Buatlah carian ulasan tentang servis VPN, kerap kali nama ExpressVPN akan berada dalam senarai. Sama ada top 5 atau top 10, yang pastinya nama ExpressVPN akan berada terselit di celahannya.
Ada sebab yang munasabah juga kenapa ia begitu popular di kalangan peminat ‘topik’ ini. Saya akan kongsikan beberapa sudut pandang dan sedikit ulasan tentang apa yang saya gemari mengenai ciri ExpressVPN ini dan apa pula yang saya rasa masih boleh ditambah baik padanya.
Sudut Bidang Kuasa
Kita sudah perbahaskan hal ini secara halus dan jitu dalam artikel Kajian Kes Bidang Kuasa: PureVPN, Private Internet Access, Dan ExpressVPN. Dari sudut bidang kuasa negara, sememangnya tiada tekanan dan cengkaman dari kuasa negara-negara 14 Eyes, juga telah dibincangkan sebelum ini dalam artikel Perikatan Perisikan Antarabangsa: 5 Eyes, 9 Eyes, Dan 14 Eyes.
Ini adalah kerana ExpressVPN dikendalikan di British Virgin Islands (BVI), yang mana walaupun taraf kerakyatan mereka adalah British, tetapi Undang-Undang mereka tidak terikat kepada European Union (EU). Disebabkan itu mereka mempunyai rang Undang-Undang tersendiri dan tidak tertakluk kepada saman DMCA atau tuntutan pelanggaran hak cipta.
Dari kenyataan dalam blog ExpressVPN sendiri, mereka menegaskan bahawa,
ExpressVPN is a premium VPN provider focused on user privacy and anonymity. Our network is built around specifically NOT knowing the internet activities of our users. As privacy is a core part of our service offering, ExpressVPN is in the business of protecting our users’ private internet data.
Pada pandangan saya sendiri, jika mereka menjual ‘ciri’ ini sahaja ianya sudah menjadi satu ‘boom factor’. Banyak juga servis VPN yang bertempat dalam negara-negara 14 Eyes, dan ini menyebabkan mereka terpaksa berhempas pulas bekerja keras bagi meyakinkan pengguna bahawa data mereka selamat bersama dengan servis yang dilanggan.
Walaupun begitu, track record ExpressVPN adalah cemerlang dan bersih, dan dibuktikan selepas terjadinya satu episod rampasan pelayan oleh pihak berkuasa Turki. Mereka berjaya membuktikan bahawa walaupun pelayan dirampas, pihak berkuasa dari Turki itu tidak dapat memperolehi apa-apa data sekalipun, kerana ExpressVPN tidak menyimpan sebarang log yang boleh menjejak kembali kepada pengguna.
Anda boleh rujuk: Turkish investigation proves ExpressVPN does not keep user logs, to the relief of its users
Oleh itu, ringkasnya semua pengguna ExpressVPN boleh menarik nafas lega. Mereka menunaikan janji dan mengekalkan integriti walaupun diserbu oleh pihak berkuasa. Servis seperti ini, yang di luar bidang kuasa 14 negara perisik, serta tidak goyah apabila didatangi Undang-Undang, adalah satu servis yang sangat boleh diharap.
Ciri-Ciri ExpressVPN
Mari kita semak serba sedikit apa yang ditawarkan oleh aplikasi ExpressVPN. Kita cuba lihat dahulu pada aplikasi Windows.
Begini, terus terang saya katakan ciri ExpressVPN tidaklah sehebat TorGuard dari segi penawaran ‘wow factor’.
TorGuard mempunyai Stealth connection, yang dapat melepasi sekatan Deep Packet Inspection (Anti-DPI). Trafik yang dilindungi oleh sambungan Stealth, sama ada Stealth VPN atau Stealth Proxy tidak akan dapat disekat oleh sebarang firewall.
Apa yang ada dalam pilihan tetapan aplikasi ExpressVPN adalah protokol normal sepertimana servis-servis VPN yang lainnya, dari UDP dan TCP (OpenVPN), L2TP/IPSec, PPTP dan SSTP. Disebabkan protokol lain pada saya tidak begitu relevan, maka saya hanya menggunakan UDP.
Ini agak sedikit mengecewakan, kerana untuk perkhidmatan yang mengenakan caj agak mahal, saya menjangkakan ada sesuatu yang luar biasa pada cirinya.
Menyentuh mengenai aplikasinya, seperti yang disebutkan di atas ianya adalah straight forward, tiada sebarang tambahan pada tetapannya yang membolehkan seseorang pengguna termaju (advanced users) untuk berasa teruja.
Apa yang boleh dipuji, klien ExpressVPN ini telah dikod dengan begitu bersih dan kemas sekali (cleaned and polished). Jika hendak dibandingkan dengan NordVPN, atau BolehVPN, aplikasi Windows dan Android dari ExpressVPN ini hanya mempunyai satu menu hamburger di sebelah kirinya, dan apabila dibuka, ia memberikan tetapan ringkas. Sedangkan NordVPN mempunyai pelbagai pilihan yang agak rumit bagi pemula, dan mengujakan bagi pengguna termaju. BolehVPN pula lebih memilih pendekatan ‘in your face’, hampir semua tetapan yang diperlukan berada di hadapan.
Klien Linux Yang Mengecewakan
Bagi aplikasi atau klien Linux pula, tidak seperti TorGuard (sekali lagi) yang mempunyai GUI paling kemas untuk Linux, ExpressVPN pula hanya mengguna pakai klien dalam bentuk baris perintah.
Ini amat mengecewakan saya kerana setelah lama menggunakan klien TorGuard yang amat kemas dalam bentuk GUI dengan pelbagai ciri yang sama, ada pada klien Windows-nya, klien baris perintah ExpressVPN dirasakan seakan ‘klien malas’.
Anda boleh lihat sendiri ia beraksi pada gambar di bawah.
Banding beza pula dengan klien Linux oleh TorGuard.
Oleh itu jika setakat fungsi kill switch (yang dipanggil Network Lock pada ExpressVPN), perlindungan dari kebocoran IPv6, perlindungan dari kebocoran WebRTC dan DNS, ciri seperti ini sudah pun diterapkan ke dalam servis-servis lain yang jauh lebih murah.
Jadi di mana ciri yang menyerlah atau istilah lain, keistimewaan unggul pada ExpressVPN sebenarnya? Berikut saya cuba senaraikan apa yang saya rasakan sebagai faktor penentu mengapa VPN ini kerap kali menjadi pilihan pengulas dan blogger di luar sana.
Enkripsi
Ya, pada saya ini adalah ciri ExpressVPN yang paling bagus sekali. Enkripsi yang diimplementasi oleh ExpressVPN merupakan antara enkripsi terbaik dan paling kuat yang ada dalam standard industri. Mereka menggunakan cipher AES 256-bit yang digabungkan dengan pengesahan maklumat SHA-512 HMAC beserta kekunci 4096-bit RSA.
Tambahan lagi, ExpressVPN menggunakan Perfect Forward Secrecy yang dirundingkan melalui pertukaran kekunci Diffie-Hellman.
Secara konklusinya bolehlah digelarkan ia sebagai ‘military grade encryption’, seperti dialog-dialog di dalam filem Hollywood.
Kelajuan
Apabila menggunakan VPN, selalunya ia dikaitkan dengan ‘keperlahanan’ internet. Walaupun kebiasaannya servis VPN sekarang dapat memberikan kelajuan yang memuaskan, tetapi ExpressVPN lebih menyerlah dalam bab ini.
Meskipun menggunakan enkripsi yang sangat kuat, kelajuannya tidaklah perlahan tambahan pula untuk internet di Malaysia yang rata-ratanya tidak melebihi 50Mbps.
Pendek kata, kalau bab kelajuan, anda tidak perlu bimbang. Bahagian ini telah dikendalikan dengan cemerlang.
Split Tunneling
Antara ciri yang jarang diwar-warkan. Mungkin kerana ia hanya terdapat untuk klien Windows dan Mac OS sahaja. Malang sekali tidak terdapat untuk Linux, Android dan iOS. Cuma untuk mengatasi kelemahan ini, caranya hanyalah dengan memasang ExpressVPN pada router.
Juga cara yang sama digunakan bagi mengatasi had peranti yang cuma dibenarkan sebanyak 3 peranti sahaja.
Bagi anda yang mungkin tercari-cari VPN dengan ciri seperti ini, anda tidak tersalah pilihan. Saya juga ada mengeluarkan beberapa aplikasi dari sambungan VPN, contohnya aplikasi perbankan – melainkan jika anda pula dari jenis yang memang suka bersambung pada jaringan internet percuma di restoran-restoran mamak, maka lebih digalakkan pula untuk menghubungkan kesemua aplikasi pada saluran VPN.
Torrent
Selain TorGuard, ExpressVPN adalah servis VPN yang paling boleh diharap untuk aktiviti torrenting. Memuat turun menggunakan torrent memerlukan pelayan dengan prestasi tinggi dan berkelajuan paling memuaskan. Muat turun tidak lagi terasa begitu perlahan, kerana kelajuan sememangnya menjadi identiti ExpressVPN.
Disebabkan bidang kuasa BVI berada di kepulauan bebas yang tidak dapat dicengkam oleh DMCA dan akta hak cipta, pengguna boleh muat turun fail torrent dengan minda yang tenang. Berbeza dengan VyprVPN yang langsung tidak menggalakkan torrenting, bahkan akan menamatkan (terminate) akaun anda sekiranya mendapat amaran dari DMCA, ExpressVPN tidak akan mengambil tahu langsung tentang apa pun jua aktiviti anda.
Juga pelayan ExpressVPN yang premium tidak akan sekali-kali menjejaskan pola muat turun anda. Kelajuan akan sentiasa stabil, tanpa had bandwidth seperti sesetengah penyedia servis VPN yang lain.
Netflix Dan Hulu
Satu-satunya VPN yang bekerja di-luar-kotak untuk laman-laman penstriman seperti Netflix dan Hulu. Tanpa perlu kepada apa-apa tetapan tertentu yang komplex lagi rumit, penggunaan SmartDNS, ataupun Dedicated IP.
Cukup sekadar pilih pelayan dari US yang anda mahu, atau dapatkan khidmat nasihat/pengesyoran dari pembantu ExpressVPN terlebih dahulu bagi mengetahui pelayan yang mana satu dapat digunakan untuk strim laman Netflix/Hulu.
Menurut staf mereka, ExpressVPN menggunakan kaedah pelayan cluster untuk membenarkan penggunanya strim dengan bebas di Netflix tanpa sebarang sekatan.
Khidmat Bantuan/Sokongan Selepas Jualan
Mereka ini memang patut dipuji, dari segi khidmat sokongan selepas jualan. Jika anda memulakan perbualan (chat) melalui tetingkap yang disediakan di lamannya, tidak sampai beberapa minit anda akan dilayan.
Antara perkara yang sempat saya tanyakan kepada staf ialah bagaimana mereka melepasi sekatan Netflix, yang pada mulanya dijawab seakan-akan oleh kecerdasan buatan ala Google Assistant atau sedikit robotik, dan kemudiannya apabila saya pertikaikan jawapan beliau, barulah jelas bahawa yang menjawab soalan tersebut adalah seorang manusia.
Terus terang, walaupun saya adalah fanboy TorGuard, tetapi dalam bab sokongan ini saya lebih memuji staf ExpressVPN yang lebih ‘dirasakan’ manusia berbanding staf TorGuard, apatah lagi Goose VPN yang kerap kali lebih cepat memberikan jawapan dalam bentuk pautan rujukan kepada halaman F.A.Q mereka. Kalau setakat nak buka F.A.Q, lebih baik saya tak payah tanya mereka, kan?
Harga Langganan
Bagi bahagian harga langganan ini, diakui ExpressVPN adalah sebuah servis VPN premium, oleh itu harga bagi langganannya juga adalah termasuk dalam kategori itu.
Ya, saya tidak akan menidakkan yang ianya agak mahal, tambahan pula jika orang Amerika Syarikat sendiri yang mengatakan sebegitu, apatah lagi buat kita orang Malaysia yang wangnya perlu didarabkan dengan 3.94 (ketika artikel ini ditulis).
Tetapi untuk mendapatkan harga langganan yang lebih murah, ‘triknya’ sama sahaja dengan servis-servis yang lain, sama ada anda langgan 6 bulan, atau langgan terus satu tahun.
Security Checker Tools
Tidak dilupakan, ExpressVPN ada menyediakan beberapa tempat pemeriksaan sekuriti di lamannya. Anda boleh semak;
Alamat IP di sini: What Is My IP?
Kebocoran DNS di sini: DNS Leak Test
Kebocoran IP melalui WebRTC di sini: WebRTC Leak Test
Pro Dan Kontra
Kita mulakan dengan pro terlebih dahulu. ExpressVPN menjadi terkenal bukan hanya kerana adanya blog-blog seperti omghackers ini yang menulis ulasan mengenainya. Ia membina rangkaian melalui keutuhan servis dan prestasi kepantasan pelayan-pelayannya.
Buat yang sememangnya inginkan privasi yang jitu, ExpressVPN adalah pilihan tepat. Bidang Kuasa BVI akan buat anda rasa selamat, dan sekuriti pada aplikasinya yang menggunakan enkripsi paling kuat menjadikan ia lebih terkedepan.
Dari segi kontra pula, ciri pada klien atau aplikasi ExpressVPN boleh dikatakan agak menghampakan. Ia terlampau ringkas, hingga menyebabkan pengguna termaju akan cepat merasakan seakan tiada apa yang istimewa padanya.
Klien Linux yang hanya dalam bentuk baris perintah lebih menambahkan lagi rasa sedikit kecewa tersebut. Mungkin disebabkan keringkasan cirinya membuat para pembangun berasa seperti Linux tidak perlukan klien dalam bentuk paparan antaramuka pengguna.
Tetapi disebalik semua ini, jika anda amat-amat mementingkan privasi paling mantap, keamanan minda dengan sekuriti paling kuat, dan kelajuan VPN paling memuaskan hati, ExpressVPN berada di dalam kelasnya yang tersendiri.
Tambahan pula ExpressVPN berfungsi dengan cemerlang pada pelbagai laman yang menyekat VPN seperti Netflix dan Hulu. Jadi anda tidak perlukan sebarang pengetahuan ekstra dalam memanfaatkan fungsi ini kerana anda hanya perlu pilih pelayan, tekan butang ON di tengahnya dan mainkan sebarang video di laman tersebut.
Tidak dapat dinafikan lagi ia adalah top 5 VPN dunia yang mempunyai sebab kenapa ia berada di kedudukan itu, tetapi hanya jika anda melanggan sahaja anda akan tahu sebabnya.
Untuk melanggan ExpressVPN, anda boleh gunakan pautan yang diberikan di bawah:
>>>