai terlalu banyak iklan.

    Fungsi ini akan memaparkan laman dengan gambar dan teks sahaja. Amat memudahkan pembacaan harian. Anda juga boleh menekan butang ‘Read aloud’ untuk mengarahkan Edge ‘membaca’ laman tersebut kepada anda.

    6. Web Capture

    Web Capture menyenangkan kerja orang seperti saya, yang banyak menulis tentang sesuatu. Ia membolehkan saya mengambil tangkap layar tanpa menekan butang Prtsc.

    Cukup sekadar tekan butang Web Capture, dan pilih sahaja kawasan yang hendak ditangkap dan disimpan sebagai gambar. Biasanya saya akan tampalkan gambar tersebut ke dalam aplikasi Paint sebelum disimpan secara teratur dalam satu folder.

    7. Collection

    Collection ialah satu ruangan khas untuk anda menyimpan segala maklumat yang anda peroleh melalui internet. Anda boleh mulakan pelbagai koleksi yang berkaitan dengan hobi, mahupun informasi.

    Saya baru mulakan satu koleksi iaitu pembelajaran bahasa. Dengan Collection, anda tidak akan tertinggal lagi semua perkara yang anda ingin simpan sebagai kenangan ataupun nota. Ya, dalam Collection pun anda boleh tulis nota untuk tujuan ingatan.

    Bagaimana sekarang? Anda sudah yakin Edge mampu membantu anda dalam urusan seharian di internet?

    Jika sudah, silalah gunakan Edge mulai hari ini. Banyak lagi ciri lain yang tidak mampu dicatatkan dalam satu artikel. Itu, anda bolehlah kaji sendiri.

    Arya Putrahttps://omghackers.com/
    A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

    Artikel Terkini

    Artikel Berkaitan

    Subscribe
    Notify of
    guest
    0 Comments
    Inline Feedbacks
    View all comments
    0
    Would love your thoughts, please comment.x
    ()
    x
    %d bloggers like this: